BAB 2
"Nor, abang tinggal dua minggu aje lagi dekat kampung ni."
"Abang nak ke mana lepas ni?"
"Sambung pengajian."
"Oh! Kat mana?"
"Tak pasti. Kadang-kadang abang ke Pulau Pinang. Kadang-kadang ke Kuala Lumpur."
"Jauhnya."
Belum apa-apa ada rasa dalam dada yang bergetar. Mendengar nama Kuala Lumpur, bertambah sayu perasaan Norlia. Oh, tak dapat dibayangkan. Tak pernah walau sekali dia jejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Paling jauh pun dia cuma pernah sampai ke Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam. Ah, sabarlah hati!
"Seronok jadi abang. Dapat berjalan merata!"
"Isy, ni untuk kerja saja. Kalau bukan, abang pun kalau boleh tak mau pergi jauh-jauh. Badan dah tua, tak larat nak berjalan!"
"Tua? Tua apanya macam ni? Uban pun tak nampak!"
"Isy, betullah... Abang dah tua. Nor tak percaya ke?"
"Eh, tak nampak langsung tuanya. Badan kuat, muka segak... Dah tu, dok belajar lagi. Mana nak mai tua pula? Bertuah sapa jadi bini abang nanti!"
"Muka abang segak, ya?" Ghafar tersenyum nakal.
"Bertuah siapa jadi bini abang, ya?"
Muka Nor serentak menjadi merah padam.
Awatlah hang ni? Mulut tu tak dak penapis langsung! Tak pasai-pasai termalu sendiri! Yang hang pi sebut dia segak tu pasai apa? La ni dah mamat ni dok perasan sendiri. Tu sapa nak jawab tu? Aku jugalah, Nor oiii! Nor memarahi dirinya sendiri dalam hati. Dia membuang pandang ke arah lain bagi menutup rasa segan yang melimpah-limpah. Suasana bagai terjeda seketika.
"Abang rasa abang macam payah aje nak pergi," ujar Ghafar tiba-tiba memecah kesunyian.
"Payah kenapa?"
"Nor rasa kenapa?"
Norlia berpaling memandang Ghafar. Mata mereka bertentang seketika. Hai la Ghafar ni... Kenapalah mata aku tak boleh lepas daripada pandang mata hang? Awatlah aku tak boleh hilangkan wajah hang daripada fikiran aku? Dan sekarang... Bila hang dengan aku duduk macam ni... Aku rasa... Haih, Nor!!! Gatai sungguh hang ni! Takkanlah dia tu nak kat hang! Hang tu dah la perempuan kampung saja. Mengaji pun tak tara mana. Tora-tora saja lebih! Ingat ni Tora datang lagi ka macam dalam TV tu?
"Nor?"
"Oh, hah? Ya, abang? Maaf, maaf... Apa abang tanya tadi?"
"Nor ni... Kuat betul berangan!"
"Alah, bukan berangan apa pun..."
"Kuat berangan!"
"Tak ah!!! Ni, otak Nor ni... Errr... Dok fikir pasal getah sekerap!"
"Alah, macamlah abang baru kenal Nor semalam. Dah jangan nak lari topik."
"Mana ada Nor lari. Nor elok saja duduk sebelah abang ni. Berganjak setengah inci pun tak ada!"
"Okey, okey... Cakap dengan Nor ni macam cakap dengan ahli dewan negeri. Ada saja benda nak dijawabnya!"
"Alah, Nor habaq benda betoi saja! Hah, apa yang abang tanya tadi?"
"Hesy, lupa lagi dia ni! Abang cakap, abang ni macam berat aje nak pergi kali ni."
"Ohhh... Awat pula dah? Tak sihat ka? Salah makan ke semalam? Perut masuk angin kot. Abang nak ke jamban, ada kat belakang tu hah. Tapi kena tahan air dululah. Jamban luaq! Hahaha!"
"Nor! Dah habis merepek?"
"Errr... Okeylah. Tapi, kenapa abang tak mau pergi? Kan abang kata abang nak buat kajian untuk Malaysia."
"Yalah... Yang tu memang betul. Tapi ada sebab lain kenapa kali ni... Dia lain sikit."
"Lain macam mana tu, abang? Awat? Depa suruh abang menoreh pokok pisang pula ka?" Nor tergelak sendiri.
"Nor..." Ghafar sudah mula mengangkat kening.
Norlia tergelak kecil. Namun, sebenarnya... Dia seboleh mungkin mahu lari daripada bercakap soal ini. Gerak hatinya mengatakan Ghafar ingin memberitahu sesuatu kepadanya. Sudahlah semenjak dia tahu yang Ghafar ingin pergi, separuh hatinya seakan-akan sudah terbang pergi. Dan kali ini, entah kenapa... Dia takut untuk mendengar kata-kata Ghafar. Bimbang kalau-kalau harapan yang hanya tinggal cebisan itu hilang ditiup badai yang bakal tiba.
"Nor ni nakallah... Asyik nak merepek aje dari tadi."
"Mana ada nakal... Ingat Nor ni budak-budak ka? Nor pun dah tualah! Dah besar, dah boleh kahwin pun!"
"Betul ke?" tanya Ghafar. Norlia terdiam menggigit bibir.
Ghafar berpaling sedikit menanti jawapan. Namun, apabila melihat gadis itu terus membisu, dia menyambung kata.
"Tadi Nor cakap, siapa jadi bini abang, perempuan tu bertuah, kan?"
"Errr... Ada ke?"
"Nor!"
"Ekkk... Okey. Kalau ada pun, kenapa? Erm... Abang dah ada calon ka?"
"Ada."
Norlia terdiam. Mulutnya seolah-olah bisu. Hmmm... Aku dah agak. Orang segak macam dia ni, orang bandar macam dia ni... Mustahil kalau tak ada calon, kan? Mesti calon dia perempuan bandar. Orang bandar inikan segak-segak belaka. Badan semua cantik macam botol kicap. Tangan lembut, kulit cerah... Padanlah dengan dia.
Takkan dia nak pandang perempuan kampung macam aku. Dahlah kulit kasar, muka tak cerah mana... Nasib baik tak naik jerawat saja. Itu pun jenuh tiap-tiap malam sapu bedak sejuk jenama Kapal Korek yang dijual di kedai Ah Seng.
"Siapa calon abang tu? Mesti dia cantik."
"Ya. Sangat cantik pada pandangan mata abang."
"Dia mesti pandai masak."
"Entah. Tak pernah rasa lagi setakat ni. Sedap kot?"
"Alah, kalau perempuan tak pandai masak, macam mana nak jadi bini orang?"
"Abang tak kesah. Boleh belajar, kan?"
"Erm... Baguslah kalau macam tu."
"Tak nak tau ke siapa calon bini abang?"
"Kena tau ka? Tak payahlah."
"Nor kena tau..."
"Sebab apa?"
"Sebab... Nor orangnya."
"Huh? Apa dia?"
"Nor dengar, kan? Nor pilihan abang."
"Abang cakap apa ni? Abang toksah merapu pula."
"Nor... Abang ikhlas."
"Nor tak faham."
"Nor..."
"Nor tak faham. Nor tak mau faham. Lagipun, abang dah nak pi. Nak tinggalkan Nor."
"Kaki abang boleh melangkah, badan abang boleh pergi tapi hati abang ada pada Nor."
Berderau darah Norlia mendengarnya. Tertunduk seketika sebelum melemparkan pandangan ke arah sawah yang menghijau di hadapannya.
"Nor tak kenal abang sangat. Rasanya abang tak kenal pun sapa Nor."
"Lepas bernikah kita boleh saling kenal, kan?"
"Nor ni orang susah. Belajaq tak pandai."
"Biar abang habis belajar dulu, kemudian abang bantu Nor pula. Biar Nor pun dapat peluang belajar semula."
"Hesy, Nor tak pandai."
"Semua orang sama aje, Nor. Allah jadikan kita tak ada beza..."
Tiada jawapan daripada Norlia. Gadis itu seperti sedang menghadam segala kata-kata Ghafar.
"Nor diam maknanya setuju, kan?"
Gadis yang bermata redup bundar itu hilang kata-kata. Siang terasa malam, mentari tiba-tiba seperti bertukar menjadi bintang-bintang. Dan, kata-kata untuk lelaki itu tersangkut di rusuk awan.
Ya Allah... Tolonglah aku, Ya Allah... Macam manalah aku nak cakap dengan mak aku ni? Takutnya! Kalau satgi salah cakap, naya saja kena maki! Tapi... Kalau tak cakap, nak peram sampai bila? Takkan sampai jadi pekasam?
"Nak nikah? Nikah dengan siapa, Nor?" tanya Mak Embun sewaktu Norlia berkias-kias menyampaikan hasrat Ghafar.
"Ghafar," balas Norlia malu-malu.
"Budak mana?" Mak Embun menyoal lagi sambil tangannya laju menyiang ikan sepat dengan tilapia untuk dibuat pekasam.
"Alah, dia yang kadang-kadang ada dekat surau tu. Yang selalu tolong Lebai Man kemaskan surau. Siang hari dia ada dekat kebun getah Tok Telasiah." Berdebar-debar Norlia memberitahu emaknya.
"Kenai lagu mana ni? Berapa lama dah kenai yang tiba-tiba nak bernikah? Mak tak mahu kata apa. Tapi mak tak mahu Nor menyesai. Muda-muda dah cari tanggungjawab."
Norlia terdiam. Betul! Betullah kata emak! Tapi...
"Kenai mak ayah dia siapa? Keluarga dia orang mana?"
"Dia cerita gitu-gitu ja."
"Orang mana? Nor pernah jumpa ka mak ayah dia?"
Norlia geleng.
"Habis tu mak ayah dia restu ka? Tiba-tiba nak jadi menantu orang. Tak kenai, tak bagi salam nak masuk dalam keluarga orang. Nor fikir dak semua tu?"
Semakin tertunduk Norlia.
"Dia suruh bagi ni dulu kepada mak..."
Norlia mengeluarkan kotak kecil dari kocek baju kurungnya. Kotak baldu biru itu dibuka. Ada sebentuk cincin bertatah berlian bentuk hati.
Mak Embun terhenti menyiang ikan. Ditolak ke tepi pisau kecilnya. Ikan-ikan yang sudah siap dibuang perut, dibubuh ke dalam besen. Matanya kemudian merenung Norlia.
"Nor, kita ni orang Melayu. Jangan buat mak lagu ni. Memang kita ni tak dak harta. Tapi bab nikah kahwin ni kenalah ikut adat. Ikut tertib."
"Bukan macam tu, mak. Dia suruh Nor tunjuk ni dulu kat mak. Tanda dia bersungguh. Nanti dia kata kalau keluarga dia tak sempat jumpa mak, dia hantar wakil."
"Awat tergesa-gesa?"
"Dia nak cepat sebab dia nak balik belajaq."
"Belajaq? Belajaq mana? Habis tu kalau dia belajaq lagi, Nor macam mana?"
Norlia tergagap-gagap. Gugup dan berdebar dadanya disoal begitu oleh Mak Embun.
"Kami tak bincang lagi."
"Nor, kita ni orang susah. Kalau dia tu belajaq tinggi, Nor dah fikir habis ka? Nor tu sekolah pun tak habis. Tak pandai mana. Mana ni menjual ikan pekasam tepi jalan. Nor tu pandai apa aje pun. Tahu menoreh sama buat nasi lemak aje. Mak, ayah dia sanggup terima ka menantu orang kampung macam Nor?"
Mak Embun mencari jernih mata Norlia. Mahu menatap sendiri kesungguhan anaknya. Mahu menafsir sendiri cahaya cinta yang bersemarak pada wajah anak gadisnya itu.
"Ghafar kata nanti kawan-kawan dia mai wakilkan mak, ayah dia."
"Keluarga dia mana?"
"Katanya semua ada dekat Singapura. Uruskan syarikat keluarga ayahnya."
"Kot ya pun, takkan tak boleh balik untuk hal nikah kahwin anak? Dia duda ke? Ke laki orang?" Mak Embun masih tidak berpuas hati.
"Hesy, mak ni. Taklah."
"Habis tu kenapa macam tak sempat-sempat sangat? Rundinglah elok-elok dulu. Nak kahwin ni bukan untuk sehari dua."
"Ghafar kata takut dia pula tak ada cuti, mak."
Kalah Mak Embun apabila bersoal jawab dengan Norlia.
"Nor dah fikir masak-masak? Dah sanggup nak jadi isteri orang? Dah kenal sangat ka Ghafar tu?" Sengaja Mak Embun menekan. Luruh hatinya. Bukankah Norlia sebelum ni berjanji mahu bekerja, cari duit, bantu baiki atap rumah? Allah!
Norlia diam, tunduk dan lambat-lambat dia mengangguk.
Takpalah, Nor! Ni pilihan hang, kehendak hang. Hang yakin saja dengan jalan yang Allah dah buka untuk hang ni. Mana nak tau kalau-kalau yang ni adalah kebahagiaan yang hang cari selama ni!
Itulah permulaan yang tidak dijangka. Kisah yang tidak diduga membawa kepada takdir baru dalam hidupnya. Tiada persandingan besar-besaran. Tiada iringan orang tua Ghafar. Cuma rakan-rakan Ghafar yang tak berapa dikenali Norlia, bersama-sama mengaminkan doa tatkala ijab dan kabul dilafazkan. Bergenang air mata Mak Embun. Apalah yang mampu dilafaz, melainkan doa yang baik-baik untuk anak.
"Jangan bimbang, sayang. Yang lain tak penting. Rumah tangga kita, syurga kita. Kita boleh hidup bahagia. Syaratnya, kita masing-masing kena ada rasa cinta," bisik Ghafar pada Norlia selepas mereka diijabkabulkan.
Norlia membalas kucupan suami dengan menggenggam erat tangan sasa lelaki itu. Dan bermula malam itu, Norlia semakin faham, hadam dan khatam makna tersirat cinta... Semakin dia mengerti maksud cinta zahir batin dalam dua ikatan jiwa.
Tapi itu dulu. Itu sejarah lalu. Cerita yang ingin disimpan kemas-kemas, rapat dalam hati.
"Seharusnya, aku tahu diri dahulu! Allah, berikanlah aku kekuatan!"
Itulah yang menjadi zikir dan doanya saban waktu kini. Doa selepas dia bergelar isteri, zikir selepas dia bergelar ibu.
Ya, bukankah ketakutan yang maha hebat bagi seorang isteri, kehilangan sang suami pada saat isteri itu mempunyai kesempatan memiliki cinta suami?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro