Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Fatini menggenggam erat kedua-dua tangannya. Dia perlukan kekuatan untuk berhadapan dengan ayahnya. Suasana tegang dapat dirasai, mujurlah Baiduri masih tidur di dalam bilik tadi.

"Sekarang ini, abah nak along cerita dari mula apa yang berlaku," kata Dr. Abu Talib dengan wajah serius.

"Kiah dah cerita, kan? Kenapa nak tanya lagi?" Puan Rokiah bersuara.

"Abang tanya along," tegas Dr. Abu Talib. Dia mahu dengar sendiri cerita Fatini.

Puan Rokiah terdiam. Dia masak benar sikap tegas suaminya.

"Along kenal Laila masa study master di sana. Kami pernah jadi housemate. Laila ni mak dia orang Swiss, ayah dia pula orang Melayu. Dia anak tunggal. Masa dia umur 18 tahun, mak ayah dia meninggal dalam accident. Dia tak ada saudara-mara yang lain. Tamat belajar, Laila kerja sebagai guru di Bern. Dia jumpa Anas dan mereka berkahwin. Setahun kemudian, Baiduri lahir. Awal tahun ni, Anas dapat panggilan dari Malaysia dan terus segera pulang. Lepas enam bulan, Anas tetap tak pulang. Dia langsung tak dapat hubungi Anas. Laila nak cari Anas di Malaysia tapi dia tak tahu nak cari di mana sebab sepanjang hidup dia tak pernah sampai Malaysia lagi," cerita Fatini dengan panjang lebar. Mata masih memerhati ayahnya.

"Pertama kalinya, along terserempak dengan Laila di Burkliplatz Flea Market. Kami berborak lepas tu Laila cerita pasal suaminya, Anas. Laila ajak along tinggal di rumah dia sebab waktu tu along tengah cari rumah sewa yang baru. Laila baik sangat. Dia anggap along macam keluarga dia. Ikut pelan kami, lepas along graduate, Laila dan Baiduri akan ikut along pulang ke Malaysia. Kami sama-sama akan cari Anas di sini tetapi... Tetapi... Tetapi..." Fatini cuba kawal rasa sebak.

"Tetapi bulan lepas, Laila meninggal sebab accident. Laila ada pesan supaya along jaga Baiduri dan temukan Baiduri dengan ayah dia kalau sesuatu terjadi kat dia." Fatini tak pernah terfikir ada maksud tersirat di sebalik kata-kata Laila sebelum Laila keluar kerja pagi itu. Masih lagi terbayang wajah Laila yang tak pernah lekang dengan senyuman.

"Along kena tunaikan amanah Laila. Apa cara sekali pun, along tetap kena cari Anas." Fatini memandang ke arah ibu bapanya. Dia berharap sangat keputusan dia ini disokong sepenuhnya.

"Kalau dah jumpa, bapak budak ni tak mahu kat anak dia. Along nak buat apa?" Puan Rokiah mencelah.

"Jawapan along tetap sama, mama. Along tetap akan jaga Baiduri."

"Eee... Mama tak faham dengan perangai along ni. Budak tu anak orang, bukan anak along pun. Yang sibuk sangat nak jaga anak orang buat apa? Susahkan diri sendiri saja."

"Mama, tak baik mama cakap macam tu. Baiduri tu along dah anggap macam anak sendiri. Tak pernah sekali pun along fikir yang Baiduri tu susahkan along."

Puan Rokiah cuba bersuara tetapi Dr. Abu Talib mencelah terlebih dahulu.

"Kiah! Jangan menyampuk boleh tak?"

Puan Rokiah terdiam melihat wajah Dr. Abu Talib yang bertukar bengis.

Dr. Abu Talib pandang semula Fatini.

"So, apa plan along selepas ni? Dah tahu mana nak cari bapa budak tu?"

"Along akan pergi ke alamat yang tertulis di kad pengenalan. Itu saja info yang along tahu."

"Alamat kat kad pengenalan!" Puan Rokiah mendengus kasar.

"Belum tentu dia still tinggal kat alamat tu lagi."

Dr. Abu Talib mengetap bibir menahan sabar dengan kerenah isterinya.

"Mama rasa kawan along tu dah kena tipu. Berkahwin bertahun-tahun tapi sikit pun tak tahu latar belakang famili suami dia. Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Kononnya anak yatim piatu, tiada famili kat Malaysia... Tetapi hakikat sebenarnya dah kahwin... Ada isteri dan anak lagi. Bila isteri dah tahu, terus dia tinggalkan kawan along tu. Habis madu, sepah dibuang."

Fatini mengeluh. Itulah tengok drama banyak sangat. Mulalah nak buat plot cerita sendiri.

"Mama, semua itu hanya terjadi dalam drama saja. Must be something happened to him. Kita tak tahu. Last phone call daripada Anas, Anas cakap yang dia dah beli ticket flight balik Zurich. Lepas tu, terus tiada khabar berita. Pelik, kan?" cerita Fatini.

Dia mula rasa ada sesuatu yang terjadi kat Anas di Malaysia. Apa sebenarnya terjadi? Laila cakap Anas anak yatim piatu. Tapi panggilan daripada siapa yang buat Anas tergesa-gesa balik Malaysia? Dahi berkerut sedikit berfikir.

"Tak ada benda yang pelik pun. Orang kalau dah tak suka, faham-faham sendirilah. Kalau dia nak balik, dah lama balik," sindir Puan Rokiah. Giliran Fatini pula mengetap bibir.

"Abang rasa better Kiah masuk dalam bilik. Biar abang aje cakap dengan along."

"Tapi abang..."

"Masuk!" Suara Dr. Abu Talib terus tinggi ditambah pula dengan wajah yang serius. Dari tadi, dia tak ada kesempatan langsung nak bercakap dengan Fatini.

Puan Rokiah terkejut. Wajah terus masam bila dijerkah suaminya. Dia terus bangun dan tinggalkan suami dan anaknya di ruang tamu.

Dr. Abu Talib pandang semula ke arah Fatini.

"Abah! Along nak minta kebenaran abah supaya benarkan Baiduri tinggal bersama kita sementara along pergi cari ayah Baiduri. Baiduri dah tak ada sesiapa selain along, abah! Along tak ada niat pun nak malukan keluarga kita cuma Baiduri dah jadi tanggungjawab along sekarang ni. Along harap sangat abah faham," cakap Fatini dengan penuh berhati-hati. Dia harap sangat ayahnya faham dan sokong keputusan dia.

"So, apa pun yang terjadi, along tetap nak jaga budak tu?"

"Ya, abah," jawab Fatini dengan penuh keyakinan.

"Kalau macam, along kena hormat dengan keputusan abah juga." Suara Dr. Abu Talib serius.

"Abah tak benarkan budak tu tinggal di sini. Abah tak mahu nama keluarga kita jadi bualan orang di sini. Abah harap along faham. Yang penting sekali, abah nak along jaga nama baik mama dan abah," tegas Dr. Abu Talib sebelum bangun tinggalkan Fatini seorang diri.

Keluhan dilepaskan dengan kuat. Dia sudah agak mustahil ayahnya akan setuju. Fatini bangun. Dia patut kemaskan barangnya sekarang ini.

Puan Rokiah mencekak pinggang sebaik saja suaminya keluar dari bilik air. Dia memang tak puas hati dengan cara suaminya.

"Abang, patutnya abang pressure along sampai along hantar budak tu balik Switzerland. Ini tak, abang tak benarkan budak tu tinggal sini lepas tu pula suruh along keluar dari sini. Cara abang ni salah tahu tak? Buatnya bapak budak tu tak nak budak tu balik, along pula nak ambil budak tu jadi anak angkat dia... Macam mana? Along tu anak dara. Tak kahwin lagi. Nanti ada ke lelaki nak kahwin dengan along?"

"Kiah, itu masalah along. Biar dia sendiri selesaikan." Dr. Abu Talib baru saja selesai ambil wuduk.

"Abang, kalau kita biarkan along selesaikan sendiri, memang confirm akan ada masalah timbul. Macamlah abang tak kenal anak abang seorang tu."

"Kiah! Along dah besar. Pandai-pandailah dia selesaikan." Sejadah diambil dan dibentangkan ke arah kiblat.

"Abang selalu ambil ringan pasal hal anak-anak. Nanti kalau Alif tahu pasal budak tu, apa Kiah nak jawab? Bertahun-tahun Alif tunggu along... Kalau Puan Sri Jelita tahu, mana Kiah nak letak muka ni?"

Puan Rokiah meraup wajah berulang kali memikirkan apa reaksi Alif dan Puan Sri Jelita nanti. Kalaulah mereka anggap budak tu anak Fatini, macam mana? Terlepaslah peluang dia nak berbesan dengan Puan Sri Jelita.

"Kiah!" Nada suara Dr. Abu Talib berubah tegas dengan wajah tanpa senyuman.

Puan Rokiah terkejut.

"Abang takkan ulang lagi. Kiah dengar baik-baik! Biar along sendiri selesaikan masalah dia. Kalau abang dapat tahu Kiah pandai-pandai campur tangan dalam hal ni, siaplah Kiah nanti." Dr. Abu Talib memberi amaran. Sejadah yang dihampar tadi, diangkat dan dibawa keluar bersamanya. Dengan kehadiran isterinya, mustahil dia dapat sembahyang dengan khusyuk. Langkah diatur ke bilik Fadlan.

Puan Rokiah mengetap bibir.

"Susah betul kalau kahwin dengan profesor ni! Asyik kita aje ikut cakap dia." Wajah Puan Rokiah masam. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro