Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

SEPASANG kaki kecil melangkah ke dalam sebuah kamar. Terjengket-jengket dia agar tidak mengejutkan tubuh dewasa yang sedang lena di atas tilam empuk. Dia mencapai birai katil perlahan-lahan. Anak kecil itu tergeleng spontan bila mendengar dengkuran lelaki dewasa itu.

"Selamat pagi, papa... mama!" Sepasang tangan kecil Kasih menyentap selimut yang menyeliputi Hakimi. Tapi malangnya usahanya sia-sia. Papanya yang terbaring di atas katil masih lagi tidak bergerak. Tiada reaksi. Kasih mencengkak pinggang. Bibirnya terkumat-kumit sedang membebel sesuatu. Bebola mata geram Kasih makin tajam bila melihat Hakimi yang sedang terlena.

Hakimi yang berpura-pura memejamkan mata, mencuri pandang. Dia hampir tergelak bila melihat telatah anak perempuan kesayangannya yang sudah pandai membebel walaupun baru menjangkau usia lima tahun. Terasa sedikit kelucuan bila melihat wajah Kasih berkeadaan sedemikian. Mengalahkan lagak mamanya suatu masa dahulu.

"Papa! Bangun!" Dengan pantas Kasih melompat ke atas katil. Dia menggoyangkan bahu Hakimi.

Sekali lagi Hakimi memejamkan mata. Dia mahu menguji sejauh mana kesabaran Kasih. Dia berharap Kasih terus memujuk. Hanya Kasih kini tempat dia bergurau dan mencurah perasaan.

"Mama tengok papa ni!" Suara Kasih mula merintih seolah-olah mamanya sedang berada di sisi mereka berdua.

Serta-merta perasaan Hakimi terasa tersentuh. Jauh di sudut hati kecilnya, dia sedikit kesal dengan gurauannya tadi. Hakimi membuka kelopak mata perlahan-lahan. Nasib baik wajah Kasih masih jernih seperti biasa. Dia bersyukur Kasih kini dapat menerima kenyataan. Kenyataan yang hampir meragut semangatnya untuk hidup. Ternyata Kasih lebih tabah daripadanya dalam soal itu. Kasih yang masih lagi lembut ubun-ubunnya sudah dapat menerima hakikat yang mamanya tidak ada di sisi mereka berdua. Sejak Kasih kecil lagi Hakimi sudah berterus-terang dan tidak berselindung ke mana mamanya pergi.

"Anak papa ni... kenapa pagi-pagi dah kacau papa?"

"Papa lupa ke? Kan papa dah janji dengan Kasih?"

Hakimi senyum. Alis mata Kasih diamati dengan penuh kasih sayang. Soalan tadi sekadar untuk menduga Kasih. Memang semalam Hakimi telah berjanji dengan anak kesayangannya untuk keluar membeli-belah, mencari keperluan harian dan sedikit pakaian baru untuk mereka berdua. Baru semalam mereka berdua kembali ke tanah air, meninggalkan bumi UK dengan penuh kenangan. Bumi yang pernah menjadi tempat persinggahan hidupnya selama sembilan tahun. Bumi yang penuh memori suka duka. Bumi di mana hatinya dicuri untuk pertama kali.

"Kan papa janji nak bawa Kasih pergi shopping?" Kasih memuncungkan bibirnya tanda merajuk.

"Okeylah... papa ngaku kalah, tapi sebelum kita pergi... sayang kena buat sesuatu untuk papa."

"Apa dia?" Kening Kasih terangkat.

"Cium papa!" Dengan pantas Hakimi merangkul tubuh kecil Kasih.

"Mama, tengok papa ni!" Kasih mengadu lagi, seolah-olah melihat susuk tubuh mamanya sedang berada di depan mata mereka apabila tidak berjaya melepaskan diri daripada rangkulan papanya.

"Kat sini kamu berdua ya!" Suara wanita separuh abad mengejutkan mereka. Wanita itu menghampiri katil milik Hakimi sambil menggeleng-geleng kebahagiaan. Kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan di hati seorang ibu bila anak yang dikasihi telah kembali ke pangkuan setelah sembilan tahun berpisah.

"Selamat pagi, mak!"

Tiada reaksi daripada Tengku Murni, sebaliknya dia terus mendengus kecil bila melihat telatah seorang ayah sudah mengalahkan telatah anak kecil. Namun Tengku Murni sedar sikap Hakimi hanya begitu semasa bermesra dengan Kasih.

"Kimi, kalau nak bergurau dengan anak pun, pergilah mandi dulu. Seganlah sikit kat Kasih tu," gerutu Tengku Murni.

"Sekejap lagilah, mak. Sebenarnya, Kimi dah janji nak bawa Kasih pergi beli barang sikit, nak cari barang-barang keperluan kami sebentar lagi," terang Hakimi sambil melepaskan tubuh Kasih daripada pelukan.

"Betul GM. Kalau GM nak pergi sekali lagi seronok," celah Kasih yang masih lagi tak henti-henti ketawa bila digeletek Hakimi.

Sekali lagi Tengku Murni tergeleng apabila dia menerima sapaan dari Kasih. Semasa kali pertama dia mendengar Kasih memangilnya GM dia sendiri berasa canggung. Mujur Hakimi cepat-cepat menerangkan bahawa panggilan tersebut adalah ringkasan perkataan grandmother. Namun setelah beberapa kali Kasih menggunakan gelaran itu terhadapnya semakin bahagia pula rasanya.

"Tak payahlah, Kasih. GM nak pergi rumah kawan, Kasih pergi dengan papa aje ya?" Tengku Murni menjeling ke arah Hakimi.

Hakimi menjongket bahu. Dia bersyukur Tengku Murni begitu cepat menerima kehadiran anaknya. Biarpun baru sehari Kasih pulang bersamanya.

"Okey, kalau macam tu sayang pergi mandi dulu. Sekejap lagi sayang tunggu papa kat bawah," gesa Hakimi sambil mengusap hujung rambut Kasih.

"Iyalah... tapi jangan lambat. Kalau tak Kasih ngadu kat mama!" ugut Kasih lalu menuruni birai katil.

Tidak semena-mena wajah Tengku Murni dan Hakimi beralih suram. Walaupun ucapan anak kecil itu hanya sebagai gurauan, namun jauh di sudut hati Kasih sedang merindui belaian kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah dilihat sejak dari kecil. Cuma pada pengamatan mereka Kasih sudah dapat menerima hakikat yang mamanya telah lama tiada.

"Bila mak lihat anak Kimi itu, mak seperti melihat arwah Ain dalam gambar, dari sehari ke sehari wajah dan irasnya semakin menyerupai Ain."

Kata-kata Tengku Murni ada benarnya. Hakimi sendiri tidak dapat menyangkal dakwaan itu. Malah dia cukup bahagia jika wajah dan sifat Kasih diwarisi dari arwah ibunya. Sekurang-kurangnya kenangan arwah Nurain bersemadi di dalam tubuh Kasih.

Hakimi merenung wajah ibu angkatnya yang nampak suram. Wajah itu memang penuh tanda tanya. Sari mata Hakimi cuba menghalusi setiap ekspresi wajah usang di depannya. Bukan setahun dua dia kenal wanita itu. Dia sendiri sudah masak dengan hati budi Tengku Murni sebagaimana Tengku Murni mengenali hati budinya.

"Maafkan Kimi, mak." Suara Hakimi tergetus dengan nada bersalah. Kesalahan yang dilakukan enam tahun dulu terasa masih lagi menghantui.

"Apa maksud Kimi cakap begitu dengan mak?"

"Kimi sebenarnya dah kecewakan mak."

"Tentang apa?"

"Pasal Kimi, Ain, Kasih dan gadis itu."

Tengku Murni tidak menduga Hakimi masih lagi menyimpan kenangan duka yang menghantui hidupnya walaupun hampir enam tahun peristiwa itu telah berlalu. Secara jujur dia tidak pernah menyalahkan Hakimi kerana peristiwa enam tahun lalu itu. Semuanya terjadi kerana ketentuan Tuhan.

"Sudahlah, Kimi!"

Hakimi mengelus jejari Tengku Murni. Jika tidak kerana wanita itu, dia tidak akan mencapai kedudukan seperti ini. Dari rumah anak yatim, dia dipungut oleh Tengku Murni dan suaminya arwah Syed Omar. Di rumah inilah dia mengenal erti sebuah keluarga. Di sinilah dia mengenal erti kasih sayang insan yang bergelar ibu bapa yang sebelum ini begitu jauh untuk dicapainya, kerana dia hanya anak pungut, anak terbiar. Tidak pernah tahu asal usulnya hingga sekarang.

"Kimi, mak tak salahkan Kimi. Kimi dah tak ada jodoh dengan dia, nak buat macam mana? Bohong jika mak kata mak tak kecewa dengan keputusan Kimi untuk memilih Nurain, menantu yang mak tak pernah temui, cuma dapat melihatnya melalui gambar. Tapi, bila mendengar penjelasan Kimi, baru mak tahu betapa tingginya nilai pengorbanan Kimi lakukan. Mak akur, Nurain adalah jodoh Kimi hinggalah dia.." Tengku Murni kelu, air matanya sudah mula menitis bila mengenangkan nasib Hakimi.

"Maafkan mak, Kimi!" Potret kaku yang terletak di kepala katil tempat Hakimi berbaring diusapi dengan penuh sebak. Betapa berseri wajah gadis Jepun yang sedang lengkap bertudung mendiami gambar tersebut.

"Sudahlah, mak. Allah lebih sayangkan dia dari kita, Kimi reda dengan qadak dan qadarnya mak, yang penting Kimi masih ada mak, Kasih dan kenangan Ain. Hanya dengan kenangan itu Kimi mampu harungi hidup ini. Kasih dan mak kini adalah tempat Kimi menumpang kasih di dunia ini."

Tengku Murni mengangguk terharu. Air matanya semakin menitis di pipi kedutnya. Penderitaan Hakimi jelas terbayang di wajahnya. Tengku Murni juga pernah merasai pengalaman tersebut.

"Sebenarnya mak dah terima Nurain sejak dia sah menjadi isteri Kimi lagi. Melalui surat-surat dan perbualan mak dengan arwah, mak sedar Nurain adalah wanita yang baik. Terus terang mak katakan mak memang tak sabar-sabar untuk menyambut kedatangannya ke sini. Tapi apakan daya hasrat mak tidak tercapai."

Hakimi terpaksa merangkul tubuh Tengku Murni untuk memujuk walaupun hatinya turut sebak. Dia sendiri hampir tidak dapat menerima kenyataan yang Nurain meninggalkannya dan Kasih terlalu awal. Nasib baik tangisan Kasih di dukungannya menguatkan semangat Hakimi untuk meneruskan hidup.

Kasih menjadi lambang cinta dan pengubat kerinduan Hakimi setiap kali dia hampir tewas dengan pemergian arwah isterinya. Setiap kali Hakimi memandang wajah Kasih terasa segala memori bersama Nurain masih lagi mekar di ingatannya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro