Bab 1 ✈️
Bunyi amaran kecemasan berkali-berkali berbunyi dalam kabin pesawat. Lampu isyarat yang berkelip-kelip menyebabkan suasana menjadi semakin panik. Ada penumpang yang menjerit, ada yang telah mula berdoa dan ada yang menangis, sementara semua pramugari cuba untuk menenangkan keadaan walapun mereka turut berasa cemas.
Pesawat tiba-tiba menjunam beberapa kaki ke bawah.
Anatasia mencengkam tempat duduknya dengan erat. Degupan jantungnya meningkat secara mendadak selari dengan bunyi enjin pesawat yang bergelora. Nalurinya sebagai seorang juruterbang menjerit. Dia pasti ini bukan pergolakan angin yang biasa, ada sesuatu yang tidak kena. Seorang penumpang lelaki berpaling ke arah pramugari.
"Apa yang berlaku? Kenapa pesawat ni semakin menjunam ke bawah?" tanyanya dengan nada cemas.
"Kami...Kami akan pergi bertanya kepada juruterbang, Encik. Mohon bertenang." jawab pramugari itu dengan suara yang menggeletar.
Anatasia yang mendengar kata-kata pramugari tadi memejamkan mata. Bertenang? Di saat nyawa mereka kini dalam bahaya? Dia tidak boleh duduk dan menunggu lagi.
Lebih baik dia pergi ke kokpit untuk melihat apa yang berlaku. Tanpa berfikir panjang, dia membuka tali pinggang keselamatan dan bangkit walaupun badannya hampir terdorong ke sisi akibat pesawat yang bergoncang dengan kuat.
"Cik, sila duduk! Bahaya!" tegur salah seorang pramugari yang berada berhampiran dengannya.
"Aku nak periksa keadaan di bahagian kokpit sekarang," balas Anatasia dengan suara yang tegas dan penuh keyakinan.
"Jangan risau, aku seorang juruterbang," tambahnya lagi. Pramugari itu kelihatan ragu-ragu, tetapi sebelum sempat dia menghalang, pesawat bergoncang dengan lebih kuat dan menyebabkan beberapa penumpang hampir terjatuh dari tempat duduk mereka.
Anatasia segera bergegas ke pintu kokpit dan mengetuk kuat. Tiada jawapan. Hatinya semakin berdebar. Dia menolak pemegang pintu dan mendapati pintu tidak berkunci. Dengan nafas yang panjang, dia membuka pintu itu.
***
Pemandangan di hadapannya membuatkan darahnya berderau. Seorang juruterbang, Co Pilot, terkulai tidak sedarkan diri di tempat duduk kanan Mukanya pucat dan peluh membasahi dahinya. Kedua-dua tangan masih menggenggam alat kawalan tetapi tubuhnya langsung tidak bergerak.
Namun, apa yang lebih mengejutkan lagi adalah figura seorang juruterbang lelaki yang duduk di tempat kapten. Dari belakang tubuhnya sahaja, dia dapat mengecam lelaki itu. Anatasia tergamam.
Seorang lelaki yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya, yang pernah bertakhta di hati dan menjadi penawar dalam kehidupannya yang suram. Namun, penawar itu juga telah menjadi racun yang menyebabkan dia kesakitan beberapa tahun yang lepas. Bekas tunangnya, Xavier Danish.
Tangan Xavier yang cekap mengawal pesawat diperhatikan. Peluh yang membasahi dahinya namun wajah jejaka itu tetap kekal tenang, tidak seperti keadaan penumpang pesawat yang lain. Xavier yang menyedari kehadiran seseorang lantas menoleh ke belakang. Ekspresinya berubah saat bertentang mata dengan pemilik iris biru laut yang juga menatapnya.
"Anatasia... Apa yang kau..?" Anatasia tidak berkata apa-apa. Dia segera mengalihkan tubuh juruterbang yang telah pengsan tadi ke tepi dan mengambil tempat.
"Tak ada masa untuk soalan bodoh! Pandang hadapan dan pegang stereng tu." Dia tak ada masa untuk layan perasaan seperti drama pukul 7 sekarang! Nyawa semua orang dalam bahaya, termasuk dirinya. Dia segera meneliti panel kawalan yang bersinar dengan lampu merah.
"Apa yang berlaku?"
"Sistem kawalan utama rosak. Aku cuba untuk bawa pesawat secara manual tapi...."
"Sebab tu pesawat kehilangan ketinggian." Anatasia mencantas kata-kata Xavier. Dia segera menekan beberapa butang kawalan dan menarik throttle dengan berhati-hati, cuba menstabilkan kelajuan pesawat. Xavier memerhatikannya sejenak sebelum kembali fokus. Mereka bekerjasama, rasanya sama seperti dulu.
Tangan Anatasia bergerak di atas panel kawalan, cuba mengatasi masalah sistem, sementara Xavier mengawal pesawat dengan penuh cermat. Walaupun keadaan masih lagi tegang namun sedikit demi sedikit, pesawat mula stabil. Mereka berjaya menghentikan penurunan mendadak.
Nafas Anatasia masih sesak, tetapi dia tidak berhenti.
"Kita perlu cari landasan kecemasan. Hubungi menara kawalan sekarang."
Xavier mengangguk, tangannya pantas menekan komunikasi radio.
Tiba-tiba, satu letupan kecil kedengaran dari panel kawalan utama. Percikan api menyambar seketika sebelum skrin utama menjadi gelap. Anatasia dan Xavier saling berpandangan.
"Biar betul," gumam Xavier. Sangkanya, mereka sudah boleh bertenang namun tidak.
"Sistem elektronik kita dah lumpuh." kata Anatasia. Dia mengetap bibirnya, cuba menahan perasaan kesal di hati
"Ini akan jadi lebih sukar daripada yang aku jangka." Anatasia menghela nafas panjang.
"Aku harap kau masih ingat cara bekerjasama dengan aku." Xavier tersenyum sinis walaupun situasi genting.
"Trust me, aku tak pernah lupa."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro