Bab 9
これらは(ではなく)平和な時代です
Kemasukan Jurnal, %#^$(%)*%^#), JANUARI...
Ulang dan berulang, itu semua apa yang aku selalu ingat. Aku buka mata, makan sarapan, pergi ke sekolah, nikmati kehidupan, mati dan ulang semula. Aku tak pasti sama ada aku tertinggal apa-apa tetapi semuanya rasanya dah aku nyatakan.
Januari, 10, 1997, loop pertama, aku tengok Encik Daniel Tomitoka mati depan mata aku tepat selepas kitaorang semua habis nikmati festival 'Tangkapan Iblis'. Masih dalam loop yang sama, Januari, 15, 1997, aku tak berapa ingat apa yang terjadi tetapi aku ingat rakan aku Adilah mati. Cikgu Misaki Aniza yang bagitahu aku bersama-sama dengan rakan-rakan aku yang lain. Januari, 23, 1997, aku ingat Ibrahim ditemukan mati. Badan ditikam berulang kali. Usus-usus terkeluar daripada badan. Suatu imej yang aku tak boleh lupakan. Januari, 29, 1997, aku disahkan mati. Tak berapa ingat apa sebenarnya yang terjadi. Aku lihat masa lampau, masa sekarang dan juga masa akan datang dalam masa yang sama.
Januari, 10, 1997, loop kedua, aku tengok Encik Daniel Tomitoka mati depan mata aku selepas kitaorang semua habis menikmati minuman susu kocak sejuk di festival 'Tangkapan Iblis'. Loop pertama dan loop kedua saling bertembung antara satu sama lain, aku tak pasti aku lihat yang mana satu. Sama ada selepas kitaorang habis nikmati festival ataupun sebaik sahaja kitaorang habis nikmati susu kocak sejuk. Dalam masa yang akan datang, Januari, 10, 1997,loop yang ketiga, kitaorang semua lihat tubuh kaku Encik Daniel selepas kitaorang habis menonton tarian Zapin yang dimodifikasikan dengan budaya Jepun. Loop yang keempat, Encik Daniel mati selepas dia terserempak dengan kitaorang. Tak tahu apa punca sebenar kematian. Mulut berbuih dengan teruk, mungkin racun. Loop kelima, selepas ziarah rumah Cikgu Misaki bersempena festival 'Tangkapan Iblis', kitaorang ternampak tubuh kaku Encik Daniel yang dilumuri dengan darah betul-betul depan mata. Imej yang mengerikan, tak tahu macam mana nak lupakan.
Januari, 15, 1997, loop 12, Alifah ada melawat. Kitaorang habiskan masa dalam bilik belajar keluarga aku. Aku keluar sebentar untuk hidangkan air koko panas. Dalam menunggu air masak, aku hisap rokok paip kiseru aku. Tembakau murah, rasa kelat tetapi ketagih. Aku masuk semula dalam bilik belajar tu. Tepat beberapa minit selepas aku masuk, Alifah akan tembak aku dengan pistol derringer 22 yang aku bagi pada dia. BAM! Tepat macam apa yang aku bayangkan. Januari, 31, 1997, loop yang sama, aku campak buku jurnal Alifah dari loop yang berbeza. Tak tahu kenapa aku campak buku jurnal bukan sebaliknya campak senapang patah yang entah mana aku dapat aku tak berapa pasti. Januari, 25, 1997, loop ke 108, aku dilanggar oleh sebuah van putih yang dibawa oleh Adriana. Bahagian bawah badan aku habis dilenyek menjadi leper. Loop ke 1004, Januari, 23, 1997, lepas aku balik dari tandas, Anwar serang aku dengan sebilah kapak. Dua-dua belah tangan aku terputus. Kepala aku rasanya terkopak. Januari, 10, 1997, loop ke 75, aku berjalan balik selepas tamatnya festival 'Tangkapan Iblis'. Tak sangka Ibrahim ikut aku dari belakang. Kena tikam berulang kali. Mati seperti biasa. Ulang semula.
Januari, 29, 1997, loop ke 2054, kitaorang semua nikmati seharian suntuk di Bunkasai di sekolah. Tak sangka selepas habis je Bunkasai, aku, Alifah dan juga Khadijah kena serang dengan Adriana. Semua mati, aku yang terakhir sekali. Leher dikelar, usus ditarik keluar. Mati ulang semula. Januari, 25, 1997, loop ke 11, aku tak pasti sama ada aku mati kena kelar atau kena lenyek. Tak pasti juga sebab kali terakhir aku ingat, aku kena campak dengan minyak panas yang menggelegak. Kulit badan aku semua tercarik. Ibrahim bunuh aku dengan serpihan kaca selepas itu. Januari, 10, 1997, loop ke 65, tepat selepas aku habis minum susu kocak, aku minta diri nak ke tandas, aku kena bunuh sama seperti biasa. Khadijah ikut aku dari belakang, dia cekik aku sampailah aku arwah. Bergelut lama juga. Januari, 31, 1997, loop ke 72, lepas aku habis sarapan, aku berangkat ke sekolah. Sebaik sahaja aku melangkah keluar, aku ditembak dari jarak jauh. Lima belas das tembakan, ditembak bertubi-tubi. Badan aku sakit tetapi sekejap. Januari, 10, 1997, loop pertama, aku dengan Alifah terjumpa bayi halimunan masa perjalan pulang dari festival 'Tangkapan Iblis'. Lepas hantar Alifah pulang, aku tak sangka aku diekori. Baharu sahaja aku nak buka pintu kediaman keluarga Zuhur, leher aku dikelar dari belakang. Aku sempat menoleh ke belakang dan Anwar adalah suspek yang bertanggungjawab.
Januari, 29, 1997, loop ke 19075, Sekolah ada buat Bunkasai. Semua pelajar hadir. Seminggu sebelum itu, Adilah ditemukan mati di atas katil, dicekik. Khadijah didapati bersalah walaupun sebenarnya tak. Aku kena bunuh, dalam rumah hantu. Ibrahim pegang pisau. Tamat cerita, ulang kembali semula. Bunga mekar, bunga layu, tanam benih baharu, bunga lahir semula, kembali mekar lalu layu semula. Kitaran hidup berputar dan terus berputar.
Januari, 10, 1997, loop ke 54, Alifah ada cerita fasal Mobius Loop. Aku dengar dengan teliti. Januari, 23, 1997, loop ke 767, Ibrahim ada cerita fasal Mobius loop. Aku buat-buat fokus walaupun dah berulang-ulang kali aku dengar benda yang sama. Januari, 31, 1997, loop ke 34, masa bertembung dengan masa lampau, aku tengah rasa dua perkara dari dua masa yang berbeza terjadi dalam masa yang sama. Loop yang sekarang bertembung dengan loop pertama. Aku dapat rasa Anwar kelar leher aku dari belakang dalam masa yang sama, aku dapat rasa isi perut aku dicarik-carik oleh Khadijah. Loop ke 666, Januari, 10, 1997, festival 'Tangkapan Iblis' berlangsung. Aku terserempak dengan Encik Daniel sebelum dia mati tetapi aku juga melihat mulutnya sedang berbuih dalam masa yang serentak. Loop ke 666 bertembung dengan loop yang keempat. Aku berjabat tangan dengan Encik Daniel walaupun dalam masa yang sama aku melihat dia bergelut untuk bernafas dengan mulut yang dibanjiri dengan buih.
Januari, 23, 1997, loop ke tujuh, aku sempat habiskan ramen yang aku tengah nikmati sebelum Adriana serang aku dari belakang dan dalam masa yang sama, loop ni bertembung dengan loop ke 12. Semasa Adriana tikam tubuh aku secara bertubi-tubi, Alifah tembak perut aku dalam masa yang serentak, aku merasakan kedua-duanya sekali gus. Januari, 31, 1997, loop ke 14577, Aku dibakar hidup-hidup oleh Ibrahim dan dalam masa yang sama, Aku dapat rasakan usus-usus dalaman aku ditarik keluar oleh Anwar pada loop yang ke 16999.
Januari, 10, 1997, loop ke 2000, aku sempat melihat kesemua mayat-mayat aku dari loop-loop yang berbeza bertaburan di sebuah ruang yang malap cahayanya. Aku sempat berjumpa dengan si dia. Aku tak tahu apa patut aku cakap.
"Kau tu cuma kewujudan sastera je. Aku yang tulis jalan cerita kau. Semua ni, pekan Kurikaeshi, kau, kawan-kawan kau, sumpahan tu semua, semua tu hanyalah kewujudan sastera yang aku sendiri tulis." kata si dia yang diberi nama Futaba Matsubara. Aku sempat melihat gunung tinggin yang diperbuat daripada timbunan-timbunan mayat aku dari loop-loop yang berbeza sebelum aku sedar yang aku dah mati sekali lagi.
Lebih banyak loop berbaris tetapi langsung tak berpenghujung. Aku hidup, aku mati, aku ulang semula. Mungkin itu apa yang terjadi kalau kau jadi seorang 'High Priestess'.
Tanpa berfikir panjang, aku hidupkan tembakau di dalam paip kiseru aku dan mula menghisapnya untuk menenangkan diri. Loop ke 10000, Januari, 10, 1997, aku dibunuh oleh Khadijah dan dalam masa yang sama juga, loop ke 1543, Ibrahim cuba lemaskan aku di dalam mangkuk tandas. Loop ke 10 dan loop ke 6532 saling bertembung. Januari 23 dan Januari 15 berlaku dalam serentak. Aku berjalan dalam keadaan yang dipenuhi dengan luka-luka sambil Anwar ekori aku dari belakang dengan sebilah kapak dalam masa yang sama juga Adriana menjolok sebatang buluh ke dalam mulut aku sehingga tertembus ke belakang. Sekali lagi, aku mati. Sekali lagi aku hidup, sekali lagi kita ulang.
Mungkin sebab ni Alifah susah nak percayakan aku. Mungkin...
***
Air sungai kelihatan tenang sahaja namun tiba-tiba satu sosok tubuh badan mula menjunam ke dalamnya sehingga air itu mula menjadi bergelora. Seorang demi seorang mula melompat ke dalam air sungai yang sejuk itu.
Percikan demi percikan air mula kelihatan. Tanah yang pada mulanya kering kini menjadi semakin basah.
"YOW! Jom kita lawan siapa boleh tahan nafas paling lama jom!" ujar Anwar dengan lantang. Lalu, mereka semua yang lain mula bersiap sedia. Zulaika dan Alifah pula sementara itu menghabiskan masa mereka di atas daratan tatkala rakan-rakan mereka yang lain mula menyelam dan buih-buih mula memenuhi permukaan sungai itu. Seperti biasa, Zulaika menghisap paip kiserunya manakala Alifah mendodoikan bayi halimunan itu. Tatkala rakan-rakan mereka sudah lama berada di dalam air, dengan serta merta Zulaika bangun dari tempat duduknya lalu menumbuk wajah Alifah sehingga rakannya itu terjatuh ke belakang.
"Itu sebab kau tembak aku, atau mungkin sebab kau biarkan aku terbakar. Entah, aku tak pasti yang mana satu." katanya sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Alifah yang mula teringatkan mengenai kehidupan mereka yang sebelumnya itu lantas memeluk tubuh Zulaika lalu memohon maaf atas kesilapannya.
"Sorry sangat-sangat. Aku terkejut." terang gadis itu. "Tapi, apa maksud kau aku biarkan kau terbakar? Aku tak berapa faham." namun belum sempat Zulaika menjawab, kaki Alifah ditarik oleh Adilah lalu dia terjatuh ke dalam sungai. Sebelum dia dibasahi dengan air yang sejuk itu, Alifah sempat menyerahkan bayi itu kepada Zulaika dimana Zulaika pula yang perlu mendodoikan bayi itu.
"Bosanlah kalau asyik habiskan masa dekat atas. Baik mandi sejukkan badan." kata Adriana lalu dia mula menyimbah air sungai ke wajah Alifah dengan tangannya sendiri. "Zulaika pun! Jomlah mandi sekali!" lalu dia cuba untuk menyimbah tubuh Zulaika rakannya itu namun dia sempat mengelak.
"Aku taknak seluar dalam aku basah hanya gara-gara nak mandi sungai!" balas Zulaika lalu mereka semua yang lain lantas tergelak dengan terbahak-bahak.
"Haah, tadi siapa yang menang, siapa yang menang?" Khadijah bertanya namun kemudian kakaknya Adilah muncul secara tiba-tiba dari dalam sungai lalu menarik adiknya itu ke dalam sehingga ke dasar sungai. Tatkala Khadijah terapung semula ke atas, dia mula terbatuk-batuk dan sukar untuk bernafas.
"Tiada pemenang. Semua teruk dalam tahan nafas. Haish..." dengan penuh kesal, Adilah berkata. "Lepas ni nak main apa pula?" tanya gadis itu sebelum perlahan-lahan berenang menuju ke permukaan. Ibrahim dengan spontan menepuk tangannya dengan sangat kuat sehingga ia menarik perhatian rakan-rakannya yang lain.
"Jom kita main 'Iblis dalam tin'." cadang Ibrahim. Lalu, seorang demi seorang mula membuka langkah melangkah keluar dari air sungai yang sejuk itu. Anwar dan Adilah kemudiannya ditugaskan untuk mencari sebuah tin minuman kosong di hujung ekor sungai itu. Tanpa bercakap banyak, mereka berdua lantas berlari ke sana dan memulakan ekspedisi pencarian tin kosong manakala mereka yang lain pula mengeringkan diri mereka tatkala menunggu kepulangan mereka berdua.
Sambil mengusap perut bayi halimunan itu, Zulaika memberitahu segala perkara yang perlu diketahui oleh Alifah. Mereka berbincang mengenai subjek yang berkait rapat dengan bayi halimunan itu yang mana mungkin membawa mereka lebih dekat dengan kunci kebebasan mereka. Sementara itu pula, Ibrahim yang mula berasa bosan ketika menunggu kepulangan dua orang lagi rakan mereka mula membuka langkah dan turut menuju ke ekor sungai itu untuk melihat keadaan mereka. Semasa Ibrahim melintasi mereka, Zulaika dengan cepat-cepat menyerahkan sekeping kertas bersaiz kecil kepada Alifah. Gadis itu dengan spontan mengambilnya dan mula membaca isi kandungan nota yang ditulis di dalamnya.
Terdapat lima buah nama individu-individu yang berkemungkinan besar ialah ibu kepada bayi halimunan itu. Misi mereka hanyalah untuk mencari si ibu yang sebenar-benarnya. Menurut rekod, kelima-lima nama wanita misteri itu semuanya didapati mengandung pada pertengahan bulan tahun lepas dan bersalin tepat pada tahun baharu di dalam Pekan Kurikaeshi. Lima kuntum bunga menabur keluar benihnya dalam tarikh yang sama. Nama-nama itu mula diteliti oleh Alifah dengan lebih mendalam tetapi tumpuannya secara tidak langsung hilang apabila Zulaika menepuk bahunya.
"Ada apa?" dia bertanya sambil melipat sedikit kepingan kertas itu. "Aku tengah fokus kot tadi."
"Kau tahu tak objektif kita apa?"
"Cari mak kepada bayi ni?" tatkala mendengarkan jawapan yang keluar daripada mulut rakannya, Zulaika lantas menepuk dahinya dengan kesal. Khadijah dan Adriana yang melihat kedua-dua gadis itu berbincang secara senyap-senyap mula berasa ingin tahu dan mula mencuri-curi dengar perbualan rahsia rakan-rakan mereka itu. "Kau sendiri cakap mula-mula kau jumpa bayi ni dengan mak dia yang dah mati. Jadi, kalau mak dia dah mati, kiranya pihak berkuasa ada mayat mak budak ni. Apa yang kita kena cari sekarang ialah doktor yang bertanggungjawab mengendalikan mayat wanita tu." dan ketika itu, secara tidak langsung angin persekitaran mereka mula bergelora. Air sungai mula mengeluarkan getaran dari dalam. Setiap seorang daripada mereka mula berasa tidak sedap hati tanpa sebarang alasan yang munasabah.
"Jadi...kita kena cari...doktor...maksud kau macam ketua doktor dari pihak forensik?" Alifah bertanya namun kemudian sekali lagi mereka semua berasa tidak senang duduk dan seluruh persekitaran mereka mula menjadi kurang menyenangkan. Ibrahim yang sedang berjalan menuju ke arah Anwar dan Adilah juga turut terhenti di tengah jalan tanpa sebarang sebab. Dengupan jantungnya secara tiba-tiba menjadi laju. Beberapa saat berlalu, mereka semua akhirnya kembali ke keadaan normal mereka namun masih berasa sedikit hairan.
"Ada 16 kakitangan yang berkerja dekat hospital dalam pekan ni." ujar Zulaika sambil angin kuat mula membelai wajahnya. "16 lagi kakitangan berkerja dekat klinik biasa. Point dia, kalau nak cari jarum dalam jerami, kita kena bawa magnet." Selepas mendengarkan kata-kata rakannya, Alifah mengambil masa beberapa minit untuk memproses maksud tersirat di sebaliknya namun belum sempat talian U Mobile di dalam otaknya menemukan carian jawapan, Ibrahim serta dua orang lagi rakannya akhirnya tiba dengan membawa beberapa buah tin kosong.
"Nice pitch!" dengan penuh kegirangan, Adilah berkata sambil menyusun tin-tin yang dikumpulnya di atas tanah. Mereka yang lain pula mula menghampirinya seorang demi seorang.
"Kenapa korang berdua lama sangat huh?" Adriana bertanya sambil bercekak pinggan. Tatkala mendengarkan persoalan itu, kedua-dua wajah Anwar dan Adilah mula membera. Anwar cuba untuk menutup wajahnya dengan membuat seperti habuk termasuk ke dalam matanya manakala Adilah pula menyibukkan dirinya dengan tin-tin yang sudah tersusun cantik tersebut sambil bersiul. "Korang ni, ni mesti ada simpan rahsia kan!" ujar Adriana sekali lagi dan kali ini dia mula menunding ke arah wajah Adilah yang semakin merah. Dek kerana tiada sesiapa yang ingin menuang keluar bijiran ke dalam mangkuk, Ibrahim sebagai seorang sahabat yang baik mula merobek kotak bijiran tersebut dan membocorkan segala-galanya.
"Dua pasangan musang yang dilamun cinta ni duk bersemut dekat ekor sungai tadi." dengan muka selamba budak lelaki itu mula berbicara. "Berangan dalam dunia Romeo and Juliet pula tu. Geli geleman aku tengok." lalu tubuh Ibrahim mula menggeletar dengan menampakkan riak wajah jijik. Dengan spontan, Adilah bangun lalu memukul bahu budak lelaki itu secara bertubi-tubi. "BAKA MITAI!" katanya sambil berbuat sedemikian. Tanpa menghiraukan mereka yang lain, Anwar dan Zulaika sudah menyiapkan kelengkapan permainan mereka yang mana hanya memerlukan sebuah tin kosong yang diisi dengan batu kerikil atau mana-mana batu kecil lalu diletakkan di tengah-tengah sahaja. Mereka berdua kemudiannya mula berjabat tangan seusai kerja keras mereka itu yang sebenarnya tidak terlalu keras mana.
"Good job, good job! Jom kita mula main!" Khadijah bersorak dengan penuh teruja dan semangat.
"Okay kita bahagi team. Anwar, Ibrahim dengan Adilah satu team. Yang lain ikut aku please." terang Zulaika namun belum sempat mereka membantah, Zulaika mencelah. "Team aku Attacker, korang Defender. Yang kalah kena belanja yang menang." Lalu, pasukan Zulaika dengan spontan mula mengambil kedudukan masing-masing. Dengan dalam keadaan masih tidak bersedia, kumpulan Ibrahim mula menggelabah. Tanpa sebarang amaran bagaikan pasukan bom yang menghancurkan Hiroshima, pasukan Zulaika mula menyerang.
"Hati-hati, kami datang tanpa dijemput!" teriak Adriana lalu dia dengan tangkasnya berlari meluru ke arah tin itu namun dengan serta merta Anwar menghalangnya. Tetapi, Adriana hanya menjadikan dirinya sebagai umpan untuk melumpuhkan pertahan pasukan lawan. Dek kerana Anwar tidak mampu menjaga dua orang musuh dalam satu masa, dengan senangnya Khadijah menembus pertahan mereka. Gadis itu dengan tangkasnya berlari meluru ke arah tin itu lalu dia mengelak kedua-dua pertahanan Ibrahim dan juga Adilah. Dan disitu dia berada, dua meter dari tin itu. Kakinya sudah bersedia untuk menendang tin itu dan meraih kejuaraan namun Ibrahim yang sudah rancang segala-galanya dari awal lagi, lantas mematahkan serangan musuh.
Seutas tali yang diikat berhampiran kawasan tin tersebut lantas ditariknya dengan sepenuh tenaga. Tali itu dengan serta merta menyetap kaki kiri Khadijah lalu dia terjatuh, wajahnya tersembam pada tanah terlebih dahulu.
"Lagi 30 saat! Lepas tu kita menanglah!" Adilah memberitahu kepada ahli pasukannya. Anwar dan Ibrahim dengan spontan menganggukkan kepala mereka lalu mula mengejar pihak musuh. Alifah berlari dengan tangkasnya menuju ke arah tin itu dimana dalam masa yang sama, di dikejar oleh Adilah. Alifah lantas tersengih tatkala dia sudah betul-betul hampir tetapi malang sekali apabila secara tiba-tiba wajahnya dibaling dengan lumpur sungai yang pekat. Pandangannya secara automatik hilang dan membuatkan dia mula hilang arah. Dalam keadaan sedang menahan gelak, Adilah menolak rakannya itu dengan sepenuh tenaga ke dalam sungai. Wajah cuak Alifah apabila terkejut menjadi kenangan yang tidak boleh dia lupakan. Dia lantas tergelak terbahak-bahak sambil menahan perutnya.
Sementara itu, Zulaika dan Adriana dikepung oleh dua orang budak lelaki itu. Anwar dengan serta merta cuba menyerang namun Adriana mula menggelongsor ke bawah dimana kaki kiri Anwar langsung disentap lalu ditarik dengan kuat sehingga budak lelaki itu terjatuh. Ibrahim pula cuba untuk menangkap Zulaika namun dengan menggunakan taktik kotor, Zulaika mengeluarkan lampin bayi halimunan yang telah penuh dengan bahan buangan lalu dia mencampaknya tepat ke wajah budak lelaki itu. Dengan penuh kehairanan serta jijik, Ibrahim mula bergelut untuk mendapatkan udara segar. Zulaika sempat tersengih melihat kedua-dua gelagat rakan lelakinya itu sebelum dia dan Adriana berlalu pergi.
"GG!" Adriana berkata sambil mereka berdua menepuk tangan.
"Kau pergi sepak, aku jadi decoy!" jelas Zulaika sebelum mereka berpisah. Zulaika kemudiannya mula memainkan peranannya sebagai umpan dan mula menarik perhatian Adilah. Dengan bersenjatakan ranting kayu yang halus, Adilah dengan spontan melibas peha Zulaika yang mana kemudiannya mula menggeliat di dalam kesakitan yang berdenyut-denyut.
"Tiada sesiapa yang boleh lepas dari pendekar Samurai, Adilah Uzumaki!" Tanpa menghiraukan pehanya yang mula kemerah-merahan, Zulaika menekel rakannya itu lalu mereka berdua kemudiannya mula bergusti di atas tanah. Dalam masa yang sama juga, Adriana sudah semakin hampir dengan tin itu namun sekali lagi serangan mereka gagal tatkala membaling gumpalan lumpur yang agak besar saiznya tepat ke kepala gadis itu. Bagaikan menjatuhkan pen dari atas meja, Adriana jatuh tergolek dengan wajah yang dilumuri dengan lumpur. Namun, gadis itu masih tidak berputus asa. Dia meneruskan lagi perjuangannya dengan merangkak menuju ke arah tin itu.
"Dame, dame..." dengan nada perlahan, Anwar berkata lalu dia menarik Adriana ke belakang. Tubuh gadis itu mula diseret dimana dia hanya mula menjerit sahaja.
"Jaga dia. Jangan bagi dia terlepas." Ibrahim berkata kepada Anwar yang mana hanya menganggukkan sahaja kepalanya. Lalu, Ibrahim berjalan menuju ke arah tin itu untuk menjaganya namun musuhnya lebih pantas. Khadijah yang membuat serangan mengejut, menekel budak lelaki itu dari belakang lalu dia menjerit menandakan ianya telah selamat. Dengan dipenuhi dengan adrenaline, Alifah keluar dari dalam sungai lalu mengambil langkah seribu meluru ke arah tin itu. Dalam sekelip mata, tin itu ditendang tinggi ke udara.
"NO!" Ibrahim meneriak di dalam keadaan tidak percaya.
"YES!" tidak seperti rakan lelakinya itu, Zulaika meneriak di dalam keadaan gembira dan kemenangan di dalam genggaman tangan. Adilah yang menguncinya dari belakang, secara perlahan-lahan melepaskan tubuh rakannya itu dan menerima kekalahan mereka. Dengan itu, tamatlah permainan 'Iblis di dalam tin' mereka. Tamatnya permainan itu dengan peluh-peluh yang membasahi tubuh mereka semua dan penat lelah yang mula mengambil alih.
***
Dengan tubuh yang sedikit sengal, Ibrahim dan Anwar berjalan pulang menuju ke rumah masing-masing. Kediaman mereka agak berhampiran dimana jarak diantara kediaman mereka berdua tidaklah terlalu ketara. Sambil-sambil menghirup udara segar pekan itu dan menikmati pemandangan matahari yang mulai terbenam, mereka berbual kosong seperti kebanyakan remaja-remaja lain selalu buat.
Langit berwarna jingga pekat dan burung-burung mengibaskan sayap mereka pulang ke sarang dapat dilihat memenuhi ruangan udara di atas kepala Anwar dan Ibrahim. Pada ketika itu, mereka banyak berbual tentang membuat komik mereka yang bertemakan pelayaran dan juga lanun. Anwar pada mulanya berasa yang idea itu langsung tidak menarik dan tidak dapat menyambat hati para pembaca tetapi Ibrahim cuba untuk bertoleransinya mengenainya.
"Bayangkan, lanun wanita macam Anne Bonney atau Mary Reads, Kau mesti pandai lukis watak wanita kan." ujarnya yang lebih kepada pernyataan berbanding persoalan. Anwar menghela nafas dengan kesal sambil mengurut dahinya perlahan-lahan. "Alah, takkan susah kot nak lukis watak perempuan. Kan!" katanya lagi sambil menyiku rakannya.
"Susah lah. Sebab perempuan ada bahagian tambahan. Lain-lain saiz pula tu. Macam mana aku nak lukis? Kalau silap kang, kena kecam..." Anwar cuba untuk menjustifikasikan pendapatnya tetapi setiap kali melihat wajah Ibrahim yang begitu semangat dengan pembuatan komik itu, dia sentiasa berasa bersalah untuk tidak mengikut kehendak rakannya itu. "Apa-apa pun, nanti aku cuba yang terbaik." Apabila dia mula perasan dengan perubahan nada suara rakannya, Ibrahim dengan spontannya meletakkan tangannya di atas bahu Anwar yang serba sedikit mengembalikan semula semangatnya.
"Mana kau dapat inspirasi untuk buat cerita ni?" tanya Anwar sambil mengeluarkan senaskah buku nota kecil dan sebatang pen untuk menulis maklumat-maklumat yang bakal didengarinya. "Dengan sumpahan ni semua. Apa maksud dia?"
"Kau pernah dengar fasal sumpahan Kurikaeshi?" Ibrahim bertanya dimana Anwar lantas menganggukkan kepalanya. "Aku perasan, sumpahan ni kerap berulang. Dah lima tahun benda yang sama terjadi dalam pekan ni. Kes pembunuhan tragis. Aku fikir, mungkin ada kaitan dengan gelung Mobius. Jadi, dari situ aku dapat inspirasi untuk tulis cerita ni." terang Ibrahim manakala Anwar mula mencatat di dalam buku notanya. Seusai menulis, Anwar lantas menutup buku nota kecil itu lalu mula bertanyakan dengan lebih mendalam mengenai sumpahan pekan itu.
"Sorry ahhh, aku taknak bahayakan kau. Baik aku tutup mulut aku." walaupun berikut bukan jawapan yang diharapkannya, namun apabila melihat senyuman manis yang terpapar pada wajah rakannya itu, Anwar lalu mengetepikan persoalan mengenai sumpahan itu di lain hari. Selepas mereka tiba di persimpangan jalan, Anwar dan Ibrahim mula berbalas ucapan perpisahan dan sebelum berpecah ke haluan kediaman masing-masing, mereka sempat 'fist bump' sambil membuat bunyi letupan dengan mulut mereka.
Keadaan menjadi sedikit sunyi selepas mereka berpecah. Bagaikan cawan yang kosong tanpa air ataupun lagu tanpa musik, Ibrahim berasa seperti separuh kosong. Tambahan juga semasa dia berjalan di antara hutan-hutan tebal di kiri dan kanannya, hanya bunyi cengkerik yang menjadi penemannya. Sambil berjalan menuju ke kediamannya, Ibrahim juga sempat berangan mengenai jalan cerita yang bakal dia bersama-sama dengan Anwar cipta. Namun, imej-imej imaginasinya dengan serta merta lesap apabila dia melihat sebuah kereta yang amat dikenalinya diparkir di hadapan pintu pagar kediamannya. Hatinya mula pecah berkecai menjadi ribuan serpihan-serpihan kecil. Kereta hitam yang dia berharap tidak akan melihatnya lagi buat saki baki hidupnya kelihatan dengan sangat jelas di hadapannya. Pintu masuk kediaman itu terbuka dengan luas dan sepasang kasut tumit tinggi berwarna kuning dapat dilihat dari tempatnya berdiri.
"Tak guna betul! Aku ingatkan Cerebrus kena ikat dalam Lembah Tartarus!" dengan penuh bengang, Ibrahim berkata sambil menggigit kuku-kuku jarinya. "Kalau khinzir boleh terbang, aku harap aku boleh terbang sama..." dan kemudian, satu sosok tubuh yang ramping keluar dari dalam kediaman itu. Dengan berpakaian ketat, wanita itu memakai kasut tumit tingginya dan apabila dia perasan akan sosok tubuh Ibrahim, dengan spontan dia berlari ke arahnya lalu memeluknya dengan erat. Ibrahim cuba bergelut untuk melepaskan dirinya namun wanita itu mengeratkan lagi pelukannya sehingga budak lelaki itu tidak dapat bernafas dengan lancar.
"Arnab putih I dah balik! Happy-nya I arnab I dah balik!" ujar wanita itu yang berada di dalam lingkungan usia 40 an. Dan kemudian, secara perlahan-lahan, wanita itu berbisik pada telinga Ibrahim dengan nada yang sinis dimana dengan serta merta dia mula berasa lebih panik dan cemas. "Malam nanti dan malam-malam seterusnya, arnab putih jaga mommy ye. Relaks sayang, your step mommy has return..." lalu Ibrahim dapat merasakan seukir senyuman sinis mula terukir pada wajah wanita itu yang membuatkan jantungnya terhenti seketika.
Sementara Ibrahim mengalami kesulitan, Alifah dan Zulaika tidak kurangnya juga. Tetapi mereka kelihatan lebih terkawal dan teratur.
Kembali di bilik belajar Keluarga Zuhur, kedua-dua gadis remaja itu menghabiskan masa mereka dengan berbincang mengenai perkembangan rancangan mereka. Sambil menyusukan bayi halimunan itu dengan susu formula, Alifah menyelak beberapa helaian kertas di dalam sebuah fail maklumat mengenai doktor-doktor serta jururawat yang dapat diakses oleh Zulaika atas nama keluarganya. Terlalu banyak nama yang perlu dia kaji latar belakang mereka untuk menemukan walau hanya sepatah petunjuk. Manakala Zulaika pula, dia seperti biasa menghisap tembakau di dalam paip kiseru miliknya sambil mencatat beberapa maklumat di dalam buku notanya.
"Ada jumpa apa-apa tak?" Zulaika bertanya lalu menghisap semula paip kiserunya. Alifah membalas dengan menggelengkan kepalanya dimana selepas melihat reaksi rakannya itu, membuatkan Zulaika berasa lebih tertekan. Mereka langsung tidak dapat menemukan siapa doktor yang perlu mereka cari malahan langsung tidak mempunyai sebarang petunjuk. Situasi mereka mudah digambarkan seperti pelayar yang belayar tanpa sebarang peta harta karun. Belayar di atas kapal tanpa sebarang hala tuju.
"Kau yakin ke kita kena cari ketua doktor tu?" Alifah bertanya buat kali ke 10 dan sekali lagi dia menerima jawapan yang sama. Namun, selepas gadis itu menghabiskan kata-katanya, seluruh fail-fail di dalam bilik belajar itu mula ditiup dengan angin yang kuat yang muncul secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan yang logik. Fikiran mereka langsung dipenuhi dengan seribu satu persoalan namun tiada sebarang jawapan. "Apa sebenarnya yang tengah terjadi ni?" Alifah sekali lagi bertanya sambil memeluk bayi itu untuk melindunginya.
"Aku tak pasti. Tapi, apa yang aku pasti adalah arus laut makin deras. Mungkin tak lama lagi akan ada ribut..." Zulaika membalas dan cuba kelihatan tenang walaupun sebenarnya dia berasa takut serta risau. Paip kiseru yang dipegangnya mula bergetar tatkala tangannya juga mula menggigil.
Dalam ketika itu, mereka akhirnya sedar, mereka kini berada di dalam permainan kucing dan tikus. Suspek yang dicari masih lagi misteri dan apa yang bakal menimpa mereka juga masih lagi tidak diketahui.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro