Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Januari, 10, 2014

Seminggu telah berlalu namun Alifah masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dia hadapi pada ketika itu. Bayi 'halimunan' yang dia temukan beberapa tempoh hari yang lalu telah serba sedikit merubah jadual hariannya. Setiap malam dia terpaksa berjaga demi menyusukan bayi itu dengan susu yang dia beli secara sembunyi-sembunyi. Setiap pergerakan yang dibuatnya adalah secara berhati-hati kerana dia tidak mahu menarik sebarang perhatian daripada orang-orang lain terutamanya rakan-rakannya.

Alifah mempunyai satu tabiat yang dia terapkan didalam dirinya iaitu tabiat tidak suka menyusahkan orang lain meskipun keadaan dirinya sekarat sekalipun.

     Teorinya masih lagi menunjukkan hasil yang sama dimana penduduk-penduduk selain dirinya langsung tidak dapat melihat bayi itu. Terasa janggal kerana hanya Alifah seorang sahaja yang dapat melihat bayi itu.

      Disebabkan dia masih di usia remaja dan langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai penjagaan bayi, dia sering melawat ke perpustakaan di dalam pekan itu dan mencuri-curi baca buku panduan untuk menjadi seorang ibu yang berjaya. Ada satu hari itu dimana dia dipandang enteng oleh si pustakawan tatkala dia terlihat gadis itu sedang membaca buku yang tidak sesuai dengan umurnya. Sumpah, Alifah berasa sangat malu pada ketika itu dan berhenti dari melawat perpustakaan tersebut.

 Bayi halimunan itu yang diberi nama 'Keberadaan X', sering dibawanya kemana-mana sahaja meskipun di sekolah. Dia meletakkan nama 'Keberadaan X' kerana namanya memantulkan maksud seerti dengan konsep matematik untuk mencari nilai yang tidak diketahui. Kebanyakkannya digunakan dalam Algebra.

Pada mulanya dia bercadang untuk menamakan sahaja bayi itu 'Gremblin' menurut mitos Barat. Tambahan juga nama itu mungkin membawa logik akal akan maksudnya kerana telah mengubah penerbangan hidup Alifah menjadi sebuah paradoks tidak disangka. Tetapi di lain hari sahajalah.

Di sekolah, bayi itu akan diletakkan di dalam begnya yang dia sering bawa bersama-sama. Mungkin kedengaran kejam namun itu sahaja cara yang ada bagi mengelakkan daripada menarik sebarang perhatian daripada warga sekolah.

"Weh, harini jangan lupa tau." Ibrahim berkata kepada mereka semua seusai subjek matematik tamat. Mereka yang lain lantas menganggukkan kepala mereka kecuali Alifah yang langsung tidak memberikan sebarang respon. 

"Kau okay ke tak ni?" Zulaika menegurnya lalu gadis itu kembali semula ke realiti. Dia menjadi sedikit terpinga-pinga dan ia lantas membuatkan Adilah serta Anwar terketawa tatkala melihat gelagatnya itu.

"Kau dah travel sampai Marikh ke?" usik Adilah sambil melakonkan watak seekor alien. "Hemm, Spock kepada Alifah, Spock kepada Alifah. Keadaan di Marikh agak teruk sebab PKPP, Over!" Tatkala mendengarkan suara Adilah yang cuba untuk kedengaran seperti seekor alien yang mana sebenarnya kedengaran seperti cerek tersumbat, kini giliran Ibrahim pula yang tergelak manakala Khadijah cuba sedaya upaya untuk menahan dirinya daripada meletus dengan gelak tawa walaupun hasil percubaannya agak ketara.

"Alah lek ahhh." Anwar menegur Alifah apabila gadis itu masih lagi tidak memberi sebarang respon dan masih kelihatan bingung. "Happy, happy sikit. Lagipun harini kan ada sambutan 'Tangkapan Iblis'. tambahnya lagi yang membuatkan mata Alifah terbeliak selepas mendengarkannya. Lantas dia bertanya akan maksud di sebalik sambutan itu.

"Kalau dekat negara Barat diorang sambut Halloween, kat Kurikaeshi kitaorang sambut 'Tangkapan Iblis'. Konsep dia sama je macam Halloween cuma tukar gula-gula dengan duit. And, siapa yang pakai kostum paling seram, dia layak dapat jumlah duit yang lebih lumayan." Adilah menerangkan kepada rakannya yang hanya mendengarkannya tanpa bersuara walau hanya sepatah perkataan.

Zulaika mula merasakan sesuatu tidak kena dengan rakannya itu namun hanya mengendahkannya lalu membuka langkah kembali ke tempat duduknya apabila dia perasan guru mata pelajaran yang seterusnya sudah menghampiri kelas mereka.

"Malam ni mesti gempak punya! Kau kena join sekali tau, Alifah." ujar Ibrahim sambil menepuk bahu gadis itu.

"Tak sabarnya nak dapat duit banyak-banyak, dapat duit banyak-banyak." kata Khadijah dengan penuh girang dan kedua-dua belah tangannya menggeletar di dalam keseronokan yang bakal menanti. Lalu, mereka semua secara perlahan-lahan kembali ke tempat duduk mereka tatkala guru tersebut sudah berada di hadapan pintu masuk kelas. Sebelum Anwar berlalu pergi, dia sempat memberikan seukir senyuman manis bagi mendorong Alifah yang kelihatan seperti sedang berada di dalam dilemma. Alifah kemudiannya membalas senyuman itu sebelum satu kelas mula berdiri dan memberikan salam hormat kepada guru yang sudah berada di dalam kelas sebelum meneruskan dengan pembelajaran mereka.

Walaupun raut wajah Alifah kelihatan seperti normal dan tiada apa-apa yang serius berlaku namun jauh di dalam akal fikirannya sedang bercelaru dan terlampau banyak perkara yang perlu dia fikirkan. 

       Semasa satu kelas sedang diam dan sunyi tatkala mereka sedang fokus pada papan putih di hadapan mereka, terdapat segelintir pelajar yang masih berbual dan membuatkan bunyi bisikan mereka kedengaran pada gegendang Alifah. Disebabkan mata pelajaran mereka pada waktu itu agak bosan, gadis itu membuat keputusan untuk curi-curi dengar perbualan pelajar-pelajar yang sedang berbisik di belakangnya itu.

"Kau rasa kan, tahun ni ada lagi ke kes pembunuhan tu..?" pelajar A bertanya dengan nada perlahan kepada rakan disebelahnya.

"Kalau tahun lepas dan dua tahun lepas dah pernah ada kes, tak mustahil tahun ni pun ada..." balas rakannya itu dengan nada yang sama. Ia lantas membuatkan Alifah lebih tertarik dengan perbualan mereka lalu dia cuba untuk curi-curi lihat wajah mereka berdua. Dia kemudiannya tidak sengaja menjatuhkan sebatang pen yang tidak digunakannya lalu pen itu berguling di atas lantai sedikit jauh dari tempat duduknya. Alifah buat-buat mengeluh dan kemudian dia bingkas bangun dari tempat duduknya dan berjalan sedikit ke hadapan untuk mengambil semula pen yang dia jatuhkan tadi. Setelah pen itu kembali kepada tuannya, gadis itu lantas menoleh ke belakang dan terlihat dua orang pelajar lelaki yang berbisik dibelakangnya yang masih tidak dikenalinya. Mereka kelihatan seperti sedang fokus pada nota mereka walaupun sebelumnya mereka sedang rancak berbual dengan nada yang perlahan namun belum cukup perlahan. 

Sebaik sahaja gadis itu melabuhkan punggungnya kembali di atas kerusinya, tiba-tiba bayi halimunan itu mula menangis dengan teresak-esak. Alifah mula berasa panik dan mula menggelabah. Zulaika perasan akan karenah rakannya itu dan mula bertanyakan dirinya akan masalah sebenar yang sedang menimpa rakannya itu. 

"Iya Alifah?" guru mereka bertanya tatkala dia melihat gadis itu sedang mengangkat tangannya ke atas.

"Izinkan saya ke tandas..." lalu Alifah membuat seperti dia sedang berada di dalam dilemma seorang gadis-gadis remaja yang sedang mekar. Tangan kirinya mengusap-usap perutnya dan dia memaparkan riak wajah yang sedang berada di dalam kesulitan. Dengan sekilas pandang, gurunya sudah faham akan maksud yang cuba disampaikan lalu dia membenarkan Alifah untuk menguruskan dirinya. Lantas, gadis itu berdiri lalu membuka langkah menuju ke tandas perempuan sambil menggalas beg sekolahnya.

Pada ketika itu, pada telinga orang lain, mereka langsung tidak mendengar apa-apa bunyi bagaikan seseorang yang pekak namun pada Alifah, dia sedang menahan telinganya tatkala bunyi tangisan bayi itu semakin kuat.

'Apalah nak jadi dengan nasib aku ni...huhuhuhu...' sayu kedengaran suara di dalam lubuk hatinya.

***

Kemasukan jurnal ke-7,

Aku masih tak tahu nak buat apa dengan bayi yang aku jumpa ni dan sekarang nak buatkan otak aku lagi serabut, aku mula dengar khabar angin tentang pekan ni.

Ada sesuatu yang tak kena dengan bulan Januari katanya. Lebih tepat lagi, 31 hari bulan. 

Aku ada baca beberapa manuskrip lama Pekan Kurikaeshi tapi aku masih tak pasti tentang khabar angin tu. Mungkin ada sesuatu yang disorokkan daripada aku. Aku kena bagitahu Adriana fasal ni...

Selepas usai menulis di dalam buku jurnal miliknya seperti yang selalu dibuatnya, Alifah lekas bersiap dengan pakaian kostumnya yang dibelikan oleh keluarga Aimar yang berbaik hati memberikan dia dan Adriana peluang untuk menikmati tradisi di dalam pekan tersebut. Pakaian yang dipakainya pada malam 'Tangkapan iblis' itu hanyalah pakaian yang biasa dan tidak terlalu mencolok mata mereka yang memandang. Pada malam itu, dia berpakaian seperti pontianak berkebaya merah manakala Adriana pula berpakaian seperti hantu susu dengan wajahnya yang terlebih bedak sehinggakan wajahnya itu kelihatan seperti piring yang dipenuhi tepung jagung.

"Uwuu, cute lah kau Alifah." ujar Adriana sambil menggigit bibir bawahnya. "Kau still single kan?"

"What the...kau ni cakap elok-elok sikit okay!" 

"HAHAHAHAHA! Rileks lah, aku gurau je." Adriana kemudiannya menghampiri Alifah dan menawarkan diri untuk menyikatkan rambut rakannya itu. Alifah pada mula-mulanya berasa ragu-ragu namun kemudian dia menghela nafas secara perlahan-lahan lalu membiarkan rakannya itu meneruskan dengan agenda tersendiri.

"Kau tahu tak, sejak kebelakangan ni, aku tengok kau nampak macam banyak sangat masalah." Adriana berkata sambil menyikat rambut rakannya dengan sikat yang berwarna hijau kekuning-kuningan. Alifah sedikit tersentak tatkala mendengarkan kata-kata rakannya itu dan tidak mahu melibatkannya ke dalam masalah yang sedang dia alami. "Kalau kau tak kisah, aku nak tau boleh masalah kau?" 

"Aku cuma penat je." dengan pantas Alifah membalas sambil memberikan seukir senyuman kepada Adriana untuk mengukuhkan lagi pernyataannya itu. "Mungkin aku cuma overwork ke..." katanya lagi.

Disebabkan dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang dia dengari, Adriana mula menyikat rambut Alifah dengan lebih kuat sehinggakan seluruh tubuh badan Alifah turut tertarik ke belakang setiap kali Adrianan menyikat rambutnya.

"Amboi! Kau nak sikat rambut ke nak bunuh orang?" Adilah berkata dari pintu masuk bilik mereka dengan berpakaian seperti hantu Cina. Mereka bertiga kemudiannya mula tergelak terbahak-bahak dan Adriana kembali semula tersenyum seperti sebelumnya dan ia membuatkan Alifah akhirnya dapat menghela nafas lega. 

Sebelum mereka semua berangkat ke festival 'Tangkapan Iblis' di tengah pekan, Alifah menyorokkan bayi itu seperti biasa. Dia meletakkan bayi itu di dalam sebuah kotak yang berlubang-lubang pada penutupnya agar bayi itu tidak lemas lalu dia memasukkan kotak itu ke dalam almari bajunya lalu menutup pintu almarinya secara separuh agar udara segar masih dapat masuk kedalam almari tersebut.

'Aku pergi dulu, jangan nakal-nakal pula...' gadis itu berkata dari dalam hati lalu membuka langkah menuju ke luar dimana rakan-rakannya yang lain sedang menunggu.

       Suasana di festival itu sangatlah kecoh dan riuh rendah dengan penduduk-penduduk yang berkunjung ke sana. Gerai-gerai makanan, minuman serta cenderahati dibanjiri dengan para pengunjung yang masing-masing berpakaian kostum hantu. Ada segelintir daripada mereka memakai topeng Kitsune dan ada juga yang memakai topeng Oni. Dari atas ia sudah kelihatan seperti seseorang sedang melihat taman bunga yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis bunga-bunga yang berwarna-warni dan masing-masing mempunyai maksud tersirat.

Senyuman yang terukir pada wajah Alifah langsung tidak pudar tatkala dia dengan rakan-rakannya menghabiskan masa bersama-sama. Mereka melawat dari rumah ke rumah lalu menakutkan tuan rumah yang membuka pintu untuk menyapa para pengunjung. Anwar berpakaian seperti hantu galah manakala Ibrahim pula berpakaian seperti seekor toyol manakala Khadijah pula kelihatan seperti seekor iblis yang terlepas dari neraka dimana pakaiannya itu mencolok mata namun dapat memperdayakan. Zulaika pula hanya berpakaian biasa dan boleh dikatakan antara yang paling normal pakaiannya pada ketika itu. Gadis itu hanya berpakaian seperti seorang rahib dengan membawa sebuah Totebag bersamanya.

"Kalau ada orang cakap yang pakaian aku ni tak ikut tema, aku jawab jelah balik aku tak suka sama pakaian dengan orang lain. Senang cerita." itu apa yang dikatakan oleh Zulaika setiap kali salah seorang daripada mereka bertanya mengenai pakaiannya itu.

Sebanyak 13 rumah telah mereka kunjungi dan setiap satunya tuan rumah sama ada terpengsan ataupun terketawa tatkala melihat gelagat mereka. Setiap rumah yang mereka kunjungi memberikan mereka sejumlah duit yang agak banyak dan mereka kemudiannya mengagih-agihkan hasil tangkapan mereka itu sama rata antara mereka semua. Semakin lama, semakin tebal pula dompet mereka dengan duit-duit yang mereka terima bersempena dengan festival tersebut. Senyuman yang manis, kegembiraan yang dikongsikan bersama serta memori kenangan yang bakal berkekalan memenuhi diri setiap orang pada hari itu. Mereka juga sempat berjumpa dengan Encik Daniel Tomitoka yang juga berpakaian biasa daripada yang lain. Dia sedang mengambil gambar-gambar di festival tersebut untuk memasukkannya ke dalam majalah harian balik di bandar tempat tinggalnya. Sebelum mereka berlalu pergi, Encik Daniel sempat memberikan kepada mereka sejumlah duit yang agak banyak juga. Pada mulanya Anwar dan Ibrahim menolaknya namun Encik Daniel berkeras supaya mereka mengambilnya juga.

"Anggap je sebahagian daripada tradisi festival 'Tangkap Iblis'." ujarnya sambil tersenyum. Anwar dan Ibrahim masih lagi menolak pemberian itu dimana lambat laun ia membuatkan Zulaika mula berasa muak serta bosan. Lantas, gadis itu mengambil duit-duit itu lalu memasukkannya ke dalam Totebag yang dibawanya. Sepatah dua kata terima kasih kemudiannya diberikan kepada Encik Daniel yang masih lagi tersenyum.

"Enjoy your festival day!" Encik Daniel berkata dengan nada yang sedikit kuat lalu meminta diri. Anwar dan Ibrahim pula mula mempersoalkan tindakan rakan mereka yang sebelumnya itu namun Zulaika seperti biasa langsung tidak mengendahkan mereka berdua. Gadis itu kemudiannya mula mengagihkan duit itu kepada bahagian-bahagian yang sama rata antara mereka bertujuh.

"Lepas ni nak pergi mana pulak?" tanya Anwar sambil memperbetulkan kostumnya. Disebabkan dia menjadi hantu galah, jadi pada ketika itu ia kelihatan seperti dia sedang bercakap dengan warga-warga kerdil. Ketinggiannya di dalam kostum itu pada ketika itu adalah 3 meter. 


"Apa kata kita melawat Doktor Kisaragi?" ujar Adilah namun dengan serta merta ia dibantah oleh Ibrahim yang mengatakan bahawa doktor itu hanya akan membuatkan mereka semua mendengarkan kisah-kisah pengalamannya hendak menjadi doktor dan perkara-perkara lain yang membosankan mereka.

"Macam mana kalau kita pergi melawat rumah cikgu Aniza, melawat rumah cikgu Aniza?" kali ini Khadijah pula yang memberikan cadangan namun sekali lagi ia dibantah bulat-bulat oleh Ibrahim yang semakin bertambah cerewet. Selepas itu, mereka hanya menghabiskan masa lebih kurang setengah jam hanya membincangkan mengenai destinasi yang patut mereka tuju seterusnya untuk menikmati hari festival tersebut. Kekadang mereka mula bergaduh sedikit kerana cadangan mereka tidak dipersetujui atau dibiarkan begitu sahaja. Namun, mereka masih juga sempat membuat kenangan-kenangan manis pada masa yang sama. 

       Tatkala penat berjalan, mereka singgah ke sebuah gerai untuk membeli minuman yang sejuk dan menyegarkan. Sewaktu mereka duduk di bangku-bangku yang terletak di sebelah gerai yang mereka kunjungi itu, mereka lantas menikmati minuman mereka dan secara jujur, ia terasa sangat nikmat. Ia terasa seperti mereka telah berjalan di padang pasir selama setahun lalu kemudian mereka akhirnya dapat meneguk air yang sejuk dan menyegarkan. Mereka kemudiannya berbual-bual kosong buat sementara waktu dan bergurau senda sambil menunggu otot-otot kaki mereka kembali bertenaga untuk meneruskan perjalanan mereka untuk menikmati festival 'Tangkapan Iblis' dengan sepenuhnya.

"Weh Zulaika, bapak aku ada kereta Myvi yang baru dia modified." ujar Ibrahim dengan penuh bangga kepada rakan gadisnya yang kelihatan langsung tidak menghiraukannya. Lalu dia meneguk lagi beberapa tegukan daripada airnya yang sejuk itu sebelum membalas kepada Ibrahim.

"Wow, okaylah tu..." dia berkata. "Bapak aku pula ada Diabetes je." Lantas, mereka yang lain tergelak tatkala mendengarkan jawapan Zulaika sehinggakan Adilah tersembur keluar air daripada hidungnya yang membuatkan mereka semua semakin terbahak-bahak. Namun, gelak tawa mereka kemudiannya pudar secara perlahan-lahan apabila orang ramai mula berpusu-pusu menuju ke suatu tempat lain. Wajah mereka mula kelihatan risau dan mereka yang membawa anak-anak pula mula menyuruh anak-anak mereka untuk menjauhkan diri dari tempat itu. Hairan, Anwar serta rakan-rakannya kembali berdiri semula dan mula mengikut para pengunjung yang sedang berpusu-pusu itu.

"Apa yang dah jadi sebenarnya ni?" tanya Adilah dengan penuh kerisauan.

"Kalau aku tahu, takdenya kita duk kejar diorang ni semua!" balas Anwar yang mula berasa sedikit bengang apabila dia sukar untuk bergerak dengan laju di dalam kostumnya itu. Apabila mereka semua akhirnya tiba di destinasi, Anwar merupakan orang pertama yang dapat melihat apa yang telah berlaku kerana ketinggiannya itu. Ketakutan mula terserlah pada wajahnya dan secara perlahan-lahan, dia mengundurkan diri. Terdapat juga sekumpulan pegawai polis yang turut berada di situ dan menghalang para pengunjung daripada mendekati kawasan kejadian.

"Ada apa Anwar?!" Ibrahim bertanya dengan nada yang risau namun rakannya itu seakan-akan telah menjadi tugu tatkala dia terdiam seribu bahasa dan langsung tidak bergerak. Pada ketika itu, orang ramai yang berada di situ mula berbisik antara satu sama lain dan mula membuat spekulasi yang membuatkan remaja-remaja tersebut menjadi lebih risau serta takut. 

"Apa jadi kalau tahun ni pun kita belum terlepas dari sumpahan Kurikaeshi?!" Khadijah mula hilang kawalan dan menjadi semakin paranoid lalu dia mengambil langkah seribu menjauhi tempat itu. Adilah dengan tangkas mengejar adiknya itu sambil menjerit-jerit namanya walaupun adiknya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi untuk berhenti. Adriana yang juga mula ketakutan, memegang tangan Alifah sebagai sokongan manakala Zulaika pula cuba untuk melihat dengan lebih jelas. Disebabkan kekecohan mula berlaku, para pegawai polis yang berada di lapangan tersebut mula menyuruh para pengunjung untuk bersurai dan terus pulang ke rumah  masing-masing tanpa melencong ke tempat lain.

Tatkala orang ramai secara perlahan-lahan mula bersurai, akhirnya Alifah serta rakan-rakannya dapat juga melihat apa yang sebenarnya telah terjadi di situ. Apabila mereka melihatnya, Adriana lantas menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan. Ibrahim pula mula berasa tidak senang duduk dan dadanya kelihatan mengembang dan mengempis dengan kadar yang laju tatkala dia mula berasa panik. Zulaika yang berada jauh sedikit dari mereka juga kelihatan risau dan gemuruh. Anwar masih lagi dibelakang dan masih bertindak seperti tugu yang tidak bernyawa. Panik serta ketakutan dilihat dengan jelas pada wajahnya.

Dan sampai pula pada Alifah yang juga turut berada di dalam ketakutan. Dihadapan mereka, kelihatan satu tubuh kaku yang dilumuri dengan darah yang banyak. Usus-usus dalamannya terkeluar daripada tubuhnya manakala kepalanya terputus dan terletak beberapa meter jauh dari badannya. Pada mulanya mereka tidak mengenali orang itu, mangsa itu, namun apabila dilihat dengan lebih teliti, akhirnya mereka perasan bahawa orang yang sedang kaku terbaring di hadapan mereka itu adalah Encik Daniel Tomitoka.

Atau sisa-sisa yang tinggal pada Encik Daniel Tomitoka.

"Apa yang korang semua buat dekat sini?" salah seorang pegawai polis yang kelihatan seperti berpangkat lebih tinggi daripada yang lain bertanya kepada mereka semua. Dia menghampiri remaja-remaja yang ketakutan itu sambil menyalakan rokok paipnya. Apabila dia sudah berada betul-betul dihadapan mereka, dia menghisap asap rokok paipnya secara dalam-dalam lalu menghembus asap tembakau itu pada wajah mereka.

"Maaf, tetapi tempat ni out of order buat sementara waktu..." katanya dengan nada yang sediki menakutkan. Sekali lagi dia menghisap asap tembakau itu lalu menghembus satu kepulan asap tebal tepat pada wajah mereka pada kali ini. "Itu bermaksud, korang boleh bersurai..."

"Ma...maaa...maaf Inspektor Rahman." Ibrahim berkata dan pertama kali dia mula tergagap-gagap. Pada ketika itu, perwatakan budak lelaki itu dengan serta merta berubah dari seorang yang aktif dan sentiasa kelihatan cool kepada seekor kucing penakut.

Inspektor tersebut, yang bernama Rahman Ryosuke, kemudiannya menghalau mereka semua dan menyuruh salah seorang daripada pegawai polis yang tidak terlalu sibuk untuk mengiringi mereka ke tempat yang selamat. Tanpa banyak soal, pegawai polis itu mengiringi remaja-remaja itu pergi dari tempat jenayah tersebut. 

     Jauh di dalam akal fikiran Alifah, dia sedang memikirkan tentang kemasukkan jurnalnya yang baharu yang bakal dia tulis sebaik sahaja dia pulang ke kediaman keluarga Aimar. Dalam masa yang sama, Adriana masih lagi berpaut pada rakannya sama seperti seekor Koala berpaut pada sepohon pokok Oak. Anwar yang masih mendiamkan diri dari tadi serta Ibrahim yang juga mula paranoid, tidak sangka hari sambutan festival 'Tangkapan Iblis' mereka pada hari itu bakal berakhir dengan mimpi ngeri yang betul-betul datang daripada seekor Iblis.

Januari, 10, 2014

Siapa sangka, sejak aku berpindah ke pekan ni, banyak benda pelik mula menghantui diri aku. 

Aku rasa, lambat laun mungkin aku perlukan ahli psikiatri  aku semula untuk pastikan aku tak kena serangan psychosis sekali lagi...

Dan dengan ayat terakhir itu, dia menutup buku jurnal miliknya lalu membasuh muka sebelum masuk tidur. Bayi halimunan itu pula, dia telah menguruskannya sejam yang lalu. Hanya menunggu masa sehingga bayi itu terbangun dari tidurnya tatkala perut kosong. Alifah menoleh ke sebelah kiri dimana dia melihat Adriana sedang tidur dengan kurang selesa tatkala seluruh tubuhnya ditutupi dengan selimut yang agak tebal. Ketakutan gadis itu sehingga terbawa-bawa di dalam mimpinya apabila tubuh Adriana kerap tersentak secara tiba-tiba.

Kini, Alifah mula berasa lebih risau dan takut dengan apa yang sedang atau bakal terjadi di dalam pekan itu yang masih tidak diketahuinya. Dia kemudiannya mengambil nafas secara dalam-dalam lalu menghembusnya secara perlahan-lahan sambil matanya juga mula layu. Dan untuk kata-kata terakhir, gadis itu akhirnya terlelap dengan mulut yang terbuka sedikit.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro