BAB 13
Bilik terpengap itu terasa meresahkan. Menatap lelap Fatin, amat meresahkan Norlia. Ribuan detik jam berlalu, Fatin terus lena dalam wajah yang pucat. Norlia lelah menunggu dengan seribu harapan.
Bau ubat mengapung di mana-mana. Setiap kolam mata penghuninya berbayang cerita sedih.
Tiba-tiba tubuh kecil itu bergerak-gerak. Tangannya tergapai-gapai mencari sesuatu.
"Kakak!" Riya menjerit sambil memandang ibunya.
Fatin cuba untuk bangun. Kepalanya masih terasa berat. Mata berpinar-pinar. Seluruh tubuh terasa amat sakit. Perlahan-lahan dia cuba mengamati. Pandangan masih kelam. Tapi yang pasti, sekelilingnya amat asing.
Norlia yang sejak tadi terkaku dan hanya tersandar di atas kerusi dengan wajah yang lesu pantas menoleh.
"Ibu! Kakak dah bangun!" Suara itu sedikit girang.
Norlia pantas menghampiri anaknya. Dicapai tangan yang sejuk itu dengan penuh rasa sayang.
"Ibu, awat Fatin ada kat hospital?"
"Fatin pengsan masa lumba lari."
"Pengsan? Fatin pengsan?" Bibir itu agak terketar-ketar. Kering dan terkelupas.
Fatin nampak bingung dengan keadaan dirinya dan keadaan sekeliling. Dia cuba recall apa yang berlaku.
"Maknanya, Fatin kalahlah?" Suara itu jelas kecewa. Norlia jadi tergamam. Serba salah untuk berterus-terang. Dia tahu ujian saringan itu segala-galanya buat Fatin.
"Fatin menang ke kalah, ibu?" Dengan segala kepayahan Fatin cuba memaksa diri untuk bertanya.
Norlia tak sampai hati mahu memberitahu. Tapi Riya menyampuk.
"Kakak sepatutnya menang. Kakak lari laju sangat. Kakak jauh ke depan. Tapi lepas tu..."
Cerita Riya terputus di situ apabila Doktor Ben yang mengawasi Fatin tiba-tiba muncul.
"Puan Norlia."
Norlia mengangguk. Matanya cemas dan dadanya berkocak kencang setiap kali berdepan dengan doktor.
"Boleh kita bercakap sekejap?" Doktor Ben meminta izin untuk berbincang sesuatu. Norlia keluar dari wad. Riya memandang ibunya dengan penuh rasa ingin tahu.
"Lepas tu apa jadi pada kakak, adik?" Fatin masih tidak puas hati.
"Lepas tu, tiba-tiba aja kakak macam joging." Suara Riya perlahan. Bimbang kakaknya kecewa. Namun pada masa yang sama, Fatin sesekali menoleh ke arah ibunya. Wajah ibu tampak berubah sewaktu berbual dengan Doktor Ben.
"Kakak tau? Masa tu semua jadi cemas!" Riya menyambung cerita. Namun Fatin sudah tidak berupaya untuk terus mendengar cerita adiknya.
Norlia yang tiba-tiba mengalirkan air mata menyebabkan Fatin berasa ingin turun dari katil. Pergi ke arah ibunya. Tanya ibu. Apa sebenarnya yang dah terjadi? Mahu digoncang tangan Doktor Ben. Apa yang doktor beritahu ibu sampai ibu menangis? Namun Fatin sekadar mampu terbaring di atas katil itu. Tubuhnya terlalu lemah untuk bangun.
Kelihatan wad pediatrik itu tenang. Tenang untuk sekian kali apabila menjelang malam, masing-masing cuba mencari kerehatan yang sementara. Katil di dalam wad pesakit-pesakit kecil ini banyak yang penuh. Setiap katil disediakan kerusi malas untuk kegunaan penjaga atau ibu bapa yang datang menemani.
Semua katil tidak ditutup dengan tirai. Hanya ada satu katil sahaja bertutupkan tirai.
Di sebalik tirai itu, kelihatan Nor sedang bertelekung dan duduk di atas sejadah di sisi katil Fatin. Kelihatan Fatin terlantar dengan wajahnya pucat. Norlia baru selesai solat tahajud. Dia memandang Fatin dan menadah tangan berdoa. Hiba menguasai diri sewaktu mengadu pada Yang Esa.
"Ya Allah, aku berharap sangat yang pemeriksaan doktor tu silap. Anak aku tak apa-apa. Esok, dia boleh kembali ke rumah dan pergi ke sekolah macam biasa. Ya Allah, Ya Tuhanku. Ya Allah Yang Maha Kuasa. Yang Maha Mengetahui. Maha Menentukan. Perkenanlah permintaanku ini, Ya Allah. Amin ya rabba 'al lamin."
Seminggu sudah berlalu. Setiap hari dinantikan dengan penuh debar. Fatin merengek untuk pulang. Sudah beberapa kali Fatin merajuk apabila hajatnya untuk keluar dari hospital tidak tertunai.
Setiap hari sudah menjadi rutin Riya dan Maarof untuk ke hospital selepas waktu sekolah. Hari itu mereka bersama Norlia membawa bekalan gulai ayam kampung kesukaan Fatin. Namun dua beradik itu masih tertanya-tanya. Sepanjang melangkah menuju ke kamar hospital, mulut dua beradik itu tak henti-henti bertanya itu dan ini. Asyik sungguh bercakap tanpa pedulikan orang sekeliling. Mereka tidak sedar, Doktor Ben berada di belakang mereka. Niat mahu menegur, namun Doktor Ben jadi terkelu apabila dua beradik itu terlalu petah bertanya perihal sakit Fatin sehingga Norlia sendiri tidak terjawab.
"Kakak sakit apa, ibu?" soal Riya sambil tangannya menjinjing beg kecil berisi tuala mandi dan bedak serta cermin kecil untuk Fatin.
"Kakak sakit biasa-biasa aja," balas Norlia acuh tak acuh.
"Sakit biasa? Tapi kenapa duduk hospital lama? Peliklah," sampuk Maarof pula. Sejak hari pertama Fatin di hospital, hatinya penuh dengan rasa curiga. Kenapa semua orang macam tak layan soalannya? Tanya pada Mak Bedah pun Mak Bedah macam tergagap-gagap untuk bercakap. Semua orang dewasa yang tahu macam tak mahu cerita sangat pasal penyakit kakaknya.
"Jangan banyak tanya boleh dak? Nah... Tolong bawa makanan ni pi katil kakak. Ibu nak pi tanya nurse bila doktor nak datang check kakak." Letih dan risau menyebabkan Norlia gagal mengawal perasaan. Terdiam beberapa ketika Riya dan Maarof.
Mereka ambil mangkuk tingkat dari tangan Norlia dan terus pergi. Sebaik hilang kelibat Riya dan Maarof, Norlia yang tadi seperti sesak nafas dengan soalan bertubi-tubi anak-anaknya tersandar di tepi dinding. Matanya terpejam rapat. Berulang kali dia beristighfar. Sebaik dia membuka mata, dia terkejut sedikit.
"Huh? Astaghfirullah, Doktor Ben! Terkejut saya." Norlia melihat Doktor Ben sedang berdiri tercegat memandangnya.
"Maaf, puan. Errr... Adik-adik Fatin belum tahu?" tanya Doktor Ben dengan wajah yang berkerut.
Norlia mengangguk. Wajahnya suram dan tampak bersalah.
"Fatin sendiri pun belum tahu, kan?" teka Doktor Ben.
Norlia semakin rasa bersalah dan terpaksa angguk sekali.
"Saya faham. Bukan mudah puan nak terangkan. Perkataan kanser itu sendiri menakutkan. Apa lagi nak terangkan pada budak-budak yang tak tahu apa-apa." Doktor Ben menarik nafas. Cuba menahan diri untuk tidak menunjukkan yang dia juga tewas dengan emosi. Sebagai doktor dia harus positif.
"Ya, doktor. Saya tak tau macam mana nak terangkan. Dan harap sangat doktor... Doktor tersilap." Norliya tertunduk selepas itu. Dia tahu bunyinya seperti tidak reda dengan takdir. Tapi bukankah tidak salah untuk seorang ibu mengharapkan keajaiban untuk anak kala begitu?
Doktor Ben memandang Norlia dan tahu wanita itu masih tidak dapat terima kenyataan.
"Kami tak buat silap, puan. Tapi ibu bapa pesakitlah yang selalu membuat silap apabila cuba merahsiakan daripada anak mereka." Lembut Doktor Ben cuba menyampaikan maksud tersirat.
Jantung terasa terlucut dari sangkar dada. Muka Norlia terasa seperti dilempang secara halus dan berhikmah oleh doktor. Tuhan, berikan aku kekuatan! Tuhan, Kau hentikan air mata aku di hadapan Fatin! Norlia merintih dalam hati.
"Memang tujuan ibu bapa nak melindungi, nak jaga perasaan anak. Tapi tindakan tu lebih membuatkan pesakit takut, bimbang dan tertekan. Carilah cara memberi semangat pada anak tapi tidak dengan cara menolak hakikat. Saya yakin Puan Norlia ibu yang hebat. Sebab puan hebat maka puan diuji begini." Ungkapan Doktor Ben membuatkan Norlia tambah terpempan. Semakin menangis dia dalam hati.
Norlia cuba menunjukkan wajah tenang dan manisnya di hadapan Fatin. Sewaktu jiwa merusuh, akal terganggu dan keteguhan hati bergegar, dia bertanya pada Tuhan.
"Ya Rabbi, mengapa aku yang Kau pilih? Mengapa tidak orang lain? Mengapa aku yang Kau uji dengan suami seperti Ghafar?"
"Ibu menangis ka?" tanya Fatin apabila melihat mata bengkak Norlia.
"Taklah."
"Habis tu, awat muka ibu macam sedih sangat? Ibu sedih fasal Fatin ka?"
"Bukan, sayang."
"Ibu... Fatin sakit apa, ya?"
"Emmm... Oh! Doktor Ben tengah periksa lagi masalah Fatin. Kalau dia dah beritahu ibu, nanti ibu terus beritahu Fatin ya, sayang?"
Norlia mendakap anaknya. Sekuat yang mampu. Tidak mahu dilepaskan kalau boleh. Hati Fatin berdetak. Esakan ibu amat dirasai. Badan ibu bergetar sewaktu memeluknya. Kenapa, ibu? Kenapa dengan Fatin? Tapi dia tidak mampu mengucapkannya.
Petang itu Mak Bedah dan Pak Ali datang menziarah Fatin. Sengaja Mak Bedah mengajak Norlia solat asar bersama-sama di surau. Mahu mengambil peluang menenangkan Norlia.
"Nor, ingat cakap Mak Bedah ni. Tuhan tak pernah meragui kita. Tuhan tak pernah mencurigai hamba-Nya. Tapi awat kita mesti ada rasa syak wasangka pada Allah S.W.T? Nyawa kita sendiri hanya Allah S.W.T yang memegangnya. Kalau sakit sekalipun, Allah yang menentukan darjah kesakitan kita, Allah yang akan beri kita kesembuhan. Bukan doktor, bukan ubat, bukan hospital mahal." Norlia terjeda.
Air mata mahu jatuh tapi ditahannya.
"Ingat Fatin! Kegembiraan Nor pada Fatin bukan? Fatin itu hadiah dari Allah S.W.T. Anak-anak yang lain pun begitu. Anugerah untuk Nor. Bersyukur, Nor. Tak semua perempuan Allah bagi peluang rasa nikmat hamil, rasa nikmat melahirkan anak. Ini peluang untuk Nor mengutip pahala sebanyak-banyaknya. Allah kirimkan peluang tu melalui Fatin."
Huh! Dada terasa sangat berat dan ketat. Nafas tersekat-sekat. Norlia diam dan mengangguk.
"Sakit tu pencuci dosa. Allah nak bagi peluang pada Nor dan Fatin. Jangan berkeluh." Lembut Mak Bedah menuturkannya. Air mata sendiri berderai. Dia cuba tak mahu menangis di depan Norlia, tapi dia juga seorang perempuan.
"Nor tak kesal tapi kadang-kadang rasa sedih. Rasa macam hidup ni tak adil. Tengoklah, dalam keadaan macam ni pun ayah Fatin masih tak pedulikan dia. Awat ada lelaki jadi bapa macam ni?"
"Kalau semua lelaki macam nabi, macam malaikat, tak dak pula lelaki dalam neraka nanti, Nor!" Mak Bedah terus lembut melentur hati Norlia.
"Dia bapa pada Fatin. Sampai hati dia tinggalkan kami. Kemudian kami ditimpa masalah macam ni." Entah berapa kali air mata dikesat. Pipi sudah terasa kebas dan panas.
"Anggap tu ujian. Allah nak duga. Jangan dikesalkan jodoh. Itu dah tertulis pada takdir. Setidak-tidaknya, Allah anugerahkan tiga anak pada Nor. Ada orang berkahwin tapi tak ada anak. Ada perempuan langsung tak rasa bergelar isteri. Ni bahagian hidup masing-masing. Dugaan untuk kita tak sama."
"Tapi kadang-kadang rasa tak tertanggung, Mak Bedah."
"Nor dah cerita pada mak? Dah beritahu betul-betul khabar Fatin ni?"
Norlia geleng.
"Cuba beritahu elok-elok. Minta doa emak Nor khas untuk cucu dia ni."
"Nor ni tak habis-habis menyusahkan orang. Tak habis-habis malang dalam hidup, Mak Bedah. Nor tak tahu nak cerita macam mana." Air mata meluncur dan terus meluncur. Macam tak akan ada musim kering air mata itu.
"Awat Nor nak berburuk sangka dengan mak sendiri? Ada ka mak marah-marah Nor? Pernah ka mak sebut apa-apa? Tak pernah, bukan? Ya Allah... Jangan keras hati, Nor. Cincang lagu mana sekalipun, Nor tu tetap anak Mak Embun. Kalau mati besok, waktu talkin disebut Norlia binti Embun!"
Mak Bedah menggeleng. Ada waktu simpatinya melimpah ruah. Ada ketikanya geram dalam hati tak dapat dielakkan. Norlia ada perangai keras hati yang sukar dipujuk.
"Cuba cari ruang. Cerita pada mak. Mengadulah pada mak. Kita ni selagi ada mak, maknanya hidup sentiasa dalam barakah. Doa mak tu tak dak hijab!"
Semakin tenggelam Norlia dalam esakan.
"Dengar tak Mak Bedah cakap ni?"
Norlia angguk.
"Nanti ada masa, pergi jumpa mak tu. Dia uzur ka, dia sakit ka, beritahu dia. Jangan sampai dia tak tahu apa-apa. Fatin tu cucu dia. Darah daging dia." Mak Bedah mengetap bibir sambil menghela nafas menahan sabar.
Norlia terdiam. Dia tiba-tiba berasakan seperti berada di penjuru alam yang sangat sepi. Terasa diri terawang-awang di wilayah pengasingan.
Ampunkan aku, Ya Allah! Jangan Kau uji anak ini. Kau turunkanlah kesakitan dan ujian itu untuk aku. Wahai Tuhan yang sering memadam duka manusia, begitu banyakkah isyarat yang Kau hantar dan ternyata aku ini wanita serba dungu, serba kerdil lagi hina yang masih belum dapat mengerti? Ampunkan aku, Ya Rabbi Yang Maha Pengasih.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro