Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

5

"JODOH itu, Allah sudah susun cantik dan tertib dalam takdir kita, sudah tertulis di luhz mahfudz. Dan ianya pula dirancang dengan indah; samalah halnya sepertinya menyusun daun sirih ini. Di mana tepak dua pinangnya... " Pak Suparman memulakan bicara. Dia menyusun helai-helai daun sirih di atas sekeping pinggan. Kemudian, dia meletakkan gambir dan juga buah pinang yang telah dipecahkan ke dalam gulungan daun sirih berkenaan.

     "...Di mana secalit dua kapurnya. Di mana segenyah dua gambirnya. Dan, kalau perlu disempurnakan lagi dengan selitan sebuku cengkih, sesentil buah pala atau setabur gula. Ini bukan sahaja untuk memperindahkan paduan rasa, tetapi juga untuk mengusik selera..."

Pak Suparman kemudiannya menyuakan gulungan daun sirih berkenaan ke dalam mulutnya.

     "...Ada manisnya, ada pedasnya, ada pahitnya, ada masamnya, namun sepanjang masa penuh dengan rahsia. Dan daripada itulah terjelmanya keindahan yang tidak terungkap dek kata-kata. Begitulah asam garam kehidupan berumah tangga kelak." titip nasihat Pak Suparman dengan loghat jawa yang pekat. Di sebelah tepak sirih itu, ada pula kopi 'o' panas yang telah disediakan oleh isterinya.

Barangkali, Pak Suparman sudah terperasankam momen-momen romantika Ngatiman menyapa sang gadis bernama Jumirah berdekatan pondok gazebo pada waktu petang tadi. Barangkali juga, dia cuba untuk membina komunikasi dengan Ngatiman melalui cerita-cerita tafsiran teladan. Al-maklumlah, sudah terlalu lama anak sebatang kara ini tidak pulang ke kampung halaman, mungkin inilah masanya yang sesuai untuk bersembang dari hati ke hati. Namun, terasa sungguh dalam kata-kata Pak Suparman itu ya.

"Man, lho ingat iki pesanku. Sidji, Wong nrimo uripe dowo. Maksudnya, orang yang bersyukur hidupnya lama."

"Loro, Wong sabar, rejekine jembar. Maksudnya, orang yang sabar rezekinya luas."

"Telu, Wong ngalah uripe barokah. Maksudnya, orang yang merendah diri hidupnya berkat."

"Papat, Wong jujur uripe makmur. Maksudnya, orang jujur hidupnya makmur."

"Limo, Wong suloyo uripe soro. Maksudnya, orang malas hidupnya sengsara."

     "Nenem, Wong sombong amale kobong. Maksudnya, orang sombong amalnya hangus."

     "Pitu, Wong ngersulo gelis tuwo. Maksudnya, orang yang suka berkeluhkesah akan cepat tua."

     "Wolu, Wong tlaten bakal panen. Maksudnya, orang yang rajin akan berjaya."

     "Songo, Sing wis lungo lalekno. Maksudnya, yang telah pergi perlu dilupakan (bukan untuk mereka yang telah meninggal dunia)."

     "Sepuluh, Sing durung teko  enteno. Maksudnya, yang belum datang, tunggulah."

     "Sewelas, Sing wis ono syukurono. Maksudnya, yang sudah ada di depan mata, maka syukurilah."

     "Pitutur jowo iku ajaran agomo. Maksudnya, falsafah jawa itulah ajaran agama."

     Ngatiman hanya mengangguk faham walaupun hanya sebahagian ayat sahaja yang berjaya diresapi dalam sanubari. Dia bukanlah pandai sangat berbahasa Jawa. Itu pun bila terdengar geng-geng pemandu trektar sawah berkomunikasi sesama mereka yang selalu singgah ke kedai Wak Amit membeli sarapan di waktu pagi.

     Pak Suparman terus-terusan menitipkan kata-kata nasihat mengenai kehidupan dan tiang seri falsafah orang Jawa dahulu kala pada malam itu. Falsafah inilah yang masih dipegang sehingga ke hari ini dan membentuk jiwa masyarakat jawa yang bergabung dengan kesantunan, ketinggian moral akhlak dan juga perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Ujar Pak Suparman lagi, falsafah inilah yang menjadi acuan dalam membentuk peribadi, moral akhlak dan juga kerendahan hati dan jiwa murni masyarakat Jawa dari dahulu, kini dan selamanya. Acuan yang memberkas ini diserikan lagi dengan keluhuran nilai-nilai murni sambil digarap indah dengan aspek kesantunan dan penghormatan tertinggi bagi mengekalkan budaya dan adat resam bangsa supaya 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Sungguh bermakna falsafah hidup masyarakat jawa. Begitulah juga masyarakat Malaysia, meraikan perbezaan dalam semangat kebersamaan, kekitaan dan kepedulian antara satu sama lain. Dalam kasar ada santunnya, dalam tegas ada lembutnya.

Malam itu, cuaca masih hujan renyai-renyai. Angin sepoi-sepoi bahasa terus meniupkan sang bayu dingin dinihari. Suasana sepi di perkarangan rumah dimeriahkan dengan bunyi katak puru dan cengkerik sawah bersahut-sahutan sambil mendendangkan lagu "Hujan" lantunan Allahyarham Sudirman Hj. Arsyad.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro