Bab 3
HAKIMI membetulkan tali lehernya. Ini kali pertama dia tiba di bangunan pencakar langit tersebut. Siapa tak bangga bila menjadi sebahagian penghuni Menara Berkembar Petronas.
"Selamat datang, Encik Hakimi!"
Sapaan seorang wanita mematikan lamunan Hakimi. Dia berpura-pura membetulkan kot yang sudah sedia kemas. Semua staf yang berada di dalam pejabat sedang memandang aneh ke arahnya. Hakimi kembali gemuruh. Ada sesuatu yang tidak kena dengan penampilannya kali inikah? Kakinya mengekori wanita tadi ke sebuah bilik yang terbuka pintunya. Dia dapat mengagak itulah bilik Tuan Hasan, rakan kongsi arwah ayahnya yang juga pengerusi Megah Holdings.
"Tuan, Encik Hakimi dah sampai."
"Silakan duduk!" Tuan Hasan menyambut dengan senyuman lebar setelah selesai berjabat tangan.
Hakimi melabuhkan punggung menghadap Tuan Hasan.
"Julia, tolong buatkan saya kopi dan... " Tuan Hasan memandang Hakimi.
"Sama," balas Hakimi teragak-agak, masih lagi berada dalam keadaan kaget.
"Jadi macam mana suasana pejabat ni, Hakimi? Kalau boleh uncle nak tahu tangapan pertama Hakimi bila melihat pejabat ni," aju Tuan Hasan sambil tersenyum.
"Bagus, uncle. Saya tak pernah terfikir suasananya sebagus ini."
"Kenapa? Uncle rasa Hakimi macam tak percaya yang Malaysia kita ini sudah maju macam London."
Hakimi sedar kata-katanya seolah-olah memperkecilkan negara sendiri. Tapi itu bukan maksudnya. "Maaf uncle, bukan itu niat saya tapi, saya begitu kagum dengan suasananya. Saya berasa bertuah kerana dapat bekerja di syarikat uncle ini."
"Hakimi silap, syarikat ini bukan milik uncle seorang sahaja tapi mak Hakimi juga. Ingat, yang 30 peratus syer syarikat ini dimiliki mak Hakimi." Tuan Hasan tersenyum merenung wajah anak muda di depannya. "Dengan kehadiran Hakimi sekarang, uncle berharap prestasi syarikat kita semakin meningkat. Uncle dah tak larat nak uruskan syarikat ini seorang diri," sambungnya lagi.
Begitu tinggi harapan Tuan Hasan terhadapnya sama seperti harapan yang dilontarkan oleh Tengku Murni malam tadi. Kenapa dia yang terpaksa menggalas itu semua? Hati Hakimi tidak setamak itu untuk mengaut kepercayaan sebesar itu dari Tuan Hasan dan Tengku Murni dalam masa yang singkat. Dia gusar, harapan menggunung mereka hanya tinggal harapan. Hakimi masih lagi ragu-ragu dengan kemampuannya sendiri.
Perbualan mereka terhenti bila Julia membawa dua cawan kopi pekat lalu diletakkan di atas meja.
"Ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong tuan?" soal Julia sambil menjeling ke arah Hakimi.
"Awak boleh pergi dulu, nanti kalau ada apa-apa saya panggil awak."
JULIA memperkenalkan Hakimi kepada seluruh kakitangan syarikat tersebut. Ternyata staf di sini lebih cepat mesra berbanding masyarakat di London yang hanya tahu membawa diri masing-masing.
"Ini bilik Encik Hakimi," unjur Julia sebaik sahaja tiba di sebuah bilik yang tidak jauh dari bilik Tuan Hasan.
Hakimi menarik pintu bilik tersebut dengan perlahan. Dia begitu terpegun dengan hiasannya. Walaupun agak lama tidak berpenghuni tetapi masih lagi dijaga dengan begitu rapi. Kerusi empuk miliknya diputar beberapa kali.
Julia memerhati kelakuan pelik Hakimi. Tidak mungkin eksekutif seperti Hakimi tidak pernah duduk di kerusi begitu. Ataupun mungkin Hakimi masih lagi kekok untuk berada di dalam bilik ini kerana agak lama berkhidmat dengan orang putih di luar negara.
"Ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong, Encik Hakimi?" soal Julia.
"Tak ada apa-apa, cuma saya benar-benar kagum dengan suasana bilik ini, siapa yang jaga bilik ini kerana setahu saya mak saya jarang menjejakkan kaki ke bilik arwah ayah saya ini?"
"Sebenarnya Puan Engku yang arahkan kami menyiapkan bilik ini awal-awal lagi sebaik saja dia dengar Encik Hakimi akan balik dari UK. Sebab itu bilik ni nampak kemas."
Hakimi spontan terangguk-angguk. Sewaktu arwah ayah angkatnya masih hidup, tidak pernah sekalipun dia menjenguk pejabat itu.
"Ada apa lagi yang boleh saya tolong, Encik Hakimi?"
Hakimi menggeleng, sambil menarik tirai yang menghalang permandangannya ke luar. "Awak boleh keluar dulu. Kalau ada apa-apa saya panggil."
Julia meninggalkan Hakimi yang masih lagi menikmati pemandangan. Terbukti suasana Kuala Lumpur sudah banyak berubah dan begitu indah jika dilihat dari tempat tinggi seperti Menara Berkembar Petronas ini.
Memandangkan hari ini merupakan hari pertama Hakimi bertugas, maka masih belum banyak lagi aktiviti yang mampu dilakukannya. Dia mengambil keputusan untuk mengemas sendiri bilik yang akan menjadi rumah keduanya. Potret Kasih dan arwah Nurain dikeluarkan satu per satu dari beg kosongnya. Akhirnya dia memilih penjuru kiri meja untuk diletakkan kedua-dua potret insan yang bermakna di dalam hidupnya. Alangkah indahnya jika Nurain ketika ini turut bersamanya untuk menyaksikan bumi kelahirannya. Dulu arwah Nurain terlalu berhasrat untuk menjejakkan kaki ke Malaysia.
"Abang, kenapa abang nampak kacak hari ini?" Seolah-olah mengejek, Nurain menyuarakan isi hatinya semasa kali pertama Hakimi keluar bekerja.
"Kenapa? Selama ini abang tak kacak pada mata Ain?" soal Hakimi sambil mencuit hidung isteri kesayangannya yang masih lagi sibuk membetulkan tali lehernya.
Nurain berhenti seketika. Dia mengamati renungan jernih suaminya. Kerana renungan tersebut dia terselamat daripada melakukan dosa besar dan masih sempat melihat keindahan dunia ciptaan Tuhan hingga sekarang.
"Ain takkan bagi tahu jawapan untuk soalan abang ni."
"Okey. Jika Ain tak nak cakap, tak apa." Hakimi menepis tangan lembut Nurain yang sudah lama bermain di lehernya lalu menuju ke cermin. Berpura-pura membetulkan tali lehernya sendiri walaupun ia sudah kemas.
Nurain berasa bersalah bila melihat telatah Hakimi kini. Takkan Hakimi sudah merajuk kerana gurauan tadi. Ah! Tidak mungkin. Hakimi hanya mahu menduganya.
Hampir sembilan bulan mereka bersama, dia seakan-akan sudah masak dengan sikap suaminya. Hakimi bukannya kaki rajuk apatah lagi untuk memarahinya. Tidak pernah Hakimi meninggikan suara bila berhadapan dengannya, sebaliknya tutur suaminya itu selalu lembut walaupun kadang-kadang Nurain masih lagi terbawa-bawa adat dan tatasusila budaya asalnya.
Pernah Nurain pulang dalam keadaan mabuk kerana menghadiri parti majlis hari jadi rakan kuliahnya. Hakimi dapat menghidu perbuatan itu. Nurain terlupa yang Islam melarang keras minuman haram itu diteguk walaupun setitik. Dengan penuh kesal dia pulang dan terus melutut di hadapan Hakimi. Pada masa itu dia terlalu bimbang reaksi Hakimi kerana sifat Hakimi yang amat tegas bila melibatkan soal agama. Sangkaannya meleset bila Hakimi tidak memarahinya. Sebaliknya Hakimi hanya menasihati dengan lemah lembut. Semenjak hari itu dia tidak pernah menyentuh air syaitan itu hingga sekarang.
"Jauh Ain termenung?" Petikan jari Hakimi mengejutkan khayalan Nurain. Sejak bila Hakimi terpacak di depannya Nurain tidak sedar.
"Maafkan Ain, bang!" getus Nurain kesal sambil merangkul Hakimi dari belakang bimbang kata-katanya melukakan perasaan Hakimi. Dari kitab-kitab agama yang dibacanya, seorang isteri harus pandai menjaga hati suami. Syurga wanita terletak di telapak kaki suaminya, Nurain masih ingat ungkapan itu walaupun dia masih lagi belum jelas maksudnya. Beberapa kali Nurain meminta Hakimi menerangkan maksudnya, tetapi Hakimi menggesa Nurain sendiri mencari maksud ungkapan tersebut.
"Untuk apa?"
"Kerana kata-kata Ain tadi." Nurain merangkul tubuh Hakimi semakin erat. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya begitu sensitif sejak akhir-akhir ini. Nurain bimbang dia tidak akan dapat menjadi wanita solehah seperti wanita-wanita yang dikisahkan dalam kita-kitab yang dibaca. Nurain bimbang dia tidak setabah Saidatina Aisyah sewaktu berada di samping Rasulullah ataupun sesetia Siti Fatimah al Zahra kepada Saidina Ali.
"Ain tak salah dan abang tak pernah anggap Ain bersalah. Segala kesalahan Ain terhadap abang dari dulu dan pada masa akan datang telah abang maafkan." Hakimi membelai rambut Nurain perlahan. Dia mengucup dahi putih isterinya penuh makna.
Nurain semakin terharu bila mendengar pujukan Hakimi tadi. Benarkah lelaki itu adalah anugerah Tuhan untuknya? Benarkah lelaki itu diciptakan untuknya? Betulkah jodoh itu sudah ditentukan sejak azali? Sehari demi sehari pegangan Nurain terhadap Islam semakin kukuh. Hakimi umpama sinar cahaya hidupnya. Tanpa Hakimi dan kemahuan Ilahi dia tidak mungkin akan berada di dalam dakapan Hakimi sekarang. Tidak semena-mena air mata jernih Nurain mengalir. Nurain berharap seluruh sisa hidupnya akan terus kekal bersama lelaki itu.
"Eh! Kenapa Ain menangis?" Dalam keadaan separuh kaget dan terkejut Hakimi meleraikan rangkulan isterinya bila melihat kolam mata Nurain bergenang. Hakimi bimbang ada sesuatu yang tidak kena, apatah lagi isterinya sedang mengandungkan benih cinta mereka berdua. Orang mengandung pantang dilintang anginnya.
Nurain menggeleng, biar rahsia itu tersimpan di hatinya.
"Kan abang dah cakap, abang tak ambil hati dengan usikan Ain tadi, bahkan abang bahagia bila Ain usik abang begitu." Hakimi kematian akal, sensitif benar Nurain sejak kebelakangan ini. "Nanti bila pulang dari kerja abang belikan Ain hadiah," sambung Hakimi sambil memujuk.
Sekali lagi Nurain menggeleng. Denyut nafasnya terasa tersekat di dada Hakimi.
Hakimi menongkah wajah isterinya perlahan-lahan. Wajah itu diamati penuh kasih. Benih-benih air mata mutiara Nurain diusap cermat.
Secara tiba-tiba Nurain menjadi resah. Pandangan luar biasa Hakimi menyebabkan hatinya berdebar. Seingatnya pandangan seperti itu kali pertama berlaku sewaktu malam pertama perkahwinan mereka berdua. Betapa tenangnya sari mata tersebut.
"Abang cintakan Ain!" desis Hakimi sambil mengucup Nurain.
Kata-kata azimat itu benar-benar melegakan hati Nurain yang sayu tadi. "Ain pun cintakan abang. Biar apa pun yang berlaku, Ain akan tetap cintakan abang hingga nafas terakhir Ain."
Hakimi senyum. Luahan ikhlas Nurain bagai penawar. Tidak sia-sia dia memilih Nurain sebagai teman hidupnya walaupun terpaksa mengorbankan tunangan pilihan Tengku Murni.
"Okeylah Ain, abang pergi dulu. Nanti kena marah dengan bos. Apa kata dia nanti bila hari pertama dah lewat." Hakimi tergopoh-gopoh melangkah keluar. "Ops! Abang terlupa sesuatulah, Ain." Dia tiba-tiba kembali mendapatkan Nurai.
"Apa dia lagi?" Kening Nurain sedikit berkerut.
Hakimi membongkok lalu mendekatkan telinga ke perut Nurain. "Selamat tinggal, anak papa. Papa kena pergi kerja. Tolong jaga mama. Jangan nakal-nakal tau!"
"Abang, masih awal lagilah." Nurain sudah tidak betah melayan sikap manja Hakimi. Biarpun sebenarnya dia cukup bahagia bila diperlakukan sedemikian. Dalam masa beberapa bulan lagi mereka akan menerima kehadiran orang baru. Anak yang lahir dari hasil cantuman kasih sayang antara mereka berdua.
"ENCIK HAKIMI, Puan Engku nak jumpa."
Gema suara di interkom mematikan lamunan jauh Hakimi.
"Suruh dia masuk!"
Lantaran dua sosok tubuh sudah berada di hadapan pintu.
"Mak... sayang." Terkejut Hakimi dengan kehadiran Kasih.
"Papa!" Kasih terus melonjak ke dalam pelukan papanya. Perlakuan dua beranak itu mula mendapat perhatian sebahagian besar staf yang masih lagi berada di dalam pejabat walaupun setengahnya sudah turun untuk makan tengah hari.
"Ada apa mak datang ke sini bersama sayang ni?"
"Saja mak datang, nak lawat Kimi. Kasih ini dari pagi tadi merungut nak jumpa Kimi."
Hakimi tergelak. Kasih memang tidak pernah berenggang lama darinya selama ini. Mungkin betul juga kata Tengku Murni. Perangai Kasih tak ubah seperti arwah mamanya.
"Dan satu lagi, sebenarnya mak ada bawakan sarapan tengah hari untuk Kimi. Alang-alang nak datang jadi mak buatkan sup ini. Boleh juga kita bertiga makan dekat sini." Hakimi menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Mak, susah-susah aje. Lain kali tak payahlah mak susahkan diri. Kimi boleh makan tengah hari dekat luar," pintas Hakimi serba salah. Dia sebenarnya risau reaksi staf yang lain. Tengku Murni seolah-olah sedang melayannya seperti dia memanjakan Kasih. Kalau di rumah lain cerita tetapi ini di depan semua staf.
"Hah, apa lagi Kimi fikir tu? Cepatlah kita ke pantry. Perut mak pun dah lapar ni."
"Kak Engku... bila sampai?" Teguran Tuan Hasan mengejutkan mereka bertiga.
"Baru aje, San. Bawa makanan untuk Kimi."
Tuan Hasan senyum. Dari dulu lagi dia tahu yang Tengku Murni amat menyayangi Hakimi dan mengambil berat tentang anak angkatnya itu. Sejak mendapat berita kepulangan Hakimi, jelas wajah usang itu sentiasa ceria tidak seperti biasa. Tentu arwah Syed Omar, sahabatnya pun akan sebahagia Tengku Murni jika masih hidup.
"Jadi inilah Kasih, anak kamu?" Tangan Tuan Hasan mengusapi pipi gebu Kasih.
"Iya, bos!" balas Kasih bersahaja penuh wajah nakal.
Mereka semua tergelak spontan mengenangkan telatah Kasih. Tanpa mengira tempat, anak kecil itu sempat berseloroh.
"Maafkan saya, uncle. Kasih ni nakal sikit."
"Takpe, Kimi. Budak-budak. Kasih tak perlu panggil atuk bos. Kasih boleh panggil atuk aje," ujar Tuan Hasan kemudian. Entah mengapa sari mata anak kecil itu semakin menarik hatinya. Bagai tidak puas ditenung. Betapa bertuah dirinya jika mempunyai cucu sepintar dan senakal Kasih. "Maafkan saya Kak Engku, Hakimi, saya keluar dulu." Dia meninggalkan mereka bertiga dengan senyuman kerana masih lagi terhibur dengan anak kecil Hakimi itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro