Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 9

Bau serai wangi bersama lemak santan yang dimasak di atas api perlahan, mengapung di segenap ruang rumah kayu itu. Angin malam yang basah membawa bau itu ke serata tempat. Fatin di dalam bilik menerpa ke dapur.

"Ibu, buat apa tu?"

"Tanak minyak kelapa sama serai."

"Untuk apa?"

"Untuk Fatinlah!"

Wajah anak kecil itu berkerut.

Norlia terus mengacau perlahan minyak yang sudah lebih sejam di atas api.

"Buat urut kaki Fatin. Kata nak berlumba lari. Biaq tak cepat lenguh, tak kejang otot."

"Wah! Kalau sapu minyak ni, boleh lari lagi laju ka, ibu?"

"Ni nak elakkan Fatin cepat kejang kaki."

"Lari tentu boleh tambah laju, kan?"

"Laju tak laju bukan pada kaki. Pada hati Fatin. Pada semangat Fatin."

"Fatin naklah kalau ibu ada ubat bagi kaki Fatin lagi laju."

"Hesy, budak ni... Dah, jangan nak mengada-ada. Kejap lagi siaplah minyak ni. Sudah... Fatin pergi tolong ibu layuqkan daun pisang tu."

Fatin menjengah isi periuk yang sedang dikacau ibunya.

Matanya mengerling sekeliling.

"Ibu bubuh apa tu? Macam nak masak lauk aja."

"Memanglah ada ramuannya. Kena bubuh bawang putih sikit, letak lada hitam sikit. Kemudian tambah halba."

"Eee... Mesti busuk bau bawang putih."

"Nama pun minyak untuk urut kaki. Memanglah bau tak sedap. Lada hitam dengan bawang putih buat pecah angin. Nak elakkan Fatin cepat rasa tegang kaki."

Fatin tersengih-sengih mendengar leteran ibunya. Pantas dia mencapai pelepah-pelepah daun pisang di atas meja.

"Mana ibu belajaq semua ni?" tanya anak manis itu sambil memotong daun pisang untuk mudah dilayurkan.

Norlia tergamam sesaat. Tangan yang tadinya memegang sudip kayu, terhenti mengacau minyak yang dimasak.

"Sapa ajaq ibu buat minyak ni? Pandainya ibu! Orang lain semua beli minyak dekat Pekan Rabu."

Wajah Norlia menjadi kelat tidak semena-mena. Tangannya pantas mengacau kembali minyak yang sudah hampir siap dimasak.

"Sapa ajaq ibu? Arwah Tok Wan ka?"

"Bukan."

"Sapa, ibu? Nanti ibu buat banyak-banyak boleh buat jual ni!" Polos sungguh kata-kata Fatin pada pendengaran Norlia.

"Ayah."

"Ayah ajaq ibu? Bila?"

Fatin sendiri bagai tidak percaya. Ayah ajar ibu? Eh, bukan ayah jarang ada kat rumah ke? Lagipun bila pula ayah turunkan ilmu tu sebab ayah dengan ibu selalunya bergaduh aje?

"Masa dulu-dulu. Masa Fatin belum lahir."

"Pandainya ayah..."

Suara itu menggumam perlahan. Jauh dalam sudut hati dia mahu bertanya lagi. Kenapa ayah jarang balik ya, ibu? Kenapa ayah macam tak sayang kita? Tapi soalan itu tersekat di rengkung. Dia hanya mampu bertanya melalui kerdip mata yang sebenarnya menahan tangis.

"Dah... Pergi tolong ibu lipat baju tu. Suruh adik-adik simpan baju yang dah lipat." Norlia mengarah Fatin. Anak perempuan itu diam tidak menjawab tapi masih lagi duduk menghadap Norlia.

Raut wajahnya seperti ada seribu pertanyaan, ada seribu cerita.

"Cepatlah, tolong ibu lipat baju. Ibu kena kacau minyak ni. Kalau tak bergentel-gentel nanti. Dah sejuk nanti ibu sapukan pada kaki dengan betis Fatin, ya?"

Suara Norlia berubah lembut. Dia tahu gelora dalam hati Fatin itu mudah dijinakkan.

"Nanti Fatin dah besaq ibu ajaq Fatin pula, ya?"

"Ajaq apa?"

"Ajaq buat minyak tu. Ibu ajaq Fatin macam mana ayah ajaq ibu."

Suara halus itu menyambar pendengaran Norlia. Kelibat Fatin kemudiannya hilang ke dalam bilik.

"Ibu ajaq nanti! Fatin besaq dulu, sekolah pandai-pandai. Baru belajaq buat minyak ni. Dah, lipat baju dalam bilik tu dulu," laung Norlia melawan rasa sebaknya.

Tangannya terus mengacau minyak yang semakin halus dan larut.

"Kena kacau betul-betul. Biar semua sebati." Terdengar-dengar suara Ghafar. Norlia memejamkan mata. Menepis kenangan sebetulnya.

Janganlah berdendam, Nor!

Cukuplah tu. Lupakan aje!

Benamkan nama dia!

Kau kena kuat, kau nyawa anak-anak!

Ah, anak-anak itu sebenarnya nyawa aku!

Jangan pedulikan Ghafar! Biarkan dia!

Suara-suara itu bergema di dalam mindanya. Jeritan batinnya bergema menerobos tujuh petala langit.

"Ibu... Kalau ayah dah ada gaji, dah ada duit mesti ayah dah balik dan belikan Fatin kasut sukan, kan?"

Suara Fatin yang manja itu hanya menyebabkan dada Norlia bertambah debar dan getar.

"Allah! Tak apalah, Fatin. Kalau Fatin ada rezeki, tak dak kasut sukan mahai pun Fatin tetap menang. Jangan risaulah. Fatin juga yang cakap, Cikgu Ros selalu sebut Fatin boleh pecah rekod baru."

Nada memujuk Norlia itu kedengaran nyaman di telinga anak. Namun tiada siapa yang tahu hatinya merintih. Kasihanilah anak ini, Ya Rabb! Masih lagi mengharapkan ayahnya. Masih lagi ternanti-nanti kelibat ayah muncul di depan pintu.

"Ibu kata keluarga ayah banyak bendang, banyak ladang getah, ya? Mesti seronok kan kalau dapat duduk sama-sama dengan keluarga ayah. Mesti ibu tak payah susah-susah keluar waktu subuh untuk kerja." Lancar seperti air mengalir kata-kata itu keluar dari mulut Fatin. Petanda rindu dalam hati berkesumat pada lelaki bernama Ghafar.

"Betullah, ibu! Kenapa kita tak pernah jumpa tok dengan tok wan belah ayah?" rengek Riya sambil menyusun baju yang sudah dilipat di dalam geroboknya.

"Adik! Fatin! Dengaq sini. Sekalipun adik, Fatin atau abang tak pernah jumpa tok atau tok wan sebelah ayah, kita boleh doakan yang baik-baik untuk depa. Tentu tok dengan tok wan pun doakan yang baik-baik untuk semua cucu dia. Doa tu hadiah yang paling bagus, kan?"

Pantas Norlia menyusun ayat. Hatinya sendiri sudah berkecai menahan tangis.

"Mak Bedah kata Tok Embun sakit. Awat ibu tak pergi tengok? Lama tak jumpa Tok Embun." Riya bertanya lagi.

Dada terasa bergoncang. Alahai anak, kalian suci putih! Tak berdosa. Yang berdosa ibu. Tapi macam mana nak ibu terangkan?

"Ibu nak pergi macam mana? Duit nak buat tambang pun tak cukup. Nantilah, ibu kumpul duit perlahan-lahan. Cukup duit, kita semua pergi melawat tok." Lembut Norlia beralasan.

"Kalaulah Fatin dapat duit biasiswa tu mesti Fatin bagi ibu sikit."

"Kalau ada rezeki, itu duit Fatin. Ibu tak boleh ambil duit Fatin."

"Anak kenalah tolong ibu. Kesian ibu! Semuanya ibu kena sediakan untuk kami." Luhur sungguh kata-kata Fatin. Tersenyum Norlia mendengar kata-kata itu.

"Itu sebab ibu pesan jangan lupa solat. Setiap kali solat, kita doakan untuk semua orang. Kita tak mampu nak bagi duit pada tok, kita kirimkan doa. Allah jaga tok untuk kita semua." Payah sebenarnya nak menyudahkan ayat itu. Hati mana tidak diracik-racik apabila anak sendiri mengenangkan neneknya?

Norlia tenggelam di dalam pusaran rasa hiba. Ya Allah! Inikah kafarah untuk aku kerana ingkar cakap emak? Bernikah dengan Ghafar terburu-buru. Dan aku teraniaya akhirnya. Ya Allah, lindungi emak untuk aku.

"Sudah... Pergilah tiduq! Kalau tak tiduq, esok hangpa tak payah pi sekolah. Tolong ibu menoreh getah." Ugutan itu untuk memaksa anak-anak masuk tidur. Apabila semua sudah senyap menarik selimut, Norlia kembali tenteram.

Ada air mata yang mahu menitik. Fatin, Riya dan Maarof itulah tangkai nyawanya. Mereka bertigalah jantung hati tempat dia menumpang degup dan menghirup nafas. Biarlah hilang suami kalau sudah itu takdirnya. Selagi anak-anak masih mampu didakap, dia akan terus berusaha untuk hidup biar dalam seribu kepayahan.

Langit malam semakin jauh ke dasarnya. Menjelang tiga pagi Norlia masih tidak dapat melelapkan mata. Minyak yang dimasak sudah tidak terlalu hangat. Norlia masuk ke dalam bilik sambil menatang sepiring minyak. Dia menarik selimut Fatin perlahan-lahan. Disapunya minyak serai wangi itu pada betis dan kaki Fatin. Dioles dan diusapnya dengan penuh kasih sayang.

"Ibu tak mampu nak belikan Fatin baju sukan yang cantik. Nak beli kasut sukan pun tak berduit. Tapi ibu akan buatkan minyak yang paling bagus untuk Fatin. Nanti Fatin lari kencang. Ibu masakkan minyak resipi ayah Fatin tu dengan kasih sayang. Ibu doa minta pada Allah. Biar minyak ni mujarab untuk Fatin. Biar kaki Fatin kuat lari. Biar tak kejang, biar tak lenguh!"

Meluncur laju air mata Norlia mengenangkan kata-kata itu yang sering diucapkan pada Fatin bila anak kecilnya itu merengek minta dibelikan kasut dan baju sukan yang cantik.

Ya Allah! Kau lindungilah kami anak-beranak! Kami tak ada upaya, Ya Allah! Hanya pada Engkau kami bergantung!

Norlia terlelap di sisi anak-anaknya. Mimpinya ingin bertemu Ghafar bagai patah di hujung subuh.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro