Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

"WOW!" Fateh tersenyum puas. Penat lelahnya selama tiga hari berturut-turut akhirnya membuahkan hasil. Di hadapannya, terletak elok empat buah bangku berbentuk kayu balak dan satu set meja sama rekaan. Itulah hasil kreatif simen ferro yang diajarkan Lufya kepadanya.

"Cantik, kan?" soal Lufya girang.

"Tengoklah siapa yang buat." Fateh menepuk-nepuk dada sendiri.

"Kita buat, okey. Bukan awak seorang."

Lufya sengaja menekankan perkataan 'kita'. Mahu mengurangkan sifat bongkak si mata hijau itu. Kalau Lufya berat tulang, sampai ke sudah tak siap projek simen ferro itu. Hendak harapkan Fateh seorang saja yang buat kerja, memang binasa jawabnya.

"No offense, I lebih kreatif berbanding you."

"Ceh! Meluat." Lufya mencemik.

Mereka baru selesai mengecat kerusi-kerusi berkenaan. Semalam, Fateh mencurahkan kreativitinya dengan melorek lapisan lepaan simen yang belum keras menggunakan sebatang paku. Lorekan itu bertujuan untuk menampakkan corak kulit kayu pada permukaan luar kerusi.

"You nak buat apa?"

Fateh terkebil-kebil memerhatikan Lufya yang mengecat tapak tangan sendiri dengan cat warna merah.

"Let's put some mark on it."

Lufya mengecap tapak tangannya di atas meja konkrit bercat coklat itu.

"I want to mark it too. Nanti tak adalah you cakap meja ni you buat sorang diri."

Lufya mendengus kecil sebelum menyapu tapak tangan Fateh dengan cat. Fateh juga menekapkan tangannya di atas meja itu. Molek terbentuk cap lima jari yang agak besar warna biru bersebelahan dengan cap lima jari yang lebih kecil berwarna merah. Lufya mengakhiri 'tanda' meja itu dengan menulis tarikh hari berkenaan. Tarikh yang bermakna dalam hidup Fateh.

Pak!

Sedang Fateh leka mengamati cap tangan mereka, dia tercengang melihat Lufya menampar pipi sendiri. Pipi yang agak tembam itu terpalit dengan warna merah.

"Kenapa you tampar muka sendiri?" tanya Fateh seraya menggaritkan kening.

"Gatal. Nyamuk gigit. Saya lupa nak bawa ubat nyamuk tadi."

Memandangkan Pondok Melati terletak dalam hutan kecil, Lufya sering membawa ubat nyamuk untuk menghalau makhluk bersayap itu. Jika dibiarkan, mahu kering darahnya kena hisap.

"Tangan kanan you tu bercat. Pipi pun dah terpalit sama," tegur Fateh seraya geleng-geleng kepala.

"Dah gatal, mana nak ingat kiri atau kanan." Lufya menceber.

"Saya balik rumah kejaplah. Ambil ubat nyamuk." Baru saja Lufya ingin mengorak langkah, Fateh menghadang laluannya.

"I pergi ambil. Kaki you pendek. Lambat sampai."

Pemuda itu menyungging senyum sinis. Lufya mengetap gigi. Berasap telinga mendengar perlian Fateh. Rasa macam nak bergusti saja dengan lelaki itu. Mulut laser sungguh. Dia mengaku yang dia agak rendah. Namun, tak perlulah Fateh mengutuk kaki dia pendek.

"Saya bagi awak 10 minit. Awak lambat sampai sini, saya nak suruh awak buat satu set lagi kerusi dan meja."

Ugutan Lufya buat Fateh terbeliak. Senyumnya ghaib. Tak sampai sesaat, dia pecut berlari meninggalkan kawasan rumah pokok itu. Bimbang menjadi mangsa buli Lufya. Lufya tergelak besar. Tahu pun takut.

FATEH membawa Ridsect dan ubat nyamuk dari Vila Sunny. Tadinya, dia bercadang mahu menyalakan unggun api bagi menghasilkan asap. Keadaan tanah yang lembap menyukarkan dia berbuat demikian.

Saat dia tiba di Pondok Melati, suasana agak sunyi. Hanya bunyi cengkerik di birai sungai bersahut-sahutan. Dia melingas ke kiri dan ke kanan sebelum matanya disapa dengan satu pemandangan yang menenangkan. Lufya berjulur kaki dan bersandar di banir rumah pokok. Matanya terpejam.

Fateh mendekati dan mengamati lama wajah itu. Nyata Lufya sedang lena. Penat sangat agaknya hingga bisa tidur beralaskan tanah. Hatinya tercuit melihat cat merah di pipi gebu itu. Lufya gadis paling selamba dia pernah jumpa. Siapa saja yang berani tidur di kawasan seperti itu?

Perlahan Fateh mengeluarkan Ridsect dan menyemburnya di sekeliling Lufya. Ubat nyamuk juga dinyalakan. Dia mengelak daripada menghasilkan sebarang bunyi bising. Enggan gadis itu tersedar dengan gelagatnya. Selesai memastikan tiada nyamuk menggigit Lufya, dia mengeluarkan satu buku lakaran dari dalam begnya. Duduk beberapa kaki di hadapan gadis yang menarik minatnya itu.

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup nyaman. Membawa haruman segar kehijauan alam. Kelopak-kelopak bunga hutan berterbangan jatuh. Menghiasi lantai bumi. Lufya tersedar dari lena saat hidungnya disapa bau ubat nyamuk. Dia memisat-misat mata dan menggeliat kecil.

"Good evening, sweetheart."

Teguran Fateh yang agak berbisik itu buat Lufya terpinga-pinga. Pemuda itu khusyuk melakar sesuatu. Dia melihat jam tangan. Sudah satu jam lebih dia terlelap.

"Kenapa tak kejut saya?"

Lufya bingkas bangun. Menepuk-nepuk punggung seluar yang terlekat dengan tanah juga daun. Muncung tudung yang terkelepet ditegakkan. Dia juga mengelap juring bibir. Bimbang ada tumpahan air liur basi. Masak dia dibahan Fateh.

"I dah kejut banyak kali. You yang tak sedar," balas Fateh acuh tak acuh.

"Tipu. Saya bukannya tidur mati sampai awak panggil pun saya tak dengar."

Fateh melorek senyum. Malas berbalah dengan gadis itu. Moodnya tengah baik.

"Come here."

Buku lakaran ditutup dan Fateh menggamit Lufya agar mendekatinya. Lambat-lambat Lufya mengekor pemuda itu. Mereka sama-sama menapak ke anak sungai.

"Nak buat apa?"

Lufya hairan saat melihat Fateh membongkok dan mencelup sehelai sapu tangan ke dalam sungai. Kemudian, pemuda itu menarik lengannya lembut. Mengheret dia ke arah sebatang pokok yang tumbang. Fateh mengarahkan Lufya duduk di situ.

"Awak nak buat apa ni?" Lufya ulang soalan.

"Muka you comot. Rimas I tengok."

"Bukannya boleh hilang pun gosok guna air."

"I brought this."

Fateh mengeluarkan satu tiub Colgate dari dalam poket seluar. Objek yang sempat disambar ketika pulang ke Vila Sunny sebentar tadi.

"Colgate?"

"Yup. You just duduk diam-diam."

Sedikit Colgate dicalitkan di atas sapu tangan lembap sebelum menyentuh kulit Lufya. Lufya membiarkan Fateh menggosok-gosok pipinya. Lembut saja perilakunya. Pemuda itu memperlakukannya seperti anak patung Barbie. Mungkin bimbang pipinya calar.

Lufya membisu saat desah nafas beraroma lemon itu menampar wajah. Jantung berdegup kencang. Fateh terlalu dekat. Setiap liang roma roman tampan itu memenuhi ruang penglihatan. Kekacakan yang tiada tara. Terutamanya sepasang iris hijau yang menggoda itu.

"Awak pandai melukis?"

Demi memecahkan kesunyian antara mereka, Lufya membuka topik perbualan. Bimbang jantungnya gagal berfungi dek terlalu aktif berdenyut.

"Of course. I'm a creative director."

"Awak lukis apa? Nak tengok?"

Sudah beberapa kali Lufya terlihat Fateh melakar sesuatu. Tapi, dia terlupa untuk bertanya perihal itu.

"No way. Hanya orang istimewa saja yang boleh tengok lukisan I," balas Fateh serius.

"Ceh, tengok daripada muka awak ni, saya tak rasa awak ada orang istimewa."

Jari-jemari Fateh terhenti daripada terus menggosok pipi Lufya. Dahinya berkerunyut.

"Sorry to disappoint you, but there's a very long queue too much to choose, ain't it hard to decide." Bongkak sungguh penyataannya.

"Yang beratur panjang tu peminat, bukannya kekasih."

"I ada girlfriend, okey."

Fateh selesai membersihkan wajah Lufya. Dia melabuhkan punggung di sisi gadis itu dan meneruskan perdebatan mereka. Ada saja hal yang bisa dijadikan isu pertikaman lidah.

"Hebat betul perempuan yang boleh couple dengan awak lebih daripada tiga bulan."

"I dah couple dengan girlfriend I selama empat bulan," beritahu Fateh tanpa dipinta. Intonasinya sedikit tinggi. Terasa Lufya mengejeknya. Dia bukan teruk sangat hingga tiada wanita sanggup bertahan lama menjadi kekasihnya. Empat bulan kira lamalah, kan?

"Dia couple dengan awak sebab awak kaya. It's not because of love."

Lufya mengayun-ayunkan kaki. Membayangkan rupa teman-teman wanita Fateh. Pasti semuanya cantik dan seksi. Yalah, pemuda sekacak Fateh, mustahil mahu berpacaran dengan gadis kebanyakan. Dadanya ketat. Tidak sedar bicara spontannya bikin pemuda di sisi mengkal hati.

"Kalau dia cintakan harta I pun, I tak kesah. I love her," balas Fateh lantang.

Bayang gadis yang dicintainya tiada pula menjengah minda. Macam mana nak ada, jika sejak dulu lagi, Fateh belum pernah mencintai mana-mana gadis setulus hati. Yang ada sekarang ini, hanya bayang budak sengal di sisi. Bayangan yang asyik berlegar-legar dalam kotak memori. Bayang yang sangat comel dan menenangkan. Erk?

"Tak. Awak tak cintakan dia." Lufya berterusan menyangkal.

"Oh, God. Why are you so annoying? Kenapa you cakap macam ni? Jealous?"

Bertalu-talu soalan meluncur dari bibir Fateh. Geram kerana Lufya berterusan mempertikaikan cintanya. Cinta yang dia sendiri tahu belum wujud dalam kamus hidupnya. Tapi, bukan Fateh namanya jika dia mengaku kalah dengan Lufya. Perang tetap perang.

"Bukan cemburu. Cuma bercakap hal yang benar."

Ketenangan Lufya bikin Fateh bertambah ligat menghambur kata.

"You fikir you siapa? Bomoh? Boleh baca hati I?" bidas Fateh.

"Kalau awak cintakan dia, kenapa sepanjang awak berada di sini, tak pernah sekali pun awak telefon dia?" Lufya memulakan soal siasat.

"Handphone I rosak, kan?"

"If you really love her, you will not see me as the apple of your eye."

Penyataan cepumas itu buat Fateh terkedu. Kerongkongnya berpasir untuk terus melontar bicara. Ritma jantung bagai dikejar anjing gila. Dia seperti baru dicekup melakukan kesalahan besar. Benarkah dia memandang Lufya dengan pandangan seorang lelaki yang melihat kekasihnya?

"Got you!"

Lufya menyeringai. Gadis itu ketawa terbahak-bahak. Geli hati melihat ekspresi ayam berak kapur Fateh.

"Hah?"

"I'm just joking. Saya suka tengok awak marah."

Gadis ini benar-benar mental. Setelah berjaya buat hati Fateh libang-libu, boleh pula dia cakap dia bergurau?

"Jomlah balik, Faith. Hari dah nak maghrib ni."

Lufya mengajak pemuda itu pulang ke Vila Sunny. Bimbang bisikan-bisikan syaitan menghasut mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Nadinya sendiri berdenyut pelik. Jangan dilayan sangat gelodak nafsu yang bermaharajalela. Kelak binasa jawabnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro