Bab 4
Seminggu telah berlalu selepas kematian rakan mereka Adilah. Ia telah menyebabkan banyak perubahan di dalam hubungan persahabatan mereka semua.
Jauh di dalam fikirannya, Alifah berfikir bahawa suspek yang membunuh Adilah ialah tidak lain dan tidak bukan adik kepada rakannya itu, Khadijah. Ketika mereka semua disiasat oleh Inspektor Rahman Ryosuke tempoh hari lalu, Khadijah langsung tidak memberi kerjasama tatkala dia ditanya mengenai beberapa soalan. Adakalanya gadis itu tergelak seorang diri dan juga adakalanya dia menangis secara tiba-tiba. Doktor Kisaragi, salah seorang doktor yang bertanggungjawab merawat gadis itu berkata bahawa gadis itu sedang berada di dalam trauma yang serius dan ia menyebabkan pemikirannya sedikit bercelaru.
Walaupun sudah seminggu berlalu namun Alifah serta mereka yang lain masih lagi berada di dalam pengawasan pihak berkuasa. Mereka kekadang akan dipanggil untuk sesi soal jawab secara rawak. Sama ada di dalam tandas ataupun di dalam kelas, jadual mereka kini hanya dipenuhi dengan sesi soal jawab sahaja dimana ia serba sedikit membuatkan mereka semua menjadi lebih tertekan.
Semasa subjek pembelajaran Sains sedang berjalan di dalam kelas, Alifah secara tiba-tiba dipanggil oleh salah seorang pegawai polis yang tidak bernama. Dia diminta untuk berjumpa dengan inspektor Rahman untuk sesi soal jawabnya. Tanpa membantah, Alifah menggalas beg sekolahnya dimana bayi halimunan itu berada di dalamnya lalu dia kemudiannya diiringi menuju ke sebuah bengkel yang sudah lama tidak digunakan di dalam premis sekolah itu. Apabila gadis itu sudah melangkah masuk ke dalam bengkel itu, lantas pintu masuk itu ditutup dan dijaga dari luar oleh pegawai polis yang sebelumnya.
Disinari dengan sinar cahaya matahari yang menembusi celah-celah tingkap, kelihatan Inspektor itu sedang duduk sambil menghisap rokok paipnya. Berkepul-kepul asap tembakau memenuhi persekitaran bengkel itu dan secara tidak langsung, mula memenuhi rongga pernafasan Alifah. Gadis itu kemudiannya terbatuk sedikit sebelum menutup bahagian bawah wajahnya dengan kedua-dua belah tangan lalu membuka langkah menghampiri Inspektor tersebut.
"Sihat?" dengan ringkas Inspektor itu memulakan perbualan mereka. Alifah tidak membalas dengan kata-kata sebaliknya dia hanya menganggukkan kepalanya sahaja sebanyak tiga kali. Dek kerana gadis itu tidak bersuara, Inspektor Rahman mula mengeluh.
"Awak tahu tak, semasa saya pergi berperang dulu, ada seorang rakan seperjuangan saya pernah cakap dekat saya, 'Aku percayakan kau sebab kau adalah seorang perokok paip'. Ambil masa juga sebenarnya nak faham maksud ayat dia tu. Tapi, lepas bertahun-tahun saya hidup, akhirnya saya faham maksud dia..." dan kemudian Inspektor itu menghirup kembali asap tembakau di dalam rokok paipnya itu lalu dia menghembusnya jauh-jauh dari terkena wajah Alifah yang masih lagi muda.
"Saya rasa saya pun faham sikit maksud yang cuba disampaikan..." Alifah akhirnya berkata selepas lama berfikir maksud disebalik kata-kata itu. "Tapi saya tak tahu betul ke tak. Saya cuba, maksud yang cuba dia sampaikan, dia percaya dekat Inspektor sebab Inspektor seorang perokok paip sebab perokok paip selalu jaga rokok paip mereka daripada patah, rosak atau lain-lain berbanding dengan perokok biasa yang selalu buang puntung rokok selepas habis hisap. Maksud dia lebih kurang macam, Inspektor boleh dipercayai untuk menjaga rahsia sama macam inspektor jaga paip rokok tu berbanding perokok lain yang akan campak rahsia bila dah tak berguna."
"Jadi, apa rahsia kamu, Alifah?" tanya Inspektor Rahman yang semakin tertarik dengan kecerdikan gadis itu. Namun Alifah masih lagi tidak dapat mempercayai Inspektor itu dengan sepenuhnya jadi dia kemudiannya hanya menundukkan kepalanya dan kembali berdiam diri. Tatkala mengetahui yang gadis itu masih memerlukan ruang, Inspektor Rahman hanya tersenyum seorang diri sebelum menyuruhnya untuk kembali semula ke kelasnya.
"Kalau ada apa-apa yang awak nak beritahu saya, jangan segan-segan." katanya sebelum Alifah melangkah keluar dari bengkel tersebut. Gadis itu hanya menganggukkan kepalanya pada Inspektor Rahman sebelum membuka pintu bengkel itu dan kemudian dia diiringi sekali lagi oleh pegawai polis yang sebelumnya itu.
Apabila dia kembali semula ke kelas, tiada seorang pun yang memberikan perhatian kepadanya walaupun dia baharu sahaja dipanggil oleh seorang pegawai polis seakan-akan dia langsung tidak wujud. Dengan serta merta dia kembali ke tempat duduknya dan meletakkan begnya terlebih dahulu sebelum duduk. Belum sempat dia membuka semula buku teksnya, Zulaika menepuk bahunya dari belakang.
"Kau kena soal macam biasa ke?" gadis itu bertanya dan dengan pantas Alifah menganggukkan kepalanya. Dan dengan itu, perbualan mereka yang tidak seberapa itu tamat begitu sahaja dan mereka kembali fokus kepada pelajaran yang sedang berjalan di dalam kelas.
Tatkala waktu rehat akhirnya tiba, Alifah serta rakan-rakannya menghabiskan masa mereka di dalam kelas berbanding murid-murid yang lain yang kini sedang menikmati makanan yang enak dan minuman yang sejuk di kantin sekolah. Mereka banyak menghabiskan masa rehat mereka seperti itu sejak kematian rakan mereka Adilah.
"Jadi, lepas ni macam mana pula?" Ibrahim bertanya sambil bermain dengan sebatang pen. "Tarikh 31 hari bulan dah nak dekat. Lagi lapan hari je lagi."
"Aku pun risau juga sebenarnya." Adriana pula yang berkata kepada mereka.
"Apa kata macam ni, mana-mana kita pergi, kita pergi berpasangan." Zulaika mencadangkan kepada rakan-rakannya. Pada mulanya Ibrahim membantah dengan menyatakan bahawa ia akan memudahkan lagi kerja si pembunuh kerana mereka bergerak di dalam pasangan seperti membunuh seorang ibu bersama-sama dengan anak yang berada di dalam kandungannya tetapi Zulaika meyakinkan rakannya itu dengan berkata bahawa dua kepala lebih baik berbanding satu. Semasa mereka membuat undian, hanya Ibrahim seorang sahaja yang tidak bersetuju dan kemudian tanpa menghabiskan lebih banyak masa mendengar bebelan Zulaika, dia mengangkat kaki meninggalkan mereka semua.
"Susahlah nak ajak berbincang dengan orang yang keras kepala ni." Adriana mengeluh lalu mencebik bibir. Dikerana dia langsung tidak tahu nak berkata apa, Alifah hanya meletakkan tangannya di atas bahu rakannya itu.
***
Habis sahaja waktu persekolahan, Ibrahim dengan tangkas meninggalkan premis sekolah dengan mengambil langkah seribu. Rakan-rakannya yang lain cuba untuk mengejarnya namun gagal tatkala perbandingan stamina mereka yang agak ketara. Dek kerana geram, Zulaika menendang-nendang tiang elektrik yang berdekatan secara berterusan. Adriana dan Alifah dengan lantas cuba untuk menenangkan gadis itu kembali.
"Korang berdua balik lah dulu. Tinggalkan aku seorang." kata gadis itu dimana dengan spontan Adriana mula membantah secara bertubi-tubi. "PERGI!" dengan tegas Zulaika menyuruh mereka untuk beredar. Kali ini, Alifah pula yang mula untuk membantah tetapi sebelum dia mula bersuara, dia menampar wajah Zulaika dengan kuat terlebih dahulu. Adriana lantas terkejut selepas melihatnya sehinggakan tangan kanannya diletakkan pada mulutnya.
"Kau kata jangan berpisah kan. Kenapa kau pula yang nak berpisah?" Alifah bertanya kepada Zulaika dimana rakannya itu masih lagi mengusap-usap pipinya yang merah ditampar olehnya.
"Aku dah pernah tengok semua ni dan aku lebih tahu apa yang akan jadi lepas ni..." ujar Zulaika. "Kau langsung tak tahu apa yang kau cuba buat. Kau tak tahu apa yang akan jadi. Kau tak tahu rasa menjadi seorang High Priestess. Kau takkan pernah faham apa yang aku cuba lakukan untuk korang." dan dengan kata-kata terakhir itu, dia kemudiannya berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.
"Aku rasa dia dah jadi macam Anwar lah. Paranoid and nak duduk seorang diri." Adriana berkata dimana ia hanya membuatkan situasi menjadi lebih keruh.
Alifah seperti teringatkan sesuatu tatkala Zulaika berbicara tadi namun tidak dapat dia pastikan apa sebenarnya yang cuba dia mengingat kembali.
Dalam masa yang sama juga, Ibrahim sedang berjalan berseorangan diri menuju ke rumahnya. Jam tangan yang dipakainya kerap ditenung berulang kali walaupun tarikh pada jam itu langsung tidak berubah. Tarikh 23 hari bulan terpapar di dalam jam digital itu. Lalu, Ibrahim mengeluh sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
Keadaan kemudiannya menjadi lebih sunyi sepi tatkala dia berjalan masuk ke kawasan hutan yang terletak di bahagian kiri dan kanan jalan tersebut. Dalam beberapa meter sahaja, kejiranan perumahannya akan kelihatan sebaik sahaja dia keluar dari jalan yang dikelilingi oleh hutan tebal tersebut. Bunyi daun-daun kering yang berguguran menjadi penemannya sewaktu dia berjalan di atasnya. Tetapi kemudian, dia berasa seperti dirinya sedang diekori oleh seseorang. Lantas dia berhenti di tengah jalan tanpa menoleh ke belakang. Kadar pernafasannya mula menaik sedikit dan panik secara perlahan-lahan mula berkembang biak di dalam dirinya.
Kedua-dua belah tangannya mula menggeletar dan pada ketika itu dia mendengar bunyi tapak kaki menghampirinya. Pada mulanya bunyi tapak kaki itu hanya perlahan sahaja yang bermakna orang itu masih jauh darinya namun kemudian secara tiba-tiba bunyi tapak kaki tersebut menjadi kuat dan hentakan kaki menjadi laju. Dengan tangkas Ibrahim menoleh ke belakang namun tidak sempat dia mengenal pasti wajah orang itu, dia ditendang pada wajahnya yang menyebabkan pandangannya mula menjadi kabur. Kepalanya terasa sangat sakit dan kemudian ia menjadi lebih sakit tatkala orang itu mengangkat kepalanya dengan menarik rambutnya ke atas.
Orang itu kemudiannya meracau dan ia membuatkan Ibrahim sukar untuk mendengarkan suara orang itu. Lalu, dia mengeluarkan sebilah pisau dapur yang berkilat dan mempunyai bilah yang sangat tajam. Dia kemudiannya meletakkan pisau itu pada leher budak lelaki itu lalu tanpa ragu-ragu menarik bilah pisau itu dengan kuat. Lehernya terbelah dan darah mula terpancut keluar. Ibrahim mula bergelut untuk bernafas tatkala mulutnya juga mula memercikan darah keluar dari dalam badannya. Orang itu melepaskan Ibrahim dan melihat budak lelaki itu bergelut seperti ikan yang terkeluar dari sungai. Ibrahim meletakkan kedua-dua belah tangannya pada tekaknya bagi menghalang darah mengalir keluar dengan lebih banyak namun ia langsung tidak memberikan apa-apa kesan tatkala darah masih lagi mengalir keluar dengan jumlah yang banyak.
Pandangannya mula menjadi kabur dan nafasnya mula terputus-putus. Ibrahim kemudiannya ingin menjerit dan meminta bantuan namun sebaik sahaja dia membuka mulutnya, orang itu dengan kejam sekali menikamnya dari belakang dengan bertubi-tubi. Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya membalikkan tubuh Ibrahim lalu dia membelah perutnya dan menarik keluar usus-usus dalamannya. Ibrahim masih lagi sedar tatkala ia berlaku. Ia terasa seperti nyawanya secara perlahan-lahan ditarik keluar sama seperti usus-ususnya itu. Dan dalam detik terakhirnya, Ibrahim dapat mendengar dengan jelas suara si pembunuhnya itu namun semuanya sudah terlambat.
"Aku taknak mati...aku taknak mati...aku taknak kena bunuh...aku kena bunuh kau supaya aku tak kena bunuh...aku kena bunuh semua orang yang aku kenal...bunuh, bunuh, bunuh..." dengan kata-kata terakhir yang didengarinya itu, Ibrahim akhirnya menghembus nafasnya yang terakhir lalu mati dengan begitu sahaja. Walaupun tubuhnya sudah kaku namun si pembunuh itu masih lagi menarik keluar kesemua organ-organ dalamannya seakan-akan seekor dubuk yang sedang kebulur.
Sementara itu, bertukar pula sudut pandang kepada Zulaika, gadis itu kini sedang berada di dalam bilik belajarnya di dalam kediaman keluarganya iaitu kediaman keluarga Zuhur. Pelbagai naskah buku berterabur di dalam bilik itu manakala dia sedang membaca senaskah daripadanya dalam keadaan yang cemas. Setiap helaian muka surat diselak dengan ganas sehinggakan sesetengah helaian terkoyak.
"Macam mana ni? Takkan masih tiada loop yang selamat?" dia berkata dengan cemas. Riak wajahnya saling tidak tumpah dengan wajah seseorang yang bakal dipancung di hadapan khalayak ramai, takut serta gelisah yang teramat. Tatkala tidak jumpa jawapan yang dicari, dia lantas menutup buku itu lalu mencampaknya ke tempat lain. Kepalanya selepas itu diusap-usap perlahan namun tiba-tiba dia terdengar satu suara yang sedang mengilai. Dengan spontan dia mengeluarkan sebilah gunting yang agak besar lalu menghalakannya ke arah suara mengilai tersebut.
"Rindu aku?" suara itu berkata. Satu suara yang kedengaran seperti suara seorang gadis seumur dengannya. Lantas, Zulaika mencapai senaskah lagi buku yang berada di atas meja di belakangnya lalu mencampaknya ke arah suara itu yang terselindung di sebalik kegelapan bilik belajar tersebut.
"Apa yang kau nak?!" dengan keras Zulaika bertanya namun kemudian suara mengilai itu menjadi lebih kuat sehinggakan Zulaika mula menjadi lebih gelisah dan gunting yang dipengangnya itu mula bergegar tatkala seluruh tubuhnya mula menggigil ketakutan.
"Kau takkan selamat dalam mana-mana loop melainkan kau cari bayi itu." suara itu berkata lagi. Terbeliak mata Zulaika tatkala mendengarkannya dan tidak sempat gadis itu membalas apa-apa, dia mula merasakan ketidakselesaan pada tekaknya lalu dia mula terbatuk-batuk. Ia kemudiannya menjadi lebih teruk sehinggakan dia terpaksa mencekik dirinya sendiri dengan kedua-dua belah tangannya. Darah mula terpercik keluar daripada mulutnya dan Zulaika mula rasa seperti hendak muntah. Tanpa berfikir panjang, Zulaika memuntahkannya di atas lantai bilik belajar itu. Gadis itu mula memuntahkan darah keluar daripada badannya namun yang membuatkan dia lebih terperanjat adalah apabila dia juga turut memuntahkan ratusan jarum-jarum menjahit keluar daripada anak tekaknya. Setiap bilah jarum dilumuri dengan darah merah pekat. Dengan mata yang terbeliak, Zulaika jatuh pengsan di dalam bilik belajarnya itu. Dan suara itu pula, ia hanya mengilai sahaja sebelum berlalu pergi.
***
Januari, 29, 2014
Aku rasa, tiada sesiapa lagi yang selamat di dalam pekan ni. Dua kawan aku dah mati, Ibrahim dan Adilah. Anwar dan Khadijah pula dah kena serangan panik dan direhatkan dari menghadiri sekolah. Zulaika pula berada di wad hospital.
Tinggal aku dan Adriana sahaja. Dan juga bayi halimunan ni yang sebenarnya aku dah tak tahu nak buat apa dengannya. Mungkin, aku akan buat apa yang aku rasa betul. Aku akan letakkan budak ni dekat depan pintu masuk St Ackerman. Itu je pilihan yang aku ada sekarang...
Dan kemudian jurnal itu ditutup dan Alifah bersiap sedia untuk ke sekolah. Sebelum mereka berdua berangkat ke sekolah, mereka berdua menjalankan dahulu amanah mereka sebagai pembantu rumah kepada keluarga Aimar. Alifah menyiapkan sarapan untuk mereka manakala Adriana pula mengemas sedikit ruang tamu kediaman megah itu.
Selepas selesai dengan tugasan mereka, mereka berdua lantas berjalan menuju ke sekolah. Setibanya mereka di perkarangan sekolah, mereka disambut oleh Inspektor Rahman dan mereka berdua kemudiannya dibawa ke bengkel yang tidak digunakan tersebut. Seperti kebiasaan, mereka akan disoal siasat bagi membantu penyiasatan pihak berkuasa.
Pada masa yang sama juga, Zulaika yang tidak lagi berasa sakit namun masih ditahan oleh pihak hospital membuat keputusan untuk melarikan diri. Dengan penuh cuak dan cemas, gadis itu menarik jarum-jarum yang dicucuk pada badannya lalu selepas dia bebas daripadanya, dia lantas melarikan diri melalui tingkap hospital tersebut. Gadis itu mengambil langkah seribu menuju ke sekolah untuk berjumpa dengan Alifah kerana dia tahu mengenai bayi itu. Zulaika dapat melihat bayi itu sama seperti Alifah walaupun dia tidak pernah memberitahunya dan sudah tiba masanya untuk memberitahu segala-galanya. Akan tetapi, dia dihentikan oleh si pembunuh yang sedang menghalang laluannya. Si pembunuh lantas mengeluarkan bilah pisau yang kerap digunakannya lalu tanpa membazir masa, dia mula mengejar Zulaika. Lalu, babak kejar mengejar mula mengambil tempat.
Zulaika berlari dengan kesemua saki baki tenaga yang dimilikinya namun terdapat perbezaan ketara diantara stamina mereka berdua. Si pembunuh itu sempat memegang bahu Zulaika sebelum Zulaika berhenti secara tiba-tiba dimana ia membuatkan si pembunuh itu terlajak ke hadapan dan dengan menggunakan peluang itu, Zulaika mula berlari ke arah yang berlawanan. Dek kerana geram dirinya ditipu, si pembunuh itu lantas membaling pisau itu ke arah Zulaika dimana ia merupakan nasib malang buat gadis itu. Pisau itu terbang meluru ke arah belakangnya dan kemudian ia tertusuk pada badannya sehingga ia menyebabkan Zulaika terjatuh tatkala dia sedang berlari. Zulaika meneriak di dalam kesakitan namun dia lantas kembali berdiri dan berlari semula. Tetapi nasib langsung tidak menyebelahinya.
Kaki kirinya terkehel tatkala dia sedang berlari lalu dia tersembam kembali ke atas tanah. Walaupun di dalam keadaan sebegitu, gadis itu masih lagi ligat bergerak. Dia merangkak sambil pisau itu masih terpacak pada belakangnya. Dia juga mula berasa nausea serta pening-pening. Pandangannya mula kabur dan pemikirannya mula bercelaru. Manakala si pembunuh pula secara perlahan-lahan menghampirinya lalu dengan serta merta menarik pisau itu dari badan Zulaika. Gadis itu tersentak seketika selepas pisau itu ditarik keluar dan dia mula merasakan darah mula membasahi tubuhnya.
"Kau...takkan terlepas dengan semua ni...." dia berkata namun belum sempat dia menghabiskan ayatnya, lehernya dikelar dan darah yang banyak mula terpancut keluar membasahi tanah tempat mereka berdiri.
"Kalau pintu terkunci, carilah kunci untuk buka pintu itu. Kalau tiada kunci, pecahkan saja..." si pembunuh berkata lalu dia menggendong tubuh Zulaika sebelum mencampaknya masuk ke dalam longkang yang dalam. Dengan sekelip mata, tubuh gadis itu tenggelam di dalam air longkang tersebut. Tanpa berkata apa-apa si pembunuh lekas meninggalkan tempat tersebut. Tanpa dia sedari, dia telah diikuti oleh seseorang yang telah melihat kesemuanya dengan matanya sendiri. Perasaan marah dan geram mula membuak-buak di dalam dirinya.
Selang beberapa hari kemudian, hari yang membawa seribu satu masalah atau malapetaka akhirnya tiba. Tarikh 31 hari bulan terpapar pada wajah kalendar. Perasaan takut serta kegelisahan mula menggerumuni diri setiap penduduk di dalam Pekan Kurikaeshi. Alifah serta Adriana juga tidak terlepas daripadanya. Bahkan, mereka berdua menjadi lebih gelisah berbanding yang lain tatkala mereka mendengar mengenai kematian Zulaika tempoh hari.
"Mungkin kita dah terjerat dalam sumpahan Kurikaeshi kot! Macam mana ni, Alifah?!" Adriana yang semakin cemas bertanya kepada rakannya sambil menggoyang-goyangkan badan rakannya itu. Alifah lantas menepis tangan rakannya itu dan menolaknya ke tepi untuk mendapatkan ruang. Bayi halimunan itu masih berada di dalam beg yang digalasnya tatkala mereka berdua sedang berjalan pulang dari membeli barangan basah untuk memasak pada hari itu.
"Kan Inspektor Rahman dah cakap yang sumpahan tu tak wujud. Kau ni jangan gelabah boleh tak!" Alifah berkata dengan nada yang tinggi apabila dia tidak lagi mampu menahan tekanan yang sedang dialaminya pada ketika itu.
"Hah yelah..." Adriana membalas dengan kecewa. "Tapi aku pelik lah, kenapa kau asyik galas beg tu je masa pergi mana-mana?" Apabila mendengarkan pertanyaan rakannya itu, Alifah dengan serta merta berhenti berjalan. Rakannya juga berhenti di hadapannya lalu menoleh ke belakang dan menatap wajahnya. Terpapar dengan jelas reaksi muka kerisauan pada wajah Adriana pada ketika itu.
"Aku...takde apa-apalah..." ujar Alifah namun Adriana masih lagi tidak meyakini dengan kata-kata rakannya itu lalu dia tetap berkeras menyuruh Alifah untuk memberitahu perkara yang sebenar. Tekanan mula menguasai Alifah dan ia mula kelihatan pada wajahnya. Lalu, Adriana dengan spontan meminta maaf dan kemudian mereka kembali berjalan semula tanpa bersembang. Langit senja yang kemerah-merahan semakin lama semakin memudar warnanya menjadi gelap tatkala siang hari bakal bersilih ganti dengan waktu malam. Secara perlahan-lahan bintang-bintang mula membanjiri langit dengan sinaran masing-masing.
Setibanya mereka di kediaman keluarga Aimar, mereka mendapati kediaman itu sangat gelap dan tiada sebarang lampu yang dinyalakan di dalam bangunan megah itu. Dengan penuh waspada, Alifah membuka pintu masuk kediaman itu lalu mereka berdua melangkah masuk ke dalamnya. Dengan serta merta kepulangan mereka itu disambut dengan bau darah yang membanjiri ruang tamu tersebut. Kusyen-kusyen berterabur di setiap penjuru, televisyen musnah berantakan, gambar-gambar keluarga di dalam bingkai pecah dan lain-lain. Adriana menutup mulutnya dengan tangan kanan tatkala terkejut manakala Alifah menjatuhkan beg-beg plastik yang dibawanya ke atas lantai ruang tamu tersebut.
"Apa dah jadi ni Alifah...?" Adriana yang sudah menggigil di dalam ketakutan bertanya kepada Alifah.
"Aku...aku pun tak tahu!" dia membalas namun kemudian mereka berdua terkejut apabila mereka mendengar bunyi pinggan mangkuk pecah di dapur. Adrenaline mula mengambil alih tubuh mereka dimana dengan spontan mereka berlari menuju ke dapur dan kelihatan pada ketika itu, Khadijah serta Anwar sedang berlawan dengan menggunakan senjata-senjata tajam. Khadijah bersenjatakan pisau dapur manakala Anwar pula bersenjatakan kapak bomba. Gadis itu sempat mengelak semua serangan yang cuba dikenakan kepadanya dan kemudian pisaunya dan kapak Anwar saling berlaga dan bunyi besi berlaga mula memenuhi gegendang telinga mereka semua.
"Tolong aku, tolong aku!" Khadijah meneriak namun Alifah dan Adriana masih ragu-ragu. Mereka tidak pasti siapa sebenarnya si pembunuh yang dicari-cari. Serpihan kaca yang tajam lantas diambil oleh Adriana dengan tangan yang menggigil. Sebelum dia sempat mencucuk orang dengan serpihan kaca itu, Anwar mula berbicara dengan lantangnya.
"BUNUH DIA! DIA YANG BERTANGGUNGJAWAB BUNUH ADILAH, IBRAHIM AND ZULAIKA!" dan tanpa ragu-ragu lagi, Adriana mengelar leher Khadijah. Sebelum gadis itu jatuh tersungkur sambil lehernya memancutkan darah, kelihatan pada wajah Khadijah satu riaksi wajah yang kesal dan kecewa. Ia kelihatan seakan-akan gadis itu cuba untuk meminta bantuan daripada mereka berdua.
"Thanks..." dengan ringkas Anwar berkata dan Adriana pula menoleh semula ke arah Alifah dengan riak wajah yang lega dan gembira. Kemudian, dia mencampakkan serpihan kaca itu jauh darinya sebelum meluru ke arah Alifah lalu memeluknya dengan erat.
"Kita dah selamat! Pembunuh tu dah mati!" ujarnya dengan penuh gembira lalu mengeratkan lagi pelukannya pada tubuh Alifah. Pada ketika itu, bayi halimunan itu juga mula merengek di dalam beg yang sedang digalasnya. Walaupun dia mula berasa menyampah namun dia secara jujurnya juga merasa lega kerana semuanya sudah tamat. Adriana kemudiannya melepaskan pelukan mereka dengan seukir senyuman manis pada wajahnya. Alifah juga turut tersenyum tetapi apabila dia baharu sahaja membuka mulutnya untuk berkata sesuatu, Anwar secara tiba-tiba memacakkan bilah kapaknya yang tajam itu pada kepala Adriana. Kepala gadis itu terbelah sedikit tatkala kapak itu terpacak pada kepalanya serta darah mula memancut keluar daripada kepalanya itu.
"Ni...ge...ru..." dengan suara yang terputus-putus, Adriana berkata kepada Alifah yang terkejut dengan apa yang sedang dilihatnya pada ketika itu. Kedua-dua belah tangannya menutup mulutnya tatkala dia terkejut yang teramat manakala Anwar pula mengambil pisau dapur yang digunakan oleh Khadijah sebelumnya yang terlantar di atas lantai yang mula dibanjiri darah pekat.
"Thanks sebab memudahkan kerja aku. Kau tahu tak aku nak selamatkan korang semua. Jadi, kalau aku bunuh korang, korang takkan kena bunuh dengan pembunuh lain! HAHAHAHAHA, Bijak kan!" Anwar yang sudah mula hilang akal berkata sambil ketawa dengan sinis sekali. Bunyi tangisan bayi juga mula memenuhi ruangan pendengaran Alifah dimana dengan serta merta dia menutup kedua-dua belah telinganya dengan tangan. Lalu, secara perlahan-lahan Anwar menghampiri Alifah dan gadis itu pula selangkah demi selangkah mengundurkan dirinya.
"Biar aku selamatkan kau juga..." namun dengan spontan Alifah mula berlari menuju ke pintu keluar tetapi Anwar lebih pantas tatkala dengan serta merta dia menarik beg galas Alifah. Tanpa berfikir panjang dan berfikir mengenai moral dirinya, Alifah melepaskan beg galas itu namun dalam masa yang sama juga, Anwar sempat menikam perut gadis itu. Anwar kemudiannya terjatuh sambil menghimpap beg galas itu manakala Alifah secara perlahan-lahan berjalan menuju ke pintu keluar kediaman tersebut.
Bagaikan tikus yang telah terjerat di dalam perangkap keju, Alifah tidak lagi mampu untuk menyelamatkan dirinya tidak kira berapa kuat dia bergelut demi kebebasan dirinya. Dia langsung tidak menghiraukan Anwar dan meneruskan langkahnya menuju ke pintu yang terbuka luas itu. Dek kerana itu, dia langsung tidak mengetahui bahawa Anwar telah mengambil semula kapaknya dari kepala Adriana lalu pada detiknya yang terakhir, Alifah dapat merasakan kesakitan yang teramat pada kepalanya tatkala Anwar memacakkan kapak itu pada kepalanya. Secara perlahan-lahan, darah yang suam mula membasahi kepalanya dan mengaburkan pandangannya. Kemudian, gadis itu terduduk lalu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Perkara terakhir yang didengarinya bukanlah suara Anwar yang sedang tergelak terbahak-bahak bagaikan orang gila namun ianya adalah suara bayi halimunan itu yang masih terperangkap di dalam beg galas tersebut.
Tatkala tubuh Alifah akhirnya kaku, Anwar masih berasa dirinya seperti diekori oleh seseorang. Dia dengan cemas mencabut pisau yang tertusuk pada tubuh gadis itu lalu menikam dirinya berulang kali.
"AKU TAKNAK MATI! AKU TAKNAK MATI! AKU TAKNAK MAAATIII!" Anwar berkata. Matanya terbeliak, tubuhnya ditikam olehnya secara berulang kali, darahnya mula terpercik keluar dan nafasnya mula menjadi perlahan. Kesan serangan panik yang dialaminya sejak kebelakangan itu telah membuatkan dirinya menjadi sebegitu. Nafasnya akhirnya terputus dan tubuhnya yang kaku terlantar bersebelahan dengan tubuh kaku Alifah.
Dan sejam kemudian, pihak polis akhirnya tiba di kediaman tersebut namun semuanya sudah terlambat. Inspektor Rahman melihat kesemua mangsa-mangsa remaja tersebut dengan penuh kesal dan kecewa akan dirinya sendiri. Sambil menghisap rokok paipnya, dia menulis satu laporan kepada pihak atasan.
"Sumpahan 31hb pekan Kurikaeshi akhirnya telah mendapat mangsanya untuk tahun ni..." ujar Inspektor Rahman sambil menghembus satu kepulan asap tembakau yang tebal.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro