Bab 5
リライト
Matanya dibuka namun semuanya kelihatan gelap gelita. Nafasnya sendiri dapat dirasakan ditempiaskan kembali kepada wajahnya dan dia berasakan bahawa dia sedang berada di dalam sebuah tempat yang sempit. Dia cuba menggerakkan tubuhnya namun dia terasa seperti terperangkap di dalam sebuah kotak. Dia mula bergelut namun tempat itu semakin lama semakin menyempit sehinggakan nafasnya mula tersangkut pada dadanya.
"Aku belum mati!" dia cuba meneriak walaupun tiada sesiapa yang membalas. Dan kegelapan itu mula menelannya semula sehinggakan tiada apa yang dia dapat rasakan selepas itu. Ketakutan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata mula menyelubungi dirinya dan dia hanya mampu untuk menangis sahaja. Air matanya mula berguguran membasahi pipinya. Dia menangis dengan teresak-esak, mengharapkan bantuan akan segera tiba untuk menariknya keluar dari kegelapan yang membutakan dirinya itu.
Secara perlahan-lahan, dia membuka semula matanya dan dia mula melihat siling biliknya. Katil yang empuk dapat dia rasakan kembali. Udara segar di dalam bilik itu dihirupnya secara mendalam. Perlahan-lahan, dia bangkit dari katilnya yang empuk itu dan mula meneliti bilik yang dia kongsikan bersama-sama dengan rakannya. Kekeliruan mula mengambil alih pemikirannya tatkala dia melihat segala-galanya telah kembali normal. Atau sebenarnya perkara buruk tidak pernah berlaku sama sekali di dalam hidupnya. Memori-memori yang pahit serta menderitakan itu kembali membanjiri kepalanya dan ia hanya terasa seperti mimpi buruk sahaja.
'Apa yang dah jadi sebenarnya ni?' bisik hati kecilnya. Dalam masa yang sama juga, rakannya mengetuk pintu bilik itu dan ia lantas membuatkan gadis itu terkejut.
"Kau dah kenapa terkejut sampai macam tu sekali?" ujar rakannya itu sambil tersengih melihat gelagatnya tetapi kemudian dia lantas berdiri dari katilnya yang empuk lalu berlari ke arah rakannya itu sebelum memeluknya dengan satu pelukan yang erat. "Kau...kau dah kenapa ni?"
Tatkala dia sedar dengan apa yang dia buat, lalu dia melepaskan rakannya itu dan dalam keadaan janggal, dia menepuk perlahan bahu rakannya itu. Masih lagi bingung dengan apa yang telah terjadi, gadis itu kemudiannya meminta diri lalu bergerak menuju ke bilik air lalu membiarkan dirinya disiram oleh air yang mengalir keluar dari paip mandi hujan. Fikirannya secara perlahan-lahan kembali tenang ketika air sejuk dari paip hujan tersebut membasahi tubuhnya. Kemudian, pintu bilik air itu diketuk dari luar yang membuatkan gadis itu kembali ke dunia realiti.
"Wuhu! Cepat sikit mandi tu! Takut nanti kita lambat nak pergi sekolah!" rakannya itu berkata sambil melekapkan telinganya pada pintu bilik air tersebut. Dalam masa yang sama juga, kedengaran bunyi tapak kaki sedang melangkah turun dari tangga kediaman tersebut.
Tatkala sudah berada di bawah, Adilah kemudiannya menuju ke dapur dan melihat maknya sedang membasuh segelas cawan yang berwarna merah. Secara perlahan-lahan, gadis itu menghampiri wanita itu lalu dengan spontan dia mengejutkan wanita itu sehingga dia tercampak cawan itu dimana dengan serta merta ia pecah berkecai. Adilah lantas tergelak namun maknya sebaliknya mula mencubit-cubit anak gadisnya itu.
"Haduh lah kamu ni kan, Khadijah! Tak habis-habis nak takutkan mama!" ujar wanita itu dengan penuh geram sambil mencubit-cubit lengan kiri Adilah.
"Mama ni! Anak sendiri pun tak tahu beza ke?" gadis itu berkata lalu mencebik bibirnya dan serentak, Adriana masuk ke dalam dapur itu tatkala dia terdengar bunyi kaca pecah yang sebelumnya itu.
"Kenapa ni?! Apa dah jadi, Puan Aimar?!" dalam keadaan cemas gadis itu bertanya. Puan Aimar kemudiannya menerangkan apa yang telah berlaku sebentar tadi dan penjelasan itu lantas membuatkan Adriana juga terhibur sedikit tatkala mendengarkannya. Kemudian, dia mula mengutip serpihan-serpihan kaca yang berselerak di atas lantai dapur itu dan dia turut dibantu oleh Adilah. Dalam ketika itu juga, Khadijah juga masuk ke dalam dapur itu untuk mengambil segelas air.
"Hah! Itupun kamu, Adilah! Tengok adik kamu ni si Khadijah buat hal lagi!" Puan Aimar berkata sekali lagi kepada anak gadisnya itu dan sekali lagi dia tertukar identiti mereka berdua seperti selalu. Khadijah mula menyelindungkan senyuman yang terukir pada wajahnya setelah mendengarkan kata-kata maknya itu.
"Mak ni..." ujarnya setelah dia tidak lagi berasa untuk tergelak. "...berapa kali nak cakap yang ni Khadijah yang tu Adilah. Mak ni asyik tertukar je nama kami, tertukar je nama kami." Tatkala Puan Aimar mula berasa malu, dengan cepat-cepat dia berjalan keluar dari dapur itu sehingga dia terlanggar Alifah yang baharu sahaja selesai mandi. Adilah yang terlihat maknya itu seperti tidak tentu arah mula tergelak padanya.
"Haduh lah mak aku ni kan! HAHAHAHAHA."
"Aaa...apa dah jadi?" Alifah bertanya kepada mereka dan cuba untuk berlagak normal walaupun kata-katanya itu masih tergagap-gagap. Khadijah perasan akan kelainan pada cara percakapan rakannya itu, lantas dia mendekatkan dahinya ke dahi Alifah untuk memeriksa suhu rakannya itu.
"Awak demam ke Alifah, demam ke Alifah?"
"Maaa...mana ada...saya okay jelah." Alifah membalas dan secara perlahan-lahan, dia kembali tenang dan pernafasannya kembali stabil. Lalu, Khadijah mula menjauhkan wajahnya dari wajah Alifah dan kemudian memberikan senyuman manis kepadanya. Alifah lantas membalas senyuman itu dengan senyumannya sendiri. Adilah dan Adriana pula akhirnya siap mengutip setiap serpihan kaca tersebut dan mengemas sedikit apa yang patut.
"Alright! Jom semua kita pergi sungai! Ibrahim, Anwar dengan Zulaika lama dah tunggu kita!" Adilah berkata dengan penuh semangat namun kemudian Alifah mula berasa hairan dan bertanyakan kenapa mereka perlu pergi ke sana dan bukan sebaliknya ke sekolah. Tatkala mendengarkan pertanyaan rakan mereka itu, ketiga-tiga gadis tersebut mula tergelak terbahak-bahak. Alifah menjadi lebih hairan dimana Khadijah kemudiannya menunjukkan ke arah kalendar dan ia dengan serta merta membuatkan Alifah berasa lebih bingung.
Januari, 8, 2014 adalah tarikh yang terpapar pada kalendar tersebut yang bermaksud lusa adalah hari dimana majlis 'Tangkapan Iblis' akan mula mengambil tempat.
"Kau salah makan ke, Alifah?" Adriana bertanya sambil meletakkan tangan kanannya pada bahu rakannya itu. Alifah hanya menggelengkan kepalanya lalu kemudian dia meminta diri dan berlalu kembali ke bilik mereka. Adilah, Adriana serta Khadijah mula berasa risau dengan karenah Alifah yang kelihatan tidak seperti dirinya sendiri namun mereka sependapat untuk memberikan gadis itu ruang dan masa untuk menceritakannya.
"Apa-apa pun!" Adilah berkata secara tiba-tiba sambil menepuk tangannya sehingga Adriana dan Khadijah lantas terkejut. "Khadijah! Siapkan batang-batang pancing kita! Adriana! Siapkan snek-snek makanan dan minuman sejuk!" dia mengarah seperti seorang pemimpin yang berwibawa dan ia membuatkan Khadijah tersengih sahaja melihat gelagat kakaknya itu yang saban hari semakin gembira.
"BAIK PUAN!" Adriana dan Khadijah menjawab seperti dua orang kadet askar sambil memberikan tabik hormat.
Di sisi lain pula, Alifah sedang duduk di atas katil empuknya sambil termenung pada lantai bilik mereka. Dia berasa seperti baharu sahaja terlepas daripada sebuah mimpi ngeri yang sukar untuk diceritakan kepada rakan-rakannya. Sebelum itu juga dia ada memeriksa almari bajunya dan kelibat bayi halimunan itu langsung tidak kelihatan. Dia mengambil beberapa masa yang agak lama untuk memproses semula segala-segalanya. Dan juga, dia masih berasa hairan dengan kata-kata Adriana yang sebelumnya itu walaupun sebenarnya Adriana langsung tidak mengatakan apa-apa pun malahan dia langsung tidak berada berhampiran dengan bilik air itu sewaktu dia sedang mandi.
"Kalau bukan Adriana yang cakap, habis tu siapa?" Alifah berkata dengan nada suara yang perlahan sambil mengusap dagunya.
***
Selepas berdebat dengan dirinya buat masa yang agak lama, akhirnya Alifah membuat keputusan untuk melupakan segala dilemma yang mengganggu dirinya dan bercadang untuk menghabiskan masa bersama-sama dengan rakan-rakannya. Tatkala mereka berada di kawasan sungai tersebut, dengan spontan kehadiran mereka disambut dengan penuh meriah oleh rakan-rakannya yang lain yang kelihatan sudah penat menunggu mereka berempat.
"Sampai pun korang! Ingatkan dan terbabas ke planet Pluto!" Ibrahim bergurau lalu dengan serta merta dia ditolak oleh Adilah masuk ke dalam sungai itu. Lantas, Ibrahim mula menggelupur untuk mendapatkan udara segar dari permukaan sungai itu. Dia bergelut seketika bagaikan ikan yang terjerat di dalam jaring sebelum kembali tenang dan berenang seperti biasa.
"Pluto bukan planet lah." Zulaika memberi komen kepada kata-kata Ibrahim yang sebelumnya yang membuatkan mereka yang lain mula menggelakkan budak lelaki itu dimana Adilah serta Anwar sambil membaling gumpalan lumpur padanya.
"Itulah kau! Bajet pandai sangat, kan dah kena!" Anwar berkata namun dia langsung tidak sedar yang Adriana serta Khadijah sedang berada di belakangnya. Lalu, dalam gerakan pantas, Adriana memegang lengan kanan manakala Khadijah sebaliknya lalu kemudian mereka juga mencampak budak lelaki itu ke dalam sungai tersebut. Punggung Anwar lantas terhempap pada wajah Ibrahim selepas itu. "Mana Adil!" budak lelaki itu berkata.
"Adil lah, sebab aku Adilah."
"Kau tahu kan punchline kau tak sampai." dengan pedas Zulaika berkata dan ia membuatkan Adilah tersentak dan terdiam seribu bahasa. Kali ini, giliran Anwar serta Ibrahim pula yang menggelakkan si gadis itu. "Baik kau belajar kasi habis dulu baru kau buat lawak semua."
Mungkin berasa malu, Adilah dengan serta merta terjun ke dalam sungai itu. Adriana dan Khadijah juga bersama-sama terjun selepas Adilah. Mereka semua bergelak sakan dan masing-masing berasa sangat gembira sehingga ia membuatkan Alifah langsung terlupa mengenai dilemma yang mengganggunya itu. Tidak seperti yang lain, dia dan Zulaika tidak turut berendam di dalam air sungai sebaliknya mereka berlepak di atas darat. Dia dengan khusyuk memasang peralatan memancing mereka semua manakala Zulaika dengan tenang sedang duduk di atas kerusi lipat sambil menghisap tembakau di dalam paip kiseru.
"Bukan ke kita belum cukup umur nak hisap benda tu?" Alifah bertanya tatkala kepulan asap tembakau mula menusuk hidungnya. Zulaika menghirup sekali lagi tembaku paip kiseru tersebut lalu menghembusnya keluar sebelum menjawab persoalan gadis itu.
"Aku lebih tua dari apa yang kau nampak sekarang." dia menjawab. "Kau pula macam mana, okay tak?"
"Aku? Well, aku okay je..."
"Hummm..." Zulaika kemudiannya menatap wajah Alifah dengan lebih lama sehingga Alifah mula berasa janggal tetapi kemudian dengan serta merta Zulaika memaling ke arah lain lalu menghisap kembali tembakau paip kiseru miliknya itu. Di dalam hati, Zulaika masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang baharu didengarinya itu tetapi dia cuba untuk menyembunyikan ketidakpuasan hatinya itu disebalik kepulan-kepulan asap tembakau yang dihirupnya. Manakala mereka yang lain pula dengan rancak bermain di dalam air sungai yang dingin itu. Mereka berlumba berenang paling laju, menahan nafas di dalam air paling lama dan yang paling mereka tidak boleh lupa adalah mereka berperang lumpur sungai itu. Pelbagai saiz gumpalan lumpur terbang ke setiap arah tatkala mereka membalingnya ke arah pihak lawan.
"Macam mana nak tangkap ikan nanti kalau kita dah buat bising ni semua?" Adriana bertanya kepada mereka yang lain seperti seseorang yang rasional namun dengan serta merta wajahnya dirempuh oleh lumpur yang dicampak oleh Anwar.
"Rileks sudah. Nanti kita suruh je Adilah menyanyi macam Snow White. Nanti datanglah ikan-ikan tu semua." ujar lelaki itu dimana rakannya, Ibrahim mula tergelak tetapi kemudian dengan bertubi-tubi mereka berdua diserang oleh Adilah serta Khadijah.
Beberapa jam kemudian, hari sudahpun senja dan tirai pada hari itu semakin tertutup. Seusai mandi, mereka bertanding untuk menangkap ikan paling banyak dan pemenangnya adalah Zulaika dengan jumlah ikan yang ditangkap sebanyak 10 ekor.
Batang-batang pancing dikemas dan barang-barangan lain juga disusun setempat. Sampah-sampah dikumpulkan di dalam satu beg plastik hitam dan baju-baju yang basah diletakkan di dalam beg plastik yang berasingan. Tatkala hari semakin gelap, mereka semua akhirnya beredar meninggalkan sungai itu. Mereka semua berjalan bersama-sama dan kemudian Ibrahim meminta diri terlebih dahulu tatkala mereka tiba di sebuah jalan yang dikelilingi hutan tebal yang menuju ke rumahnya.
"Apa-apa pun, lusa kita jumpa dekat sekolah pula. Jangan lupa festival 'Tangkapan Iblis' tu nanti." dan dengan kata-kata terakhir itu, budak lelaki itu kemudiannya membuka langkah menuju pulang ke rumahnya. Zulaika juga mula memberikan kata-kata perpisahan dan turut berlalu pergi meninggalkan mereka yang lain. Si gadis itu berjalan di arah yang berlawanan dengan mereka sambil asyik lagi menghisap paip kiseru miliknya itu. Tanpa disedari, secara perlahan-lahan kumpulan remaja itu berpecah dan menghala ke destinasi masing-masing. Khadijah, Alifah dan Anwar masing-masing berjalan menuju ke sebuah taman bunga yang terbiar di hujung pekan untuk menemani Khadijah memetik beberapa kuntum bunga seperti kebiasaan gadis itu selalu buat.
Sambil-sambil mereka berjalan menuju ke taman bunga itu, mereka ada juga berbual pelbagai jenis topik yang serba sedikit membunuh kesunyian diantara mereka bertiga sehinggalah dimana mereka bertiga terserempak dengan seorang pemuda yang sedang asyik mengambil gambar pemandangan di dalam pekan kecil itu. Alifah sedikit terkejut tatkala dia sedar bahawa pemuda itu adalah Encik Daniel Tomitoka yang sepatutnya telah mati, atau dia hanya berfikir seperti itu sahaja. Otaknya mula menjadi pening tatkala terlampau banyak memproses maklumat yang semakin tidak masuk akal.
"Nama saya Daniel Tomitoka. Saya orang luar. Saya suka datang ke sini sebab nak tenangkan fikiran." ujar pemuda itu walaupun Alifah sebenarnya telah mengenalinya. Mereka kemudiannya berbual kosong sedikit dimana secara tiba-tiba perbualan itu membuatkan Alifah mula berasa seperti deja vu. Perbualan mereka pada ketika itu mula menjerumus kepada topik sumpahan Kurikaeshi dimana ia membuatkan reaksi wajah Khadijah berubah menjadi serius dengan serta merta.
"Sumpahan Kurikaeshi tu apa benda?" Anwar seperti seorang kanak-kanak bertanya kepada Encik Daniel. Encik Daniel secara spontan mula berceritakan mengenai sumpahan di dalam pekan itu dimana dia memberitahu bahawa seseorang atau lebih akan mati pada tarikh 31hb atau beberapa hari sebelumnya. Anwar tergelak sedikit apabila mendengarkan penjelasan pemuda itu yang dia menganggapnya seperti kisah dongeng sahaja namun dengan serta merta dia dimarahi oleh Khadijah yang mula berkelakuan pelik.
"Kalau kau tak percaya dengan sumpahan ni, sekurang-kurangnya tunjuk rasa hormat sikit..." gadis itu berkata dengan nada yang tidak pernah mereka berdua dengari sambil dia memberikan tatapan maut kepada Anwar.
"Hehe, saya rasa mungkin Anwar terlepas cakap kot. Lagipun dia masih budak baru dalam pekan ni." Encik Daniel berkata namun Khadijah masih tidak memalingkan pandangannya dari budak lelaki itu.
"Sooo...sooorrryyy weh...Aku terlepas gelak...hehehehe..."
"Ohh yeke, yeke...Hehehehehehe permohonan maaf diterima, maaf diterima." gadis itu akhirnya kembali semula ke asal dan lantas memberikan seukir senyuman manis kepada Anwar dimana secara jujurnya budak lelaki itu serta Alifah mula berasa takut dan tidak selamat. Dek kerana itu, Alifah meminta diri dan tanpa mendengarkan kata-kata yang cuba dikatakan oleh Khadijah, dia lantas mengambil langkah seribu meninggalkan mereka semua.
Gadis itu berlari dengan bersungguh-sungguh. Di dalam kepalanya mula bermain seribu satu soalan yang mula membuatkan pemikirannya menjadi serba serabut. Nak ditambahkan lagi masalah, secara tiba-tiba Alifah terhenti di tengah jalan sambil melihat sebuah beg yang amat dia kenali terletak di hadapannya pada ketika itu. Beg itu bergerak-gerak sedikit dan Alifah dengan serta merta dapat mengenali isi kandungan beg itu walaupun tanpa melihat isi didalamnya terlebih dahulu.
'Ini semua mimpi! Ini semua mimpi belaka!" kata hati kecil gadis itu sambil menarik-narik rambutnya yang tidak bersalah. Namun, kemudiannya dia ditegur dari belakang oleh Zulaika yang serba sedikit membuatkan dirinya terkejut. Alifah lantas menoleh ke belakang dan melihat Zulaika yang masih lagi sedang menghirup paip kiseru miliknya. Zulaika menatapnya dan ia membuatkan Alifah berasa tidak selesa tambahan juga dengan kepulan-kepulan asap yang dihembuskan oleh gadis itu yang mula menusuk rongga pernafasannya.
"Aku...aku nak balik tapi...aku macam..." namun belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Zulaika mencelah sambil menunding hujung paip kiseru miliknya itu pada wajah Alifah.
"Aku tahu apa yang kau cuba sembunyikan. Aku tahu fasal bayi halimunan tu..." dan apabila Alifah mendengarkan penjelasan rakannya itu, dia lantas terkejut dan matanya terbeliak. Mulutnya ternganga dengan luas dimana secara perlahan-lahan Zulaika menutup semula mulut rakannya itu dengan tangannya sendiri.
"Macam mana kau...tahu?" dengan penuh kebingungan Alifah bertanya namun Zulaika tidak membalasnya sebaliknya dia menghirup asap tembakau di dalam paip kiseru itu lalu menghembus asapnya ke wajah Alifah sehingga Alifah terbatuk sedikit.
"Macam aku pernah cakap, kau tak tahu macam mana rasa dia untuk menjadi seorang high priestess."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro