Bab 2 ✈️
Pesawat mendarat dengan hentakan kuat di landasan kecemasan. Tayar berdecit, dan seluruh badan kapal bergegar sebelum akhirnya berhenti sepenuhnya. Jika tadi semua orang berada di ambang maut, kini keheningan yang ganjil melanda mereka. Setelah beberapa detik, jeritan kegembiraan dan tangisan lega memenuhi kabin. Beberapa penumpang berpelukan, ada yang menadah tangan bersyukur, dan ada yang masih menggigil dalam tempat duduk masing-masing.
Anatasia membuka tali pinggang keselamatannya, tubuhnya masih tegang akibat adrenalinnya yang masih lagi tinggi. Dia menghela nafas panjang, cuba meredakan debaran jantungnya. Dia dan Xavier, mereka baru sahaja menyelamatkan sebuah pesawat. Anatasia berpaling ke arah lelaki itu.
"Kita... kita berjaya." Xavier bersandar pada tempat duduk, menarik nafas dalam.
"Ya, terima kasih sebab bantu aku." Nada suaranya tetap tenang. Mata mereka bertaut untuk beberapa saat dan masa seakan terhenti. Anatasia merenung ke dalam iris mata yang berwarna hazel itu. Xavier masih sama, tidak berubah langsung. Pandangan tajam itu dan cara dia mengawal setiap situasi dengan begitu yakin. Namun, jejaka itu gagal untuk menjaga hubungan yang mereka bina suatu ketika dahulu.
Suara pramugari yang kedengaran dari sistem komunikasi dalaman bergema dalam kabin, sekali gus meleraikan tautan mata mereka.
"Para penumpang, kita telah selamat mendarat. Pihak keselamatan dan perubatan sedang menuju ke pesawat. Mohon semua untuk kekal bertenang." Anatasia mengeluh perlahan. Dia perlu keluar dari sini sebelum emosinya bercampur baur lebih teruk. Namun, sebelum dia dapat bangun dari tempat duduk, Xavier bersuara.
"Kenapa kau ada dalam pesawat ini?"
Nada suara Xavier bukan marah, tetapi penuh kehairanan. Mungkin juga sedikit terkejut dengan kehadirannya secara tiba-tiba. Anatasia berpaling, menatap wajah lelaki itu.
"Aku patut tanya soalan yang sama." Xavier mengangkat keningnya.
"Aku juruterbang. Aku patut ada di sini."
"Dan aku penumpang. Aku juga patut ada di sini." balas Anatasia dengan senyuman sinis. Apa? Ingat dia nak sangat ke ada dalam pesawat ni?
Mata mereka masih bertaut. Anatasia dapat merasakan degupan jantungnya makin kencang, bukan kerana panik, tetapi kerana lelaki di hadapannya.
Tidak. Dia tidak boleh terus begini.
"Aku nak keluar." Anatasia segera bangun. Dia tidak mahu ada di sini lebih lama daripada yang perlu. Tetapi sebelum dia sempat melangkah keluar dari kokpit, tangan Xavier memegang lengannya. Sentuhan itu ringan, tetapi cukup untuk membuatkan Anatasia membeku.
"Anatasia..." Anatasia memejam mata seketika sebelum merentap lengannya.
"Jangan sentuh aku. Kita bukan mahram." Dia melangkah keluar dari kokpit, meninggalkan Xavier sendirian.
***
Beberapa minit kemudian, semua penumpang diarahkan keluar dari pesawat dengan terkawal. Pasukan keselamatan lapangan terbang dan paramedik sudah bersedia di luar, membantu mereka yang trauma. Anatasia berdiri di tepi landasan, memeluk tubuhnya sendiri. Angin petang menerpa wajahnya, tetapi hatinya masih dipenuhi kekusutan. Tudung yang dipakainya dibetulkan sedikit.
Dia tidak boleh percaya ini berlaku.
Bertahun-tahun dia mengelak, cuba melupakan segalanya tentang Xavier dan hari ini, mereka bertemu semula dalam keadaan yang paling tidak masuk akal. Seperti takdir kembali ingin mengikat mereka.
Tiba-tiba, bunyi tapak kaki kedengaran menghampirinya.
"Anatasia."
Dia menghela nafas dalam sebelum berpaling. Xavier berdiri di belakangnya, masih memakai seragam juruterbang yang renyuk sedikit. Beberapa butang bajunya terbuka, menampakkan sebahagian dadanya yang berpeluh akibat tekanan sebentar tadi.
Anatasia segera mengalihkan pandangan. Dia tidak boleh terpengaruh dengan aura lelaki itu.
"Aku tak sangka kita akan bertemu macam ni," kata Xavier perlahan. Dia menatap wajah jelita Anatasia yang berada di hadapannya.
"Aku pun tak sangka."
Dia berpaling semula ke hadapan, menatap pesawat yang masih dikelilingi pasukan keselamatan. Banyak soalan bermain di mindanya. Apa yang sebenarnya berlaku dalam pesawat tadi? Kenapa co-pilot Xavier boleh panik sampai pengsan? Dan yang lebih penting... kenapa Xavier berada di sini setelah bertahun-tahun menghilang?
"Kau okay?" Xavier bertanya lagi, suaranya lebih lembut. Anatasia hanya mengangkat bahu.
"Aku pernah hadapi situasi lebih buruk."
"Masih berlagak kuat, ya?" Anatasia menjeling tajam.
"Aku tak berlagak. Aku memang kuat. Kalau tak, aku takkan mampu bertahan hidup tanpa kau." kata Anatasia dengan datar. Kata-katanya mempunyai makna tersendiri, hanya mereka sahaja yang tahu.
Xavier terdiam. Pandangannya melembut.
"Celestial..."
Anatasia tersentak mendengar nama panggilannya dahulu. Dia segera menegakkan tubuhnya dan berdehem.
"Lupakan. Aku cuma penumpang dalam pesawat kau. Tak ada sebab untuk kita berbual dengan lebih panjang."
Dia berpusing mahu pergi, tetapi suara Xavier menghentikan langkahnya.
"Kau masih marahkan aku?" Langkah Anatasia terhenti.
"Bukan marah," katanya akhirnya, tanpa berpaling.
"Aku cuma dah tak peduli lagi. Kisah kita dah lama berakhir, Xavier." Xavier hanya mendiamkan diri. Tanpa menunggu lebih lama, Anatasia terus melangkah menjauhinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro