Bab 14
"BETUL ni kau tak nak naik kereta?"
Berulang kali Alif bertanyakan soalan sama. Kereta Alif rosak, justeru dia meminjam BMW X7 Fateh. Sahabatnya itu pula, malas hendak memandu. Jadi dia yang mengambil pemuda itu dari rumahnya. Mujurlah tempat tinggal mereka berdekatan.
Pagi itu, Fateh buat gila. Baru 10 minit berada dalam kereta, Fateh minta Alif menurunkan dia di pondok menunggu bas. Katanya ingin menaiki bas untuk ke syarikat.
"Hmmm... Kau pergi ajelah dulu. Aku naik bas. Coat and briefcase aku, letak dalam pejabat." Fateh memberi arahan sebelum keluar dari perut kereta.
"Naik teksi or UBER ajelah. Aku call kan untuk kau, ya?"
"Apa beza aku naik teksi or UBER berbanding aku naik kereta aku sendiri?" soal Fateh kembali.
"Bas kan crowded? Kau tak rimas ke?"
"Tak."
Alif diam seketika. Serius saja wajah Fateh saat itu.
"Okey. Apa-apa hal call aku."
"Aku bukan perempuan," balas Fateh sambil mendengus kecil.
"Kau tu handsome tak hingat. Karang jadi mangsa perkosa, apa aku nak jawab pada Tan Sri Daniel?" seloroh Alif seraya tayang sengih.
"Fool." Itu saja komen Fateh.
"Aku gerak dulu. Bye."
Alif tergelak-gelak sebelum berlalu pergi dengan kereta sahabatnya itu. Dia sudah masak dengan perangai pelik Fateh. Jadi, tiadalah difikir pemuda itu buang tabiat.
BAS agak sesak pagi itu. Masa untuk manusia bergerak ke tempat kerja masing-masing. Demi mencari sesuap rezeki. Ada juga golongan suri rumah yang menaiki pengangkutan awam itu untuk membeli barangan dapur di pasar. Golongan pelajar tidak terkecuali menghiasi bas tersebut.
Beberapa orang perempuan yang berada di dalam bas itu terteleng-teleng melihat Fateh. Mereka membulatkan mata dan merenung tubuh sasa itu dari atas hingga ke bawah. Mulut ternganga tanpa disedari. Jarang bertembung dengan lelaki sekacak itu. Begitu segak dan menawan. Persis model antarabangsa.
Apabila pemuda itu melangkah mendekati mereka, masing-masing terlupa untuk bernafas. Haruman lelaki itu buat pipi mereka berbahang.
"Excuse me, boleh tak you berikan akak ni tempat duduk? Dia mengandung."
Fateh terpaksa menegur dua orang gadis yang ralit merenungnya. Tag universiti swasta tergantung di leher mereka. Harap saja belajar hingga ke menara gading, namun kurang kesedaran sivik. Mereka tidak mengendahkan perihal ibu mengandung yang terhuyung-hayang berdiri di sisi mereka.
"Oh, maaf. Maaf. Saya tak perasan."
Salah seorang daripada gadis itu segera bangun dari duduk. Dia tersipu-sipu berdiri di sebelah Fateh.
"Duduklah, kak." Fateh memberi isyarat tangan agar wanita berbadan dua itu duduk.
"Terima kasih, encik," balas wanita itu mesra.
"Please have a sit."
Salah seorang pelajar perempuan yang duduk tidak jauh dari tempat Fateh berdiri, sudi memberikan tempat duduknya pada Fateh.
"It's okay. I prefer to stand up," balas Fateh lembut.
"Orang dah bagi tempat duduk tu, duduk ajelah."
Satu suara sumbang menyapa gegendang telinga Fateh. Dia buat tidak endah dan melemparkan pandangan ke luar cermin bas.
"Ingat handsome sangat ke berdiri dekat tengah-tengah bas ni?"
Sekali lagi suara itu berbunyi. Suara yang penuh perlian. Fateh ketap gigi sebelum berpaling ke belakang. Mencari empunya wajah yang berani merosakkan paginya. Matanya mencerlung ke segenap arah sebelum fokus pada seseorang yang duduk selang dua kerusi dari tempat dia berdiri. Jelingan maut bertukar menjadi sorotan iris penuh kejutan.
"Oh, memang handsome pun," ujar gadis itu bersama deretan gigi Colgatenya.
Fateh pegun. Gadis itu bangun dari duduk dan berdiri lebih kurang dua kaki saja di hadapannya. Adakah dia sedang bermimpi?
"Would you like to take my sit?" Gadis itu mempelawa ceria.
Mata Fateh langsung tidak berkerdip.
"Sebagai tukaran tempat duduk saya, saya nak awak jadi kuli saya. Boleh?"
Soalan yang diiringi senyuman manis itu buat Fateh tersentak. Dia beristighfar kecil dan menundukkan wajah. Kebetulan bas berhenti di satu perhentian. Belum sempat si gadis melanjutkan bicara, Fateh bergegas meninggalkan kenderaan itu.
"Aku salah orang ke?"
Lufya terpinga-pinga sendirian. Dia garu-garu kepala yang berbalut dengan selendang ungu. Adakah dia telah menakutkan seorang pemuda yang tidak mengenalinya? Yalah, tiba-tiba saja suruh orang jadi kuli. Kau gila ke, Lufya? Malunya muka!
Sedari tadi dia memerhatikan gelagat pemuda itu. Pemuda kacak yang membantu seorang ibu mengandung mendapatkan tempat duduk. Sepasang mata hijau itu jarang dimiliki sesiapa. Terutamanya rakyat Malaysia. Bukankah itu warna iris sahabat lamanya? Masakan Lufya tersalah orang?
FATEH berlegar-legar resah dalam pejabatnya. Dia terpaksa bersoal jawab dengan Alif tadinya. Masakan tidak, tiba-tiba saja dia menelefon Alif dan mengarahkan sahabatnya itu mengambil dia di pondok menunggu bas. Sudahlah dia yang bersungguh-sungguh ingin menaiki pengangkutan awam sebelumnya.
Adakah dia sudah gila hingga ternampak bayang Lufya dalam bas?
"Morning, boss." Sapaan Emma yang memasuki pejabatnya tidak diendahkan.
"Bos, jam 11.00 pagi HQ department ada buat sesi interview untuk jawatan tea lady. Bos nak pergi jenguk ke?" soal Emma yang memegang satu buku catatan. Dia naik pening kepala melihat bosnya yang ke hulu dan ke hilir tanpa henti.
"I'll pass."
"You have a meeting at..."
"Cancel it all. I'm not feeling well."
Arahan Fateh itu buat Emma berkerut dahi. Nampak macam sihat aje? Kalau tak sihat kenapa masuk pejabat?
"Bos nak I belikan ubat ke?" soal Emma lembut.
"No need. You can go."
Emma gigit bibir. Sedikit berkecil hati kerana Fateh langsung tidak memandang wajahnya. Lelaki itu sering dingin tanpa sebab. Tapi, lelaki itu jugalah yang dipujanya dalam diam.
LUFYA berlegar-legar di pekarangan Menara Cempaka yang berketinggian 30 tingkat itu. Sebanyak tujuh buah syarikat persendirian menghuni menara berkenaan. Menjalankan perniagaan masing-masing. Lapan tingkat terakhir menempatkan warga Perla Advertising.
Dia mendail nombor seseorang, namun panggilan tidak berjawab. Mungkin lelaki itu sibuk. Beberapa kaki di hadapannya, kelihatan dua orang gadis rancak bercerita. Masing-masing membawa fail tebal. Mungkin baru selesai menjalankan mesyuarat ringkas di luar.
Lufya mendekati mereka yang berdiri di hadapan lif. Selepas diamati lama, dia kenal akan gerangan dua orang gadis itu. Mereka adalah gadis sama yang sibuk mengumpat di Fea Restaurant bulan lepas. Ketika itu, mereka masih rancak bergosip. Ingatkan sibuk berbincang hal kerja.
"Assalamualaikum." Lufya memberi salam.
Kedua-dua gadis itu berpaling sebelum melihat dia dengan pandangan jengkel. Tubuh langsingnya dibelek dari atas hingga ke bawah.
"Tumpang tanya. Dekat mana Perla Advertising punya bilik..."
"Tingkat 26. Belok kiri. Bilik paling hujung," jawab Shafinaz pantas.
"Okey. Terima kasih."
Lufya usap-usap hujung kening dengan jari telunjuk. Hebat betul gadis ini. Dia belum habis bertanya, dia sudah mengetahui jawapannya.
"Tengoklah orang muda zaman sekarang. Umur dah berapa masih menganggur." Nini mencebik dan menjeling Lufya dengan ekor mata.
"Mohon jawatan tea lady pula tu. No class," sambung Nini lagi.
"Nak datang interview, tapi pakaian macam apa entah."
Shafinaz pamer senyum mengejek. Sempat geleng-geleng kepala melihat Lufya yang sekadar memakai kemeja lusuh dan jean pudar warna.
Saat lif terbuka, Lufya masuk terlebih dahulu. Dia berdiri di penjuru lif. Tangan segera menggagau telefon pintar dalam poket seluar. Ingin menghantar mesej buat 'tuan besar' yang mengajak dia makan tengah hari bersama.
Belum sempat lif bergerak ke atas, satu tangan kekar menahan pintunya daripada terkatup. Shafinaz dan Nini pegun sebelum masing-masing pamer senyum gatal. Mr. sexy memunculkan diri!
"Assalamualaikum, bos," ujar Shafinaz dan Nini serentak.
"Waalaikumussalam."
Suara seksi maskulin itu membuatkan hati Shafinaz dan Nini kembang setaman.
"Bos baru pergi breakfast ke?" soal Nini terburu-buru.
Pemuda itu berdiri di sisi mereka. Sibuk dengan telefon pintar. Tidak sedar sepasang mata di belakangnya ralit memerhati.
"Alert on time, Nini. It's already 11.30 o'clock. Breakfast apanya?"
"Errr... Sorry, bos. Tak perasan."
"By the way, both of you baru balik breakfast ke?"
Soalan cepumas itu bikin Shafinaz dan Nini cemas sendiri.
"Eh, taklah bos. Kami meeting dengan event planner tadi. Sekarang baru balik." Shafinaz memberi penjelasan pantas. Enggan bos mereka salah faham dan melabel mereka sebagai staf suka curi tulang.
"Kami kerja dulu, bos."
Shafinaz dan Nini keluar di tingkat 25. Bimbang bos mereka meneruskan soal siasat.
"Cindy, you dah malas buat kerja ke?"
Fateh menekan butang hold apabila menyedari masih ada seorang manusia dalam lif itu. Dia tidak perlu memandang wajah gadis itu kerana kebiasaannya Cindy sering mengekor Shafinaz dan Nini. Tiga orang sahabat daripada Creative Department. Dua orang Melayu, seorang Iban.
"Amboi, garangnya bos ni?"
Telinga Fateh tercacak ke atas. Bulu romanya menegak. Mengapa suara Cindy bertukar menjadi suara gadis itu? Dia salah dengar ke?
Perlahan, wajah dipalingkan ke belakang.
"Hai!"
Lufya melambai-lambai tangannya ceria. Tak menyangka pertemuan kedua mereka berlangsung secepat ini.
Pak!
Telefon pintar Fateh terlucut jatuh dari genggaman dan menghentam lantai lif.
"Hesy, suka sangat handphone rosak ke? Kali ini, jangan salahkan saya pula."
Lufya membebel sebelum mengutip iPhone 8 yang tergeletak di hujung kasut kulit A. Testoni itu. Dia bangun dan berdiri dekat dengan Fateh.
Lama dia mengamati roman wajah tanpa cela itu. Rambut yang dahulu lebat dan agak panjang, kini tersisir rapi dengan gaya faux hawk. Wajah yang dulu licin tanpa bulu, kini dihiasi stubble beard. Kumis yang ditrim nipis dan kemas. Menyerlahkan aura maskulin yang membuak-buak. Namun, sepasang mata hijau itu masih kekal seperti dulu. Iris hijau yang mempesonakan Lufya. Iris hijau yang tajam memandangnya.
Pemuda itu membisu seribu bahasa. Berdiri umpama patung cendana. Lufya mula garu-garu keningnya.
"Errr... Awak Fateh, kan?" soal Lufya yang mula tidak percaya dengan diri sendiri. Jika dia tersalah orang, malu besar dia hari itu.
"Faith?" Lufya memanggil nama gelaran pemuda itu.
"My Faith?" ulangnya lagi.
"Luffy..."
Sebaris nama ringkas itu meluncur keluar dari bibir Fateh. Nama yang bertahun-tahun terperap dalam jiwa. Nama yang menghambat kenangan lama. Dia takut untuk berkelip. Takut gadis itu ghaib dari pandangan.
"Ya Allah. Saya ingatkan saya salah orang!" Lufya bersuara girang.
"Thank God. You still remember me." Sungguh Lufya lega. Jika Fateh tidak mengingati dirinya, apa motif dia ke situ?
"Saya nak tu..."
Lufya tersentak bila Fateh menarik lengannya kuat. Dia tersembam ke dada pemuda itu. Belum sempat dia berbuat apa-apa, pemuda itu merangkulnya erat. Lufya panar tika sepasang tangan kekar itu melingkar di pinggangnya. Haruman tubuh sasa itu menusuk rongga hidung. Kegilaan apakah ini?
Pak!
"Aduh!"
Tapak tangan Lufya hinggap kuat di atas dahi Fateh. Dia berjaya menolak tubuh tegap itu. Rasa macam menolak bapak gorila pula. Kuat betul pelukannya.
"Kenapa you tepuk dahi I?"
Fateh menyoal dengan wajah berkerut-kerut. Dahinya merah akibat ditampar Lufya.
"Kenapa? Yang awak tiba-tiba peluk saya dah kenapa? Gila ke?"
Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Lufya. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang. Baru sedar yang pintu lif terbuka di tingkat 30. Memikirkan kemungkinan bakal dicabul, Lufya segera keluar dari lif. Lebih selamat berada di kawasan lapang meskipun itu bukan lokasi yang hendak ditujunya.
"I thought you are not real," tutur Fateh yang sama keluar dari lif.
Lufya mengecilkan mata. Cuba membaca ekspresi pemuda itu. Jelas bias gembira dan terkejut terpancar dari setiap rongga romannya.
"I'm sorry."
"Senangnya minta maaf?" ujar Lufya dengan riak masam mencuka.
"I'm really sorry, Luffy. Forgive me?"
Pemuda itu ikhlas meminta maaf. Hati Lufya yang panas, sejuk begitu saja. Argh, dia rindu akan pemuda itu.
"Nasib baik saya ni baik, kalau tak awak dah masuk lokap atas tuduhan sexual harassment." Lufya berseloroh.
"If your heart is a prison, I would like to be sentenced for life."
"Apa Faith?"
Main bisik-bisik pula lelaki ni. Janganlah guna intonasi dalam kelambu.
"Nothing. You buat apa dekat sini?"
Soalan Fateh itu mengingatkan Lufya tentang sesuatu. Dia kembali masuk ke dalam lif dan menekan butang nombor 26. Fateh pula masih mengekor.
"Kenapa awak ikut saya? Saya ada hal ni."
"Hal apa?"
"Hal kerja."
Fateh terdiam sejenak. Hal kerja apa yang boleh dilakukan di tingkat 26? Puas berfikir, akhirnya informasi daripada Emma terngiang-ngiang di telinganya.
"Oh, my God!" Fateh menyumpah tanpa suara. Riaknya bertukar kelat.
"Kenapa, Faith?"
"Apa Yassin tak bagi you cukup makan ke sampai you perlu kerja lain?"
Fateh menyoal seraya mengepal buku lima.
"Yassin memang tak bagi saya apa-apa pun," jawab Lufya jujur.
"Pagi tadi you kan yang naik bas?"
"Yalah, saya. Kenapa awak lari bila nampak saya?"
"Mana kereta you?"
Fateh tidak mengendahkan pertanyaan Lufya. Bahkan dia pula yang bertanya macam-macam soalan. Dia ingin tahu, mana 'baby' Lufya? Bukankah gadis itu sepatutnya belum melahirkan anak? Adakah gadis itu beranak tidak cukup bulan? Sekarang perut gadis itu kempis saja. Pelbagai persoalan bertandang dalam minda Fateh.
"Dekat rumah."
Telinga Fateh semakin berdesing. Beberapa bulan lepas dia menghadiahkan sebuah Honda Civic versi terbaru untuk kegunaan gadis itu. Sekarang, kereta itu digunakan Yassin dan bukannya Lufya.
"Follow me." Fateh keluar dari lif yang berhenti di Tingkat 26.
"Nak pergi mana?"
Lufya bergegas mengikut jejak Fateh yang berkaki panjang. Laju saja pemuda itu mengatur langkah.
Tiba di satu kawasan, Lufya melihat kewujudan beberapa orang gadis sebayanya. Mereka duduk di atas dua buah bangku panjang. Setiap seorang memegang sekeping fail. Apabila Fateh melintas, berbelas pasang mata terpaku ke arahnya. Lufya tersenyum nipis. Situasi sama seperti yang berlaku dalam bas pagi tadi. Orang kacak, siapa yang tak suka tengok, kan?
Tanpa memberi salam, Fateh membuka pintu yang bercat putih itu. Empat orang manusia terkejut dengan kemunculan lelaki itu.
"Eh, bos. Jemput masuk."
Salah seorang daripada tiga lelaki yang duduk menghadap seorang gadis bergegas bangun mendekati Fateh.
"You all keluar dulu."
Arahan Fateh buat staf-staf sumber manusia itu berpandangan sesama sendiri. Mereka angguk-angguk kepala dan sempat menjeling Lufya sekilas. Dalam kadar seminit, mereka berlalu pergi. Gadis yang sedang ditemu ramah turut diarahkan keluar. Bilik itu kosong dan sepi tanpa bunyi.
"You duduk."
Meskipun bingung memikirkan apa yang sedang berlaku saat itu, Lufya menurut saja arahan Fateh. Dia melabuhkan punggung di hadapan pemuda itu.
"I'll skip your self introduction. After this just sent your resume to HQ."
"Ha?" Resume apa pula Si Fateh ni?
"You pandai masak?"
Soalan Fateh buat mata Lufya yang sedia bulat bertambah membuntang. Adakah ini soalan yang perlu ditanya selepas tujuh tahun mereka berpisah?
"Errr... Tak pandai."
Setakat goreng telur tu, tak boleh dikira sebagai pandai memasak.
"You jangan tipu I. Kalau you tak pandai masak, macam mana Restoran Fea boleh beroperasi?" soal Fateh dengan kening bertaut.
"Yassin pandai masak."
Lufya pelik melihat riak kelat pemuda itu. Siap genggam buku lima lagi. Marah ke? Kenapa pula nak marah? Dia bukan ada masa sangat nak belajar memasak. Tapi, wajib ke dia pandai memasak?
"You pandai buat teh atau kopi?" Fateh tukar soalan.
"Pandai."
"Pandai berkemas?"
"Pandai."
"Berapa gaji yang you harapkan dari company ni?"
"Errr... Tak jauh lari dari gaji awak?"
"I can give you my whole salary."
Lufya terkebil-kebil. Tengok daripada muka Fateh macam serius.
"Baguslah kalau macam tu. Saya suka gaji besar ni." Lufya berseloroh.
"Okey. You diterima."
Fateh bangun dari duduk dan tajam merenung Lufya.
"Apa yang diterima?" Lufya masih blur.
"Esok you boleh mula kerja."
Lufya angguk-angguk kepala tanda faham. Fateh tak perlu cakap pun, memang dia sudah berjanji dengan Tan Sri Daniel untuk mula kerja pada hari esok.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro