Bab 28
"Kompang dipalu, pengantin baru... duduk bersanding, tersipu malu. Kompang dipalu, pengantin malu... moga bahagia ke anak cucu..." Bibir Salmi mengalunkan lagu dengan senyuman mengusik, nakal sekali lagaknya.
Hannah mengetap bibir geram. Tidak sudah2 lagi Si Salmi itu hendak mengusiknya. Sejak balik dari kampung, itu sajalah modal Salmi yang begitu gigih mengusiknya. Lagu Kompang Dipalu kadang2 bersilih ganti bersama lagu Bunga Rampai nyanyian Zaleha Hamid.
"Sal, baik kau diam sebelum aku sumbat tepung ni dalam mulut kau yang macam murai tu!" marah Hannah.
Tangannya sudah laju mengacau tepung yang sedang dibancuh untuk dibuat lempeng kurma. Sudah tidak tahan diusik sebenarnya. Malu bertimpa2. Kalau diusik perihal perkahwinan saja, boleh tahan lagi. Tapi, kadang terlebih2 pula usikan Salmi ini kalau diberi peluang. Melarat2 sampai kewajipan isteri yang satu itu pun nak disentuh juga.
"Aku ada kurang dari tiga minggu saja lagi nak usik kau macam ni. Lepas ni dah tak boleh." Lirih nada suara Salmi.
Hannah menjeling kecil. Aik, nak buat drama melodrama pula mak cik seorang ini! "Ya, aku nak bernikah kurang dari tiga minggu lagi. Tapi lepas tu aku tinggal di sini juga."
"Iya ke?" Salmi terkejut. "Kenapa? Kau dengan Abang Am kau ni, jangan nak buat benda bukan2 macam ala2 kahwin kontrak pula. Berdosa tau."
Hannah melopong, sampai ke situ pula fikirnya.
Bebelan dari bibir Salmi terus berlagu tanpa henti. Habis dikeluarkan hujah tentang nikah mut'ah dan hukum yang disandarkan ke atasnya.
"Nikah mut'ah ni haram dan bathil tau. Tak boleh. Berdosa kalau tetapkan syarat2 dalam perhubungan suami isteri. Hubungan yang halal ni tak boleh disekat2..." bebel Salmi lagi.
Hannah sudah mengukir senyum segaris.
"Ya, 'Ustazah Salmi'. Orang faham dan takkan buat pun benda2 yang dilarang macam tu. Buat apalah susah2 kahwin kalau nak tetapkan macam2 syarat..."
Balasan daripada Hannah seolah2 tidak memuaskan jiwa Salmi. Dia masih dengan pandangan yang tajam menikam wajah Hannah.
"Habis, kenapa kau nak tinggal dekat sini lepas nikah?" soal Salmi yang masih meragui jawapan Hannah.
"Aku kan masih mengajar dekat sini? Terpaksalah buat perkahwinan jarak jauh dulu."
"Betul ni?" Salmi seakan tidak percaya lagi.
Hannah sudah melepaskan tawanya.
"Betullah. Buang masa aku sukakan dia dari dulu kalau setakat nak main kahwin kontrak pula. Baik tak usah kahwin macam tu!" jawab Hannah yakin.
Namun Salmi masih memandangnya dengan pandangan yang mencurigakan.
"Ya Allah, Sal! Aku takkan buat benda yang haram macam tu la. Jangan risau. Insya Allah," ucap Hannah dengan nada yang tegas. Selepas itu baru dia nampak, Salmi sudah menarik senyuman puas. Sebuah kucupan dihadiahkan di pipi Hannah. Hannah terkesima.
"Aku cuma nak pastikan kawan aku bahagia." Salmi sudah melemparkan senyuman yang manis sekali.
"Aku terharu, Sal." Dengan tiba2 saja Hannah menjadi sebak. Fikir nak kahwin. Fikir nak tinggalkan kawan. Fikir nak tinggalkan Salmi.
"Aku nak peluk kau, boleh?" pintanya. Matanya sudah panas. Tunggu sekejap lagi akan pecah empangan air matanya. Hannah sudah bergerak setapak hendak meraih Salmi ke dalam pelukan.
"Stop!"
Dahi Hannah berkerut. Kenapa?
"Kau busuk! Tak mandi lagi..." Selamba Salmi berkata macam itu.
Hannah yang baru nak ambil perasaan melodrama, terus mendengus kasar. Cis! Potong mood saja. Air mata yang nak keluar, terus tak jadi. Beku dan statik.
"Kau ni jahatlah, Sal!!!" jerit Hannah apabila Salmi sudah mengekek ketawa dan bergerak ke ruang tamu.
"Jahat2 pun, aku sayang kau jugak!" jerit Salmi senada dengan Hannah.
Hannah menghadiahkan jelingan manja apabila Salmi mengintai semula di pintu dapur. Malas dia nak melayan. Baik dia teruskan membuat lempeng kurmanya. Lagi bagus. Makan pun sedap. Perut pun nanti kenyang. Hati pun bakal jadi senang.
"Hannah sayang, telefon awak melalak la!" Salmi menjerit lagi sekali.
"Awak tolong jawabkan, tak boleh ke?"
Bermulanya sesi jerit menjerit di pangsapuri Blok A, Taman Bukit Jambul.
"Tak boleh! Saya tak kenallah siapa yang call awak."
Ah, gedik sungguh aku mendengar nada itu! Hannah terus ke singki untuk mencuci tangannya. Talian sudah pun berhenti sebaik saja tangannya mencecah telefon bimbit. Sejurus selepas itu, jelingan tajam dihadiahkan buat Salmi yang sudah tersengih meleret. Sengaja!
Tanpa menunggu lama, telefon Hannah berbunyi lagi. Melihatkan nombor di skrin, keningnya bertaut. Namun ditekan juga butang untuk menjawab panggilan.
"Assalamualaikum." Suara di sebelah sana memberi salam.
Hannah menjadi gugup. Dia kenal siapa itu. Suara itu, alunan itu, hanya milik seorang. Hanya milik dia.
"Waalaikumussalam." Lambat2 dia menjawab.
"Sihat ke?"
Kaki Hannah sudah melangkah membawa diri ke dalam bilik. "Sihat. Abang Faisal?"
"Tak sihat."
"Kenapa?" Riaknya risau. Risau dari sudut seorang adik kepada abang, tak salah, kan?
"Demam. Rindu."
Aduh! Hannah sudah rasa macam nak pengsan. Kenapa dengan Abang Faisal hari ini? Tiba2 saja. Namun ilai tawa dari talian sebelah sana membuatkan Hannah termangu sendiri. Kenapa pula? Ketawa sendiri.
"Hannah..." panggil Faisal dengan nada yang lembut sekali.
Hannah mengeratkan genggaman pada telefon bimbit. Nada itu hanya membuatkan dia terasa sayu. Pilu. Kenapa Abang Faisal perlu melayannya sebaik ini? Dia makin terasa bersalah.
"Tahniah..." Suara itu mengendur.
"Abang Faisal..." Hannah sudah kehilangan kata2. Memang dia ada mengirimkan SMS pada Faisal menyatakan pertunangannya dengan Amar. Namun, pada ketika itu dia tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Faisal. Dia hampir menyangka, Faisal tidak akan lagi menghubunginya kerana dia hanya menyebabkan lelaki itu kecewa.
"Hannah, I'll pray the best for you. Don't worry, I'm just fine. I'm just fine as five years ago."
Hannah mengetap bibir mendengar kata2 Faisal. Dia menjadi sebak. Kenapa sejak akhir2 ini dia cepat sangat hendak beremosi? Sindrom pra perkahwinan ke?
"Tapi... abang harap Hannah takkan putuskan pertalian kita. I'm still your abang, right?" Suara itu seakan meminta padanya.
Sayu Hannah pada ketika ini. "Abang Faisal akan sentiasa jadi abang untuk Hannah."
"Thank you very much. Abang cuma nak tengok Hannah bahagia, walaupun bahagia Hannah tu bukan dengan abang, tapi abang akan rasa bahagia juga."
Hannah sudah memejamkan matanya yang sudah panas. Tanpa dapat ditahan, gugur juga satu per satu air mata membasahi pipinya pada ketika itu.
"Hannah, please don't cry."
Suara Faisal lembut menyapa telinga. Hannah menahan esakannya. Tapi dia tidak mampu.
"Hannah, please. Kalau Hannah menangis macam ni, abang akan lagi terluka."
"Abang Faisal..." Suara Hannah sudah serak. "Promise me one thing... promise me that you'll find your soulmate."
Jelas sekali kedengaran keluhan dari bibir Faisal. Hannah tahu, pasti saja lelaki itu hendak mengelak daripada menjawab soalan ini.
"Tolong, Abang Faisal. Janji dengan Hannah. Kalau abang betul sayangkan Hannah, tolong janji yang abang akan cari kebahagiaan untuk diri abang." Hannah seakan merayu. Dia perlu mendesak Faisal untuk berjanji. Perlu! Supaya dia tidak akan dibebani dengan rasa bersalah yang tidak pernah luput dari hatinya.
"Insya Allah. Kalau ada jodoh abang."
Akhirnya Hannah berjaya juga mengukir senyuman di bibirnya. Walaupun tidak dapat dikesan keikhlasan pada nada Faisal, tetapi sekurang2nya Hannah berasa lega.
Seketika mereka berbual itu dan ini. Sekejap kemudian Hannah tertawa sendiri. Pandai sungguh Faisal menghiburkan hatinya walaupun hati orang itu terluka. Pandai sungguh dia menutup lara di hati. Namun tidak sukar bagi Hannah mengesan akan perkara itu.
Talian sudah dimatikan. Jam di dinding dikerling sekilas. Membulat biji mata Hannah. Biar betul! Disangkanya beberapa minit rupanya sudah hampir sejam dia berbual dengan Faisal. Telefon bimbit di tangan digenggan erat. Panas. Fuhhh!!! Telefon pun sudah panas begini apatah lagi gegendang telinganya.
Teringat pula artikel yang dibacanya tentang kesan radiasi telefon bimbit. Ujikaji yang dijalankan menggunakan sebiji telur. Bermula dari minit ke 25, telur mula panas. Kemudian pada minit ke 45 telur tersebut sudah panas dan pada minit ke 65, telur itu sudah masak. Dengan radiasi telefon, telur sudah masak. Bayangkan apa kesan radiasi pada otak yang terletak elok dalam kepala ini. Masak? Lebur? Aduh... bahaya sungguh teknologi zaman kini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro