Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

HAKIMI menuntun anaknya di celah-celah kesesakan orang ramai. Ternyata, suasana Kuala Lumpur sudah jauh berubah dan hampir setanding dengan kota London. Pembangunannya memang pesat membangun. Dia sedikit terkilan kerana tidak sempat merasai kepesatan kemajuan di bumi kelahirannya sendiri.

Sembilan tahun merantau ke negara asing menyebabkan dia hampir lupa dengan negara sendiri. Jika dulu Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, dan KLCC masih lagi belum wujud sewaktu dia berangkat ke kota London. Kini bangunan tersebut sedang terpacak indah di depan mata. Dan selama itulah juga dia terpaksa menatapi bangunan kemegahan negara itu melalui majalah dan artikel.

Hakimi pernah terasa iri hati dengan rakannya dari England yang telah mendahuluinya menaiki bangunan itu sewaktu melancong ke Malaysia. Jika arwah Nurain masih hidup pasti Nurain tidak akan percaya dengan suasana Kuala Lumpur sekarang.

Pernah juga Nurain bertanyakannya tentang keindahan Kuala Lumpur. Menurut Nurain, dia sudah tidak sabar-sabar untuk menjejaki ke Malaysia. Mengenali Malaysia melalui artikel dan buku tidak cukup baginya. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Hakimi.

"Abang... bila kita boleh pulang ke Malaysia?" Hakimi memandang wajah isterinya yang sedang menghidangkan makan malam.

"Abang belum fikirkan lagi, sayang. Kenapa?"

"Tak ada apa-apa. Saja bertanya." Nurain cuba berselindung sambil menggumam bibir.

"Sayang jangan tipu abang." Hakimi yakin Nurain sedang memendam sesuatu di dalam hatinya. Jari-jemari Nurain dicapai perlahan. Nurain berdiri menghadapnya. Anak mata mereka sedang merenung di antara satu sama lain. Renungan itu jauh berbeza sewaktu pertama kali mereka bertemu. Anak mata isterinya kini lebih jernih dan bercahaya. Mungkin kerana telah mendapat nur Ilahi hampir setahun yang lalu.

Nurain mendongak perlahan. Nurain tahu dia tidak dapat berbohong dengan suami kesayangannya. Itulah kelemahannya setiap kali bersama Hakimi dari dulu hingga sekarang. Dia akan tertunduk jika berlawanan pandang.

"Abang, kalau boleh Ain nak lahirkan anak kita di tanah tumpah darah abang."

"Itu sahaja?"

Wajah Nurain kelihatan kelat sedikit. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini hatinya cepat mudah terasa dengan gurauan Hakimi walaupun bukan dia tidak pernah dilayan seperti ini. Ini mungkin kerana sifat pembawakan budak di dalam kandungannya, agaknya.

"Dan lagi semasa kelahiran anak kita nanti Ain nak mesti ada adat orang-orang Melayu. Adat bangsa abang. Ain tidak mahu anak kita dibesarkan mengikut acuan tempat ni. Kita orang timur jauh berbeza dengan budaya mereka."

Kata-kata Nurain lantas membuatkan Hakimi tersengih. "Kenapa kita tidak pulang ke tempat asal Ain, bukan ke Ain pun berasal dari timur juga?"

Memang susah untuk berdebat dengan suaminya. Walaupun degree Hakimi bukan dalam bidang undang-undang tapi lidah Hakimi jika berdebat pasti mengalahkan hujah peguam di mahkamah. Sebab itu Nurain sudah menyediakan jawapannya sedalam-dalamnya sebelum mengutarakan sesuatu.

"Jepun hari ini bukan seperti Jepun dulu, bang. Bezanya bagai langit dengan bumi, nama sahaja timur tapi budayanya mengalahkan orang barat. Mereka terlalu materialistik hingga tidak ada masa untuk mengingati kepercayaan, lebih tepat Ain katakan hidup mereka seolah sudah tidak ada pegangan yang tetap. Manusia sudah bertuhankan wang ringgit dari segala-galanya," luah Nurain penuh terkilan.

Hakimi tahu mengapa Nurain begitu jengkel bila berbicara tentang tanah asalnya walaupun negara matahari terbit itu tempat kelahiran Nurain. Sejak kali pertama mereka bertemu lagi dia sudah mengerti mengapa Nurain membenci negaranya sendiri. Kadang-kadang dia sendiri bimbang perkara ini akan menimpa Malaysia. Apalah erti pembangunan yang pesat, bangunan tinggi melangit tetapi terpaksa menggadaikan maruah dan nilai-nilai bangsa, sehingga hilang identiti bangsa.

Hakimi menyoroti wajah isterinya semula, ada kesungguhan di wajah Nurain. Begitu cepat Nurain terpikat dengan Malaysia. Patutlah dalam tempoh beberapa bulan sahaja isterinya itu sudah menguasai bahasa Melayu dengan fasih. Tidak sepertinya yang agak malas belajar bahasa Jepun.

"Dan satu lagi, Ain dah tak sabar-sabar nak jumpa dengan mak abang. Sejak mama Ain meninggal Ain tak pernah merasai kasih sayang dari seorang ibu. Sebab tu, kalau boleh Ain nak tebusnya melalui kasih sayang yang terbina antara Ain dan mak abang nanti."

Suara Nurain sayup-sayup kedengaran lagi di celah-celah khayalan Hakimi. Begitu sucinya hati Nurain. Terasa pengorbanannya selama ini berbaloi. Hakimi menarik nafas seketika. Dia mengamati wajah isterinya agak lama. Terlukis sebuah kesungguhan di situ.

"Baiklah jika itu yang sayang inginkan. Apa kata dua minggu lagi kita pulang? Sebab abang kena uruskan dokumen dan segala urusan dekat sini." Akhirnya Hakimi terpaksa mengalah. Dia tidak sampai hati lagi untuk membuatkan isterinya yang sedang berbadan dua itu berteka-teki.

Sebenarnya Hakimi sendiri sudah rindukan Malaysia dan ibu angkatnya. Lagipun pengajian mereka berdua sudah pun tamat beberapa bulan yang lalu. Cuma dia yang malas untuk pulang awal ke Malaysia kerana ingin mengecapi keindahan kota London sepuas-puasnya. Hakimi berharap kesempatan itu dapat digunakan untuk melawat saki-baki tempat yang menarik yang tidak pernah dilawati sebelum ini. Dia juga khuatir Nurain tidak akan betah menyesuaikan diri bila tiba di Malaysia kerana dia sedar situasi masih lagi 'panas' kerana tindakannya. Dia bimbang Nurain akan menjadi mangsa keadaan.

Nurain mengangguk bahagia sambil mengusap perutnya yang sedang memboyot. Bibirnya perlahan hinggap di bibir Hakimi tanda kegembiraan.

"Papa, Kasih nak anak patung beruang tu!"

Khayalan Hakimi mati serta-merta. Amat jauh fikirannya melayang.

"Yang mana?" soal Hakimi acuh tak acuh seperti orang yang baru sedar dari terjaga.

"Yang warna kuning itu!" tunjuk Kasih.

Wajah girang Kasih begitu jelas kelihatan bila mendapat anak patung kegemarannya. Hakimi membelai hujung rambut anak kesayangannya. Amanat Nurain tidak sanggup dimungkirinya. Kasih adalah matlamat hidupnya yang paling utama setelah pemergian Nurain. Demi Kasih dia sanggup melakukan apa saja.

DI MEJA makan, Hakimi senyum melihat gelagat Kasih yang berselera menjamah nasi bersama kari ayam. Di London, untuk merasa masakan sebegitu pasti dikira bertuah sekali. Sukar untuk bertemu dengan sebiji nasi walaupun untuk sekali seminggu. Hanya roti dan bijirin menjadi menu utama mereka setiap hari. Tengku Murni sibuk melayan Kasih untuk mendapatkan lauk-pauk lain yang terhidang di atas meja.

"Hah, Kimi... kenapa tak makan lagi?" tegur Tengku Murni bila melihat Hakimi seperti termenung. Tidak ada riak untuk menjamah masakannya.

"Papa, kari ayam ni sedap. Papa nak cuba?" Kasih turut menyertai neneknya. Bibirnya yang comot menarik perhatian Hakimi.

"Sayang makanlah dulu!" Hakimi bangkit sambil mengusap kepala Kasih.

Tengku Murni memandang kehairanan melihat wajah Hakimi.

"Kenapa mak tengok Kimi lain macam aje atau lauk yang mak masak tak sedap ke?" soal Tengku Murni. Bimbang masakannya menjadi penyebab Hakimi tidak berselera.

"Taklah, mak... masakan ni memang sedap, cuma selera Kimi aje yang kurang. Takpelah, mak... Kimi nak baca surat khabar kejap. Mak dan Kasih makanlah dulu." Hakimi berlalu keluar menuju ke ruang tamu.

Hakimi mencapai surat khabar di atas meja. Dia menyelak helaian demi helaian. Kakinya juga masih lagi terasa kepenatan setelah bersiar-siar di seluruh KLCC siang tadi. Siaran TV di depannya ditukar beberapa kali namun tiada satu program pun yang dapat menarik minatnya.

"Papa!"

Belum sempat dia menyambut, Kasih kini sudah berada di pangkuannya. Hakimi terpaksa membatalkan niatnya untuk menghabiskan bacaan.

Kelihatan Tengku Murni turut berjalan menuju ke arah mereka berdua. Hakimi tahu persoalan di meja makan tadi pasti menjadi topik kembali. Sebenarnya dia tidak mahu Tengku Murni risau dengan keadaannya. Biarlah dia sendiri menyimpan perasaan tersebut seorang diri.

"Boleh mak tanya Kimi sikit?"

Hakimi serba salah bila anak mata Tengku Murni menujah tepat ke arahnya. "Ada apa, mak?"

"Kenapa sejak Kimi balik mak tengok Kimi suka menyendiri?"

"Tak ada apa-apa, mak. Sebenarnya Kimi sedang menyesuaikan diri dengan suasana di sini."

Tengku Murni tahu Hakimi cuba berdalih. Dia sudah masak dengan sikap Hakimi itu. Mesti ada sesuatu yang sedang membelenggu Hakimi.

"Kimi jangan bohong dengan mak. Mak tahu Kimi sedang sembunyikan sesuatu dari mak."

Hakimi masih termangu. Dari kecil hingga dewasa Tengku Murni memang masak dengan perangainya. Memang dia tidak pandai menyimpan rahsia. Lambat-laun pasti Tengku Murni dapat mencungkil rahsia hatinya setiap kali Hakimi berbuat demikian.

"Sebenarnya, mak... Kimi teringatkan arwah bila mak berikan layanan sebegitu di meja makan tadi. Sebab itu selera Kimi hilang. Sejak pulang ke sini kenangan terhadap arwah semakin mengganggu Kimi, mak." Hakimi terpaksa membuka rahsia di hatinya.

Tengku Murni memandang Hakimi dengan wajah terharu. Begitu mendalamnya kenangan Nurain tersemat di dalam memori Hakimi. Sama seperti memori Tengku Murni terhadap suaminya. Dia tidak menyalahkan Hakimi. Tengku Murni turut merasai perasaan itu hingga sekarang. Mereka kini senasib. Namun yang pergi tak akan kembali.

"Kimi, Nurain dah tak ada. Tak guna Kimi membiarkan kenangan itu mengganggu hidup Kimi."

"Tidak, mak. Kimi tidak akan dapat melupakan arwah untuk seumur hidup Kimi. Kenangan dan rasa cinta terhadap arwah sudah bersemadi di seluruh tubuh Kimi. Setiap kali nafas Kimi berdenyut setiap kali itu juga Kimi terbayang wajahnya."

"Kimi jangan salah faham, mak bukan suruh Kimi lupakan arwah tapi mak tak mahu kenangan itu mengganggu hidup Kimi." Tengku Murni menghelakan nafasnya perlahan. Bagaimanakah caranya untuk menyedarkan Hakimi di depannya?

"Mak faham. Susah kita nak lupakan orang yang paling kita sayang, apatah lagi bila banyak memori indah kita kongsi bersama dia. Tapi Kimi juga kena faham yang pergi tu takkan hidup kembali. Sepatutnya dengan kenangan itu Kimi jadikan semangat untuk hidup."

"Kenangan Kimi terhadap Nurain sebaiknya Kimi ibaratkan seperti sebuah landasan kereta api, walaupun bergerak seiring tetapi tak akan bersatu sampai bila-bila. Ini tidak bermakna Kimi lupakan arwah kerana arwah sentiasa ada di hati Kimi. Lagipun Kimi juga pernah kata yang arwah mahu Kimi menjaga Kasih dengan sempurna walaupun tanpa dia, tidak akan membiarkan kasih sayang terhadap Kasih akan terabai."

"Kimi bertuah kerana masih lagi mempunyai tanda cinta Kimi dan Nurain di dunia ini. Tidak seperti mak, tiada kenangan yang arwah ayah Kimi tinggalkan untuk mak di dunia ini kecuali harta dan rumah ini." Tiba-tiba dada Tengku Murni menjadi sebak bila mengenang nasibnya.

Hakimi merenung Kasih perlahan. Benar kata Tengku Murni, dari wajah Kasih dia dapat melihat wajah Nurain. Tanda itu akan kekal di dalam diri Kasih. Mengapa dia tidak setabah Tengku Murni. Seperti kata Tengku Murni tadi, memang dia lebih bertuah dari Tengku Murni.

"Maafkan Kimi, mak." Hakimi melahirkan rasa kesal kerana kata-katanya tadi mungkin mengungkit kembali kenangan lama Tengku Murni walaupun jauh sekali hatinya tidak berniat untuk berbuat demikian. Hakimi mengusap benih-benih air mata Tengku Murni perlahan-lahan. Kasih memerhati dengan penuh kehairanan.

"Dahlah, lupakan perkara tu. Hah, macam mana persiapan Kimi esok? Dah siap sedia nak ke syarikat?" Tengku Murni bepura-pura ceria kembali.

Hakimi menggaru kepala. Dia hampir terlupa, esok dia akan memulakan tugas di syarikat arwah Syed Omar dan rakan kongsinya. Setelah kematian Syed Omar, kini Tengku Murni menjadi salah seorang pemegang saham terbesar syarikat tersebut. Dan sebagai anak angkat, Hakimi terpaksa menguruskan syarikat itu bagi pihak Tengku Murni.

"Entahlah, mak. Kimi tak yakin dengan diri Kimi lagi. Lagipun Kimi tak biasa dengan budaya kerja kat sini. Kimi dah lama tinggalkan Malaysia, Kimi bimbang suasananya akan berbeza dengan London."

Tengku Murni tersenyum kecil. Hakimi memang suka merendah diri. Tengku Murni yakin Hakimi mempunyai keupayaan membangunkan warisan peninggalan suaminya. Tidak seperti dirinya. Setiap kali mesyuarat lembaga pengarah, dia terpaksa menghantar wakil. Selepas kepulangan Hakimi, dia sudah nekad untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada Hakimi sepenuhnya.

"Mak tahu Kimi boleh buat. Lagipun, itu kan bidang Kimi? Kimi mesti ingat Kimilah tempat mak bergantung sekarang ni. Mak dah tak larat nak uruskan benda yang tak pernah mak buat. Bidang hartanah dan pembinaan bukan bidang mak. Mak hanya tahu urus dapur." Tengku Murni terpaksa mengaku kelemahannya selama ini. Dia kesal kerana tidak pernah mengambil tahu tentang selok-belok perniagaan ketika arwah suaminya masih hidup.

"Lagipun Kimi boleh belajar dari Uncle Hasan, kawan baik arwah ayah. Mak dah cakap yang Kimi akan ganti tempat mak," sambung Tengku Murni lagi.

Hakimi merenung Tengku Murni berbaur serba salah. Bila lagi dia akan dapat membalas jasa Tengku Murni? Kerana wanita itulah dia kenal erti kasih seorang ibu. Tengku Murni sudah dia anggap sebagai ibunya dunia akhirat.

"Baiklah, mak. Kimi janji Kimi akan cuba."

Tengku Murni senyum lega. Matanya beralih ke arah Kasih di pangkuan Kimi. "Tu Kasih dah mengantuk. Kamu berdua masuk tidur," ujarnya sambil mengusap kepala Kasih yang hampir terlena.

Ahli keluarganya kini bertambah. Dia tidak akan kesunyian lagi. Kehadiran Hakimi dan Kasih akan menambahkan lagi keceriaan rumah besar tersebut. Perlahan Tengku Murni mengucup dahi Kasih. Memang benar kata Hakimi, wajah Kasih lebih mirip kepada wajah Nurain. Dari mata dan bibir Kasih jelas adalah dari warisan menantu yang tidak pernah ditemuinya. Hanya hidung mancung Kasih milik Hakimi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro