1
SINARAN mentari kian tergelincir ke ufuk barat. Perlahan-lahan, ia mengikuti hukum kanun alam ciptaan Illahi. Sinaran mega yang berbalam-balam perlahan-lahan tenggelam disebalik kesibukkan Selat Melaka yang tiada bertepian itu. Balam-balam mega yang terpantul ke permukaan lautan menyerlahkan lagi tarian berbias bayang-bayang yang ternampak seakan-akan sebuah lukisan pemandangan lautan yang indah.
Bayangan sang mega masih lagi merah memekat sedang waktu menginjak ke usia senja. Penampakan sang mega kelihatan semakin berserakan dengan kemasukan warna ungu nila kandi pula, lalu pantulannya kelihatan semakin samar-samar tenggelam. Biasannya masih dapat diperlihatkan daripada permukaan lautan. Perahu nelayan, bot pelancong dan juga kapal-kapal dagang yang datangnya dari pelbagai pelusuk termasuklah pulau buatan di Maharani Energy Gateaway (MEG) kelihatan berbondong-bondong pulang bermudik ke tepian muara, lalu ditambat kemas dan ada pula nelayan yang pulang lewat petang menaikkan hasil tangkapan masing-masing ke bahagian jeti.
Suasana soré di perkarangan Dataran Tanjung Emas, Muar dapat dirasakan terlalu tenang dan indah. Gemersiknya luruan segar angin bayu laut yang berhembus lembut, yang datangnya dari arah barat laut dapat dirasakan sedang menghembus tenang ke dalam setiap pelusuk sanubari insani yang menikmatinya. Tiupan sang bayu laut itu setenang bak kehidupan masyarakat di sini yang berpadu hati dalam kehidupan berbilang kaum, menjiwai peranan Bangsa Johor lalu mengheret kehidupan manusiawi ke kancah ketenangan yang abadi. Hembusan bayu laut itu menderu-deru lalu mencium lembut ke alis mata insan-insan di kawasan Bandar Maharani ini, lantas perlahan-lahan menggoreskan bibit-bibit tenaga angin sepoi-sepoi bahasa ke permukaan pipi mereka.
Nun di kejauhan sana, terlihat pula sebuah tanda nama 'Tangkak' sebesar pemeluk manusia yang tersemat kemas berhampiran kawasan pepohon rhu di Dataran Tanjung Agas. Taman-taman indah ini memperlihatkan keindahan alam semula jadi yang tidak terkata. Disinilah juga tempatnya manusiawi menyaksikan keindahan pemandangan cahaya bergemerlapan disekitar Jambatan Sultan Ismail di waktu malam. Sungguh indah dan menyejukkan mata sesiapa sahaja yang memandangnya. Pernah dulu diceritakan, bahawa inilah dia tempat asalnya lagu 'Empat Dara' nyanyi Allahyarhamah Datuk Syarifah Aini sebelum Jambatan Sultan Ismail ini dibina.
Dari bahagian utara tebing Sungai Muar pula, kelihatan kubah Masjid Sultan Ismail, Tangkak yang berwarna kebiru-biruan dengan rekabentuk yang tidak terperi indahnya. Kubah itu sebagai lambang kemasyhuran daerah Tangkak, Johor yang dipasak oleh gunung lagenda iaitu Gunung Ledang. Di situlah dikhabarkan bersemayamnya Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumillah dan juga nenek kebayan yang telah tertulis dalam lagenda Melayu lama sejak zaman berzaman.
Pada bahagian selatan tebing Sungai Muar pula, tegap berdirinya Masjid Sultan Ibrahim yang terletak di bahagian Daerah Muar, dipasak oleh Bukit Mor, Bakri. Pernah suatu ketika dahulu kecoh, apabila penduduk tempatan menemui seekor makhluk ular gergasi seakan-akan anaconda yang bersaiz tiga pemeluk orang dewasa dan mempunyai kepanjangan berskala Jambatan Sultan Ismail dibawah pasar awam berdekatan Astaka berkenaan.
Begitulah uniknya Sungai Muar ini, sebuah sungai bersejarah yang acap kali meniti dibibir-bibir masyarakat berbilang zaman, bukan sahaja telah termaktub di dalam perlipatan buku sejarah sekolah, juga acap kali disebut didalam karya agung Sulalatus Salatin. Sungai ini pernah menjadi saksi perjalanan seorang pemimpin agung Melayu merangkap pencetus kepada sebuah Kerajaan Maritim Kesultanan Melayu Melaka yang unggul suatu ketika dahulu, yakni Parameswara. Sungai Muar juga berperanan sebagai benteng pertahanan terakhir orang Melayu ketika menentang penjajah Portugis melalui Kubu Bentayan, pada tanggal 24 Ogos 1511.
Nun dari kejauhan di Tanjung Emas pula, kedengaran sayup-sayup alunan gemersiknya lagu Zapin, Ya Salam. Lagu zapin berkenaan kedengaran sayup-sayup diiringi dendangan gambus, rebana, gendang, nafiri dan marakas bersilih ganti. Burung Camar Laut yang pulang ke sarang selepas selesai mencari kudap-kudapan di lautan mengibaskan sayapnya, seakan-akan mengikuti rentak alunan tradisi masyarakat Negeri Johor itu.
Disitulah dapat dilihat sedang duduk-duduk, bermenung jauh seorang anak muda bernama Ngatiman. Anak muda berusia dua puluh lima tahun itu sedang asyik merenung sambil memerhatikan tari menarinya sinaran sang mega petang dari kejauhan Selat Melaka sambil tangannya memegang sekeping surat. Surat berkenaan merupakan surat laporan autopsi pembedahan doktor dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah tentang kematian ayahnya, Arwah Wak Pairan.
Lantaran itu juga, fikiran insan sepi ini melayang-layang sendirian, menerawang membelah Lautan Pasifik, menerjah ke Lautan Atlantik melalui Segi Tiga Bermuda, menyusuri hutan hujan Amozonia, melompat pula ke dunia khayalan, dunia di sebalik mata. Jauh, jauh benar lamunannya itu.
"Apalah nasib diriku yang malang ini. Sudahlah ketiadaan ibunda, ayahanda pula baru sahaja pergi selama-lamanya," getus hatinya lagi.
Kakinya diatur kemas, perlahan-lahan melangkah ke Stesen Bas Bentayan untuk membina kehidupan baru di kota raya.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro