Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 3

Alam berkabut. Di hadapan Norlia, terbayang-bayang daun-daun pokok getah yang satu ketika menjadi saksi berbisik sebelum luruh dan kering berderai.

Terbau-bau lagi harum daun pandan yang dihiris, kelopak mawar, bersama melur, kenanga dan cempaka yang diracik dan dirampai. Ternampak-nampak lagi inai di tangan yang merah menyala.

Subuh pertama bergelar isteri, hatinya berdebar-debar. Dia bangkit perlahan-lahan awal pagi itu. Membersihkan diri, mandi, berwuduk dan solat. Hati bergetar untuk menyiapkan sarapan. Bukankah kenangan membuatkan sarapan pertama untuk suami, harus dikenang seumur hidup?

Waktu itu, biar serba sederhana, segala menu sudah bersusun di dalam kepalanya. Hari ini mahu tanak pulut. Makan dengan sambal dan ikan masin. Esok mungkin buat lempeng pisang dengan cucur udang. Bahagianya hidup berbahagi hati, berkongsi cinta!

"Abang! Abang..."

Sewaktu siap hidangan, dia menuju ke bilik, mahu mengejutkan Ghafar. Pintu bilik dikunci dari dalam.

Mula-mula suaranya lembut memanggil. Diketuk pintu perlahan. Tapi tetap tiada balasan daripada Ghafar. Norlia cemas, diketuk kuat pintu.

"Abang! Abang! Nor ni... Buka pintu!"

"Abang! Nor ni... Cepatlah buka!"

Cemas. Tadi keluar bilik, pintu tak berkunci pun. Ghafar masih lena berselimut. Alih-alih tak sampai sejam, pintu berkunci.

"Abang, awat ni?" Suara itu sedikit merayu dan menggeletar.

Fikiran Norlia sudah memikirkan yang bukan-bukan. Ya Allah! Sakit ke Ghafar sampai dipanggil tak dengar? Kunci pintu bilik pula tu.

Pintu terkuak. Ghafar terjengul di balik pintu. Cahaya lampu di dalam bilik samar-samar sahaja. Namun masih jelas di mata Norlia, Ghafar berjalan ke katil dengan langkah yang terhuyung-hayang.

"Abang, awat ni?"

"Tak ada apalah! Jom tidur, sayang."

"Eh, awat bau semacam ni?"

Berkerut Norlia. Ada bau busuk yang tajam menyengat singgah di hidungnya.

"Bau apa ni?"

"Nor, jom tidur."

Lelaki itu seperti mamai. Memaut dan merangkul pinggang Norlia.

"Abang, awat abang ni?" Norlia bingung dan cemas. Lain benar keadaan Ghafar. Bibir lelaki itu cuba mengucup dahinya. Namun Norlia menepis kerana bau mulut Ghafar hampir membuat dia termuntah.

"Jomlah, sayang. Isteri jangan derhaka dengan suami." Ghafar tiba-tiba tergelak biarpun matanya pejam.

"Abang ni mengigau ka? Abang, bangun solat subuh dulu."

"Hah? Esok pun boleh solat."

"Abang! Abang..." Lelaki itu tiba-tiba berdengkur dalam keadaan meniarap di atas katil yang semakin hilang bau wangi bunga rampai pengantin.

Norlia tergamam melihat sekujur tubuh yang tiba-tiba terlena itu.

Matanya memandang sekeliling. Dalam cahaya mentol yang malap, dia masih dapat memerhati sekelilingnya. Lama dia merenung satu sudut di bilik kecil itu. Ada sudu, ada lilin. Eh, apa tu? Norlia meraba lilin dan sudu itu. Auch! Masih panas! Norlia menghidunya. Busuk!

Jantung berdetak kencang. Norlia memandang betul-betul. Bulat matanya mengamati. Dia menjeling ke arah Ghafar. Lelaki itu tampak lena tidur.

Tergerak hati Norlia menyelongkar beg pakaian Ghafar. Diraba setiap kocek beg itu. Bahagian yang berzip, dibukanya perlahan-lahan.

Ada bungkusan serbuk putih. Diraba lagi. Jumpa alat suntikan. Eh, apa benda ni? Norlia ligat berfikir. Kepalanya semakin bersimpang-siur. Hendak berkeras mengejutkan Ghafar, dia masih waras. Takkan mahu bertengkar pada pagi pertama selepas ijab kabul? Apa kata emak nanti? Apa kata jiran tetangga dan saudara-mara lain?

Tanya bila Ghafar bangun tidur nanti. Menunggu Ghafar bangkit tidur saja cukup menyeksakan Norlia. Dia sibukkan diri di dapur. Mengemas pinggan mangkuk. Mahu mengira segala perkakas lain untuk dipulangkan ke masjid. Semuanya dipinjam dari masjid. Kalau rewang memang begitu. Tangan laju bekerja sama seperti kepalanya bekerja keras memikirkan keanehan Ghafar pagi tadi.

"Abang, cakaplah betul-betul. Kenapa ni?"

"Kenapa apa?"

"Pagi tadi tu, waktu subuh tu. Awat abang lain macam?"

"Awat abang bau busuk?"

"Tak mandi, tak gosok gigi lagi, takkan bau wangi kot!"

"Nor tanya betul-betul ni!"

"Nor cium abang bau busuk ke?"

"Huh!"

"Okey, nanti abang sembur minyak wangi. Biar wangi betul-betul."

"Nor tanya ni sungguh-sungguh!"

"Abang jawab ni betul-betullah! Nak cium abang sekarang? Abang dah mandi. Wangi ni!"

"Bencilah!"

Norlia terus meninggalkan Ghafar dan menyambung kerja mengemas laman rumah. Rajuk dan panas hatinya bila Ghafar cuma gelak-gelak.

"Nor, orang tua Ghafar bila balik dari Singapura?" tanya emaknya tiba-tiba.

"Tak tau, mak."

"Tak elok Nor dah jadi menantu depa, dah jadi isteri Ghafar tapi tak jumpa lagi emak, ayahnya. Tak bersalam lagi, cium tangan, minta restu."

"Nanti Nor beritahu Ghafar."

"Pujuklah dia. Jangan lengah-lengahkan. Apapun, restu orang tua ni penting." Lembut Mak Embun memujuk anaknya itu.

"Cakap dengan Ghafar elok-elok. Habaq kat dia, mak pun teringin nak kenai-kenai dengan besan mak. Tapi yalah, kita ni orang kampung, tak berharta. Takut depa malu."

"Insya-Allah, mak. Nanti Nor sampaikan pada Ghafar hajat mak tu. Jangan risau ya, mak?"

"Ghafar mana?"

"Dalam bilik. Tidur lagi kot."

Siang itu, tengah hari yang pertama Norlia bergelar isteri. Dia dengan penuh lincah membantu emaknya memasak di dapur. Lauk kampung tapi apabila dimasak dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang yang melimpah, segala-galanya disempurnakan dengan penuh nikmat. Ikan baung salai lemak cili api sama pucuk gelugur, ada sambal bilis campur terung pipit dan ikan pekasam buatan Mak Embun.

"Dah siap hidang pergi panggil Ghafar," suruh Mak Embun pada Norlia. Saudara-mara dan jiran tetangga sudah tertanya-tanya, mana pengantin lelaki tak keluar bilik.

"Penat sangat kot." Mak Bedah yang ada sekali waktu itu tolong jawabkan.

"Amboi, kemain pengantin baru. Pengsan tidur tak bangkit-bangkit. Matahari dah segalah atas kepala woi!!!" usik Meh Lamin yang sejak semalam tolong menyental periuk.

"Mak ayah lelaki tak datang, ya?" Laju saja Che Wok bertanya.

"Dia orang ada dekat Singapura. Ghafar yang minta cepat." Pantas Mak Embun memintas. Memang soalan-soalan begitulah yang dibimbanginya. Terasa macam ada mulut-mulut yang tak mampu ditutup.

Pintu bilik terbuka sedikit. Norlia menolak perlahan-lahan. Sebaik sahaja pintu dibuka, langsir putih labuh dikuak sedikit.

"Ya Allah! Abang! Abang!!!"

Tidak percaya dengan apa yang dilihat. Norlia menggeletar dan jatuh melutut di tepi birai katil. Di situ Ghafar mengerekot. Lelaki itu seperti sedang khayal. Di tangannya ada sepuntung rokok. Di situ ada lilin, ada ceper, ada sudu... Ada serbuk putih. Ada alat suntikan. Allah! Allah! Apa semua ini?

Pandangan mata terasa gelap. Norlia menggoncang badan Ghafar. Menampar-nampar pipi lelaki itu. Ditumbuk-tumbuk dada lelaki itu. Ghafar nyata separuh sedar.

"Nak apa? Nor nak apa?"

"Abang, apa ni?" Suara bergetar, air mata meluncur deras. Norlia mengawal suara. Tidak mahu keadaan menjadi kecoh. Allah! Lelaki inikah yang aku nikahi semalam? Tuhan, lelaki inikah yang aku sandarkan seluruh jiwa dan perawan aku? Allah, pada Engkau aku mohon kasihan dan perlindungan!

"Jangan kacaulah! Pergi sana... Pergi sana! Jangan kacau."

"Abang, abang buat apa semua ni?" Dibaling picagari itu ke muka Ghafar.

"Jangan sentuh barang aku... Kau ni kacaulah!"

"Abang, ingat tak siapa Nor? Nor isteri abang!"

"Bini? Aku ada bini, ya? Malam nantilah kau jadi bini aku! Siang ni jangan kacau. Aku nak masuk syurga dulu!" Ghafar semakin merapu. Sesekali badannya menggeletar, sesekali menggelepar. Mata lelaki itu merah menyala, cukup menggerunkan Norlia. Sesekali menjadi kuyu. Khayal dengan dadah yang diambil.

Terjelepok Norlia di hadapan Ghafar. Allah! Kuatkan aku! Allah! Berikan aku jalan! Dibiarkan Ghafar di situ. Dibawa dulang nasi ke dalam bilik. Alasan paling santun dan manis, Ghafar pening, muntah-muntah keracunan makanan. Tak larat mahu keluar makan dengan keluarga.

Petang itu juga Norlia berbisik pada Mak Bedah.

"Astaghfirullah!"

"Tak taulah, Mak Bedah! Jangan cakap kat emak Nor, ya?"

"Tak! Tak! Nor percayalah Mak Bedah. Ya Allah! Habis macam mana?"

"Saya buntu, Mak Bedah."

"Sabaq, Nor. Hang baru sehari bernikah."

Mata bengkak, sembap dan sisa air mata tak dapat disorok. Orang sekeliling sudah berbisik-bisik.

"Si Nor tu awatnya? Muka seri pengantin langsung tak dak." Che Wok berbisik-bisik dengan Awang, anak bujangnya.

"Mak ni sibuk aje ambil tahu hal orang."

"Hah... Itulah! Dulu aku nak buat menantu, tak mau. Dah kena tebuk tupai ka? Tu yang tergesa-gesa bernikah. Laki dia pun apa masalah tak tau sampai tak mau keluaq bilik. Orang lain pengantin baru tak adalah duduk mengeram dalam bilik aje."

Mak Bedah menjegilkan mata mendengar umpat keji Che Wok.

"Dosa fitnah orang, Che Wok. Budak baik, lurus bendul macam Nor tu manalah buat benda tak senonoh," sanggah Mak Bedah sambil membantu menggulung tikar untuk dipulangkan kepada masjid.

"Huh, yang muka baik, yang muka suci itulah lagi tak boleh percaya!" Tercebik mulut Che Wok.

Awang segera meninggalkan emaknya kerana tidak mahu campur perbualan orang tua.

"Mak, kalau dah tak dak kerja, jom balik!"

"Kejap lagi siap kemas, aku balik. Ni tak ada sapa nak tolong. Kau tolong angkat semua tikar ni. Tunggu pengantin lelaki, sibuk siap badan nak ulit bini agaknya," sindir Che Wok lagi.

Mak Embun yang terdengar kata-kata itu terdiam tapi tidak mampu membalas. Hendak bertanya pada Norlia, dia tidak tergamak.

Sehari berlalu, seminggu beransur. Norlia semakin terkedu dengan takdir yang terbentang di hadapan mata.

"Sabaqlah, Nor. Benda dah jadi." Dia mengadu pada Mak Bedah.

"Nor tak tau nak buat lagu mana, Mak Bedah."

"Mak tau?"

"Tak. Dan kalau boleh sampai bila-bila biaq mak tak tau ya, Mak Bedah? Hancuq hati mak. Kami dahlah sebatang kara. Tak dak sapa-sapa. Nor berdosa besaq dengan mak." Mengalir air mata Norlia sewaktu mengadu pada satu petang yang hening di hujung sawah. Berteduh di bawah dangau kecil bersama Mak Bedah yang membawa bekal cucur jagung, Norlia mencurahkan segala-galanya.

Tujuh hari sudah berlalu. Tujuh hari seumpama tujuh puluh tahun. Membuka mata hati Norlia.

"Jali kawan Ghafar rupa-rupanya, Mak Bedah."

"Jali? Budak yang keluar masuk pusat pemulihan tu?" Mak Bedah terkejut bukan kepalang.

Norlia mengangguk.

"Mana tau?"

"Nor nampak Jali curi-curi jumpa Ghafar masa di rumah."

"Allah!"

"Nor dapat bercakap dengan Jali masa Ghafar pergi pekan kejap."

"Cakap apa?"

"Jali tak mahu cerita awalnya. Nor paksa."

"Apa yang dia beritahu?"

Norlia perlahan-lahan menyusun kata, menyelongkar semula kisah yang didengar daripada Jali. Satu demi satu, semuanya mencarik-carikkan nalurinya sebagai isteri. Terasa impiannya mencari imam dalam keluarga, punah begitu saja. Angan-angannya mahu mereka berpimpinan ke jannah umpama satu perkara yang mustahil.

"Kata Jali, sejak umur 17 tahun Ghafar dah menagih. Mak ayah dia memang orang senang tapi dia hidup bergelandangan. Kadang-kadang lari ke Kuala Lumpur. Kadang-kadang tidur bawah jambatan. Ikut suka mana dia sempat."

"Astaghfirullah!" Berulang kali Mak Bedah mengurut dada. Bertaut keningnya merenung Norlia.

"Satu peringkat, kata Jali, orang panggil Ghafar, Dr. G. Kalau ada yang nak cucuk, jumpa Dr. G dekat bawah kolong jambatan Jalan Tun Perak," sambung Norlia. Setiap satu khabar yang dikongsi dihela nafas berat.

"Bawah kolong? Jalan Tun Perak tu kat mana?"

"Dekat Kuala Lumpurlah, Mak Bedah."

"Ya Allah! Kita ni manalah tau tu semua."

"Tak tau nak katalah, Mak Bedah. Nor ni memang bodoh serba-serbi agaknya. Tu yang kena tipu dengan lelaki." Suara itu kedengaran sebak.

"Jangan cakap macam tu, Nor. Ni bahagian hidup masing-masing. Tapi jangan putus asa, mana tahu Allah bagi peluang Nor kutip pahala. Kalaulah ditakdirkan Ghafar berubah sebab jumpa Nor, bukan ka tu dah dianggap jihad Nor dalam rumah tangga? Jangan putus asa, Nor."

"Entahlah, Mak Bedah. Kata Jali, Ghafar selalu lolos kalau polis cuba tangkap dia."

Terngiang-ngiang telinga Norlia apabila Jali bagai membuka satu hikayat hitam hidup Ghafar, lelaki yang sah menjadi suaminya, rupa-rupanya penagih dadah tegar.

"Orang-orang dekat Flat Hock Ann, Jalan Masjid India, Jalan Alur dengan Jalan Melaka, semua kenai Ghafar. Budak-budak kutip besi, abang kawasan jaga parking semua tahu sapa dia." Lancar saja cerita Jali bila Norlia gumpalkan duit RM10 tiga keping ke dalam kocek bajunya. Matanya liar memandang keliling.

"Jalan Melaka? Dekat mana?" Norlia keliru. Terlalu banyak hentian rupa-rupanya Ghafar. Allah! Aku saja perempuan bodoh yang tak kenal dunia, yang buta-buta ditipu Ghafar.

"Jalan Melaka tu dekat Kuala Lumpur. Orang macam kami panggil jalan tu Mafia Lane. Sejak ke sanalah, Ghafar jauh dari keluarga."

"Dia bukan ada sambung belajaq?"

"Belajaq?"

"Haah... Bukan ada projek apa-apa ka?'

"Hahaha! Nor, kau kena kencinglah dengan Ghafar."

Muka Norlia menyirap menahan marah.

"Banyaklah dia punya sambung belajaq. Jadi apa? Jadi doktor kot! Dr. G, tukang suntik kawan-kawan!" Berdekah-dekah gelak Jali. Gigi yang penuh karat dan ada yang tinggal tunggul hitam, menjijikkan Norlia.

Awan putih di hujung sana tampak sayup dan semakin sayup. Ikutkan jiwa yang rebah, Norlia mahu menjerit minta dijatuhkan talak. Ikutkan badan yang longlai, dia mahu diam-diam mengurungkan diri.

Ya Allah! Apalah daya aku?

"Nor!"

"Nor!"

"Nor!"

"Sudah jangan menangis lagi. Benda dah jadi. Kuatkan semangat, Allah menguji mungkin nak beri kekuatan pada Nor," pujuk Mak Bedah berulang kali. Tubuh Norlia didakapnya bagai mahu berkongsi segala kesedihan.

"Orang kaya memang sentiasa kaya, sentiasa senang ya, Mak Bedah. Orang susah, orang yang tak ada apa-apa macam Nor ni memang sampai bila-bila tak layak rasa hidup tenang ka, Mak Bedah?" Air mata deras mengalir. Angin sawah bertiup perlahan.

"Tak baik cakap macam tu. Hidup kita ni semua sama aje. Kaya ke tidak, esok lusa, kalau Allah jemput pulang, itulah kain kafan aje yang kita pakai, Nor."

"Nor berdosa dengan mak, Mak Bedah."

"Bukan kita nak jadi macam ni."

"Nor tak ikut cakap mak. Patutnya Nor dengaq apa mak kata hari tu."

"Allah ada. Ingat tu, Nor."

"Nor rancang macam mana sekarang?"

"Buntu, Mak Bedah."

"Nak bawa ke pejabat agama?"

"Pejabat agama? Buat apa?" Bulat mata Norlia merenung Mak Bedah. Selendang yang melingkar di kepala, dibetulkan letaknya.

"Kot-kotlah Nor nak mengadu, minta nasihat."

"Tak, Mak Bedah. Lagi kecoh nanti. Biarlah Nor harung dulu. Nor ni dah macam tercampak tengah-tengah laut. Salah sendiri. Mak dah pesan, mak dah nasihat. Sekarang sorang-sorang kayuh perahu. Depan berombak, belakang ada ribut, Nor redah ajelah."

"Tak tahu Mak Bedah nak tolong macam mana, Nor."

"Tak apa. Mak Bedah sudi dengar segala masalah Nor ni pun dah seribu rahmat."

"Buat masa ni..."

"Buat masa ni, Nor rancang nak pindah rumah. Biarlah Nor sorang aje yang pikul masalah ni. Mak tak salah apa-apa. Nor tak mahu mak susah hati sebab Nor."

"Sampai bila Nor nak sorokkan hal ni?"

"Selagi boleh. Selagi keadaan macam ni." Suara itu tersangkut-sangkut.

"Nanti Mak Bedah tolong Nor carikan rumah sewa, ya? Kecil pun tak apalah. Tak mahu dekat-dekat sini. Biarlah jauh sikit."

"Nak bawa diri ke mana, Nor?"

"Bukan nak bawa diri, Mak Bedah. Biarlah Nor tenang dulu, biarlah Nor cuba hidup dengan Ghafar sendiri. Pandai-pandailah Nor cari tempat baru nak ambil upah menoreh."

"Ghafar setuju?"

"Tak cakap lagi. Tapi entah-entah dia lagi suka." Norlia mengetap bibir. Seribu persoalan berkecamuk dalam fikiran.

Norlia terjeda. Pandangan mata dibuang jauh-jauh merentasi langit yang terbentang luas. Terasa mahu didaki langit yang tiada sempadan itu. Mahu ditanya pada awan, di mana pelangi rumah tangga yang dicari? Di mana kekasih hati yang dinanti? Allah! Pada-Mu aku berserah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro