BAB 15
Ilalang di luar berdesir disapa angin pagi. Harum bau rumput yang tertinggal di halaman rumah terasa amat dirindui. Wangi bendang bagai sama-sama menyambut kepulangannya ke rumah. Sekian lama terperap di hospital menghidu bau ubat, menatap tembok putih yang menjemukan amat mendera perasaan. Norlia lega apabila dapat kembali ke rumah bersama-sama Fatin. Anak itu masih lemah dan dalam rawatan tetapi alhamdulillah sudah dibenarkan pulang.
Norlia menjengah Fatin di dalam bilik. Anak itu tampak lena sungguh tidurnya. Kelihatan buku Apa Itu Kanser? di sisi Fatin. Norlia kemudian menjengah Riya dan Maarof.
"Adik! Abang! Bangun! Nanti lambat pi sekolah!" kejut Norlia apabila melihat anak-anaknya itu masih tidak bangun.
"Adik! Abang! Jangan buat ibu menjerit pagi-pagi ni."
Suara Norlia menyebabkan Fatin tersedar dari tidur. Dari jauh dia memerhati sahaja ibunya. Kemudian menoleh ke arah Riya dan Maarof yang masih bergulung di dalam selimut. Seronoknya adik-adik boleh ke sekolah! Hatinya berdetik rindu.
Norlia di dapur tidak menang tangan. Kelam-kabut dia menyudahkan kerja membungkus nasi lemak seorang diri. Biasanya dahulu Fatin yang membantu. Sambil membungkus nasi lemaknya, Norlia memanjangkan leher. Mengintai Riya dan Maarof. Ya Allah! Tak bangun lagi! gerutunya geram.
"Adik! Abang! Bangunlah cepat! Ibu nak bungkus nasi lemak ni. Kakak dah sakit. Sapa nak kejutkan hangpa kalau bukan ibu?" Suara Norlia semakin meninggi.
Maarof menggeliat malas. Riya masih lagi tidak boleh membuka mata.
"Cepatlah bangun!" Norlia semakin hilang sabar. Mendengar suara si ibu semakin nyaring, Fatin menarik nafas panjang. Menggeleng dia melihat Riya yang masih tidak bangun tidur.
Mata layu Fatin mencuri-curi pandang kelibat ibunya di dapur. Perlahan-lahan Fatin cuba untuk bangun dari tempat tidurnya. Terasa sangat berat dan sukar sebenarnya. Apabila berdiri terasa pening bukan kepalang. Tulang-temulang terasa bisa. Fatin gagahkan diri. Berpaut pada almari untuk berjalan. Dia seperti kembali bertatih. Perlahan-lahan dia mendapatkan Riya.
"Adik! Bangun, dik!"
Riya menggeliat sambil bangun dan duduk lemah.
"Hmmm... Malasnya nak pergi sekolah."
"Adik, bangunlah pi sekolah! Kasihan ibu tu, lebih lima kali kejut adik."
"Mengantuklah!"
"Adik, pi sekolah. Nanti dah sakit macam kakak rugi tak dapat pi sekolah," pujuk Fatin menyebabkan Riya tersentak. Mata yang kuyu terus terbuka besar. Malu tiba-tiba ditegur begitu oleh kakak yang tidak sihat.
Perlahan-lahan Fatin cuba mengejutkan Maarof pula. Tiba-tiba ibunya muncul.
"Fatin, ibu nak Fatin rehat. Jangan bergerak sangat. Fatin belum sihat betul. Biar ibu yang kejutkan adik-adik. Fatin tiduq semula, ya? Rehat betul-betul." Terkejut Norlia apabila melihat Fatin sudah bangun.
Fatin diam tidak menjawab. Memang betul kata ibu, dia masih terasa pening-pening lagi. Pandangannya seperti berkunang-kunang. Sekejap tampak kuning, sekejap kehijau-hijauan. Namun terbaring saja menyebabkan dia bertambah bosan.
Norlia terus berleter mengejutkan Maarof pula.
"Abang! Abang! Bangun!"
Alang-alang sudah terjaga, Fatin terus menuju ke dapur. Jalannya masih mengengsot. Amat perlahan.
"Dah berapa kali ibu pesan. Tiduq awal! Tiduq awal! Tak nak dengaq! Tiap-tiap hari macam ni. Liat sangat nak bangun!" Leteran Norlia bergema satu rumah. Sudah menghambat Riya dan Maarof, Norlia ke dapur semula.
Matanya bulat memandang Fatin. Terasa lelah dadanya pagi-pagi itu. Fatin dengan penuh lesu tampak melawan diri. Nasi lemak untuk jualan dibungkus Fatin perlahan-lahan.
"Ya Allah! Fatin... Berapa kali ibu nak kena cakap, Fatin rehat, jangan buat kerja." Terkejut bukan kepalang Norlia. Bimbang dia kalau-kalau Fatin rebah di dapur.
"Ibu, bosanlah tak buat apa-apa. Dahlah ibu tak kasi Fatin pi sekolah." Fatin meluahkan rasa jemunya asyik terkurung.
"Bukan ibu tak kasi. Doktor yang bagi Fatin cuti sakit."
"Tapi Fatin tak rasa sakit pun. Dah kurang."
Norlia terdiam. Dia tidak tahu macam mana mahu menerangkan kepada Fatin. Ya Allah, permudahkanlah urusan aku. Berikanlah aku cara terbaik menjaga anak yang terpilih dan diuji ini. Kalaulah ibu boleh beritahu Fatin, sel-sel kanser itu merosakkan Fatin dalam diam... Kalaulah ibu mampu mengucapkannya! Tapi ibu tak tergamak, sayang. Ibu tak mahu Fatin sedih. Ibu tak mahu tengok Fatin menangis. Norlia memujuk hati untuk bertabah.
"Ibu jangan risau. Ibu, bagilah Fatin buat. Fatin boleh jalan, ibu. Boleh duduk. Elok aja ni. Boleh ya, ibu? Fatin tolong ibu, ya?" Suara itu lembut merayu.
Norlia menggeleng. Cair hatinya apabila melihat Fatin bersungguh-sungguh.
"Hmmm... Buatlah, sayang. Tapi kalau Fatin rasa tak larat, Fatin tinggalkan aja, ya? Pi rehat dan baring," pesan Norlia dengan rasa serba salah.
"Terima kasih, ibu," balas Fatin dengan wajah yang terukir senyum. Sebak Norlia memandang wajah itu. Masih lesu namun kekuatan itu yang menzahirkan senyuman pada bibir Fatin.
"Abang ni tak masuk bilik ayaq lagi ka? Hesy, budak ni! Biaq ibu tengok abang kejap."
Fatin terus membungkus nasi lemak. Disempurnakan kerja itu dengan berhati-hati dan cermat. Norlia masih lagi meleteri Maarof yang liat untuk bangun pagi.
Fatin tiba-tiba terhenti seketika. Rasa sakit menyentap kepalanya. Badan meremang dan menjadi panas tidak semena-mena. Seluruh ruang rumah bagai berputar-putar.
Fatin berusaha untuk duduk tegak namun tidak mampu. Puas dia menahan badan yang hampir terjatuh. Sekelilingnya bagai dilanda gempa. Pandangan menjadi berpinar-pinar. Sekejap kehijau-hijauan. Sekejap berubah cembung.
Nafas semakin turun naik. Tanpa diduga ada sesuatu menitis dari hidungnya. Dia meraba. Ya Allah, darah!
"Ibu..."
"Ibuuu..."
Fatin cuba menjerit namun tertahan-tahan.
Mujur Norlia mendengarnya.
Norlia terpaku sesaat sebelum segera memeluk Fatin. Dicapainya tuala kecil untuk mengelap hidung Fatin.
"Fatin, ibu ada sayang! Ibu ada!"
"Fatin... Awat ni, sayang?"
Norlia memangku Fatin. Tubuh anaknya terasa panas. Fatin tampak pucat dan tercungap-cungap.
"Fatin... Tahan ya, sayang?"
Maarof yang baru saja bangun dan Riya yang selesai mandi tergamam melihat keadaan Fatin. Hidung Fatin masih lagi berdarah.
"Fatin... Baring ya, sayang? Ibu ada ni." Norlia memujuk Fatin untuk berbaring. Tangannya pantas mengambil minyak angin. Dioles minyak yang berbau serai wangi itu perlahan-lahan ke kaki dan betis Fatin. Kemudian dia ternampak sesuatu.
"Fatin ada jatuh ka?"
Fatin menggeleng.
"Ada terhantuk kat mana-mana?"
"Tak."
Norlia mengangguk dan terus mengurut betis Fatin dengan lembut. Kesan-kesan lebam pada kaki dan betis Fatin itu membuatkan dia teringat kata-kata Doktor Ben yang merawat Fatin.
Tangan Norlia mengusap perut Fatin.
"Fatin rasa senak ya, sayang?"
Fatin mengangguk. Norlia merenung anaknya itu dengan rasa sayang dan simpati yang melimpah. Fatin memalingkan badan sewaktu tangan ibunya cuba merasa lagi perutnya.
Perutnya terasa sedikit keras dan tidak selesa.
Terkenang kata-kata Doktor Ben. Sewaktu bertemu Doktor Ben memang macam-macam ditanya. Fatin selalu letih tak? Ada atau tak tanda lebam-lebam pada badan? Keliru Norlia untuk menjawabnya. Fatin memang lasak. Budak kampung. Memang perkara biasa baginya kalau tengok Fatin ada bertanda lebam pada badan. Nak pula Fatin selalu ligat di padang. Kalau setiap pagi dan petang berlatih tentu pulang rumah Fatin tidur pengsan!
"Puan kena faham. Leukemia ialah sejenis barah yang membabitkan sel darah putih. Sel darah merah, putih dan pembeku terbentuk dalam sumsum tulang, terutama di bahagian tulang pinggul. Bayi juga mengeluarkan sel darah di bahagian tulang dada. Sel yang dikeluarkan tidak matang dan melalui proses pematangan di dalam sumsum tulang sebelum dikeluarkan ke salur darah. Dalam kes leukemia, sel darah putih tidak normal dan tidak melalui proses kematangan seperti biasa. Bilangan sel darah putih juga sangat banyak dan ini mengganggu bilangan sel darah merah dan sel pembeku."
"Akibatnya, sel darah merah berkurangan, menyebabkan pucat dan sel pembeku juga berkurangan, menyebabkan mudah lebam. Sel leukemia juga boleh menyebabkan hati dan limpa bengkak." Sangat berhemah dan jelas penerangan Doktor Ben waktu itu. Norlia tidak mampu menghadamkan kesemuanya. Manalah dia nak tangkap semua istilah perubatan yang Doktor Ben sebut. Tapi semua tanda tu memang ada pada Fatin!
"Ibu... Ibu... Darah!" Suara Fatin merengek. Dia terkejut dari lamunan. Norlia memandang tepat ke muka Fatin.
"Astaghfirullah! Apa tu, Fatin?!"
Allah saja yang tahu gelora dalam hati Norlia melihat darah tiba-tiba mengalir dari hidung Fatin.
Pantas dia mencapai tuala kecil. Dilapnya hidung dan mulut Fatin yang terpercik dengan lelehan darah. Tipu kalau kata dia tak cemas. Tapi Norlia tahu dia kena tunjuk tenang di depan Fatin.
"Fatin nak minum sikit?"
Fatin menggeleng.
"Ibu, Fatin rasa mengantuk." Suara itu lirih.
"Tiduqlah, sayang... Fatin rehat, ya?"
"Ibu... Kalau kena pergi kerja, ibu pergilah. Fatin tak apa-apa."
Hati Norlia terasa seperti dihiris-hiris. Kau anak yang baik, sayang!
Norlia mengangguk. Dia terasa seolah-olah dia gagal menjadi ibu yang baik buat Fatin. Tidak mampu memindahkan rasa sakit itu jauh dari Fatin. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan!
Dalam keadaan cemas dan menggeletar, dia mengarahkan Maarof dan Riya cepat bersiap. Dua beradik yang terkejut melihat kakak mereka tiba-tiba hampir rebah, pantas mencapai baju sekolah dan beg sekolah.
"Fatin, ibu hantaq abang dengan adik pi sekolah dulu ya, sayang? Nanti Mak Bedah mai tolong tengok-tengokkan Fatin," bisik Norlia sambil mengucup anaknya itu berkali-kali. Panas pijar dahi Fatin. Menambah debar dalam dada Norlia. Seribu kemungkinan berputar dalam fikirannya.
Norlia berjalan dengan pantas sambil memimpin Riya dan Maarof yang sudah siap berbaju sekolah.
"Mak Bedah! Mak Bedah!"
Mak Bedah menjenguk melalui tingkap.
"Kenapa ni, Nor? Cemas sangat?"
"Fatin... Dia tak sihat. Boleh Mak Bedah tolong tengokkan dia? Saya nak hantaq budak-budak ni pi sekolah. Dah lambat dah ni," pinta Norlia dengan wajah penuh pengharapan.
"Dia pengsan lagi ka?" Mak Bedah cemas.
"Tak. Hidung dia berdarah."
"Ya Allah! Kesian budak tu. Ha, yalah. Aku turun ni." Pantas Mak Bedah mencapai selendangnya.
"Terima kasih, Mak Bedah."
"Hang kerja hari ni, Nor?"
"Terpaksa, Mak Bedah." Suara itu lemah tidak berdaya. Serasa tubuhnya dibelah dua. Satu tertinggal di rumah dan satu lagi terpaksa diseret ke kebun getah. Apalah pilihan yang dia ada?
"Tak apalah, Nor. Kalau ada apa-apa nanti Mak Bedah tengok-tengokkan. Hang kerja janganlah susah hati. Hang nak membanting tulang. Biar Mak Bedah uruskan Fatin," ujar Mak Bedah yang melangit rasa simpatinya kepada Norlia.
Mak Bedah turun dari rumahnya menuju ke rumah Norlia. Manakala tiga beranak itu berjalan kaki menuju ke sekolah. Maarof dan Riya terpaksa mengikut langkah laju Norlia. Norlia tampak melayang jauh memikirkan masalah yang datang bertimpa-timpa. Badan dan kakinya melangkah namun batinnya berada di rumah bersama-sama Fatin.
Riya sesekali mendongak memandang ibunya. Rasa tertanya-tanya tidak mampu dibendung.
"Awat hidung kakak berdarah, ibu?" Lancar saja Riya bertanya.
"Adik tanya banyak kali tadi, ibu tak cakap apa pun," sahut Maarof pula penuh rasa tak puas hati.
Langkah deras Norlia bagai terhenti sesaat. Bibirnya terketap rapat.
"Ibu tak boleh cakap tadi. Ibu kesian kat kakak. Kita semua kena jaga hati dia. Kita tak boleh bagi dia susah hati. Kakak sakit kuat. Sebab tu hidung dia berdarah." Payah sebenarnya untuk Norlia menerangkan kepada dua anak yang masih kecil itu. Namun dia tahu, anak-anak ini harus diberi jawapan.
Maarof terus teringatkan sesuatu.
"Kakak sakit kanser?" Spontan dia menyebut biarpun dia tak berapa jelas maksudnya.
Zasss! Kering darah di muka Norlia mendengar perkataan kanser disebut oleh Maarof. Tidak berkelip dia merenung muka Maarof. Anak yang tidak bersalah itu terkelip-kelip melihat reaksi ibu mereka.
"Siapa beritahu abang?" Tajam Nor merenung anaknya. Sekali lagi langkah pantas untuk ke sekolah bagai terhenti. Perasaannya berbaur. Antara marah dan sebak. Semua rasa ada.
"Abang baca buku yang hospital bagi kat kakak tu," sahut Maarof yang dipanggil abang dengan jujur.
Norlia mengeluh kecil. Allah! Dia terpaksa terima hakikat yang Maarof juga tahu hal ini.
"Kanser tu apa, ibu?" soal Riya pula.
"Kanser tu kuman dalam badan yang boleh buat orang jadi lemah." Seluruh tubuh terasa longlai. Norlia semakin hilang tenaga awal pagi itu.
"Errr... Orang sakit kanser boleh... Boleh mati kan, ibu?" Tergagap-gagap Maarof bertanya. Pertanyaan yang dihambat rasa ingin tahu sebetulnya.
Dia sudah curi-curi baca buku Apa Itu Kanser? tapi banyak perkara yang menimbulkan rasa kelirunya. Kanser penyakit yang boleh menyebabkan kematian. Kalau macam tu maknanya kakak nanti akan mati ke? Hatinya bergolak ingin tahu.
"Abang! Jangan cakap lagu tu! Kata-kata tu doa. Kakak mesti hidup! Kakak mesti sihat! Ibu tahu! Sudah! Ibu tak mau dengaq anak-anak ibu cakap macam ni lagi. Faham? Tau semua?!" Nada Norlia tegas dan garang. Hatinya berbara menahan marah. Hendak dijerkah, anak-anak itu tidak bersalah.
Maarof terdiam dan tertunduk.
"Maafkan abang, ibu!"
Dua beradik itu sudah menikus.
"Baik! Baik... Dengaq sini. Abang, adik. Mulai hari ini ibu nak abang dengan adik jangan susahkan kakak lagi. Ya, selama ni kakak dah jaga kamu berdua. Kakak dah tolong kejutkan kamu bangun sekolah. Kakak gosok baju. Kakak tolong kamu buat kerja sekolah. Mulai hari ini, ibu nak kamu berdua janji. Kamu berdua kena buat kerja sendiri. Boleh?" pujuk Norlia meredakan ketegangan sebelum kedua-duanya selamat sampai ke pagar sekolah.
"Kami janji, ibu!" Serentak Maarof dan Riya berikrar dan janji.
Mereka berpisah di pagar sekolah. Tangan Norlia dikucup oleh Maarof dan Riya. Orang ramai di pagar sekolah menghantar anak masing-masing. Norlia menahan rasa untuk tidak menangis di situ. Cukup-cukuplah, Nor! Sampai bila kau nak meratap, nak menangis? Kau perlu kuat untuk anak-anak kau! jerit hatinya mencari kekuatan diri sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro