Bab 9
"HA, ada kereta lalu!"
Selang satu jam menunggu di tepi jalan, akhirnya sebuah kereta Proton Wira muncul. Fateh yang bersandar di sisi pintu Nissan Frontier segera melambai-lambaikan tangan untuk menarik perhatian si pemandu.
"Jerk!"
Dia menyumpah tika kereta Wira itu melintasi mereka dengan lajunya. Seolah-olah mereka itu bayang-bayang.
"Awak ingat penduduk sini senang-senang nak tumpangkan orang asing? Mereka takut dirompak tahu?" celah Lufya yang duduk bertenggek di belakang Nissan Frontier.
"I kacak. So, muka I bebas dari aura perompak."
Lufya menjulingkan mata ke atas. Berlagak tak sudah. Geram sungguh dia yang mendengarnya.
"Dekat jalan yang sunyi macam ni, muka handsome pun tetap nampak macam muka penyangak."
"So, you mengakulah yang I ni handsome?" Fateh membelitkan kenyataan.
Okey, Lufya tak dapat menafikan yang Fateh sememangnya kacak. Cuma dia enggan memuji pemuda itu dengan jelas. Makin dipuji makin kembang egonya. Makin tinggi sikap bangga dirinya.
"Handsome atau tidak, awak tu kuli saya. Sekarang, saya nak awak fikir cara untuk kita ke pekan." Jawapan Lufya bikin riak Fateh kembali kelat.
"You dah lama tinggal dekat Vila Sunny, kan? Penduduk area sini mesti cam dengan muka you. So, better you yang tahan kereta mereka." Fateh memberi cadangan.
Menurut Lufya, lebih kurang 10 kilometer dari Vila Sunny terdapat sebuah perkampungan tersusun yang menempatkan lebih kurang 500 orang penduduk. Setiap kali penduduknya hendak ke pekan atau bandar, mereka pasti melintasi jalan estet Tuan Ilyas.
"Errr..."
Bunyi tayar bergeser dengan jalan membantutkan perbualan. Sebuah Proton Saga warna merah brek mengejut dan berhenti di hadapan mereka. Pemandunya menurunkan cermin kereta dan merenung Lufya tunak.
"Hai cik adik manis, kereta rosak ke? Nak ke mana?"
Lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an itu tersengih-sengih memandang Lufya. Lufya bergegas turun dari pick up truck dan menghampiri kereta itu.
"Kereta saya habis minyaklah, bang," beritahunya jujur.
"Oh, minyak kering. Abang boleh tumpangkan adik ke pekan." Lelaki itu mempelawa dengan senyuman miang.
Lufya menundukkan kepalanya dan mendapati dalam kereta itu terdapat tiga orang lelaki lain yang sebaya si pemandu. Masing-masing tayang barisan gigi kuning. Ingat ini iklan serbuk kunyit ke apa?
"Tapi, kereta abang dah full. Adik seorang ajelah yang boleh tumpang."
Si pemandu buat-buat tak endah dengan kelibat Fateh yang sedang mendekati. Sedar yang gadis itu tidak bersendirian.
"Oh, boleh. Tak jadi masalah."
"What?! Are you out of your mind?!"
Fateh menjerit lantang. Matanya mencerlung memandang Lufya.
"Kenapanya? Awak takut tinggal sini sorang diri, ya? Okey, awak pergi ikut mereka ke pekan, cari minyak. Saya tunggu sini." Lufya buat keputusan.
"No way. You atau I takkan bergerak dari sini."
Lufya ternganga. Apa masalah pemuda ini?
"Tak apalah pak cik, we don't need your help."
Sengaja Fateh menekankan perkataan 'pak cik'. Mahu keempat-empat lelaki dalam kereta itu sedar diri. Fateh mencengkam kuat lengan Lufya dan mengheretnya kembali ke Nissan Frontier. Pemandu Proton Saga itu mencebik bibir sebelum menderam pergi.
"Apa masalah awak ni? Mereka nak bagi tumpang, kan?" soal Lufya yang meleraikan pegangan tangan Fateh.
"You ni bodoh ke apa? You nampak tak mereka pandang you macam mana? Berani aje you nak tumpang kereta lelaki asing, kan? Kalau jadi apa-apa macam mana?"
Bertalu-talu soalan keluar dari bibir Fateh. Bengang dengan sikap Lufya yang ambil enteng soal keselamatan. Dia lelaki. Arif sangat dengan pandangan bernafsu kaum Adam.
"Awak pun lelaki asing juga. Saya boleh aje naik kereta dengan awak?"
"I tetamu Vila Sunny!" Fateh mengkal hati.
"Lagi satu, perlu ke nak berabang bagai dengan orang tua macam tu? You sengaja nak flirting ke apa?"
Berdesing telinganya saat mendengar Lufya beradik dan berabang dengan lelaki asing tadi. Sudahlah suara lembut dan meliuk lentok. Bila dengan dia, suara garang semacam. Memang sengaja bikin dia panas.
"Nak minta bantuan orang, kenalah manja-manja."
Fateh macam hendak hantuk saja kepalanya di dahi Lufya.
"Gatal. Itu istilah yang lebih tepat." Sinis sekali Fateh melempar kata.
"Alahai, bukannya saya nak menggatal dengan awak pun? Sibuk aje masuk campur hal orang," tokok Lufya seraya mencemik. Sedikit kecil hati dengan tuduhan pemuda itu.
KESABARAN Lufya tiba di kemuncak apabila menyedari yang mereka sudah dua jam tersadai di tepi jalan raya. Hendak menghubungi salah seorang pekerja Vila Sunny, telefon tiada rangkaian. Sampai bila dia hendak tercongok di situ?
"Faith, tanggal baju."
"Hah?"
Fateh terkebil-kebil memandang Lufya. Dia salah dengar, kan? Pasti salah dengar.
"Tanggal baju awak tu," ulang Lufya dengan riak tenang.
"Nak buat apa?"
"Adalah."
"No offense, tapi I tak berselera dengan you." Fateh berganjak ke belakang.
"Kalau saya yang berselera dengan awak macam mana? Cepat tanggal!"
Hampir tercabut jantung Fateh saat Lufya menerpa ke arahnya. Gadis itu gigih membuka butang-butang kemejanya dengan kasar.
"Luffy, stop it! Stop it!"
Fateh menepis tangan Lufya dengan wajah merah menyala menahan malu. Gadis ini tersampuk syaitan ke apa? Syaitan gatal. Hancurlah keterunaannya hari ini.
"Apa masalah you ni?!"
Bergegar jalan itu dengan tengkingan Fateh saat Lufya berjaya menanggalkan kemeja kelabu dari tubuhnya. Mujurlah Fateh memakai T-shirt putih di bahagian dalam. Tiadalah dia berlengeng di hadapan gadis bermuka tembok itu.
"Just shut up."
Lufya mengambil sweater kepunyaannya yang terletak di dalam Nissan Frontier. Dia membungkus kemeja Fateh dengan sweater itu. Kemudian bungkusan itu dimasukkan ke dalam bajunya.
"Kenapa you masukkan kemeja I dalam baju you? You nampak macam..."
Mengandung?
Ayat Fateh tergantung begitu saja. Dia ketandusan kosa kata. Ligat otaknya berfikir. Sungguh dia gagal memahami motif Lufya mengembungkan perut yang kempis dengan bungkusan pakaian. Tapi, gadis itu nampak comel dalam keadaan sedemikian. Erk, kau buta ke, Fateh?
Berlapis dahi Fateh saat melihat Lufya terbongkok-bongkok berdiri di sisi jalan. Dia melongo apabila sebuah kereta Perodua Kancil berhenti tanpa ditahan.
"Ya Allah, kenapa dengan kamu ni, nak?" soal pemandu Perodua Kancil yang mungkin berusia 60 tahun.
"Minyak kereta habis, pak cik. Suami saya tergesa-gesa nak keluar tadi, terlupa isi minyak." Lufya memberitahu sambil mengusap-usap perutnya yang membonjol.
"Kamu nak ke mana sarat-sarat macam ni?" tanya orang tua itu bimbang.
"Nak ke hospital, pak cik. Saya nak buat check-up baby. Tiba-tiba perut ni sakit."
"Kesian kamu berpanas. Marilah pak cik hantarkan kamu berdua ke hospital."
Pelawaan orang tua itu buat Fateh geleng-geleng kepala. Hebat sungguh gadis yang bernama Lufya ini. Sudahlah bermuka tembok, penipu pula tu! Selamba saja dia berdrama di jalan sunyi itu. Dia suami Lufya? Lawak sangat.
Sebab tiada pilihan, Fateh terpaksa menumpang kenderaan itu. Lufya sempat beramah mesra dengan orang tua yang mahu dipanggil sebagai Pak Idrus itu. Pak Idrus ingin ke pekan untuk membeli barangan keperluan dapur. Isterinya sibuk menjaga anak mereka yang sedang berpantang.
"I tak sangka you pandai berdrama. Sejak bila pula I jadi suami you?" bisik Fateh di telinga Lufya.
Pada mulanya, Fateh ingin duduk di sisi pemandu. Namun, Pak Idrus menegah. Dia mahu Fateh duduk di belakang. Katanya jangan berjauhan dengan isteri yang sedang sarat. Fateh angguk-angguk kepala sahaja. Layankan sajalah pak cik, drama budak senget ni.
"You mengandungkan apa? Baju?" soal Fateh lagi. Lufya pura-pura tak dengar.
"Berapa bulan usia kandungan you ni ya, sayang?"
Fateh mengusap-usap perut Lufya. Naik juling gadis itu merenungnya. Jelas tidak suka dengan kedudukan Fateh yang begitu dekat dengan tubuhnya.
"Lelaki gila manalah yang sanggup beristerikan you, Luffy. Drama queen sungguh."
Gembira hati Fateh sebab Lufya gagal membalas sindirannya. Mungkin gadis itu enggan bertengkar di dalam kereta Pak Idrus.
"Aduh!" Lufya mengaduh sambil menekan perut.
"Kenapa you?" soal Fateh hairan.
"Abang! Baby ni rasa macam nak terkeluar. Argh!"
Rahang Fateh terjatuh. Abang? Pak Idrus pula terus memecutkan kenderaannya sambil bermandi peluh. Cemas dengan keadaan penumpang segera itu.
"You jangan nak berlakon sangat boleh tak?"
"Abang, tolong! Sakitnya!"
Prap!
Lufya menarik kuat rambut Fateh dengan tangan kanannya. Sementara tangan kiri menekan perut sendiri.
"Argh, Luffy! What the hell is wrong with you?!"
Hampir tercabut kulit kepala Fateh saat itu. Puas dia menepis, Lufya masih terus menarik rambutnya. Gadis itu memang sengaja!
"Sakitnya perut ni!"
"You jangan tarik rambut I. I cekik leher you nanti!"
Suasana agak kecoh di dalam kereta. Lufya dan Fateh sama-sama menjerit kesakitan. Pak Idrus yang mendengarnya boleh terkena serangan jantung.
"Abang! Baby ni rasa macam nak terkeluar. Tolong Luffy bang, tolong!!!"
Lakonan Lufya buat darah Fateh tersirap hingga ke kepala. Nak berlakon, dia tak marah. Tapi, mengapa rambutnya yang jadi mangsa gadis itu? Apa perempuan yang nak terberanak memang kena tarik rambut suaminya ke?
"Sabar cik, sabar! Tak lama lagi kita sampai hospital! Jangan terberanak dalam kereta pak cik."
Pak Idrus cuba menenangkan Lufya walaupun dia sendiri cemas. Tangannya gigil memegang stereng kereta. Bimbang Lufya mati dalam kenderaannya.
"Ini semua abang yang salah, sayang dah cakap sayang nak terberanak. Tapi, abang tak percaya. Abang suruh sayang tahan-tahan pula!" jerit Lufya di telinga Fateh.
"You nak kena tampar ke?!" Fateh lantang menempelak.
"Astaghfirullahalazim. Encik, tak baik berkasar dengan isteri!"
Suara Pak Idrus meledak naik saat terdengar bicara Fateh. Fateh termengkelan. Argh, mengapa dia terperangkap dalam situasi segila ini?
"Pak cik, yang sebenarnya..."
"Tak baik encik layan isteri macam tu. Encik kawal sikit kemarahan tu."
Pak Idrus memotong ayat Fateh. Enggan mendengar alasan pemuda yang panas baran itu. Ada pula niat untuk menangan isteri sendiri. Gila sungguh.
"Dia tarik rambut saya, pak cik. Sakit!" adu Fateh seraya menggosok-gosok kepala yang perit. Lufya melepaskan rambut Fateh saat mendengar Pak Idrus memarahinya.
"Isteri encik lebih sakit untuk melahirkan zuriat encik. Encik kena banyak bersabar," nasihat Pak Idrus penuh ketegasan.
"Betul cakap pak cik. Sayang sakit. Abang nak marah sayang pula? Tak simpati dekat sayang ke?"
Intonasi sedih bersama ekspresi hiba itu bisa meraih simpati sesiapa saja yang melihatnya. Ketika Pak Idrus tidak memandangnya dari cermin pandang belakang, Lufya menjelirkan lidah kepada Fateh. Pemuda itu menghadiahkan jelingan maut. Fateh sengaja cari pasal dengan melabel dia gila dan drama queen. Sekarang, rasakan penangan drama Lufya.
"Masa isteri pak cik nak bersalin dulu, pak cik jaga dia elok-elok. Tak pernah sekali pun tinggi suara. Berbeza betul suami zaman dulu dengan suami zaman sekarang. Ramai yang perangai panas baran. Isteri bawa perut memboyot pula ditengkingnya. Tak patut betul."
Sindiran berbisa Pak Idrus itu buat Fateh berasap telinga. Dia sedar dia seorang lelaki yang panas baran. Tapi, tak pernah sekali pun terdetik dalam hatinya untuk menengking seorang ibu mengandung. Meskipun gadis itu bukan isterinya. Dia naik angin kerana Lufya sekadar berlakon berbadan dua dan seenak rasa menarik rambutnya.
"Abang, sayang sa..."
Lufya terkesima bila Fateh merentap tangannya kuat. Tubuhnya terdorong ke arah pemuda itu. Hampir saja tercium hidung lelaki itu. Matanya membulat bila desah nafas Fateh menampar pipi. Berbau lemon. Dia terbuai seketika. Lidahnya kelu saat menatap iris hijau itu dengan jarak lebih kurang dua inci.
"Keep on pretending, Luffy. You scream one more time, I swear I'll kiss you. Right here, right now."
Bisikan berserta amaran itu bikin Lufya telan liur kelat. Kerongkongnya berpasir. Seram sejuk Lufya saat itu. Bulu roma tegak berdiri. Dia mengengsot ke belakang dan duduk dekat dengan pintu. Menjauhi Fateh yang seperti hendak menerkamnya.
"Dah tak sakit ke, cik?"
Pak Idrus pelik. Dia tidak lagi mendengar bunyi jerit pekik di belakang keretanya. Suasana sunyi menjalari mereka.
"Baby seram nak keluar, pak cik."
Jawapan selamba Lufya bikin Fateh ketap gigi. Nak tergelak pun ada. Tapi, dia masih marah dengan gadis itu.
LUFYA mengucapkan terima kasih kepada Pak Idrus yang sudi menghantar dia dan Fateh ke hospital. Bungkusan pakaian yang menghiasi perut segera dikeluarkan. Kemeja dipulangkan kepada Fateh.
"You memang sengaja, kan?!" sergah Fateh bengang.
"Sengaja apa?" Lufya buat-buat tak tahu.
"Sengaja malukan I. Sengaja biar pak cik tu marah I?"
Sungguh jiwa Fateh bengkak dengan sikap Lufya. Selamba saja dia menipu Pak Idrus yang berbaik hati menumpangkan mereka.
"Awak kan selalu marah staf-staf awak. Sekarang, saya jadi bos awak. So, awak pun kena rasa apa yang staf-staf awak rasa. Seronok tak kena marah tanpa usul periksa?"
Penjelasan Lufya itu buat lidah Fateh bagai digam kukuh. Jadi, ini tujuan gadis itu berlakon dan memalukan dirinya. Lufya membalas dendam bagi pihak staf-stafnya?
"Suka hati I la I nak marah staf-staf I atau tidak."
"Saya kawan awak. Jadi saya wajib menasihati awak."
"Masa bila pula you jadi kawan I?" Fateh menempelak.
"Saya bos awak. Jangan biadab dengan saya. Kalau saya cakap kawan, maka kita adalah kawan. Hutang nyawa ingat?"
Buku lima digenggam erat. Dadanya naik turun menahan amarah. Dia bersabar daripada memaki gadis itu. Persahabatan boleh pakai paksa ke? Saat dia ingin melancarkan serangan balas, azan asar berkumandang kuat.
"Saya nak solat di sini," beritahu Lufya.
"Solat dekat vila ajelah. You belum beli cat lagi, kan?"
"Saya nak cari pahala lebih. Solat di awal waktu. Hal dunia, bila-bila masa aje boleh buat. Solat bukan lama pun. Ambil masa dalam 10 minit saja. Bekalan untuk akhirat lebih penting berbanding bekalan dunia. Awak pun solatlah. Bagi reda sikit marah tu."
Gadis itu bergerak ke surau hospital. Meninggalkan Fateh yang terkesan dengan setiap tuturnya. Fateh meraup wajah beberapa kali dan beristighfar kecil. Kakinya sama menapak untuk menunaikan suruhan Ilahi.
"MARAH dekat saya lagi ke ni?"
Lufya memandang Fateh yang berada di sisi. Wajah pemuda itu tidak sekelat tadi. Saat itu, mereka berada di dalam teksi. Menuju ke kedai cat yang terletak agak jauh dari hospital. Lufya sempat menghubungi Yassin dan meminta pemuda itu mengambil dia dan Fateh di pekan pada jam 6.00 petang.
"Tak marah. Happy," sindir Fateh mendatar. Amarahnya hilang begitu saja setelah sujud menghadap Ilahi.
"Ketika marah menguasai diri, bertenanglah. Jangan sampai mulut menyembur bisa. Bimbang ada hati yang tergores dan menyimpan dendam. Buruk padahnya nanti." Lufya memberi nasihat secara lembut.
"Kalau I terlalu baik dengan staf-staf I, mereka akan pijak kepala I."
Fateh dapat membaca maksud tersirat daripada deretan nasihat Lufya. Yakin yang gadis itu mahu dia melayan orang-orang bawahannya dengan baik.
"Baik dan bodoh itu ada bezanya."
"Meaning?"
"Saya bagi situasi contoh dan awak jawab dengan jujur."
"Okey, shoot." Iris hijau itu tertumpu ke wajah tenang Lufya.
"Awak bagi staf awak satu tugas bersama deadline. Tapi, staf awak tu langgar deadline. Apa yang awak akan buat?" tanya Lufya serius.
"I marahlah."
"Marah melalui teguran, amaran dan makian itu berbeza. Jadi, yang mana satu awak guna?"
Kelu lidah Fateh untuk menjawab soalan itu. Dia serba salah. Lufya boleh mengagak cara apa yang digunakan Fateh sewaktu memarahi staf-stafnya. Sudah tentulah makian tahap tujuh petala langit.
"Bos yang baik, bukanlah bos yang bila staf dia buat kesalahan, dia diam dan tak ambil apa-apa tindakan. Itu bukan baik. Itu bodoh."
Penjelasan Lufya buat Fateh bertambah asyik mendengar. Walaupun dia terkena tempiasnya, nasihat Lufya bukan sekadar perlian semata-mata.
"Bos yang baik adalah bos yang bila staf dia buat salah, dia akan tegur dengan berhemah. Jika teguran tak jalan, berilah amaran. Jika tiga amaran tetap tak berkesan, maka pecat sajalah pekerja itu. Bimbang syarikat kerugian," sambung Lufya lagi.
"Pecat? Bukan ke itu lebih teruk berbanding I maki mereka saja?" Berkerut dahi Fateh bertanyakan hal itu.
"Makian itu hanya menyedapkan hati awak. Adakah selepas awak maki staf-staf awak, prestasi kerja mereka meningkat? Tak, kan?"
Selama dua tahun Fateh menjadi kepala kepada puluhan staf. Hampir semua daripada mereka pernah dimakinya. Namun, prestasi kerja mereka tetap di takat biasa-biasa saja. Langsung tiada peningkatan.
"Keselesaan dan kepercayaan antara bos dan staf penting untuk mendapatkan hasil kerja yang bermutu. Kalau awak asyik maki hamun mereka, macam mana mereka nak selesa kerja di bawah awak? Macam mana mereka nak bersemangat melakukan tugas?" soal Lufya lagi.
Hampir dua minggu Fateh menjadi kuli Lufya, dia lali dengan perasaan bengang dan geram setiap kali Lufya membebel tidak puas hati dengan hasil kerjanya. Itu baru membebel, belum kena maki. Bagaimana pula perasaan staf-stafnya sewaktu dia mencaci mereka dahulu? Pasti lebih teruk berbanding apa yang dirasainya.
"Sebagai pemimpin syarikat, awak adalah contoh kepada staf-staf. Jika awak nak staf-staf awak masuk kerja tepat pada masanya, awak pun perlu menepati waktu. Jika awak nak staf-staf awak tak curi tulang sewaktu bertugas, awak pun perlu komited pada tugas. Beri mereka contoh yang baik untuk diteladani. Bukan sebaliknya."
Lufya menarik nafas panjang. Berharap Fateh bisa berubah menjadi bos yang lebih berkualiti. Dia berdoa agar nasihatnya bisa dimanfaatkan pemuda itu. Lufya kesian dengan nasib staf-staf yang berkerja di bawah Fateh. Panas baran sungguh.
"Saya percaya, kalau awak layan staf-staf awak dengan cara yang baik dan bijak, insya-Allah mereka juga akan beri komitmen terbaik kepada awak."
Setiap bait yang terbit dari bibir merah itu menusuk jauh ke dalam kalbu Fateh. Kata-kata yang mampu menyemarakkan semangatnya untuk berubah.
"Kenapa you macam ni, Luffy?" soal Fateh dengan suara yang agak samar. Lama dia membisu.
"Macam apa, Faith?"
"Always optimistic."
"Salah ke saya optimistik? Berfikiran positif?"
"You nampak sisi baik semua perkara. Bagi I, sikap manusia ni cuma ada hitam dan putih saja. Begitu juga dengan staf-staf I."
"Dunia ini bukan ada hitam dan putih saja, Faith. Begitu juga dengan manusia. There are colours everywhere. You are a colour, Faith. Your staffs too."
Tusukan iris hitam itu buat sinar penyesalan terbit dalam lubuk hati Fateh. Andai perasaan manusia itu adalah kanvas hitam dan putih, dia masih bisa memalitkan warna-warna lain di atasnya. Dia berperanan penting untuk meningkatkan atau menjatuhkan semangat kerja staf-staf bawahannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro