BAB 4
"Kak Chombi, tahniahlah, ya... Tak sangka Ghafar tu sudahnya bernikah juga ya, Kak Chombi." Yanti yang datang untuk mengambil stok kuih sepit belanda dengan bangkit sagu, tersenyum-senyum mengucapkan tahniah.
"Haah, Kak Chombi. Nak buat majlis sambut menantu tak beritahu pun pada kami semua. Senyap-senyap aje, ya?" Maya sepupu Yanti yang juga pelanggan tetap Kak Chombi sama menyampuk.
Kak Chombi yang sedang membancuh tepung, terhenti mengacau adunannya.
"Menantu? Siapa yang bernikah?" Tajam matanya memandang Yanti dengan Maya.
"Eh, takkan kami salah orang kot?"
"Hesy, Kak Chombi ni. Janganlah lagu tu!" Yanti serba salah. Dia menoleh ke arah Maya sambil angkat kening. Maya pura-pura tidak tahu.
"Kami kat rumah ni tak tahu apa-apa pasai Ghafar bernikah. Tu kena tanya dia sendirilah! Kalau nak ucap tahniah, pi cakap kat dia sendiri."
"Ya Allah! Awat, Kak Chombi? Ada yang tak kena ka?" Yanti terhenti memilih bungkusan kuih bangkit sagunya. Dia memandang tepat ke arah Kak Chombi. Oh, ada benda yang dah berlaku ni!
"Yalah, Kak Chombi. Kami ni tak tahu apa-apa. Kot-kot kami salah cakap, minta maaflah sangat-sangat ya, kak," sahut Maya pula.
"Payah budak-budak sekarang! Kadang-kadang depa ni rasa boleh hidup tanpa orang tua! Depa tu lupa agaknya doa emak ni tak dak hijab! Lupa apa yang dah kita buat untuk depa selama ni." Kak Chombi terdiam beberapa ketika. Ada rasa sebal dan kesal. Ada marah dan dendam yang terpendam. Sampai hati Ghafar! Sampai hati buat emak macam ni!
"Maknanya Kak Chombi memang tak tahu depa bernikah?"
"Tak tahu dan malas nak ambil tahu."
"Ya Allah! Awat lagu tu, Kak Chombi? Kesian budak-budak tu," sanggah Maya sambil menggeleng. Tangannya laju menyusun stok bungkusan bangkit sagu.
"Akak ni marah sangat tapi depa dah bernikah pun."
"Bukan masalah marah atau tak marah. Tahu dak Ghafar tu lagu mana? Nak makan nasi sepinggan pun tak lepas, ni pula nak menanggung anak dara orang. Duit semua bersuap. Kita ni mak dia, kita tahulah dia macam mana." Melengking suara Kak Chombi. Hilang semangat dia mahu membakar kuih sepit belanda petang itu. Gina, anak bongsu Kak Chombi menjengah bila mendengar riuh-rendah di dapur.
"Mak nak Gina tolong bakaq sepit belanda ka?"
"Tak apalah dulu. Mak baru bancuh adunan tepung sekilo. Gina simpan ajelah dulu dalam peti sejuk."
Gina sengaja buat lalu-lalang di dapur. Buat-buat sibuk. Sebenarnya dia hendak pasang telinga mendengar cerita kawan-kawan emaknya.
"Tak apalah, Kak Chombi. Kalau dah jodoh depa, akak doa ajelah yang baik-baik." Maya masih lagi dengan nada memujuk.
"Mak mana yang tak doakan anak baik-baik? Tapi nak juga tanya, awatlah perempuan yang dok gilakan Ghafar tu tak buka mata luas-luas? Tak siasat dulu. Kot apa-apa jadi esok jangan dok meraung, dok keriau depan pintu rumah ni. Aku tak mau campuq. Ni mesti entah apa-apa perempuan tu dok berangan kena kelentong dengan Ghafar. Tak kuasa aku nak campuq! Buat serabut perut aku aje!" Putus Kak Chombi dengan penuh rasa kesal.
Kesal kerana terasa diri dibelakangkan. Sedih kerana terasa restunya tidak memberi makna pada Ghafar. Marah, terkilan sebab tak sangka, ada juga perempuan yang menyerah tengkuk pada Ghafar.
"Sudahlah tu, mak! Kalau betul Abang Ghafar dah bernikah, dia tak pedulikan mak pun. Buat apa mak nak pikiaq pasai depa? Biaqlah kot. Pandai cari penyakit, pandai sangat cari masalah, esok lusa kalau ada apa-apa hal, tanggung sendiri. Mak susah hati nanti bangkit sagu mak jadi bantat. Nanti bakaq kuih sepit belanda pun silap-silap terhangus. Kepala tu serabut masalah!" Gina menyampuk sambil menghulurkan kotak kecil lagi untuk Maya dengan Yanti mengisi balang-balang plastik kuih sepit belanda.
Selesai membuat kiraan, Gina mencatat pada buku akaun dan buku rekod tempahan emaknya. Bayaran dibuat secara tunai. Maya dengan Yanti segera minta diri untuk pulang.
"Jangan susah hati ya, Kak Chombi. Errr, apa yang kami sembang tadi, jangan marah, ya?" Yanti berbasa-basi sambil memeluk Kak Chombi.
"Tak marah. Dah anak kita gitu, nak buat lagu mana. Telan ajelah takdir tu," sahut Kak Chombi dengan rasa mengkal di jiwa.
"Mana tahu Kak Chombi, rezeki Ghafar lepas nikah dia berubah."
Kak Chombi sekadar mengangguk. Hatinya sudah hilang rasa malu dengan dua sahabat yang dikenali sudah berbelas tahun itu. Maya dan Yanti bukan sekadar peniaga runcit yang mengambil tetap kuih-kuih buatannya, tapi tahu luar dalam kisah dia anak-beranak. Kalau kisah Ghafar memang sudah tak mampu untuk dia sorok. Anak bujang Kak Chombi yang keluar masuk pusat pemulihan. Siapa tak kenal?
Sudah kering air matanya menangis. Dah puas dia berubat ke sana ke mari. Semuanya tak jalan. Alih-alih dengar berita, Ghafar bernikah! Terasa putus urat jantung.
"Betul ka mak, Abang Ghafar bernikah?" Gina cuba merisik-risik sambil menolong emaknya mengemas dulang-dulang biskut bangkit sagu yang sudah dipakai.
"Entah."
"Perempuan mana yang sanggup tu? Memang hilang akai agaknya kalau ada perempuan yang nak bernikah dengan Abang Ghafar."
"Malas mak nak ambil tahu. Sama merenyam agaknya perempuan yang nak jadi bini dia. Sampai tak boleh pikiaq. Entah-entah sama-sama mencucuk jarum macam Ghafar! Memang sampai mati aku tak mengaku menantu!" putus Kak Chombi dengan wajah yang merah padam. Jauh dia termenung seketika. Kalau tidak dikuatkan hati memang mahu dia rebah kena serangan sakit jantung.
"Alah, esok lusa baliklah kot Abang Ghafar tu. Masa tu mesti abang bawa balik sekali bini dia." Lembut Gina cuba mereda hangat hati ibunya.
"Kau ingat aku nak sambut dengan pulut kuning ke kalau dia bawa balik bini? Jangan harap aku nak terima. Bernikah jadi bini tapi tak reti nak tambat hati mentua dulu. Lagi satu, aku tak percaya kalau perempuan yang jadi bini dia tu tak tahu latar belakang Si Ghafar. Tu sebab aku kata, bini Si Ghafar ni entah-entah kawan kongsi jarum dengan dia. Tu agaknya sama-sama nak menempah lubang kubur!" Memetir kata-kata Kak Chombi.
Terkedu Gina mendengar amukan emaknya. Jarang emak hendak marah benar pada abang. Kali ini emak betul-betul kecewa dan terluka agaknya.
"Tak baik mak kata lagu tu."
"Mana aku tak marah? Esok lusa kalau apa-apa hal jadi, orang cari aku. Orang salahkan aku juga. Nanti mesti ada yang mengata belakang, konon aku yang kebulur sangat nak bermenantu. Agaknya ada kot nanti yang menuduh aku saja nak aniaya anak perempuan orang," luahnya dengan wajah yang merah padam. Amarah bergelora dalam jiwa.
"Nak buat lagu mana, mak. Mulut orang. Mak kalau marah, lebih baik mak ambil wuduk. Takut nanti apa yang mak cakap naik ke langit pula. Kesian abang." Kata-kata Gina membuatkan Kak Chombi seperti dikejutkan daripada mimpi. Ya, waktu api amarah menjulang ke langit ketujuh, lidahnya lepas menghunjam kata-kata pedih untuk si anak yang tiada di depan mata. Tak ada niat. Tapi siapa tahu hancurnya hati aku seorang emak!
Seharian Kak Chombi melayan rusuh dalam hati. Segala benda berputar di benaknya. Siapa bagi duit pada Ghafar untuk bernikah? Kalau bernikah takkan pakai seratus dua, mesti ribu. Mana Ghafar dapat duit? Siapa yang jadi pak sanggup mengiring dia waktu bernikah? Semua itu berputar dalam kepala.
"Apa mak nak hairan? Abang Ghafar bukan ke pakar benda-benda ni? Duit entah dari mana dia rembat tu. Tukang iring dia mesti kawan-kawan dia juga tu, mak. Kawan-kawan sesama khayal!" ujar Gina sewaktu Kak Chombi menzahirkan rasa hairannya pada anak gadisnya itu.
Lelah dada Kak Chombi. Sebak seluruh jiwa. Tipu kalau kata dia tak sayang anak. Emak mana tak sayang anak. Tapi setelah sekian lama, anak tetap tak mahu berubah. Tebing kesabaran seorang emak roboh juga.
Bukan dia tak ada dengar cerita. Bukan dia tak dengar berita. Ghafar lari dari pusat pemulihan. Bukan dia tak tahu Ghafar hidup di bawah kolong.
Kadangkala Ghafar sendiri tersengih-sengih bercerita pernah dikejar ular tedung, berdepan dengan teman penagih yang mati, dihambat polis dan terkhayal dalam banjir. Tapi macam Ghafar kata...
"Ni Ghafar, mak! Ghafar... Tu semua jauh dari perut. Jauh dari jantung. Sebab tu Ghafar panjang umur!" Menepuk-nepuk dada Ghafar bercerita bangga. Bersembang waktu warasnya singgah sekejap. Sebelum dia mamai balik dengan dadah yang dah jadi candunya.
"Lagu mana lagilah mak nak buat? Mandi air kolah tujuh masjid, mandi bunga, doa siang malam, semua mak dah buat." Sugul wajah Kak Chombi.
"Tak tahu nak kata dah mak..."
"Orang sudahnya tuduh mak yang jahat. Ni dia bernikah, mak tak tahu apa-apa." Lirih suara itu. Wajah Kak Chombi tampak layu. Gina tahu emak banyak memendam rasa. Sibukkan diri buat bangkit sagu. Malam-malam menghadap kuih sepit belanda pula. Memang emak mengaku tak boleh tidur. Mak tak sebut pun fasal Ghafar tapi Gina boleh teka.
"Tak tahu apalah yang dah dia cerita kat orang. Senang-senang aje kahwin. Borang nikah tu bukan ka nak kena minta pada imam kariah masing-masing? Setahu Gina nanti imam akan berikan semua borang yang perlu diisi. Bila dah siap isi, borang tu kena ditandatangan oleh imam masing-masing, sebelah lelaki dengan perempuan. Macam mana abang boleh terlepas, ya? Kes dia dah lah semua orang tahu... Lepas tu dengan ujian HIV, macam mana dia boleh lepas?" Panjang menungan Gina. Semua menghambat akalnya.
"Dekat Kuala Lumpur pun dia boleh bohong orang. Kata dia doktor. Kita tak tahu apa yang dah dia buat. Susah nak jangka dia ni."
Sayup Kak Chombi menghela pandangan matanya ke luar rumah. Di hujung langit sana, awan berkepul-kepul membawa mendung. Angin menderu kencang.
"Ghafar... Macam-macam dia ni boleh jadi."
"Kalau dia balik?"
"Aku dah serik. Aku dah penat, Gina."
Langit mendung. Angin dingin membawa hujan lebat. Kak Chombi larut dalam seribu kenangan silam membesarkan Ghafar. Ya Allah, di mana silapnya? Apa yang tak kena? Ribut taufan sepanjang perjalanan takdir kehidupan Ghafar tak mampu kusanggah. Ya Allah! Aku mohon Kau tunjukkanlah di mana silap aku membesarkan Ghafar. Aku merayu, Ya Allah!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro