BAB 8
Sewaktu kelas Bahasa Inggeris, Fatin membantu Cikgu Mas menanda buku latihan pelajar-pelajar.
"Terima kasih, Fatin," ucap Cikgu Mas berulang kali. Dia agak kelam-kabut hari itu sebab menghadiri mesyuarat penting di sekolah jiran.
"Fatin, apa maksud soalan ni? Tak fahamlah. Kami tak pandai BI." Anis yang duduk di sebelah Fatin bertanya. Buku latihan Bahasa Inggeris itu disuakan kepada Fatin.
"Oh, yang ni senang aja. Soalan ni tanya which of the following is true? Maknanya, antara jawapan yang berikut mana satu yang betul?"
"Ohhh..."
"Eleh. Berlagaklah tu." Di satu sudut kedengaran suara mengejek. Si Ajib yang entah mengapa asyik berselumbar saja memandang Fatin.
"Macamlah pandai sangat!" Ajib terjuih mengejek Fatin.
"Aku cuma nak tolong Anis aja. Awat dengan hang ni?" Fatin selamba menjawab.
"Entah ya entah tidak tu hang ajaq Anis, Fatin." Ajib masih mahu mencari pasal.
"Cikgu! Tengok Ajib ni!" Suara Anis sudah nyaring memanggil Cikgu Mas. Niatnya untuk meredakan keadaan.
"Apa hal tu?!" Suara tegas Cikgu Mas membuatkan Ajib menikus seketika. Namun hatinya cukup geram melihat Fatin. Hesy, budak kurus kecil ni! Asyik dia aje yang cikgu puji! Asyik dia aje yang cikgu sebut! Bertambah geram Ajib apabila dalam kelas Cikgu Ros pun, nama Fatin juga yang dicari. Huh! Ajib mengetap bibir tidak puas hati.
Hari itu, masuk saja kelas, Cikgu Ros sudah menyemak semua senarai nama para pelajar yang tercalon untuk saringan ujian kelayakan biasiswa sekolah sukan. Tinggal seminggu saja lagi sebelum tarikh tutup. Borang permohonan harus dilengkapkan oleh para pelajar. Ibu bapa mesti memberi kebenaran sebelum tiba hari pertandingan.
Setelah meneliti senarai nama, Cikgu Ros berkerut seketika. Eh, ada yang belum pulangkan semula borang itu.
"Fatin! Mari ke sini sekejap." Suaranya nyaring di hadapan kelas.
Fatin dan semua pelajar di dalam kelas itu terhenti mencatat.
"Fatin, ke mari sekejap."
Pantas Fatin menghadap Cikgu Ros di meja guru.
"Kamu tak serahkan lagi borang untuk biasiswa sekolah sukan tu, ya?" tanya Cikgu Ros kehairanan.
"Errr... Belum, cikgu."
"Kenapa? Mak ayah kamu tak izinkan ke?"
"Saya jarang jumpa ayah saya. Izin mak aja boleh ka, cikgu?" tanya Fatin dengan nada yang naif.
"Ya Allah! Apa pula yang tak bolehnya? Sekarang kamu duduk dengan siapa?"
"Ibu."
"Siapa penjaga kamu?"
"Ibu."
"Habis tu kenapa tak suruh ibu tandatangan borang ni?"
"Saya ingatkan kena dapatkan tandatangan ayah aja."
"Fatin, lurus bendullah kamu ni! Esok cikgu nak borang tu. Dah nak hantar ke Pejabat Pendidikan Daerah ni. Kalau terlambat, kamu terlepas peluang."
"Sungguh boleh ka, cikgu?"
"Boleh. Tapi kena pastikan kamu lepas masa ujian saringan di padang."
Fatin tersengih-sengih gembira. Hatinya sedikit lega. Oh, ada harapan lagi. Ingatkan dah terlepas peluang.
"Jangan lupa esok! Pagi-pagi esok cari saya, serahkan borang tu. Tapi pastikan ibu kamu izinkan."
"Insya-Allah, cikgu."
"Kalau ada rezeki kamu, dapatlah kamu biasiswa tu. Kamu tu macam peluru berpandu dekat padang. Masa macam inilah nak tunjukkan bakat!"
Wajah comel itu tersenyum manis. Bercahaya wajah Fatin mendengar pujian dan kata-kata semangat daripada Cikgu Ros.
"Errr, Fatin... Ayah kamu ke mana? Kamu kata kamu jarang jumpa ayah kamu."
"Ibu kata ayah kerja jauh. Sebab tu ayah jarang balik. Ayah sibuk."
"Ibu kamu kerja?"
"Toreh getah, cikgu. Kadang-kadang ambil upah buat bendang. Ibu buat juga nasi lemak untuk jual."
"Oh! Tak rugi kalau kamu cuba untuk saringan minggu depan. Kalau ada rezeki kamu, bantuan macam ni boleh bantu ibu kamu. Esok jangan lupa, ya?"
Fatin mengangguk girang. Cikgu Ros terasa kesat kerongkongnya untuk bertanya lanjut pada Fatin.
Sebagai guru, dia dapat menjangkakan Fatin antara puluhan pelajar sekolahnya yang hilang kasih seorang ayah. Mudah-mudahan saja keluarga Fatin baik-baik. Mudah-mudahan juga anak ini kuat semangat untuk terus belajar.
Malam itu hujan turun mencurah-curah. Rumah itu bersaiz sederhana kecil. Atap bergemerencing dengan bunyi hujan yang bertingkah. Norlia sedang menyiapkan bahan-bahan untuk membuat nasi lemak sebelum subuh nanti. Anak-anaknya tekun menyudahkan kerja sekolah.
"Ibu, cikgu suruh ibu baca ni. Ibu tandatangan lepas tu, ya?" Fatin mengunjukkan borang kepada ibunya.
"Apa tu, sayang?" tanya Norlia sambil melayur daun pisang.
"Borang. Untuk sekolah sukan. Kalau terpilih dapat biasiswa cikgu kata."
"Ya, ka? Fatin minat ka?"
"Minat! Tapi kena masuk saringan dulu."
"Fatin bersungguh-sungguh ni?"
Anak manis itu mengangguk dengan senyum lebar.
"Kakak, adik pun nak juga." Riya menyampuk. Maarof yang tumpang pasang telinga pantas mencelah.
"Abang pun nak sekali!"
"Hesy, kenalah jadi juara dulu masa lumba lari. Ni kalau lari pun macam kura-kura, mana nak terpilih!" pintas Fatin.
"Alah, kakak ni... Adik selalu menanglah kalau sukan."
"Huh, memanglah menang. Takat acara lompat si katak lompat!" Fatin mencebik. Terkekeh-kekeh Maarof ketawa mendengarnya. Riya sudah mencemik dan menjelirkan lidah.
"Dah! Dah! Jangan nak kelahi adik-beradik. Fatin pun janganlah nak ejek adik!"
"Ibu benarkan Fatin, ya?"
"Hah, boleh! Cepatlah, kat mana ibu nak tandatangan?"
"Kat sini..."
"Tulisan ibu tak cantik."
"Tak apa. Yang penting ibu benarkan."
Lebar senyuman Fatin melihat Norlia dengan rela hati mengizinkan hasratnya itu.
"Ibu... Kalau ayah ada, dia bagi tak Fatin masuk bertanding ni? Ka ayah tak bagi? Sebab ada kawan Fatin ayah depa tak izinkan." Spontan Fatin menyebut tentang ayahnya. Norlia tergamam seketika.
"Pasai apa ayah depa tak bagi?"
"Sebab kawan Fatin tu anak emas. Anak manja ayahnya."
"Huh! Tu anak manja! Kakak anak batu aked ayah. Anak terbuang ayah!" Pedas dan lancar saja ejekan Riya.
"Hahaha... Betul! Betul!" Maarof meniru nada suara Upin dan Ipin. Terbeliak mata Fatin memandang dua adiknya itu. Norlia sendiri tersentap tangkai jantung.
"Kenapa mulut tu celopar sangat? Adik? Abang?"
"Kami gurau aja."
Terkelip-kelip Riya, terkebil-kebil Maarof. Wajah Norlia berubah tegang. Mata ibu yang redup berubah mencerlung garang.
"Sapa kata anak-anak ibu anak terbuang? Ibu ada lagi, kan? Selagi ibu ada, anak-anak ibu tetap akan hidup sempurna macam orang lain! Tak kiralah, rumah kita kecil, lauk kita cuma kicap aja. Tapi hangpa tak pernah miskin dengan kasih sayang ibu. Faham?"
Garang suara Norlia. Tanpa disuruh Riya dan Maarof serentak mengangguk-angguk. Fatin di belakang Norlia menekup mulut. Padan muka! Kan dah terangguk-angguk macam burung belatuk.
"Orang lain jadi anak emas ka, anak intan berlian ka, sama aja macam adik dengan abang, bukan? Depa tu bernafas macam kita juga. Depa tu kalau luka pada jari, keluaq darah merah juga, kan?"
Norlia belum puas meleteri dua beradik itu. Benar kata-kata itu hanya gurauan tapi entah mengapa, luka jiwanya seperti dihiris dalam.
Malam semakin larut. Norlia tiba-tiba menjadi resah. Segala kata-kata nakal anak-anaknya tadi terngiang-ngiang di telinga. Bantal yang dirapatkan ke wajah terasa basah dengan air mata.
Dia kemudian bingkas dari tidurnya. Mengambil wuduk dan menghampar sejadah untuk solat.
"Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang yang Musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari golongan orang Islam."
"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau hilangkanlah rasa walang hatiku. Kau bukakanlah jalan agar aku dapat memakmurkan kehidupan anak-anakku selagi aku terdaya."
Dalam cahaya yang berbalam-balam, dia mengintai wajah polos anak-anak yang sedang lena beralaskan tilam lusuh. Jernih wajah-wajah itu.
"Abang Ghafar, ke mana abang? Sampai hati abang tinggalkan kami!"
Batinnya terus menangis dan menjerit.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro