BAB 11
Tiada saat yang tidak menggembirakan bagi Fatin apabila di sekolah. Biarpun terpaksa menapak. Sakit betis berjalan kaki untuk ke sekolah, tidak sedikit pun dia berkeluh. Ceria saja Fatin kalau sudah bertemu kawan-kawan.
"Fatin! Hangpa boleh tolong kami sat dak?" tanya Anis sambil tersengih. Dia berjalan laju sambil menjinjing buku latihan miliknya.
"Awat, Anis? Pasai apa?"
Anis menarik kerusi di meja sebelah dan meletakkan buku di tepi meja Fatin.
"Ni... Kami tak retilah nak buat soalan matematik ni. Susah!"
Fatin tersengih sendiri. Mek seorang ni. Macam-macam! Dia kemudian mengambil buku latihan itu dan meneliti soalan yang ditulis kemas oleh Anis.
"Lah... Yang ni bukan Cikgu Azmi dok terangkan kat depan tadi ka?"
"Dia memang dok terang. Kami saja dok rasa gelap!" ujar Anis sambil ketawa besar. Memang bab matematik ini dia sudah lama mengangkat bendera putih. Tak kiralah diulang banyak mana, semuanya gagal masuk ke dalam benak fikirannya. Hijab tertutup barangkali untuk matematik.
"Macam-macamlah hangpa ni. Awat tak tanya terus saja kat dia?"
"Eee, tak mahulah! Cikgu Azmi tu garang! Kami takut."
"Mana ada garang. Dia tak marah kita pun?"
"Dekat hangpa memanglah dia tak marah. Hangpa pandai! Tapi kalau dekat kami, sat lagi dia menjerit satu sekolah," ujar Anis sambil menggayakan tingkah cikgu disiplin tersebut. Cukup dengan mengurut misai lentiknya sudah membuatkan para pelajar tidak berani untuk bernafas sekalipun jika ada membuat silap.
Fatin ketawa melihat keletah Anis. Sahabatnya yang seorang itu memang manja. Namun, ada-ada sahaja akalnya untuk membuatkan mereka tertawa.
"Hangpa saja melawak. Hehehe. Mana? Mai kat kami. Tapi kami pun tak pandai sangat."
"Alah, sapa cakap tak pandai. Hangpa selalu dapat nomboq satu."
"Mengada sajalah hangpa. Okey, kita buat pelan-pelan, na?"
Anis tersengih girang. Terangguk-angguk kepalanya mendengar penjelasan Fatin. Mereka ralit menyelesaikan masalah matematik sehingga tidak sedar ada mata yang memerhatikan mereka. Penuh rasa meluat dan bongkak.
"Ni Fatin, toksah dok buat baguslah! Hang ingat hang pandai sangat ka?" Ajib tiba-tiba muncul sambil bercekak pinggang.
"Hang ni pasai apa pula, Ajib? Toksah dok kacau kami la!" jerkah Anis. Bengang pelajarannya terganggu.
"Alah, hang tak payah menyibuklah, Anis. Benda senang tu pun kalut dok tanya orang," perli Ajib sambil ketawa. Rakan-rakan di sebelahnya ikut ketawa, senang melihat Ajib membuli dua budak perempuan itu.
"Kira baguslah aku nak buat kerja sekolah ni. Daripada hang, apa pun tak buat. Sembang saja lebih."
"Eleh, aku kesah apa? Ayah aku kaya, suka hati akulah nak buat ke tak mau buat," balas Ajib sambil memeluk tubuh.
"Wei, kalau hangpa dua nak bergaduh macam budak-budak, duduk kat tepi. Jangan buat bising kat tempat aku." Fatin mula mencelah. Rimas.
Bulat mata Ajib bila melihat Fatin turut menjawab.
"Hei Fatin, hang toksah dok buat bagus sangatlah! Malulah tu, hang miskin. Tak macam aku."
Kata-kata Ajib membuatkan kemarahan Fatin mula memuncak.
"Ajib! Hang ni pasai apa? Aku tak kacau hang pun. Yang hang dok kalut kesah aku ni miskin ke apa, awat? Hang sakit tang mana kalau aku miskin pun?" jerkah Fatin. Geram bila status dirinya disebut-sebut.
"Sakit kat mata! Aku tak suka tengok orang miskin!" tengking Ajib kembali. Wajahnya bongkak sambil memandang hina ke arah Fatin.
"Hei, Ajib! Hang tak payah nak berlagak sangatlah! Miskin-miskin aku pun, aku lagi pandai dari hang. Hang tu apa ada? Seluaq dalam pun mak belikan!" Fatin memulangkan paku buah keras.
"Oiii, apa ni? Tak malu punya orang! Dah la, buang masa aku layan hangpa dua orang ni! Geng, jom blah!" ujar Ajib. Sempat dia menendang kaki meja Fatin. Geram apabila hajatnya untuk menyakitkan hati Fatin tidak kesampaian.
"Bongoklah dia tu! Geram betul! Tak pasai-pasai dia datang sini cakap bukan-bukan!" gerutu Anis geram.
"Awat dia asyik kacau hang saja, Fatin?" tanya Anis lagi.
"Ah, biaqkan dia. Otak dia ada kat lutut, itu pasai mulut dia capoi!" ujar Fatin sebelum sama-sama ketawa bersama Anis.
Fatin ligat membantu menyusun buku-buku latihan yang sudah disemak. Memang sudah menjadi tugasnya sebagai ketua kelas untuk menghantar buku latihan ke bilik guru. Cikgu Ros yang merupakan guru kelas mereka turut berasa senang dengan sikap Fatin. Kanak-kanak itu memang aktif dan lincah. Sementelah dengan keletahnya yang tidak kering gusi sewaktu menjual nasi lemak turut membuatkan ramai guru senang dengannya.
"Cikgu, semua dah siap. Saya susun kat tepi sana, ya?"
"Okey. Terima kasih, Fatin. Rajin sungguh kamu ni!"
"Terima kasih, cikgu. Mana ada rajin, cikgu. Dah kerja saya, kan?"
Cikgu Ros tersenyum. Matanya melihat kalendar tahunan sebelum berpaling semula kepada Fatin.
"Haaa... Sukan sekolah dah nak dekat. Nanti ada wakil dari sekolah sukan nak datang. Mereka nak tengok sendiri aksi budak perempuan istimewa yang tak pernah kalah ni."
"Wah! Ya ka, cikgu? Maksudnya saya boleh lumba lari depan mereka nanti?"
"Mestilah boleh! Guru besar pun dah beritahu kat cikgu pasal ni. Dia nak minta supaya kamu siap sedia. Siapa tahu kalau nasib kamu baik, kamu boleh dapat biasiswa sukan. Boleh masuk belajar kat sekolah kat Kuala Lumpur tu. Untung kamu, Fatin!"
Fatin terdiam sebentar.
"Kuala Lumpur?"
"Ya, sekolah sukan kat Kuala Lumpur itulah! Kan ramai atlet negara kita bermula dari sana? Hah, kalau lagi baik, kamu boleh terus maju dalam bidang sukan. Jadi atlet Malaysia pula!" ujar Cikgu Ros memberi kata semangat.
"Erm... Kalau sekolah kat sini tak boleh jadi atlet ka, cikgu?"
"Laaa... Boleh. Tapi kalau kamu masuk belajar kat sana, kamu ada lagi banyak peluang! Kamu tak teringin ke nak masuk sekolah sukan?"
"Erm... Saya..."
"Fatin, cikgu tahu kamu teringin nak masuk sana, kan?"
"Tapi saya dah janji takkan tinggalkan ibu saya. Sapa nak jaga adik-adik kalau saya pi sekolah di Kuala Lumpur?"
Fatin akhirnya meluahkan rasa yang terpendam. Memang itu harapannya selama ini. Namun, keluarga tetap segala-galanya untuk dia. Dia rela melupakan impiannya itu kalau sudah takdirnya begitu.
"Itu kamu jangan risau. Pandailah ibu kamu nanti. Yang penting, masa depan kamu cerah kalau kamu masuk sekolah sukan," pujuk Cikgu Ros memberi kata semangat.
Fatin hanya diam seribu bahasa. Perasaannya bercampur baur antara keinginan dan keluarga.
Cikgu Ros tersenyum lagi.
"Besar nanti, kamu boleh bantu ibu kamu. Ibu kamu takkan susah lagi. Kamu nak tak tengok tak ibu kamu hidup senang?"
"Saya... Boleh tolong ibu saya ka, cikgu?"
"Ish, mestilah. Kamu tahu berapa gaji atlet negara?"
Fatin menggeleng kepala. Namun, ada sinar bercahaya di matanya.
"Banyak. Cukup banyak untuk kamu beli rumah dan bagi kesenangan kepada ibu kamu. Percayalah cakap cikgu."
Fatin terus bersemangat dan mengangguk-angguk dengan penuh keazaman.
Sewaktu berlatih di padang, mata Fatin liar mencari adiknya. Mana pula adik aku pergi ni? Tadi dia ada kat kantin, lepas tu katanya nak ke tandas. Tapi sampai sekarang tak nampak batang hidung. Jatuh dalam lubang tandas ke apa? Takkan nak main mekap-mekap dalam tandas?
Hah, tu! Hesy, budak bertuah ni... Boleh pula dia melepak bawah pokok tu sorang-sorang. Riya, Riya... Buat orang risau saja budak bertuah ni. Fatin tersenyum sedikit dan berjalan ke arah adiknya yang sedang duduk di bawah pokok.
Di bawah pokok tepi padang, Riya duduk bertekuk lutut. Bosan menanti si kakak yang tak kunjung tiba, Riya mula memandang kiri dan kanan. Sebenarnya dari tadi beg sandang Fatin menarik minatnya. Kakak bawa buku apa pergi sekolah? Banyak ke buku sekolah dia? Selalu dia nampak Fatin bawa beg berat-berat ke sekolah. Dia isi apa agaknya dalam tu? Batu ke? Ada buku warna ke? Kalau ada buku warna, dia mahu pinjam. Boleh juga hilangkan bosan menunggu.
Riya sudah tersengih. Cepat-cepat dia mengambil beg sandang Fatin. Dibukanya zip dan barang-barang dipunggah. Habis berterabur segala isi yang ada di dalam beg. Satu buku kecil yang menarik minatnya. Buku berwarna-warni, ada hiasan. Nampak macam kakak warnakan sendiri. Cantik!
"Kakak ni kemutlah. Ada buku cantik simpan sorang-sorang dalam beg. Kakak lukis apa ya dalam buku ni?" soal Riya sendirian. Dia membuka helaian demi helaian buku tersebut.
Setiap helaian buku skrap itu terpampang bait-bait ayat yang dikarang Fatin. Mengenai kegembiraannya dapat masuk acara lumba lari, bagaimana dia dipuji guru dan banyak sekali tentang rasa cintanya kepada ibu, Riya dan Maarof.
Riya tersenyum girang apabila melihat tulisan Fatin. Walaupun bacaannya masih belum cukup lancar, tapi dia berasa suka apabila membaca ayat Fatin tentang sayangnya dia kepada Riya. Leka dia seketika apabila memandang buku skrap yang cantik itu.
"Mana abang?" Fatin datang menyergah. Kelam-kabut Riya menyorokkan buku skrap yang dilihat.
"Tu, tiduq," tunjuk Riya pada Fatin. Maarof terlena di bawah pokok.
"Lah... Bertuah punya budak. Boleh pula tertiduq bawah ni. Abang! Bangun!"
Riya mengambil peluang ini untuk cepat-cepat menyimpan kembali buku Fatin. Fuhhh, selamat kakak tak perasan! Namun, jauh dalam sudut hatinya dia gembira mempunyai kakak yang penyayang seperti Fatin.
Malam itu seperti malam-malam yang sebelumnya. Riya dan Maarof masing-masing berselera makan nasi dengan sambal ikan kering berserta telur mata kerbau. Fatin pula dengan kicap tak lekang terus menyuap makanan ke dalam mulut.
Memang itulah yang menjadi amalan Norlia sejak berkeluarga. Biarpun keluarganya mungkin tidak sempurna seperti keluarga orang lain, dia tidak mahu anak-anaknya berasa kekosongan itu.
"Ibu, sedaplah ibu masak! Abang nak tambah nasi lagi boleh?"
Norlia tersenyum.
"Boleh, sayang. Rumah abang. Nak makan banyak mana pun tak apa."
"Patutlah abang gemuk. Makan banyak. Kuat tiduq!"
"Alah... Adik dengkilah tu, badan abang kuat."
"Mana ada kuat, gemuk adalah!"
"Adik... Abang... Ibu pesan kan jangan bergaduh? Tak dengaq, ya?" tegur Norlia.
Fatin tergelak sambil mengangkat ibu jari.
"Padan muka kena marah. Hangpa dua mainlah lagi depan nasi. Kan ibu, kan?"
"Dah... Dah... Makan cepat. Sedap kalau makan nasi panas-panas," ujar Norlia sambil mencedok nasi ke atas pinggan.
"Adik belajaq apa kat sekolah hari ni, sayang?"
"Hari ni kat sekolah kan, adik belajaq pasai katak. Ibu tahu dak katak boleh hidup dalam air dengan atas darat juga?"
"Tahu. Ibu pun pergi sekolah juga dulu. Cuma ibu tak pandai macam anak-anak ibu."
"Sapa habaq ibu tak pandai? Ibu pandailah. Pandai masak nasi lemak, pandai kemas rumah. Ibu orang lain pun tak reti nak masak nasi lemak macam ibu buat!" ujar Fatin sambil tersengih.
Norlia tersenyum.
"Pandai-pandai saja kamu ni, Fatin."
"Betullah kakak cakap tu, ibu. Tengok abang gemuk sebab makan nasi lemak ibu hari-hari." Riya menyampuk sambil ketawa.
Maarof menjelir lidah sebelum menyambung makan. Norlia berpaling pula kepada Maarof yang leka menggigit-gigit tulang ikan kering.
"Abang belajaq apa hari ni?"
"Biasalah, ibu," jawab Maarof sambil tersengih menampakkan gigi depannya yang sudah hilang sebatang.
"Kamu ni kalau ibu tanya, memanjangnya biasalah. Memang patut pun keputusan periksa kamu biasa-biasa aja."
"Hehehe. Ibu janganlah risau, ya? Nanti Maarof belajaq pandai-pandai sampai jadi luaq biasa!"
"Hesy, main ajalah kerja kamu, ya?"
Norlia menggeleng tidak puas hati. Anak lelakinya itu suka benar main-main. Kerana itu kadangkala Norlia risau. Bimbang anaknya ketinggalan dalam pelajaran.
Dia berpaling pula kepada Fatin. Anak kebanggaannya.
"Fatin pula macam mana? Tak lama lagi nak sampai hari sukan, kan?"
"Ya. Hurm... Terus rasa kecut perut ni."
"Aik? Awatnya?"
"Tak lama lagi sukan, ibu. Fatin dah berlatih. Tapi Fatin takutlah kalau kalah," ujar Fatin perlahan. Dia benar-benar risau jika dia gagal memenangi perlumbaan sewaktu hari sukan itu nanti. Kalau dia tidak menang, tentu saja semua yang diusahakan selama ini akan gagal!
"Kalau dah berlatih nak risau apa lagi?" ujar Norlia memberi semangat baru kepada anaknya.
"Yeay! kakak mesti menang lagi kali ni!"
"Haah! Nanti abang dan adik sokong kakak kat tepi padang. Kami jerit nama kakak kuat-kuat. Baru kakak semangat nak lari!"
"Haah. Nanti adik teman kakak berlatih."
"Abang pun!"
"Abang tak boleh. Abang gemuk!"
"Eee... Tunggulah Abang kurus. Nanti jadi handsome macam abang sado dalam TV tu!"
Mereka sama-sama bergelak ketawa. Norlia ikut ketawa dengan keletah anak-anak kesayangannya itu. Syukur Tuhan. Kau berikan aku kebahagiaan yang begini. Semoga ada sinar untuk kami semua pada masa akan datang.
Malam yang sunyi. Fatin bangun untuk menyapu minyak pada kaki sambil mencari segelas air. Dia ternampak ibunya memegang kalkulator. Ibu mengira sesuatu, namun wajahnya kelihatan sedih. Dari balam cahaya lampu minyak tanah, Fatin dapat mengagak ibunya itu sebenarnya dalam kesedihan.
Wajah bujur sirih Norlia termenung jauh melangkaui langit nan gelita. Sorot matanya syahdu, alis yang cantik itu bagai menyembunyi kisah sayu dalam hati.Fatin terdiam tatkala curi-curi memandang ke arah ibunya.
"Aku mesti dapatkan biasiswa tu! Aku mesti bantu ibu!" tekad Fatin dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro