BAB 14
Wad kanak-kanak itu sunyi. Suasananya umpama ada burung putih bertalkin pilu di setiap kamar yang ada. Bau ubat-ubatan sangat tajam menangkap hidung. Sesekali dikejutkan dengan denting peralatan rawatan yang dibawa masuk jururawat. Sesekali kedengaran bunyi tapak kasut doktor yang bertugas dan ditemani dua atau tiga orang jururawat.
Norlia tersandar lelah di atas kerusi malas dengan keadaan masih berwuduk dan bertelekung. Perca-perca kenangan menyerbu ke jiwa. Jauh dalam dasar hati, terasa pilu yang sangat-sangat. Dahulu sewaktu Ghafar meninggalkan rumah, pada anak-anaklah dia mencari kekuatan. Pelukan dan kucupan anak-anaklah yang menjadi penawar paling mujarab buat hati yang walang.
Tatkala terlalu sedih, dia meminta Fatin bersama-sama menunaikan solat taubat. Teramat manis nikmatnya biarpun mungkin Fatin belum memahami maksud penyerahan jiwa itu.
"Kita buat solat sunat taubat sebelum azan subuh hari ni ya, Fatin? Kita doa sama-sama. Kita minta Allah murahkan rezeki kita semua. Ibu menumpang rezeki Fatin dengan adik-adik aja. Ibu ni banyak dosa. Boleh ya, Fatin?" Norlia ingat sungguh satu subuh yang bening itu.
"Baca niat tu macam mana, ibu?" Fatin memang anak yang baik. Biarpun asal kejadiannya dari benih yang tulang sulbinya diselaputi dadah.
"Sebelum tu, Fatin ikut ibu dulu. Fatin baca kuat-kuat dulu. Biar ibu dengaq." Norlia melafazkan niat dan bacaan yang lain kemudian Fatin mengikutnya dengan penuh tertib. Fatin tidak juga bertanya mengapa dia diminta mendirikan solat sunat taubat.
"Ustazah pernah cerita. Solat ni untuk semua kesalahan budak-budak macam Fatin. Tak dengar kata ibu, tinggikan suara pada ibu, sakitkan hati ibu... Banyak ya, ibu kesalahan Fatin?"
Norlia sebak dan bergenang air mata. Anak sekecil ini alhamdulillah, Ya Allah... Kau hadiahkan kepada aku. Sesungguhnya aku bukanlah ibu yang baik. Jauh daripada sempurna. Norlia terus berlayar dalam gelombang kenangan. Cuba mengimbas perjalanan hidupnya sendiri. Bila ya kali pertama aku sendiri mengangkat takbir dan niat solat taubat? Allah! Rasanya selepas bergelar isteri! Selepas berasa diri penuh dosa!
Allahuakbar!
Tuhan, tolong berikan kami arah dan kasihan. Tenangkanlah jiwa hamba-Mu ini yang sedang gelisah dan marah.
Fatin tidur. Norlia yang masih tidak menanggalkan telekung, setia di sisinya. Mata sayunya memerhati wajah Fatin yang pucat. Norlia sedikit berkerut terkenangkan nasihat doktor.
"Kalau puan tak terangkan dari sekarang, anak puan juga yang susah nanti. Terutama bila dia kena tahan lagi lama di hospital... Kena ambil darah banyak kali. Dan badan dia semakin lemah." Suara Doktor Ben terngiang-ngiang di telinga. Air mata masih basah lagi di kelopak.
"Pesakit yang dah bersekolah macam Fatin tu biasanya boleh faham kalau ibu bapa terangkan dalam bahasa yang mudah, sesuai dengan umur mereka. Dan rawatan lebih mudah kalau pesakit tahu apa yang sedang berlaku pada diri mereka."
Norlia menarik nafas dalam-dalam. Tabah, Norlia! Kau harus kuat. Berterus-teranglah pada anak ini. Wajah Norlia seperti nekad mahu memberitahu Fatin. Tapi macam mana? Norlia terus berfikir dan berfikir.
Semalaman hujan begitu lebat. Saat itu Norlia melihat langit yang bersih. Seperti selalu, hujan adalah sebuah dukacita jika tidak sebaliknya. Dari tingkap kamar hospital itu, Norlia melihat kesedihan di bahu jalan. Anjing kecil seperti dalam belasungkawa yang dahsyat di sisi saudara atau sahabatnya yang kaku dihurungi burung-burung. Saat yang sama.
Pagi itu selepas solat subuh, Norlia mengumpul kekuatan perlahan-lahan. Dia menyorong Fatin di atas kerusi roda untuk mengambil udara pagi. Di taman kecil itu, Fatin leka melihat pepatung yang berterbangan dan enggan pergi jauh dari kudup mawar.
"Pepatung ni cantik kan, ibu?"
"Memanglah cantik."
"Tapi awat Allah cipta pepatung ni tak boleh hidup lama?"
Bulat mata Norlia merenung wajah pucat Fatin. Kemudian dia segera senyum. Jangan tunjuk muka sedih pada Fatin! Hatinya memberi peringatan.
"Sebab Allah nak bagi peluang pepatung hidup di syurga selama-lamanya."
"Ohhh..." Fatin mengangguk. Dia kemudian mendongak memandang langit. Masih ada awan yang mendung di hujung sana. Bergugus-gugus melindungi cahaya matahari.
"Pukul berapa sekarang, ibu?"
"Sekarang 10 pagi, sayang."
"Awat tak nampak pun matahari?"
"Hari ni mendung."
Fatin merenung jauh. Wajahnya seperti terkenang sesuatu.
"Fatin pikiaq apa tu, sayang?" soal Norlia yang menyedari anaknya seperti mengelamun.
"Fatin teringat padang sekolah, ibu. Kalau langit macam ni, semua risau. Takut hujan. Nanti tak dapat berlatih. Tapi kalau ada matahari semua seronok." Jujur Fatin berkongsi rasa.
Norlia termengkal seketika. Ada sesuatu yang hendak diluahkan namun terasa payah. Matanya bergenang.
"Kalau boleh tiap-tiap hari Fatin nak tengok matahari ada di langit. Tak sukalah mendung-mendung." Fatin mendongak memandang ibunya. Dan dia terkejut.
"Eh, awat ibu nangis?" Wajah Fatin sedikit cemas dan keliru.
Norlia terus duduk berhadapan dengan Fatin lalu memegang kedua-dua tangan anaknya itu. Semakin kurus jari-jemari Fatin. Susut sungguh Fatin sejak jatuh sakit.
"Fatin..." Air mata lebih pantas daripada bibirnya. Dia ingin ucapkan sesuatu tetapi tidak terdaya.
"Ibu kena cakap sesuatu pada Fatin. Kalau boleh ibu tak mahu cakap. Tapi kata Doktor Ben, Fatin kena tahu juga." Payahnya untuk menyudahkan sebaris dua ayat.
"Pasal sakit Fatin?" Anak kecil itu cukup bijak untuk meneka.
"Ya, tapi Fatin jangan risau. Ibu akan usahakan juga sampai Fatin sembuh. Ibu janji, ibu sanggup bawa Fatin berubat di mana saja. Tapi Fatin pun kena janji dengan ibu, ya? Fatin kena kuatkan semangat." Tangan kecil Fatin digenggam kuat oleh Norlia. Dikucupnya tangan itu dalam-dalam. Diusapnya kepala Fatin. Satu lagi kucupan singgah di dahi anaknya.
Air mata berjuraian dari pipi Norlia jatuh ke pipi Fatin. Anak kecil itu meraba-raba pipinya. Mata Fatin turut berkaca-kaca. Hatinya berdetak. Mesti penyakit aku ini bahaya. Sangat bahaya! Kalau tak, takkan ibu nangis macam ni! Kalau tak teruk, tentu ibu tak susah hati!
"Sakit Fatin ni teruk ka?"
"Tak, sayang... Tak!"
"Tapi, awat ibu nangis?"
Norlia semakin pilu. Air mata makin berjurai lebat.
"Apa sakit Fatin, ibu?"
"Doktor kata... Kanser." Terasa ada belati menikam jantung sendiri sewaktu menyebut kanser.
"Kanser?" Polos sungguh pertanyaan Fatin.
Norlia mengangguk penuh hiba.
"Kanser darah... Atau orang panggil leukemia." Tidak terpeta wilayah kedukaan yang menguasai diri Norlia ketika itu.
Walaupun Fatin tidak mengerti dengan jelas maksud leukemia, namun dia dapat rasakan penyakit yang serius dari reaksi ibunya. Dia mendongak ke atas. Pandangannya kosong. Dia masih tak faham apa itu kanser. Norlia terus mendakap semahu-mahunya Fatin yang kecil itu.
Ya Allah! Waktu ini aku cuma mahu memeluk anak aku ini, Ya Tuhan! Jangan Kau ambil dia dari aku! Jeritan itu bergaung dalam hati Norlia.
Kalau ada upaya, dia mahu pindahkan penderitaan itu pada tubuhnya. Ya Allah, Fatin terlalu kecil. Dia tak tertanggung Ya Tuhan segala kesakitan ni!
Norlia kemudian meraba sesuatu dari dalam beg yang digalasnya. Sebuah buku kecil dihulurkan kepada Fatin.
"Apa ni, ibu?"
"Doktor bagi. Untuk Fatin. Nanti Fatin baca, ya?"
Fatin merenung buku yang bertajuk Apa Itu Kanser? itu dengan erat.
"Untuk Fatin?"
"Ya, sayang. Doktor Ben yang suruh ibu beri pada Fatin," ujar Norlia yang sebenarnya serba salah untuk menyerahkan buku itu kepada Fatin. Buku khusus untuk kanak-kanak 9 hingga 12 tahun itu memang diedarkan di hospital-hospital besar seluruh Malaysia.
"Ibu..."
"Fatin boleh baik macam biasa ka?"
"Sapa kata tak boleh? Fatin kena sabaq sikit, ya sayang? Nanti bila dah sembuh, Fatin boleh pi sekolah," pujuk Norlia biarpun dirinya sendiri berdebar-debar sewaktu melafazkannya.
"Lama lagi ka, ibu?"
"Kita doa sama-sama ya, sayang? Jangan risau Fatin, semua orang sayang Fatin. Semua orang doakan Fatin cepat sihat, nak."
Berkaca-kaca mata bening Norlia menatap wajah pucat Fatin. Langit terus mendung. Terasa kematian begitu hampir dengan dirinya sendiri. Terasa malaikat maut sedang mengetuk jantungnya tatkala itu. Ya Allah! Betapa hampirnya aku sendiri dengan titik akhir diri ini! Ampunilah kami, terimalah taubat kami, Ya Allah Yang Maha Pengampun!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro