Bab 50
Ketukan di muka pintu yang bertalu2 itu membuatkan dia menjadi berang.
Salmi ini, mesti tertinggal barang lagi! Setiap kali nak balik kampung, mesti ada saja barang yang tertinggal. Entah apa pula yang ditinggalkannya kali ini.
Dengan langkah yang malas, kakinya sudah menapak ke ruang tamu untuk membuka pintu. Pintu kayu itu sudah dibuka. Dan tanpa menghala pandangan ke depan, mulutnya sudah mula mencicit itu dan ini sambil matanya mencari kunci pintu pagar.
"Kau ni kan, kalau tak menyusahkan aku suruh buka pintu ni... memang tak sah, kan? Suka sangat lupakan barang, setiap kali nak balik kampung pun lupa juga. Memang betul ada penyakit Alzheimer la kau ni, Sal."
Matanya sudah mula diangkat menghala pada jasad yang berdiri di depan pintu. Bagaikan dipanah kilat, tubuh Hannah sudah terkaku di situ. Dia bukan sedang bermimpi, bukan? Dan dia pun bukan berada dalam rancangan Bang Bang BOOM, kan? Manalah tahu, ada hidden camera untuk merakamkan aksinya yang seakan terkena renjatan elektrik. Berdirinya lagak tiang bendera tanpa sebarang gerakan.
"Terkejut?"
Hannah ternganga mendengar suara itu. Kiranya ini bukan mimpi. Tapi kenapa dia ada di sini? Macam pelik. Macam tidak boleh dipercayai? Macam nak hujan ribut pun ada juga. Angin yang menderu dengan tiba2 itu membuatkan Hannah terasa seram dan sejuk saja. Sampaikan dia terlupa terus untuk mengajak tetamu di depan pintu untuk masuk ke dalam rumah.
"Tak nak ajak masuk ke?"
Seketika Hannah bagaikan tersedar. Lambat2 bibirnya mengalunkan ayat untuk mempelawa orang itu masuk ke dalam rumah. Sudahlah Salmi tidak ada. Jadi kekok pula bila duduk berdua begini.
"Kau sorang saja?"
"Ada kawan, tapi dia balik kampung." Pendek saja jawapan Hannah. Kalau sebelum ini dia suka kalau berpeluang untuk berdua begini. Tetapi tidak sekarang. Dia tengah merajuk. Kalau tidak berjaya dipujuk jangan haraplah dia akan menunduk dengan mudahnya.
Keras kepala, kan? Memang pun! Tengoklah siapa suaminya. Si kacak yang sedang berdiri di depan mata inilah. Amar Khairi bin Shahir.
"Aku tumpang tidur sini hari ni, boleh?" soal Amar dengan tenang sekali. Punggungnya sudah dilabuhkan pada sofa di ruang tamu itu. Reaksi Hannah tidak seperti yang dia jangka. Melihat mata gadis itu yang sudah membulat bagaikan kartun dalam Walt Disney membuatkan hati digeletek rasa lucu. Namun ditahankan juga tawanya supaya tidak meletus di depan gadis itu.
"Tidur sini???" ulang Hannah tidak percaya.
Apa dah habis ke bilik dekat Hotel Vistana yang terletak selang satu bangunan dari taman perumahan Bukit Jambul ini? Kalau Hotel Vistana dah penuh, aku boleh tunjuk jalan ke B - Suite yang tak jauh dari sini. Asalkan Amar tidak menumpang di dalam rumah ini. Masa2 merajuk macam ini, mana boleh tinggal sekali. Nanti Hannah yang cair sendiri. Tidak adil pula situasi sebegini.
"Yup! Tidur sini. Kenapa?"
"Mana boleh!"
"Kenapa?" soal Amar. Nadanya masih tenang. Dan dia cuba untuk kekalkan momentum pada nada suaranya itu. Tidak mengapa, untuk sekali ini dia akan cuba untuk memahami rasa hati. Tujuannya datang ke sini pun untuk melaksanakan agenda itu. Tepuk dada, tanya hati. Itulah yang sedang dilakukan pada saat ini.
"Nanti apa pulak kata jiran? Hannah tinggal sini dengan Salmi, kan tak elok bawa laki masuk ke sini?" Hannah cuba beralasan. Walaupun alasan itu sungguh kedengaran tidak logik.
Apa susah? Kalau orang tanya, cakaplah itu suaminya. Bukannya dihukum masuk penjara. Kalau yang tidak ada hubungan sah tinggal sebumbung, mungkinlah ada hukumannya. Kalau pun dapat lari dari hukuman dunia, jangan hendak bermimpi dapat lari dari hukuman akhirat pula. Janji Allah itu pasti. Setiap perbuatan akan ada balasan dari Nya. Ringan atau berat, itu semua adalah ketentuanNya.
"Kalau jiran tanya, cakaplah suami. Surat nikah pun ada sekali." Amar mendekati diri Hannah yang berdiri di balik sofa single seater itu.
Hannah sudah berdebar. Segalanya kelihatan begitu baru sekali pada hari ini. Renungan Amar boleh membuatkan dia lemas dalam lautan cinta. Aduh, Hannah! Kalau tak nak lemas, cepat2 sarung pelampung.
Mata Hannah jatuh pula pada bibir lelaki itu yang sudah mula menarik senyuman manis. Aduh!!! Kenapa suami aku senyum, nampak manis sangat. Boleh kena kencing manis kalau begini gayanya.
Melihat wajah Hannah yang sudah berubah2 riak membuatkan Amar terus tersenyum dalam hati. Sesungguhnya hari ini, yang berdiri di hadapan Hannah bukanlah Si Amar Khairi, budak bandar berlagak nak mati. Dia sendiri tidak mengerti, versi dirinya di hadapan Hannah pada hari ini.
Perlahan Amar mendekatkan diri dengan Hannah yang sudah berubah pucat melihat langkahnya. Hujung dagu Hannah dicuit perlahan. Wajah itu tersentak dan Amar berusaha menahan tawanya. Perlahan2 wajahnya didekatkan dengan wajah Hannah yang sudah makin terkaku melihatnya.
"Aku nak..." bisik Amar pada telinga Hannah. Sengaja dileretkan ayatnya itu. Wajah Hannah yang semakin gelabah itu direnung lama. "Nak mandi."
Jelas sekali di mata Amar, Hannah sudah mula menghela nafas lega. Sekali lagi, Amar tersenyum dalam hati. Entah apa sajalah yang ada dalam kepala budak kampung itu. Pastinya yang bukan2, kalau tidak... takkanlah orang itu menghela nafas dengan begitu panjang sekali.
"Toilet dekat sini."
Amar ikut saja di belakang Hannah yang sudah jadi penunjuk arah di dalam rumah yang sederhana kecil ini. "Abang Am boleh guna bilik Hannah, yang sebelah kiri ni."
Amar mengangguk kecil. "Habis, Hannah?"
"Hannah guna bilik Salmi."
"Tak apa ke?"
Berkerut dahi Hannah mendengar soalan itu. Tak apa? "Tak apalah. Dia tak kisah pun kalau Hannah guna bilik dia. Abang Am pun mesti tak selesa kan kalau nak kongsi bilik dengan Hannah. Jadi eloklah macam ni daripada ada orang tuduh Hannah, cakap Hannah ambil kesempatan pulak."
Amar terdiam. Nada Hannah yang begitu sinis benar2 memperlihatkan perasaan gadis itu di saat ini. Dia tahu Hannah masih terluka. Dan penyebab luka itu, tidak lain dan tidak bukan, hanya dia. Disebabkan kata2nya yang begitu lancang sekali, terluka hati isterinya yang baru dinikahi dua bulan yang lalu.
Hannah sudah mula hendak melangkah ke dalam bilik Salmi. Tetapi Amar lebih pantas menarik lengan Hannah sehingga tubuh mereka bersatu.
"Eh! Abang Am, kenapa ni?" Hannah sudah kalut. Ini reaksi di luar jangkaan minda. Gelabah pula rasanya. Semakin berdebar rasanya bila Amar menggenggam lengannya dengan begitu erat sekali. Renungan lelaki itu... aduh! Sememangnya membolehkan Hannah mati lemas di sini.
"Aku..." Amar kehilangan kata. Ayat yang telah dirangka sebelum datang ke sini seakan sudah tenggelam.
"Aku..." Amar sudah mula kelu lidah. Hatinya mengeluh. Lantas, dilepaskan lengan Hannah yang dipegangnya pada ketika ini. Tanpa menunggu sesaat pun, Hannah sudah berlalu ke dalam bilik Salmi.
"Aku minta maaf, Hannah." Gumam Amar perlahan apabila Hannah sudah menguncikan diri di dalam bilik Salmi.
♡♡♡
Jarum jam sudah berdetik ke angka dua belas. Sudah tengah malam. Tetapi matanya masih tidak mahu terpejam.
Lantas dia bangkit dan duduk di atas katil. Matanya melilau di sekeliling bilik Hannah yang sederhana kecil ini. Di sudut sebelah kanan, tersusun elok almari pakaian dan meja solek. Bersebelahan pintu pula, diletakkan meja belajar dan terletak elok komputer riba di atas meja itu.
Perlahan dia turun dari katil dan melabuhkan punggung di kerusi meja belajar itu. Begitu rapi sekali susunan buku dan barang2 milik Hannah di atas meja. Melihatkan keadaan rumah pun sudah cukup untuk memberi gambaran tentang diri Hannah. Begitu kemas dan teratur orangnya.
Kad2 yang tergantung pada dinding bilik begitu menarik minatnya untuk terus meneliti bait2 ucapan yang tercoret di atas setiap kad itu. Lantas tangannya dipanjangkan untuk menutup suis lampu tidur dan dipetik suis lampu biasa. Cerah sudah bilik itu dilimpahi cahaya lampu kalimantang.
Kad2 yang berlayar di depan mata direnung dengan penuh minat. Hampir kesemuanya adalah ucapan Hari Guru.
Happy Teacher's Day, Miss Hannah...
You are the best teacher that we ever had.
Amar tersenyum kecil. Dengan perwatakan Hannah yang agak gila2 itu, pasti saja ramai anak murid yang menyukainya. Dia harus mengakui perkara itu.
Cikgu Hannah...
Saya ingat lagi pesan cikgu, belajar menghargai apa yang kita ada lebih baik daripada terkenang2kan apa yang kita sudah tiada.
Mati terus senyuman di bibir Amar pada ketika itu. Ayat itu sudah cukup untuk membuatkan dirinya tersentap. Terasa! Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaannya pada ketika ini. Terlalu mengenangkan sesuatu yang sudah jauh dari dirinya sehingga dia terlupa, yang terbaik itu sudah berada di hadapan mata.
Wajahnya sudah diraup berkali2.
Aku minta maaf, Hannah... Hanya ayat itu yang terbit di dalam minda mahupun hatinya sejak diberikan kuliah percuma daripada Adam. Rasanya, antara semua kuliah yang pernah diikuti, kuliah ini memberikan kesan yang paling mendalam.
"Manusia yang lari daripada hakikat kehidupan sama juga dengan mereka yang tidak mengenal erti reda. Tidak reda seorang hamba dengan ketetapanNya merupakan kayu ukur taqwa dalam diri kita sebagai hamba Allah."
Sebaris ayat itu sudah cukup untuk membuatkan dia berasa tergamam dan kehilangan kata untuk berhujah.
Sifat reda adalah daripada sifat makrifah dan mahabah kepada Allah. Reda dalam erti kata yang mudah difahami, kita menerima sesuatu yang telah ditetapkan dalam hidup kita dengan perasaan yang senang. Baik hukum mahupun ketetapan (qadak) bagi perjalanan hidup kita.
Reda menerima hukum2 dan ketetapan Allah menunjukkan kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah kerana menerima ketetapanNya dengan rasa yang senang hati dan tidak merasa terpaksa dan dipaksa. Perasaan reda itu juga menunjukkan kita tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada, bahkan gembira dan senang menerima perkara yang telah digariskan oleh Allah dan RasulNya. Itu adalah salah satu cabang cinta manusia kepada Allah. Tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
Bahkan, dengan rasa reda itu juga menunjukkan bahawa kita yakin, hanya Allah mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Dan pilihan Allah pastinya yang terbaik jika dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Seperti yang telah diriwayatkan dalam sabda Rasulullah s.a.w
"Demi Allah yang jiwaku di tanganNya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)
Segala patah kata yang diungkapkan oleh Adam begitu jelas bergema di ruang telinganya. Tentang hakikat reda. Tentang rasa cinta pada Dia. Tentang pilihan terbaik adalah daripada Dia. Semua itu seakan memberikan tamparan hebat kepada dirinya. Dia benar2 tersentak. Terdiam dia dibuatnya dengan bicara Adam yang benar2 inginkan dia bahagia dalam ikatan perkahwinan dengan budak kampung ini.
Wajahnya diraup buat beberapa ketika. Secara tidak sengaja, pandangan matanya terhenti pada satu kad yang sangat comel. Kecil sungguh saiznya, namun begitu menarik jiwa Amar untuk melihat coretan di atas kad itu. Seketika, dia tergamam!
Hadirlah sayang, hadir dalam hidupku...
Amar.
Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan. Bila pula dia menghantar kad dengan ucapan ini? Mungkinkah Wan Shafie dan Annisa punya kerja???
Namun perkara itu sudah tidak begitu penting buat dirinya. Apa yang lebih penting adalah ayat balasan yang tercoret dengan jelas di atas kad itu. Tanpa dipinta, hatinya sudah dibanjir dengan rasa pilu. Setelah sekian lama, akhirnya hatinya seakan terbuka untuk menilai kasih Hannah buat dirinya.
Sayangku sentiasa menanti jemputan darimu duhai kekasih hati...
Loving you, always...
Han_nah.
Dan bait2 kata itu terus terpahat di minda Amar sehingga dibawa ke dalam tidur. Dia yakin, ada sesuatu yang bakal membawa perubahan dalam dirinya. Perubahan untuk kebaikan yang pasti!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro