Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 1

KENANGAN lama itu sudah berbalam-balam sebenarnya. Ya. Entah bila kali terakhir dia melihat Ghafar. Dia sendiri sudah lupa.

Tapi setiap kali memandang jajaran kebun getah di banjaran bukit yang menghijau itu, saat cinta pertama menyapa, tidak pernah mampu dikuis dari ingatan.

Angin yang berhembus amat tenang menyelubungi lembah subur Kampung Palas, Jitra pagi itu. Wangi dan harum udara dingin terasa di mana-mana.

"Argh..." Norlia mengeliat panjang. Matanya yang terbuka separuh dikesat perlahan. Matanya terarah ke luar tingkap. Dah pagi rupa-rupanya... Rasa macam baru kejap tadi aje matanya terlelap. Macam baru sejam tadi saja dia menyumpah seranah nyamuk yang berlegar di tepi telinga. Cepat sungguh masa berlalu.

Dia mengeliat lagi untuk kali kedua. Biar meletup segala urat saraf yang terasa beku seketika. Satu hari lagi untuk sebuah perjuangan.

Norlia seperti biasa seusai solat subuh sudah bersalin baju. Siap-siap untuk mencari rezeki. Macam biasa, dia berkemeja lusuh lengan panjang, bercelana panjang lengkap bertopi dan kemudian menyarung but getah yang tapaknya dipenuhi selut serta tanah merah. Satu beg galas berisi pisau menoreh dan sedikit bekalan disandangnya.

Saban hari itulah rutinnya. Tapi pagi itu sewaktu menoreh, dia terasa agak lain. Ada kelibat yang ditangkap matanya tidak jauh dari tempat dia menoreh. Ah, perasaan sendiri barangkali. Dia cuba menepis segala kemungkinan, namun dalam hatinya masih ada rasa gusar.

"Awat aku rasa jantung aku dup dap dup dap lain macam ni? Ada rimau ka?" Norlia menggumam sendirian sambil memerhati sekeliling. Kadang-kadang bukan boleh nak buat main dalam hutan getah macam ni. Kalau nasib tak baik jumpa dengan harimau atau si khinzir hutan, memang tak cukup tanahlah nak lari nanti! Pokok getah bukannya boleh panjat pun kalau terserempak dengan harimau. Norlia tersengih sendiri sebelum menyambung kerjanya.

Sesekali dia berhenti menoreh untuk menyeka peluh di dahi. Topi ala-ala koboinya dibuka.

"Amboi, boleh tahan juga hari ni! Dah lima belas batang pokok aku toreh." Norlia tersengih. Kagum sendiri. Dia mencapai botol air mineral yang diisi dengan air teh panas.

Setelah berehat seketika, dia menyambung kembali kerjanya. Sedang leka menoreh, dia terasa seperti ada seseorang yang sedang memerhatikannya.

Tangannya berhenti menoreh. Jantungnya mula berdegup laju. Ah, sudah... Awat aku dok rasa lain macam ni? Ada orang ka kat belakang aku? Ka harimau? Aduh, matilah nak! Mana aku nak lari ni?! Peluh kasar mula merecik di dahi.

Detak jantungnya semakin laju. Sah, ada harimau kat belakang aku! Ya Allah, lagu mana ni? Tapi awat aku tak dengaq suara harimau ni? Harimau bisu ka? Ah, hang tak payah nak mengarut lagilah, Nor! Dah tak dan nak lari pi mana! Hang kena baling juga pisau toreh ni kat rimau tu! Lepas tu baru boleh lari!

Ya Allah, selamatkanlah aku! Norlia berdoa dalam hati. Seraya dia berpusing sambil memejam mata. Bismillah...

"Hiyahhh!!!"

"Erkkk... Eh... Cik? Bawa bersabar! Ni apa nak baling pisau kat orang ni?!"

Norlia terkejut lantas membuka matanya.

Allah... Sapa pula ni? Ni bukan harimau, ni orang! Tapi, mai dari mana orang tengah-tengah kebun getah ni? Takkan bunian pula kot? Habislah aku!

"Hang sapa?" Garang Norlia bertanya. Pisau toreh masih digenggam kemas tanda bersedia menghadap bahaya.

"Sabar, cik. Sabar..."

"Sabar, sabar... Pi dok Sabah la! Aku tanya, hang ni sapa? Apa hang buat kat sini?"

"Errr... Macam mana saya nak cakap kalau cik buat gaya nak membunuh ni?"

Norlia terkedu. Hesy, Nor... Buat malu kat oranglah! Yang hang pi angkat pisau macam nak tetak dia tu pasai apa? Norlia berdehem sedikit sebelum menurunkan pisaunya.

"Maaf. Tak perasan."

Satu senyuman terukir di bibir lelaki itu.

"Isy, tak apalah. Saya pun salah juga sebab bagi cik terkejut. Maafkan saya, ya?"

Dengaq gaya cakap tu macam bukan orang sini. Sapa dia ni? Norlia terjeda seketika sambil memerhatikan lelaki tersebut. Memang sangat asing untuknya.

"Errr... Encik ni dari mana? Bukan orang sini, kan? Orang Kolumpo ka? Macam mana orang Kolumpo boleh sesat masuk kebun getah ni?"

"Amboi, banyak sangat soalan cik ni. Nak saya jawab yang mana satu dulu?" tanya lelaki itu sambil tersengih.

"Hah? Eh, maaf. Okey. Encik ni sapa?"

Lelaki itu tersenyum sedikit sebelum menghulur tangan untuk bersalam.

"Saya Ghafar. Adik?"

Norlia mencebik masam.

"Maaf, bukan mahram. Tak boleh salam."

Apa punya oranglah dia ni? Suka-suka hati saja nak salam dengan aku. Awat dulu masa dia kat sekolah tak belajaq ka? Dosa, pahala, halal, haram pun tak tau. Huh, memang orang bandar perangai tak elok! gerutu Norlia dalam hati.

Memang pantang bagi dia jika ada yang mahu menggatal. Geram! Rasa macam hendak ditampar saja jika ada yang mahu dekat. Biar depa tau sapa Norlia! Ingat orang kampung macam dia ni cap anak ayam?

Ghafar tersipu malu bila ditegur begitu. Menyesal tak sudah dek keterlanjuran tangannya menghulur salam.

"Errr... Abang minta maaf ya, adik? Bukan abang nak menggatal. Jangan salah faham."

"Alah, takat orang bandar perangai macam encik ni berlambak aih kat sini. Takpa la, saya nak balik dulu!"

"Eh, adik tunggulah dulu. Takkan marah kot?"

"Dah tu, takkan saya nak gelak pula? Nak seronok bila encik nak pegang-pegang saya?!" Melengking suara Norlia. Pantang betul bila berdepan dengan orang yang ambil mudah dalam hal-hal begini.

Ghafar kelihatan resah.

"Allah... Adik dah salah faham ni. Abang tak..."

"Abang... Abang... Sat lagi kena penyepak, terus terbang. Maaflah na, saya nak balik. Tak elok laki pompuan dok lagu ni."

Norlia terus berpaling dan mengambil barang-barangnya. Cepat-cepat dia melangkah pergi meninggalkan Ghafar yang masih terpinga-pinga.

Aduh, Nor... Awat pula boleh jadi lagu ni? Hang bukannya nak marah dia pun. Yang hang pi marah kat dia tu pasai apa? Buta ja mamat tu kena maki percuma. Padahal dia tak buat apa pun. Baru nak hulur tangan... Bukannya dia nak telan kepala hang pun tadi! Nor... Nor!

Norlia menggigit bibir. Mukanya merah padam. Bukan kerana marah kepada lelaki itu. Tapi sebaliknya, dia terlalu segan. Malu! Mana tidaknya, ini kali pertama dia berdiri dan bercakap secara langsung dengan seorang lelaki!

Sungguh, dia sebenarnya tidak tahu macam mana seharusnya dia berkelakuan. Kalau terlebih ramah, nanti lelaki itu ingat dia nak menggatal pula! Jadinya, mulutnya bertindak di luar batas kawalannya. Sedap sangat bercakap, nah, dia sendiri yang melepas!

Yang lelaki tu pun satu. Entah mana mai, tiba-tiba dah tercongok di sana. Lepas tu, mata tu... Grrr, geram! Kenapa mata dia tu... Menarik? Macam bersinar, bercahaya... Macam satu keasyikan...

"Mengarutlah! Entah sapa-sapa pun aku tak tau... Baik aku pi balik masak nasi lagi bagus!" Norlia mematikan lamunannya. Entah bila lagi akan bertemu. Entah jumpa, entah tidak... Biarlah peristiwa ini padam terus daripada ingatan.

Masa terus berlalu pergi. Sudah dua hari dia tidak menoreh gara-gara hujan yang turun membasahi bumi. Bermakna sudah dua hari jugalah dia tidak mampu meraih sebarang pendapatan. Kalau tak menoreh, macam mana nak berasap dapur tu?

Norlia tidak membuang masa walaupun sesaat. Dia cepat-cepat bersiap dan pergi ke kebun getah. Laju dia bekerja hari ini. Dari satu pokok ke satu pokok. Hanya sesekali sahaja dia berhenti untuk menghilangkan dahaga.

"Assalamualaikum, adik."

Hampir terlepas pisau menoreh daripada tangan Norlia apabila dikejutkan begitu. Allah... Mamat ni lagi!

"Assalamualaikum, adik. Lama tak nampak," tegur Ghafar sekali lagi sambil tersengih.

"Ingat abang tak?"

"Waa... Waalaikumussalam." Aduh, dia ni lagi... Sapa nama entah hari tu dia sebut? Jaafar? Safar? Lapar? Ah, biarlah!

"Encik lagi? Dok buat apa kat sini? Pagi-pagi dok buat orang terkejut!"

"Eh, maaflah kalau adik terkejut. Abang dari tadi lagi dah ada kat sini. Dok panggil adik. Tapi adik yang tak perasan."

Aik, aku pula? Hang yang mai tiba-tiba, gerutu Norlia dalam hati.

"Maaf. Dok kalut buat kerja. Mana nak perasan kalau dok mai senyap-senyap lagu ni."

"Tak apa. Adik apa khabar? Sihat ke? Lama tak nampak?"

"Hujan. Mana ada orang menoreh masa hujan." Norlia menjawab datar. Dia beralih lagi ke satu pokok. Ligat tangannya terus menoreh. Hatinya semakin berdebar-debar. Seboleh mungkin dia cuba menyembunyikan rasa debar dalam hati.

"Errr... Adik, abang nak minta maaf pasal hari tu."

"Hari tu? Pasai apa dengan hari tu?" Norlia berhenti sebentar. Dah tiba-tiba muncul, lepas tu... Ohhh, pasal kes nak salam tu.

"Oh, lupakanlah. Saya pun tak ingat dah."

Ghafar tersenyum lega.

"Alhamdulillah, lega abang dengar. Takut betul abang kalau adik tak maafkan abang."

"Awat? Kalau saya tak maafkan pun kenapa? Bukannya kena serang dengan cirit-birit pun!"

Meletus ketawa di antara kedua-dua mereka. Ghafar terpesona seketika melihat Norlia tersenyum. Terasa damai dalam hatinya.

"Adik nampak cantik bila senyum macam tu."

Norlia terdiam. Darah merah terasa seakan-akan menyerbu ke wajahnya. Ya Allah, Nor oiii!! Hang ni dok buat leceh pula! Yang gatai dok bergelak sakan dengan mamat ni pasai apa? Dah, dah... Pi lekaih balik nu! Naya betullah!

"Errr... Takpa la, encik. Saya nak kena balik dah ni."

"Laaa... Cepatnya? Bukan tadi tengah buat kerja ke?"

"Errr... Dah habis."

Lelaki itu tampak asing pada awalnya. Tapi nan asing itulah yang menggugah jiwa. Norlia sentiasa ingat saat itu. Susuk tubuh lelaki itu memberi isyarat. Ya, dia lelaki pelindung. Tajam matanya memberi janji. Tentu sekali dia lelaki yang cermat mengawasi. Mana mungkin waktu itu Norlia menepis segala resah rasa. Dan, cinta itu memang datang secara tiba-tiba.

Mungkin ini sudah tersusun pada takdir. Bukan Norlia tidak biasa buat kerja. Bukan baru sehari dua dia menoreh. Mengangkat dan memikul baldi yang penuh susu getah memang rutinnya setiap tengah hari. Tapi entah mengapa tengah hari itu, matanya bagai tertutup hijab. Dia tidak nampak parit yang baru digali di hadapannya.

"Assalamualaikum." Lelaki itu menegurnya.

Mereka sama-sama melangkah mahu ke bangsal.

"Berat tu. Nak abang tolong?" Lelaki itu seperti mahu mengambil baldi daripada tangannya.

"Eh, tak payah. Biasa dah."

Tak selesa jalan bersaing-saing. Norlia melangkah pantas biarpun beban di tangan cukup mencengkam urat belikatnya.

Ghafar tertinggal di belakang namun renungannya tetap melekat pada tubuh lampai di hadapannya. Lenggok dan langkah gadis di hadapannya diamati dengan penuh asyik. Sebelum Ghafar tiba-tiba memberi amaran.

"Adik! Licin tu! Depan tu ada parit baru!"

Norlia tak sempat mengatur langkah. Kakinya lebih pantas melangkah daripada amaran Ghafar. Dia tersadung ke dalam parit yang baru digali.

Badan tak mampu diseimbangkan. Ulas bibir berulang kali mengucap nama Allah.

"Adik!!!" Ghafar juga menyambut dengan jeritan.

"Allah!!!"

Tangan kanan Norlia yang tadi menjinjing baldi berisi susu getah, tangan kiri pula kemas memegang tong kecil berisi getah sekerap, semuanya terpelanting. Susu getah tertumpah dan melimpah membuatkan air mata Norlia bertakung. Sebu perutnya memandang jerihnya sejak seawal subuh punah begitu sahaja. Ya Allah! Bukan rezeki aku hari ini, Ya Tuhan!

"Boleh bangun tak ni?"

Sungguh, macam nak teriak pun ada! Inilah padahnya kalau dok buat kalut sangat. Bak kata orang tua-tua, sakit dapat, malu pun dapat!

Yang hang tak pi tengok jalan betul-betul tu pasai apalah Norlia oiii? Bukannya hang tak tau ada parit besar depan ni! Yang hang gatal sangat dok buat cerita Hindustan main lari-lari tu pasai apa?! Sekarang dah makanlah ubat dia! Rugi getah satu hari! Apalah malang nasib badan oiii!

Yang lagi bagus tu, boleh pula aku tertomoih depan mamat ni! Malunya aku! Ni sah kena gelak sampai tujuh keturunan nanti! Malunya aku! Norlia oiii, awatlah hang gatai sangat? Mana aku nak letak muka ni! Malu! Malu oiii!

"Adik! Okey tak? Boleh bangun tak?" Ghafar bertanya lagi. Risaunya memuncak. Dah jatuh, senyap pula? Tergigit lidahkah atau apa?

"Errr... Boleh. Boleh."

Demi tidak mahu menerima huluran tangan lelaki yang tidak dikenalinya itu, Norlia memaksa diri untuk bangkit. Digagahkan juga diri. Kerut wajah menahan sengal dan bisa pinggang akibat terhentak tidak dapat disorok.

"Mari abang tolong."

Lelaki itu pantas tolong mengutip getah sekerap yang bersepah.

Norlia mengetap bibir menahan sakit. Nafasnya bergelombang. Dia cuba untuk bangun.

"Aduh!" Kakinya tidak mampu untuk berdiri.

"Adik ni degil la. Abang nak tolong tak mahu."

Norlia diam. Wajahnya semakin merah menahan sakit. Dengan susah payah, Norlia berpaut pada kayu-kayu yang ada di sekelilingnya. Dia bangun dalam keadaan terdengkot-dengkot. Mereka beriringan menuju ke bangsal.

"Cuci kaki tu. Habis kena selut." Ghafar menghulurkan getah paip yang ada di situ. Pili air dibuka dan diberi kepada gadis itu.

Norlia tidak membantah. Dia menyambut getah paip dan dicucur perlahan-lahan pada kakinya.

"Bengkak kaki tu. Kalau biarkan nanti masuk angin. Lagi bisa."

Ghafar mencari sesuatu dalam beg galasnya.

"Nah, sapu..." Botol kecil dihulurkan kepada Norlia. Bulat mata bundar Norlia memandang Ghafar.

Dia ni tukang jual minyak ka? Dah mengalahkan mak cik-mak cik simpan stok ubat dalam beg! Dahlah aku tak kenal sapa dia. Entah minyak apalah tu. Berseredak saja? Isy, takutlah aku! Satgi kalau aku pakai, entah jadi apa-apa pula!

"Ya Allah! Jangan pandang abang macam abang nak makan adik."

"Saya tak kenal siapa abang." Norlia berat mahu menyambut botol itu. Walaupun malu sebab terjatuh, namun dia masih perlu berhati-hati.

"Lah... Agak-agaklah kalau tak kenal pun! Hilang ingatan ke? Tapi rasanya tadi kepala tu tak terhantuk. Tersembam muka ke tanah tu adalah."

Grrr... Dia mula dah! Aku dah agak dah... Siaplah hang Norlia, pakat dok kena gelaklah sat lagi!

"Bukan macam itulah! Toksah dok mengata saya, boleh tak? Kaki saya dahlah tengah sakit. Tapi kalau setakat nak ayun penampar Jepun ni rasanya lepas lagi!" Norlia mendengus geram.

Ghafar tertawa kecil. Ada sahaja telatah gadis ini.

"Okey, kita mula balik."

Ghafar bangun dan berdiri di hadapan Norlia.

"Nama abang Ghafar. Abang ni baru aje menoreh dekat kebun Mak Temah. Kebun tu dah Mak Temah pajakkan pada abang."

"Oh!" Itu saja perkataan yang terucap daripada Norlia. Orang Kolumpo ni tahu ke nak menoreh?

"Pakailah minyak tu. Sapu cepat. Nanti lagi melarat sakit kaki tu."

Norlia mengambil minyak itu. Dibuka penutup botol dan dihidu. Matanya masih memandang Ghafar dengan penuh rasa curiga. Minyak apa ni? Busuk! Kembang bulu hidung bila terbau minyak angin dalam botol kecil itu.

"Minyak ni buat sendiri. Masak sendiri. Jangan takut. Jangan risau. Bukan minyak dagu, bukan minyak cenuai!"

Ada gelak kecil terbit dari bibir Norlia.

"Adik tak beritahu pun nama adik."

"Norlia."

"Panggil?"

"Nor."

"Lembut aje nama macam rupa tuan punya nama... Tapi..."

Norlia membulatkan matanya.

"Tapi apa?"

"Bila buat kerja, macam lelaki. Jalan laju sangat. Macam kena hambat hantu! Semua benda nak diangkat serentak. Hah, kan dah tertomoih!"

Minyak masih di tangan Norlia. Dia teragak-agak untuk menyapu minyak tersebut ke kakinya.

"Ya Allah, adik ni ketegaq, ya? Nanti bengkak kaki macam kaki gajah baru tahu!"

Melihatkan Norlia ragu-ragu, segera Ghafar bersuara.

"Bawa baliklah minyak tu. Pakai kat rumah. Kalau apa-apa jadi pada Nor sebab minyak tu, cari aje abang dekat sini."

Norlia tersenyum. Amboi, bukan main lagi! desis Norlia dalam hati.

"Boleh jalan? Nak abang hantar?"

Norlia geleng. Tertawa kecil dia. Oh lelaki, tak payahlah engkau cuba membeli jiwa!

Keesokannya Norlia tidak menoreh. Bengkak kaki perlahan-lahan mula surut. Sengal dan lenguh pada pinggang semakin hilang. Tapi entah mengapa ada sakit lain yang menyerbu dada. Setiap kali dia menyapu dan mengurut kakinya dengan minyak yang diberi oleh Ghafar, seribu kilasan rasa menyapa diri.

Norlia akhirnya memberanikan diri bertanya Mak Bedah.

"Siapa dia?"

"Kau tak kenal ke?"

"Tak pernah nampak pun."

"Dia kadang-kadang ada dekat masjid. Rajin orangnya."

"Rajin apa?"

"Selalu tolong kemas masjid sebelum masuk waktu solat."

"Ohhh!"

"Kenapa beria-ia tanya ni?"

"Saja."

"Untung siapa jadi bini dia. Nampak baik orangnya."

Norlia terus terdiam. Tidak mahu lagi menyambung perbualan, bimbang Mak Bedah fikir yang bukan-bukan pula.

Empat hari kemudian, Norlia kembali dengan rutin hariannya. Kaki yang sakit semakin lega rasanya.

"Assalamualaikum. Dah elok ke kaki tu?" Entah dari mana, entah bila lelaki itu ternampak dirinya, Norlia tidak tahu. Tiba-tiba saja muncul dan memberi salam.

Heh, mamat ni... Aku dah agak dah dia muncul macam ni. Nasib baik dah biasa. Norlia tersenyum sedikit sebelum menjawab.

"Waalaikumussalam. Errr... Alhamdulillah, dah tak sakit."

"Wah, hari ni dalam sejarah!"

Norlia mengerutkan keningnya sedikit.

"Sejarah apa? Sejarah Melaka ka? Saya tak berapa nak tau. Kalau tanya pasai sejarah Raja Bersiung, saya taulah sikit-sikit. Takpun sejarah Mahsuri!"

Ghafar ketawa kecil.

"Bukan itulah! Saya cakap hari ini, sekarang ni, boleh jadi sejarah!"

"Awat pula dah? Muka saya ada nampak macam Raja Bersiung ka?"

Ghafar tidak tahan lagi untuk ketawa. Ada-ada saja jawapan daripada gadis itu.

"Bukan! Adik ni suka sangat melalut. Abang cakap macam tu sebab baru hari ni adik tak terkejut bila abang datang. Selalunya bukan main lagi macam nak terbang balik bila nampak abang!" jelas Ghafar dalam sisa tawanya.

Norlia tersengih.

"Ingatkan apalah tadi. Saya pun hairanlah juga kalau tiba-tiba abang nak kata yang saya ni macam Raja Bersiung. Saya mana ada siung. Gigi geraham adalah!"

Kedua-dua mereka ketawa lagi. Ketawa yang disulami rasa bahagia.

"Minyak ada lagi?" Ghafar memandang wajah redup itu. Norlia tersipu-sipu dan agak tergamam. Dia ni... Suka sangat tengok aku macam tu. Dahlah aku tak boleh tahan kalau dia asyik tengok macam tu. Boleh tergoda tahu?!

"Minyak?" Norlia terpinga-pinga.

"Minyak urut hari tu."

"Ada! Ada lagi. Allah! Saya terlupa nak bawa hari ni. Ada baki lagi. Nanti saya pulangkan, ya?"

"Eh, bukan nak minta semula. Kalau tak cukup abang bagi lagi."

"Cukup. Ada berbaki lagi."

"Kalau Nor nak, beritahu aje pada abang. Untuk Nor, buat apa pun abang sanggup," ujar Ghafar ikhlas.

Ah, sudah... Kenapalah dia ni cakap macam tu. Tadi aku rasa dah elok aje nak bercakap, melawak bagai. Tapi, kalau dia dok cakap lagu ni, macam mana aku nak jawab? Aku dah boleh bercakap ni kira baguslah! Tapi kalau dia dok cakap lagu ni, bukan takat aku, dengan getah sekerap ni boleh cair tau tak?!

Norlia sedikit resah dan berdebar. Tajam mata lelaki itu bagai menerobos ke jiwa. Lelaki itu masih tidak berganjak dari tepinya. Huh, bilalah dia nak pergi dari sini?! Kebun tempat kau menoreh belah kanan tu!

"Abang kata abang buat minyak tu sendiri." Mahu mematikan rasa kaku, Norlia memaksa diri berbual.

"Haah... Abang masak sendiri minyak tu," balas Ghafar sambil mengasah pisau toreh getahnya.

"Ohhh..." Oh saja yang mampu terucap di bibir. Norlia jadi tidak reti untuk berbual panjang.

"Nor nak belajar cara buat minyak tu? Boleh aje kalau nak baunya sedap wangi. Kita bubuhlah melur ke, cempaka atau kenanga. Wangilah minyak tu."

"Boleh juga."

"Kalau nak belajar, kena ada cara."

"Cara?" Norlia berkerut memandang Ghafar. Polos jernih wajah lembut itu.

"Kena jadi orang rumah abang dulu... Senang nak belajar."

Berderau darah Norlia. Jantung berdegup luar biasa. Wajahnya berubah merah menahan malu. Angin dari segenap celah dan ruang daerah kebun getah itu bagai menderu tiba-tiba. Norlia terpukul dengan rasa sejuk yang bukan kepalang. Burung-burung yang terbang melayang dari puncak perbukitan singgah di dahan-dahan pohon getah itu bersiul girang bagai meraikan cinta.

"Salah cara pegang pahat tu." Sewaktu fikiran masih terawang-awang, meneka-neka, lelaki itu sudah pun berada di belakangnya. Norlia berundur dua tapak ke belakang.

"Pahat?"

"Pisau toreh tu."

"Cara Nor toreh tu dalam sangat. Boleh rosak pokok getah."

Bertaut kening Norlia memandang lelaki itu.

"Tengok ni..."

Pantas dan tangkas tangan sasa itu menoreh. Lepas sebatang pokok, lelaki itu maju ke pokok yang lain. Norlia terpinga-pinga. Huh, macam tak ada beza pun! Sama aje cara aku menoreh, gerutu Norlia dalam hati.

"Nak buat pantas boleh, jangan sampai lukakan kulit pokok ni."

Norlia terlopong.

"Nor ni muda lagi. Dah habis belajar ke?"

Norlia bertambah gugup.

"Belajar?"

"Haah... Dah tak belajar ke?"

"Dah berhenti sekolah."

Entah bagaimana, sambil bersembang, sudah sebelas batang pokok ditoreh lelaki itu. Norlia terus turut langkah lelaki itu. Raut wajahnya manis. Kulitnya tak cerah, tak juga gelap. Manis-manis kulit Melayu. Suaranya yang kasar dan parau itu membawa pesona.

Haih, awatlah bila aku tengok muka hang ni, sejuk saja rasanya? Nak kata muka macam peti ais kat rumah bukan juga. Isy, merepeklah hang ni, Nor! Ada pula muka orang sama dengan peti sejuk. Tapi sungguh... Bila tengok muka mamat ni, aku rasa macam dah lupa pasai pokok getah, getah sekerap... Pi mana pun ada muka dia. Aku ni dah gila kot. Gila bayang! Norlia mengekek sendiri dalam hati.

"Sayangnya muda-muda dah berhenti belajar."

"Huh?" Norlia tersedar dari lamunan.

"Maaf na, tak dengaq. Apa dia tadi?"

Ghafar tersengih.

"Nor ni dok lena atau berangan? Berpuluh patah abang cakap, satu pun tak masuk, ya?"

"Eh, mana ada. Nor dok khusyuk tengok abang toreh getah. Hah, buatlah lagi. Nor tengah semangat ni!" ujar Nor dengan muka yang merah padam.

Hesy, Nor... Itulah! Berangan tak kena tempat. Tak pasal-pasal dah termalu lagi. Isy, ketuk kepala dengan getah sekerap ni baru tau!

"Toreh kebun orang tua ke ni?" tanya Ghafar menyambung perbualan.

Geleng.

"Habis tu?"

"Saya ambil upah aje ni," jawab Nor ringkas.

"Kalau bapa saya tuan punya kebun, bolehlah juga saya duduk rumah goyang kaki. Tengok drama petang-petang kat TV pun layan. Tapi dah bukan, menoreh sajalah!" sambung Nor lagi sambil ketawa kecil.

"Kenapalah buang masa waktu muda ni? Abang turun padang menoreh ni sebab ada projek sikit."

"Hah? Projek?"

Projek apa pula ni? Yang aku tau kalau sebut projek mesti projek nak turap jalan tar. Tak pun nak buat sekolah. Selalunya kalau ada orang bandar masuk kampung, itu ajelah benda yang depa nak buat. Tapi projek dalam kebun getah, projek apa? Projek menorehkah?

"Projek apa tu, abang?" Tanya Nor ingin tahu. "Projek menoreh ka? Kalau projek menoreh, hari-hari Nor buat projek. Hahaha."

"Isy, budak ni... Ke situ pula dia. Bukanlah. Abang buat projek belajar-belajar ni. Topik dia pasal getah."

Nor kerut kening. Masih tidak faham. Apa yang nak belajar pasal getah? Ada kursus menoreh getah ke? Dah kalau macam tu, Nor ni kira bijak pandailah juga. Tak payah masuk belajar tinggi, dah pandai menoreh!

"Abang masih belajar lagi. Bidang pertanian. Ni sebab cuti panjang ada buat kajian kat sini, tiga bulan lagi abang ke tempat lain pula."

"Ohhh..."

Panjang oh yang terzahir daripada ulas bibir Norlia yang cantik itu.

"Ke tempat lain tu macam mana? Abang nanti nak kena pi menoreh tempat lain pula ke?"

"Lebih kurang macam itulah. Abang kena kutip banyak data lain pasal penanaman getah kat Malaysia ni. Baru lengkap kajian abang!"

"Huh, kajian abang sampai satu Malaysia ni? Besarnya! Nanti bila abang dah keluar, mesti jadi bos besar-besar, kan?"

Ghafar tertawa kecil sambil menggeleng kepala.

Namun lain pula bagi Nor. Memang dia kagum dengan Ghafar. Jauh di sudut hati, dia sebenarnya segan. Malu dengan lelaki itu.

Terasa dirinya begitu kerdil.

Siapalah aku? Hanya perempuan kampung yang belajar pun tak tinggi mana!

Sudah! Jangan berangan-angan, Norlia! Kau tu bukan takat sekolah setingkat aje, yang setingkat tu pun tak habis! Ghafar tu belajar bertingkat-tingkat sampai universiti. Kau apa yang ada?

Norlia membuang segala rasa itu jauh-jauh. Tapi semakin jauh diusir, semakin kuat rasa itu mencengkam sukmanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro