Bab 4
ANAK mata Hakimi liar mencari tempat parking yang kosong. Mengapa pagi ini agak susah untuk mendapatkan tempat parkir? Waktu pejabat akan masuk tidak berapa lama lagi. Sudah masuk kali kedua Hakimi berpusing di kawasan letak kereta tersebut tetapi semuanya hampa. Begitu malang nasibnya hari ini. Pencariannya berakhir apabila sebuah kereta baru sahaja meninggalkan kotak parkir. Tanpa membuang masa, dia terus membelok kelegaan.
Hakimi membetulkan kot. Tetapi belum sempat dia menghempaskan pintu keretanya, bunyi hon bertalu-talu kedengaran dari belakang seperti tanda amaran. Kelihatan seorang gadis sedang menekan hon kereta memberi isyarat supaya dia mengalih keretanya semula.
Hakimi yang dalam keadaan ragu-ragu menuju ke arah gadis tersebut. Anak orang kaya mana pula yang mengganggu moodnya? Dia menghampiri wanita itu dengan senyuman walaupun hatinya masih lagi belum ikhlas sepenuhnya. Dia cuba mengawal suasana supaya tidak menjadi tegang. Tidak guna bergaduh kerana hal yang remeh.
"Maaf, puan... ini tempat letak kereta puan ke?" tanya Hakimi dengan lembut.
Peliknya wanita itu kelihatan seperti kaget bila memandangnya. Begitu lama, tetapi tetap tiada reaksi daripadanya, membuatkan Hakimi sedikit kehairanan. Wanita itu semakin merenung wajah Hakimi dari hujung rambut ke hujung kaki seolah-olah mereka pernah bertemu sebelum ini.
"Puan!"
"Hah, apa lagi? Alihkan kereta kau!"
Nada suara wanita tersebut kedengaran agak kasar membuatkan Hakimi tertanya, sama ada itu satu permintaan ataupun arahan. Sombong benar lagaknya. Hakimi cuba menahan perasaan mual.
"Maaf, puan... petak ini saya yang dapat dulu." Secara halus dan berhemah Hakimi cuba mempertahankan haknya.
"Hei! Kau nampak tak papan tanda dekat tepi tu? Cuba bacalah sikit!" herdik wanita itu lagi.
Hakimi memerhati ke arah papan tanda yang dimaksudkan. Namun gagal.
"Mana?"
"Engkau buta ke? Yang itu!" Muncung wanita tersebut diarahkan ke papan tanda yang sedang terbalik.
Pandangan Hakimi beralih pada papan tanda yang dimaksudkan. Memang benar kata wanita itu. Cuma dalam keadaan terbalik menyebabkan ia sukar untuk dilihat jika tidak diperhati dengan betul-betul. Dia yang bersalah.
"Maafkan saya, puan. Nanti saya keluarkan kereta saya dari petak ni," ujar Hakimi lagi dengan perasaan kesal dan malu.
Sebaik saja kereta berada di tempatnya sendiri dan enjin dimatikan, wanita itu keluar lalu menghempaskan pintu keretanya dalam keadaan marah-marah.
Hakimi sedar gadis itu masih lagi berang dengan kesilapannya. Tapi tadi dia memang tidak sengaja untuk memasuki tempat letak kereta bermusim tersebut. Dia memang tidak ternampak papan tanda yang terbalik. Akhirnya, dia menjongket bahu sendiri bila mengenangkan kesilapannya yang tak seberapa.
Dia pantas mempercepatkan langkah bila mengenangkan kelewatannya. Sekali lagi dia terpaksa berkejar untuk mendapatkan lif yang hampir tertutup.
"Tunggu!" Dengan pantas dia menahan pintu lif di depannya. Untuk mendaki ke tingkat 47 bukan langkah yang bijak. Mampus aku! Hatinya membentak memarahi dirinya sendiri kerana gagal menaiki lif tersebut.
Sangkaannya meleset bila pintu lif itu terbuka kembali. Dengan tergesa-gesa dia memboloskan diri ke dalam. Kakinya hampir kaku setelah memasuki ruang lif itu, bila melihat orang yang menyelamatkannya sekarang adalah gadis yang sama bertengkar dengannya di tempat letak kereta sebentar tadi.
"Maaf!" Sekali lagi Hakimi terpaksa meminta maaf bila tangan mereka bersentuhan apabila cuba menekan butang. Sekarang dia tidak perlu menekan butang tersebut untuk kali kedua kerana secara kebetulan aras yang akan mereka naiki adalah aras yang sama.
"Kebetulan!" getus Hakimi sekadar menceriakan suasana dingin.
"Apa?" Anak mata wanita itu terbeliak sedikit seolah-olah terkejut. Renungannya penuh berbisa. Sisa kemarahan tadi mula berkumpul di sari matanya semula.
"Maaf, sebenarnya secara kebetulan kita nak naik ke tingkat yang sama," ujar Hakimi agar tindakannya tidak disalah anggap, memandangkan hanya mereka berdua-duaan di dalam lif itu sekarang.
Hakimi membetulkan kotnya sebaik pintu lif terbuka. Dia membiarkan gadis itu mendahuluinya walaupun dia sudah agak terlewat. Dia mula kehairanan tatkala melihat langkah gadis itu juga seperti sedang menuju ke pejabat Megah Holdings.
Seingatnya tidak ada wajah seperti itu semalam. Hampir kesemua staf Megah Holdings diperkenalkan kepadanya oleh Julia, wajah gadis itu tidak kelihatan pun.
"Selamat pagi, Cik Suria!" ucap seorang demi seorang staf, menunjukkan tanda hormat.
"Selamat pagi, Encik Hakimi!" Hakimi turut diberi sambutan yang sama. Kini lirikan gadis yang bernama Suria menjelingnya di belakang setiap kali dia disapa. Seperti penuh kebencian.
Sebaik masuk ke dalam bilik pejabat, Hakimi menghempaskan briefcasenya ke atas meja. Kot tebal di badannya ditanggalkan. Dia menarik tirai biliknya. Entah mengapa anak matanya seperti dipaksa untuk mengintai bilik yang dimasuki gadis yang bernama Suria sebentar tadi. Tapi sayangnya cermin kalis cahaya bilik tersebut memisahkan pandangannya.
Panggilan melalui interkom dari Julia mengejutkannya. Dia diminta oleh Tuan Hasan untuk bertemu dengannya. Tanpa berlengah dia membetulkan tali lehernya. Untuk berjumpa ketua mesti nampak kemas dan berkeyakinan.
"Masuk!" seru Tuan Hasan dari dalam sebaik sahaja tangan Hakimi mengetuk pintu.
Langkah Hakimi seperti kaku apabila mendapati gadis yang menaiki lif bersamanya tadi kini sedang menghadap Tuan Hasan. Dengan penuh tanda tanya dia menarik kerusi di depannya lalu duduk di sebelah Suria yang seolah-olah tidak mempedulikan kehadirannya.
"Ada apa uncle panggil saya?" Tanpa berlengah Hakimi ingin segera menghuraikan persoalan yang bersarang di fikirannya.
Tuan Hasan tersenyum sambil membetulkan kaca matanya. Wajah Hakimi di depannya ditatapi tanpa makna. Suria di sebelahnya nampak gelisah seperti tidak menyenangi kehadiran Hakimi.
"Tak ada yang penting, cuma untuk memperkenalkan Hakimi dengan Suria. Anak saya."
Hakimi terkedu. Dia seolah-olah tidak percaya bahawa gadis itu anak Tuan Hasan sendiri.
"Uncle tahu kamu masih tidak sempat berkenalan dengan Su semalam sebab Su berada di tapak pembinaan."
Namun bagi Hakimi kata-kata Tuan Hasan sudah tidak masuk ke telinga. Sebaliknya kedinginan dan status Suria semakin mendapat perhatian Hakimi.
"Gembira berkenalan dengan awak, cik atau puan... ?"
"Cik Suria!" Suria membalas penuh kedinginan. Sari matanya seperti tidak ikhlas untuk memandang Hakimi.
"Memandangkan kamu berdua dah berkenalan, jadi projek Suria Velley uncle akan serahkan kepada kamu berdua," ujar Tuan Hasan dengan penuh harapan.
Hakimi hanya mengangguk kecil walaupun baru pertama kali dia mendengar nama projek tersebut. Cuma dia ragu-ragu tentang keserasiannya dengan Suria yang berada di sebelah. Air muka Suria seolah-olah tidak menyenangi campur tangannya di dalam projek tadi. Tetapi cepat-cepat dia menolak perasaan itu. Tidak adil baginya untuk menilai sikap Suria semasa pertemuan kedua mereka.
"Ada apa lagi, uncle?"
"Uncle rasa itu sahaja. Hmm... macam mana Kasih?"
Soalan luar topik pejabat Tuan Hasan menyebabkan Hakimi duduk kembali. Sekilas pandangan Hakimi menjeling kepada Suria yang membisu.
"Semakin nakal, uncle?" Secara tiba-tiba suara Hakimi kembali ceria bila berbicara tentang anak kesayanganya. Lupa seketika masalahnya dengan Suria yang berada di sebelah.
"Biasalah, Hakimi... budak perempuan lima tahun."
"Sebenarnya pagi tadi jenuh saya pujuk Kasih supaya dia tinggal dekat taska. Nasib baik dia okey. Kalau tak, saya dah tak tahu nak buat macam mana." Hakimi tergeleng bila mengenangkan sikap Kasih pagi tadi. Berbagai-bagai alasan yang dia berikan, tapi Kasih masih berdegil mahu mengikutnya ke tempat kerja. Akhirnya dia terpaksa berjanji untuk membawa anaknya itu membeli anak patung beruang.
"Kasih tu masih budak-budak lag, Hakimi. Lagipun ini hari pertama dia ke sana, lama-lama biasalah dia."
Suria yang mendengar perbualan papanya dan Hakimi terasa meluat. Mengapa papanya kelihatan begitu mengambil berat tentang anak Hakimi?
"Papa, kalau dah tak ada apa-apa Su keluar dulu." Celahan Suria mematikan gelak mereka berdua.
"Nanti dulu, Su! Papa masih ada lagi perkara nak bincangkan dengan Su," tahan Tuan Hasan yang masih lagi tidak puas berbicara tentang anak nakal Hakimi. Dia tidak menyangka pertemuan pertama kali dengan anak kecil itu menyebabkan wajah Kasih sering mengerumuni fikirannya. Telah lama dia teringin menimang cucu, cuma masih lagi tidak ada rezeki.
"Err... uncle. Memandangkan uncle ada perkara nak dibincangkan dengan Cik Suria, saya keluar dulu." Hakimi meminta diri, memberi ruang kepada dua beranak itu berbicara.
"Nanti... , kalau uncle ada masa datanglah rumah, jumpa Kasih," pelawa Hakimi sebelum menyelak daun pintu.
"Insya-Allah, Hakimi. Dah lama saya tak ke rumah kamu sejak arwah ayah kamu meninggal," sambung Tuan Hasan lagi sehingga Hakimi menghilang di sebalik pintu. "Hmm... kenapa papa tengok Su diam dari tadi aje?" Dia beralih ke arah wajah anaknya.
"Tak ada apa-apa, papa," balas Suria ragu-ragu seperti menyembunyikan sesuatu.
"Papa tahu, dari wajah Su tu dah mencerminkan perasaan Su masih terkenangkan kisah lama, kan? Sebab itu Su macam tak suka pada Hakimi."
"Tak adalah, papa. Cerita itu dah lama, dah basi. Lagipun Su dah ada jalan hidup Su sendiri," tegas Suria menampakkan keazaman pada wajahnya. "Oh ya... ada apa papa nak bincang dengan Su?"
Tuan Hasan bangkit dari kerusi empuknya. Langsir tingkapnya ditarik perlahan.
"Sebenarnya papa harap apa yang Su katakan tadi ikhlas dari hati Su. Papa harap Su dapat bekerjasama dengan Hakimi. Walaupun Hakimi masih baru di syarikat ni, tapi dari segi pengalaman, papa rasa dia lebih dari Su."
"Maksud papa?"
"Hakimi itu sebenarnya dah lama bekerja di luar negara. Sejak pengajiannya tamat enam tahun dulu Hakimi bekerja di salah satu syarikat pembinaan terbesar di sana."
"Jadi ini bermakna kuasa Hakimi akan lebih besar dalam projek Suria Velley? Su hanya sebagai pembantu?" Suria kelihatan kurang senang dengan tugasnya nanti. Di mana kepercayaan papanya selama ini? Adakah keupayaannya sedang diragui. Semuanya kerana Hakimi! Istimewa sangatkah lelaki itu pada kaca mata papanya?
"Su... Kan papa dah kata Su dan Hakimi hanya perlu bekerjasama? Bukan Su jadi pembantu dia. Su pun tahu projek ni melibatkan modal yang besar dan tak mungkin Su mampu uruskannya seorang diri. Papa tahu kebolehan Su dan papa yakin Su boleh lakukannya. Dengan pengalaman Su dan Hakimi, papa nak tengok Suria Velley menjadi projek mega yang dikenali di seluruh Malaysia."
Penjelasan Tuan Hasan menyebabkan hati Suria menjadi lega kembali. Suria tidak pasti sama ada dia mampu bekerjasama dengan Hakimi atau tidak. Parut lama di hatinya masih lagi berdarah. Bolehkah ia terubat dengan begitu sahaja, apatah lagi bila berhadapan dengan Hakimi nanti.
SURIA memandu keretanya untuk pulang ke rumah. Entah kenapa, wajah Hakimi bergentayangan di mindanya. Sejak terserempak dengan Hakimi pagi tadi hatinya gelisah semacam. Pertemuannya dengan Hakimi mula menyebabkan luka hatinya yang hampir sembuh berdarah kembali. Betapa pahit hatinya dikecewakan oleh seorang lelaki. Terasa kerdil harga darinya sebagai seorang wanita diperkotak-katikkan oleh lelaki. Umpama baju buruk yang boleh dibuang begitu sahaja.
Tetapi takdir Tuhan siapa sangka. Hakimi kini sudah berada di depan mata. Memang dunia ini bulat. Apakah dayanya kini untuk mengelak dari bertemu lelaki itu. Hakimi semakin dekat dengannya. Jika ikutkan hatinya mahu sahaja dia mendesak papanya memecat Hakimi segera walaupun sedar itu adalah perkara mustahil.
Kuasa Tengku Murni masih lagi utuh bersemi di dalam senarai pemegang saham Megah Holdings. Jasa Tengku Murni yang banyak membantu Megah Holdings sewaktu ekonomi Malaysia sedang meleset tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Tanpa suntikan dan bantuan Tengku Murni, syarikat itu takkan kukuh kembali seperti hari ini. Sebagai seorang yang profesional Suria sedar hal peribadi tidak harus dicampur-aduk dengan hal syarikat.
Suria agak hairan, kenapa reaksi Hakimi seolah-olah tidak mengenalinya semasa mereka terserempak pagi tadi. Mungkinkah lelaki itu menyembunyikan perasaannya? Ataupun lelaki itu berhati batu, tidak mempunyai perasaan langsung? Di antara mereka berdua masih terselit hutang yang belum lunas.
"Jantan!" Suria menghentam stereng kereta yang sedang berpusing walaupun sedar tindakan itu mungkin boleh membahayakan nyawa sendiri. Lantas dia memandu dengan cermat pulang ke rumah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro