Bab 18
January, 10, 1997,
Tepat pukul 11:59 aku tulis kemasukan harini. Rasa seronok tadi dekat festival.
Melawat banyak tempat, gerai-gerai dan sebagainya. Tempayaki, nasi goyang, banyak lagi kitaorang makan. Mulut tak berhenti-henti mengunyah. Tadi ada wayang kulit sikit kitaorang semua tengok, minum variasi air manis mungkin dalam lima tahun lagi kitaorang mungkin dapat diabetes. Hehehehehehe...
Kepala aku rasa pening sikit tadi, mungkin ada kaitan dengan mimpi yang pelik tu. Zulaika ada suruh aku jumpa dia esok dekat rumah dia, katanya urgent. Ohhh, aku baru tahu juga, mak Anwar hilang tapi Anwar suruh kitaorang semua jangan kesiankan dia. Dia kata nak jadi kuat dan minta kitaorang semua tolong dia tampal poster-poster mak dia hilang dua hari dari sekarang.
Ohhh, tambahan, aku tak tahu dekat mana bayi halimunan tu pergi...
Nanti kejap, bayi halimunan apa, siapa...???
Kemudian, tangan Alifah sedikit menggeletar dan dia tersentak seketika. Dinding di hadapan meja belajarnya ditenung lama manakala otaknya mula memproses. Dia rasa seperti dia sudah melupakan sesuatu yang penting tetapi tidak kiralah berapa lama dia mencari dan memunggah kenangan-kenangan di dalam kepala otaknya, dia masih tidak berjaya menemukan jawapan yang sahih. Penat dia berfikir sehingga terasa seperti hendak meletup sahaja otaknya namun hasilnya masih tidak berbuah.
Manakala terlentang dengan lena sekali sehingga air liur basi mengalir keluar, Adriana tidur di atas katilnya bersebelahan dengan Alifah. Kekadang dia terbatuk di dalam tidurnya yang mana Alifah cepat-cepat menepuk dadanya rakannya itu secara perlahan-lahan. Sekejap dia memandang ke wajah Adriana dan kemudian dia berbalik semula pada kemasukan jurnal yang dia tulis sebentar tadi lalu paradoks berulang-ulang buat beberapa minit sehinggalah Alifah sudah berasa penat dan matanya sudah layu. Lalu, buku jurnalnya ditutup dan dimasukkan ke dalam laci bawah meja dan lampu belajarnya ditutup sebelum dia berdiri dari kerusinya dan berangkat ke katil. Selepas berbaring di atas katilnya yang empuk, Alifah sempat lagi berfikir mengenai bayi halimunan yang ditulisnya tadi namun seperti beberapa minit terdahulu, dia langsung tidak menemukan sebarang jawapan dan kali ini mungkin berbeza sedikit kerana dia berfikir mengenainya sehingga tertidur.
Beberapa jam kemudiannya berlalu tetapi bagi Alifah, ia terasa seperti baharu sahaja 10 minit dia melelapkan diri. Tatkala ayam berkokok dan jam loceng mula berbunyi dengan penuh menjengkelkan, Alifah terbangun terima kasih kepada bunyi-bunyi bising di dalam biliknya itu. Tambahan juga, rakannya yang seorang iaitu Adilah dengan penuh semangatnya mengetuk periuk yang sudah berkerak dengan sebatang sudip kayu, lantas menghasilkan bunyi yang tidak menyenangkan. Alifah lantas menggeliat di atas katilnya manakala Adriana berguling-guling di atas katilnya lalu terjatuh di atas lantai dengan dirinya kini sudah terperangkap di dalam selimut.
"Oi! Bangun! Bangun!" Dengan lantang Adilah berkata. "Bangun! Kalau tak, nanti kita lambat pergi sekolah!"
Selepas kekecohan itu mengejutkan semua orang, dan selepas bersiap-siap dengan pakaian seragam sekolah yang kemas, Alifah dan Adriana lantas bergerak ke dapur dan menjalankan tugas mereka sebagai pembantu di dalam kediaman keluarga Aimar. Dengan penuh cekap, Alifah membuat roti bakar dimana setiap barang-barang yang dia gunakan seperti jem roti, pisau mentega dan lain-lain tersusun sahaja di atas kaunter dapur manakala Adriana pula memasak sarapan yang lain seperti telur mata, kacang panggang serta dia membakar beberapa batang asparagus sehingga garing. Sementara menunggu rakannya selesai memasak, Alifah pula menyibukkan diri dengan menyiapkan meja makan. Itu juga selepas dia menyusun pinggan-pinggan yang mempunyai sekeping roti bakar yang disapu jem strawberri dan juga sedikit mentega di atas setiap pinggan supaya memudahkan Adriana untuk meletakkan sahaja juadah yang sudah siap dimasak di atas pinggan yang sama. Sambil dia menyiapkan meja makan, dia ditegur oleh tuan dan puan Aimar yang mana tadi dia sempat mendengar mereka berdua seperti biasa tertukar nama anak-anak gadis mereka. Adilah menjadi Khadijah dan begitu juga sebaliknya.
"Akak tengah bersiap, tengah bersiap." Kata Khadijah yang sudah turun dari biliknya di lantai atas. "Kesian dengan dia, asyik-asyik tertukar nama kitaorang berdua, nama kitaorang berdua." Tambahnya lagi lalu Alifah dan Khadijah tergelak terkekek-kekek. Selepas beberapa minit, semua orang di dalam rumah itu akhirnya sudah berada di meja makan yang panjang di ruangan makan. Dihadapan setiap seorang, terbentangnya juadah sarapan mereka yang masih panas dan sudah semestinya menyelerakan.
"Kalau macam ni korang berdua masak," Adilah berkata walaupun mulutnya sedikit penuh. "-hari-hari aku takkan terlepas waktu makan." Kata gadis itu dan selepas itu dia menggigit telur matanya sehingga kuning telur ditengah-tengah pecah lalu perlahan-lahan mengalir jatuh ke atas pinggannya.
"Dah kau kata macam tu, mesti dalam jangka masa empat minggu je, kau jadi gemuk macam Diabeto!" Komen Adriana lalu semua orang di meja makan tergelak terbahak-bahak manakala Adilah pula menundukkan kepalanya kerana malu. Wajahnya juga sedikit membera dan serta merta dia berhenti makan.
***
Sementara menunggu rakan-rakan mereka yang lain tiba di kelas, Anwar dan Ibrahim berbual sedikit mengenai aktiviti mereka menampal poster-poster nanti di lain hari. Anwar memberitahu kepada rakannya yang dia sudah siap mencetak hampir 500 keping poster dan 100 keping lagi menunggu di belakang. Mereka berbual dan terus berbual lalu beberapa jenis topik-topik saling bersilih ganti. Selepas satu topik perbualan tamat, topik baharu dibuka dan perbualan diteruskan. Manakala Zulaika duduk di belakang mereka sambil membaca senaskah buku yang ditulis oleh Ransom Riggs.
"Weh," Ibrahim mencelah semasa Anwar sedang sibuk bercakap mengenai kerja rumah mereka yang sudah bertimbun yang diberi oleh guru yang tidak mengesahkan keadaan mereka. "-apa pendapat kau kalau kita berdua mula buat komik?" Tanya budak lelaki itu kepada rakannya yang mana Zulaika yang elok-elok sedang khusyuk dengan bahan bacaannya turut tertarik dengan persoalan itu lalu dengan spontan menutupnya.
"Aku boleh lah melukis sikit. Tapi, kalau kompleks sangat aku taknak lah." Balas Anwar. Selepas mendengar jawapan rakannya itu, sebatang pensil lantas dikeluarkan oleh Ibrahim dari kotak pensilnya lalu dia mula menulis draft untuk cerita komik mereka. Zulaika pula lantas berdiri dari tempat duduknya lalu dia menarik kerusinya dan kemudian meletakkannya bersebelahan meja Ibrahim kerana dia juga ingin terlibat sama dengan perbualan mereka itu.
"Korang nak buat komik fasal apa?" Zulaika bertanya kepada mereka. "Kalau aku nak join boleh?"
"Ikut ahhh. Aku okay je." Balas Anwar lalu dia berjabat tangan dengan Zulaika tanda bersetuju manakala Ibrahim pula sudah jauh tenggelam ke dalam dunianya sendiri sehingga dia tidak mendengar apa yang dikatakan oleh mereka berdua.
"Kau rasa genre apa okay?" Tanya Anwar kepada Zulaika yang menyambung semula membaca bukunya tadi.
"Aku rasa orang ramai tertarik dengan genre yang tak berat. Mungkin kalau genre cinta atau adventure tu semua boleh diterima. Maklumlah, dua aspek tu je penting sekarang ni."
"Hummm, kalau macam tu aku gabungkan dua-dua genre tu jelah." Ujar budak lelaki itu lalu dia mula melukis draft di atas buku latihan bahasa inggeris. Ibrahim pula masih lagi asyik dengan bahan penulisannya manakala Zulaika bersembunyi di sebalik buku bacaannya. Gadis itu sendiri tidak tahu sudah berapa kali dia mendengar kedua-dua rakannya itu berbincang mengenai komik mereka tetapi langsung tidak kesampaian hasrat mereka kerana sama ada mereka kemudiannya mati ataupun menjadi gila. Lantaran itu, kali ini dia bercadang untuk turut sama dengan mereka berdua dan akan cuba sehabis baik untuk menjadikan hasrat mereka sebuah realiti walaupun tidak seberapa.
"1023465873124791307.2784010 kali, tak kisah berapa banyak loop aku tempuh, kali ni aku akan pastikan semua orang gembira." Dengan suara yang serak, Zulaika berkata disebalik buku itu.
"Hah!?" Ibrahim yang tadinya berkhayal akhirnya sudah kembali semula seperti Buzz Aldrin akhirnya pulang semula ke bumi selepas ekspedisi ke bulan. "Apa kau cakap tadi?" Lama Zulaika mendiamkan diri dan ia mula membuatkan budak lelaki itu risau. Baharu sahaja dia hendak melihat wajah Zulaika disebalik buku itu, tiba-tiba pintu kelas ditendang dan Adilah bersama-sama yang lain menerjah masuk dengan penuh 'bergaya' katakan.
"Hello world! I'm here!" Teriak Adilah dengan lantangnya sehingga beberapa orang murid lain berasa menyampah dengannya. Dalam masa yang sama juga, Zulaika meletakkan bukunya di atas meja Ibrahim lalu budak lelaki itu melihata wajah Zulaika dan dia berasa lega kerana gadis itu hanya tersenyum seperti biasa. Walaupun sebenarnya dia tidak tahu yang Zulaika sedang cuba bersembunyi disebalik senyuman palsu itu yang terasa seperti hendak kebas sahaja wajahnya.
Dan kemudian, sesi pembelajaran bermula dengan subjek yang paling membosankan pernah ada iaitu Matematik. Segelintir pelajar sahaja yang fokus semasa itu manakala yang lain sudah ucapkan 'selamat tinggal' pada kelas dan 'Hello' kepada dunia mimpi. Alifah tidak termasuk di dalam mana-mana kategori kerana dia menggunakan waktu Matematik itu untuk menyiapkan kerja sekolah yang lain, Adriana tertidur, sudah lama K.O manakala Adilah fokus sekejap sahaja pada pembelajaran mereka lalu bosan dan mula bermain dengan jari-jarinya. Khadijah dan Zulaika pula sebagai pelajar misali, fokus pada subjek di dalam kelas pada ketika itu sambil membuat nota manakala Anwar dan Ibrahim berborak mengenai komik mereka yang sedang berada di dalam pembuatan.
"Tak kisah berapa banyak loop aku singgah, diorang semua tak pernah berubah..." Keluh Zulaika sambil mencuri-curi pandang ke arah semua rakan-rakannya lalu dia fokus kembali menyalin nota.
***
Loceng sekolah akhirnya berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan. Waktu yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba dan ramai orang tidak dapat lagi menahan perasaan teruja mereka untuk meninggalkan premis sekolah. Itu termasuk juga dengan Alifah dan rakan-rakannya. Mereka berjalan bersama-sama dengan pelajar-pelajar lain menuju ke pintu pagar sekolah lalu mereka berpecah ke beberapa kumpulan yang berbeza dan masing-masing mengikut agenda-agenda mereka. Ibrahim dan Anwar berangkat menuju ke perpustakaan pekan Kurikaeshi untuk mendapatkan lagi bahan-bahan untuk komik mereka, Adilah, Adriana dan Khadijah pula berangkat menuju ke taman bunga terbiar di hujung pekan kerana sudah menjadi hobi adiknya untuk memetik bunga disana pada setiap hari manakala Adriana pula tiba-tiba berminat untuk membuat senaskah Junk Journal dan kebetulan bahan pertama yang dia perlukan adalah bunga-bunga. Dan akhir sekali, Zulaika bersama-sama Alifah berangkat menuju ke rumahnya untuk berbincang mengenai suatu perkara yang mustahak.
Setibanya mereka di kediaman keluarga Zuhur, Zulaika menyuruh Alifah terus masuk ke dalam bilik belajarnya manakala dia meminta diri untuk menyiapkan air panas serta sedikit snek untuk mengunyah sambil-sambil mereka berbincang nanti.
Sebaik sahaja Alifah membuka pintu bilik belajar itu, dia disambut dengan bau helaian buku-buku lama. Entah kenapa tetapi bau itu membuatkan pemikiran Alifah berasa tenang sahaja. Dia kemudiannya lantas mengambil tempat duduk di sebuah meja bulat besar ditengah-tengah bilik belajar itu. Kekadang sambil menunggu Zulaika tiba, Alifah berjalan di dalam bilik belajar itu. Buku-buku lama dilihatnya dengan penuh asyik sambil dia berjalan. Lalu, selepas lama menunggu, akhirnya Zulaika tiba dengan sedikit kejutan. Dulang air diletakkan terlebih dahulu sebelum dia menutup pula pintu bilik belajarnya. Kemudian, Zulaika berjalan menghampiri sebuah rak yang sedikit kurang buku-buku di dalamnya berbanding rak-rak yang lain lalu Alifah melihat rakannya menggeledah rak itu sebelum dia kemudiannya mengeluarkan sebuah kotak yang bersaiz sederhana.
"Kotak apa tu?" Alifah bertanya manakala Zulaika pula mengambil tempat duduk bersebelahan dengannya.
"Kau akan tahu nanti." Balas Zulaika lalu dia membuka penutup kotak itu. Mereka berdua kemudiannya melihat isi di dalam kotak itu dan Alifah kemudiannya lantas terkejut.
"Aku ingat benda ni!" Kata gadis itu dengan penuh teruja. Lantas, dia memegang barang itu kemudian mengeluarkannya dari kotak. Alifah melihat barang itu dengan penuh teruja sehingga kedua-dua anak matanya terbeliak. Kemudian, dia memeluk barang itu yang ternyata gebu dan lembut mengalahkan bantal di atas katilnya. "Aku ingat benda ni ada dalam mimpi aku je. Macam mana kau tahu ni milik aku dulu? Aku rasa aku pernah beli patung ni dulu sebab aku cakap patung ni sama macam patung aku simpan masa aku dekat St Ackerman."
"Bukan mimpi, tapi loop." Ujar Zulaika. Alifah pula kemudiannya berasa keliru dengan apa yang dikatakan oleh rakannya itu. "Aku rasa aku tahu kenapa kau boleh lupa dengan banyak benda. Kepala kau, macam yang kau tak tahu, pernah kena potong dan mungkin tu penyebab kau dapat amnesia walaupun sebenarnya tak berapa logik tapi..." Zulaika berhenti sebentar untuk menyalakan paip kiserunya dan selepas itu dia menyambung semula. "-banyak benda yang dah jadi dekat kita berdua dan aku rasa istilah logik tu lebih kepada underrated sekarang." Katanya lalu dia menghisap asap tembakau di dalam paipnya itu dalam-dalam dan kemudian menghembus keluar kepulan asap tebal dari mulutnya.
"Kiranya, masa dalam gelongsor tu, bukan mimpi ke?" Sekali lagi Alifah bertanya dan kini kepalanya makin sakit memikirkan perkara-perkara yang selama ini dia terlepas pandang. Patung itu pula dipeluk dengan erat sebagai penenang fikirannya manakala Zulaika menuang air di dalam cawan lalu dia memberikan cawan yang sudah berisi itu kepada Alifah.
"Aku pun tak berapa faham dengan konsep ni semua tapi apa yang aku pasti, kita dah makin dekat dengan pintu kebebasan kita dari loop-loop ni semua." Kata Zulaika dengan penuh yakin lalu dia menggenggam tangan Alifah. Dia memberikan seukir senyuman manis kepada rakannya itu supaya tidak lagi berasa takut dan risau. Alifah, yang kini sedang berada di dalam suatu krisi, tidak mempunyai pilihan lain melainkan mempercayai rakannya itu. Lalu, Alifah membalas senyuman itu dengan menganggukkan kepalanya sebagai tanda dia bersetuju. "Kalau macam tu, nah." Zulaika kemudiannya menyerahkan enam keping kertas kepada Alifah yang berisi dengan bintik-bintik yang tersusun dimana setiap bintik disebelahya dilabelkan dengan satu abjad. "Bagi dekat yang lain. Sorang satu tau." Arah gadis itu kepada rakannya dan kemudian, perbincangan mereka yang sebenar bermula.
Selepas beberapa jam berbincang dan membuat sedikit ulangan semula, Alifah akhirnya mendapat jawapan yang sahih mengenai apa yang sedang berlaku. Selepas tamatnya perbincangan itu, memori-memori lama yang terhasil dari loop-loop yang berbeza mula membanjiri akal fikirannya. Dia mula teringat akan apa yang pernah terjadi sebelum-sebelum ini. Dia masih dapat merasakan tajamnya tangan jarum si gadis jarum yang memotong kepalanya dengan bersih. Dia masih dapat merasakan dirinya sedang memeluk si bayi halimunan tatkala dirinya sedang terbakar dari dalam dan dari banyak-banyak memori yang dia teringat, salah satu yang membuatkan dia betul-betul tersipu malu adalah apabila Anwar menangkap dirinya daripada terjatuh. Dia masih dapat merasakan tangan Anwar yang sedikit kasar merangkul tubuhnya. Memori itu cukup membuatkan Alifah membera dan apabila Zulaika melihat gelagat rakannya itu, dia menjadi tidak terkata.
***
January, 15, 1997,
Aku dah ingat semuanya!
Sekarang, kitaorang dah makin bersedia. Apa yang pernah terjadi selamani takkan berulang lagi kitaorang yakin!
Aku dah bagi dekat yang lain dah kertas yang Zulaika suruh bagi tu. Rupa-rupanya, itu kertas yang bertulis dengan kod-kod Morse. Atau itu apa yang Ibrahim terangkan dekat aku masa aku melawat ke rumah dia nak hantar kertas tu. Ohhh aku lupa, mak tiri Ibrahim tu Pedo...Seram pula, kesian Ibrahim.
Sekarang, apa yang aku dan Zulaika perlu buat adalah kitaorang kena cari si bayi halimunan lepas tu kitaorang kena kembalikan bayi tu dekat waris yang terdekat. Mungkin sikit terkejut tapi yeah, bayi halimunan tu adik kepada Anwar. Dan wanita yang aku selalu jumpa dekat semak tu dalam loop-loop yang lain, rupa-rupanya mak Anwar, Natalia Natsuzaki...
Dan yeah, si doktor tak bernama (aku tak boleh sebut), kitaorang kena elakkan daripada terkena tempias sumpahan setiap kali kitaorang sebut fasal atau tulis fasal dia yang dia letakkan supaya orang tak pernah dapat jumpa dia tu siapa...
Mungkin sebab tu kot banyak malapetaka terjadi masa-masa sebelum ni...
Selepas habis menulis kemasukan baharu di dalam jurnalnya, Alifah lantas bersiap-siap. Dia menghembus nafas lega kerana dia teringat yang hari itu dia dan yang lain hendak meluangkan masa di kafe pekan Kurikaeshi. Satu-satunya kafe yang wujud di dalam pekan itu. Sebaik sahaja dia membuka pintu bilik yang dia berkongsi dengan Adriana, tubuhnya lantas dipeluk oleh Khadijah. Rupa-rupanya, mereka yang lain sudah lama menunggu untuk dia bersiap-siap sehingga Adilah berasa bosan menunggu.
"Lambatlah kau ni!" Adilah memarahi rakannya yang seorang itu lalu dia menarik telinganya. "Sebagai denda, kau kena belanja aku secawan Capucino." Ujar rakannya manakala Alifah pula mengeluh sedikit sambil melihat jumlah duit di dalam dompetnya yang kelihatan sedikit nipis berbanding yang lain. Secara senyap-senyap, Adriana menyerahkan dua keping RM 20 kepada Alifah yang membuatkan Alifah terkejut yang teramat.
"Takpe, ambil je. Aku ikhlas tolong kawan aku. BFFFFFE aku!" Kata Adriana lalu dia memeluk Alifah tetapi sekejap sahaja kerana takut mereka tertangkap oleh Adilah. Dan dengan itu, konklusinya, mereka berempat kemudiannya berjalan meninggalkan kediaman keluarga Aimar menuju ke kafe tersebut dimana sementara mereka sedang berjalan sambil bermain sedikit trivia, Anwar dan dua orang lagi rakan mereka sedang menunggu sambil menghirup bancuhan kopi yang mereka pesan serta meja mereka pula dipenuhi dengan beberapa keping kertas yang sudah dilukis di dalamnya. Di luar kafe itu pula, kelihatan Encik Daniel sedang menggaru-garu lehernya sehingga berdarah.
Setibanya Alifah dan yang lain di kafe itu, mereka diceramah terlebih dahulu oleh Ibrahim mengenai masa dan cara untuk menghargainya. Mereka berempat lantas mengeluh sambil mendengar rakan mereka itu menasihati mereka seperti seorang nenek menasihati cucu-cucunya yang masih budak-budak hingusan.
"Sekurang-kurangnya, diaorang tak buat janji macam Israel." Kata Anwar untuk mempertahankan mereka yang lain. Lantas, Adilah menepuk bahu Anwar sebagai tanda bersetuju dengannya sambil tersenyum dengan lebar. Yang lain pula lantas tergelak melainkan Ibrahim seorang yang bermasam muka. Selepas itu, seorang pelayan perempuan hadir ke meja mereka untuk mengambil pesanan. Anwar menjangkakan Adilah yang bakal memesan yang paling banyak namun alangkah terkejutnya dia tatkala Adilah hanya memesan secawan Capucino manakala jangkaannya itu pula terserlah pada Adriana yang memesan semangkuk sup cendawan, secawan Latte, secawan Americano, semangkuk salad Caesar serta dua potong sandwich tuna dan telur.
"Apa!?" Adriana bertanya tatkala mereka yang lain melihat ke arahnya sebaik sahaja pelayan itu berlalu pergi.
"Korang semua dah hafal kan kod Morse dalam kertas aku bagi haritu?" Zulaika mencelah lalu mereka yang lain sekali gus menganggukkan kepala kecuali Khadijah seorang yang mengatakan dia mempunyai sedikit komplikasi dengan kod-kod tersebut. Lalu, Anwar meminta untuk bertukar tempat dengan Adriana untuk duduk di sebelah Khadijah untuk menolong dia dengan kod-kod tersebut. Lantaran itu, Ibrahim mula panjang akal dan berfikir mungkin ia merupakan peluang untuk menarikkan lagi keadaan.
"Weh Anwar," Kata Ibrahim tatkala pelayan tadi kembali dengan pesanan mereka semua. "-jangan rapat sangat, nanti Adilah cemburu!" Dia berkata dihadapan mereka semua dan dihadapan pelayan itu juga yang kemudiannya tersenyum sedikit melihat karenah mereka dan mungkin dia juga mula teringatkan kenangan dia semasa menjadi remaja suatu kala dahulu. Dengan spontan, Adilah menggelabah dan hilang perwatakkannya sebentar. Zulaika dan Ibrahim melihat gelagat rakan mereka itu sambil tertawa manakala Alifah cuba membantu menenangkan Adilah kembali yang mana wajahnya sudah menjadi merah seakan-akan sebiji cili padi. Anwar kemudiannya menyuruh mereka untuk berehat secukupnya kerana kemudian mereka perlu menolong dia menampal poster-poster maknya yang hilang.
Keadaan di meja mereka kemudiannya menjadi riuh dengan mulut-mulut mereka yang tidak berhenti-henti bercakap. Berkemungkinan, meja mereka sahaja yang paling bising di dalam kafe itu yang membuatkan beberapa orang pelayan tergelak sedikit melihat gelagat mereka yang ceria-ceria belaka. Ada kalanya mereka bercakap mengenai komik Anwar dan Ibrahim dan mereka membuat lawak-lawak bodoh, watak-watak pelik serta plot-plot yang mengarut sehinggalah mereka tersedak kopi yang mereka hirup. Lalu, selepas penat berbual, mereka beralih kepada cabaran pula. Mereka saling mencabar antara satu sama lain dengan pelbagai jenis cabaran-cabaran yang agak memalukan tetapi tidak melebihi batas dan sudah semestinya, akan menjadi akar kepada kenangan mereka yang paling manis suatu hari nanti ketika mereka sudah dewasa dan berkeluarga.
Tetapi, gelak tawa mereka kemudiannya mati ditengah-tengah jalan. Gelak tawa dan suasana aesthetic di dalam kafe itu digantikan dengan bunyi-bunyi jeritan orang ramai dari luar. Para pelanggan di dalam kafe mula berasa sedikit takut dan risau lalu para pelayan mula menyuruh mereka semua untuk meninggalkana kafe itu mengikut pintu belakang. Alifah dan rakan-rakannya juga tidak terkecuali. Tetapi, sebaik sahaja mereka berdiri dan hendak meninggalkan tempat duduk mereka, seorang penduduk pekan itu dicampak ke dalam kafe itu melalui tingkap kaca. Mereka semua lantas terkejut dan yang lain mula menggelabah dan saling tolak menolak untuk keluar dari kafe tersebut. Penduduk yang dicampak tadi sudah kaku di atas lantai kafe sambil lehernya mengalirkan darah tatkala serpihan kaca tertusuk padanya. Baharu sahaja Alifah dan rakan-rakannya hendak keluar, pintu masuk kafe itu ditendang sehingga ia terbuka. Lalu, beberapa das tembakan dilepaskan secara rawak. Beberapa orang pelayan dan beberapa orang pelanggan ditembak tanpa belas kasihan manakala Anwar dan Ibrahim menolak rakan-rakan perempuan mereka masuk ke bawah meja mereka tadi sebagi penghadang peluru.
Nilai murni mereka membantu rakan-rakan mereka yang tidak berdaya itu dibalas dengan dua das lagi tembakan yang ditembak daripada tidak lain dan tidak bukan Encik Daniel Tomitoka. Kaki Anwar tercedera lantaran itu manakala Ibrahim ditembak pada perutnya. Kedua-dua budak lelaki itu secara perlahan-lahan jatuh tersungkur tetapi tubuh mereka sempat disambut oleh dua orang rakan perempuan mereka. Adilah menyambut tubuh Ibrahim manakala Alifah menyambut tubuh Anwar.
"JANGAN TUNJUK DIRI KORANG TU HERO LAH! KORANG SEMUA IBLIS!" Tengking Encik Daniel sambil menggaru lehernya yang berdarah-darah. Encik Daniel pada ketika itu kelihatan seperti sedang sengsara yang teramat. Lehernya berdarah-darah manakala urat-urat saraf tertimbul pada wajahnya dimana matanya juga mengalirkan darah. Bibirnya digigit sehingga terkoyak dan kepalanya dipukul berulang-ulang kali.
"Apa yang jadi dekat dia?" Adriana berbisik kepada Zulaika si serba tahu. Tetapi di dalam situasi mereka pada ketika itu, Zulaika memohon maaf kerana dirinya langsung tidak dapat mengemukakan sebarang jawapan kerana ia juga merupakan kali pertama dia melihat perkara sedemikian. Tetapi, ia tidak mematahkan semangat dia untuk menyelamatkan mereka semua. Dan untuk mereka semua selamat, mereka semua perlu berkerjasama menjatuhkan pemuda yang buas itu.
"Okay, kita kena serang balas kalau nak selamat. Aku tanya korang, korang sedia atau tak?" Zulaika bertanya kepada yang lain sementara Encik Daniel mengisi peluru pistolnya. "Anwar dan Ibrahim sanggup gadaikan nyawa diorang untuk kita. Kita pula macam mana?" Katanya lalu dia mengambil garfu yang terlentang di atas lantai kafe sebagai senjata pilihan. Tidak terlalu merbahaya tetapi cukup untuk melumpuhkan musuh. Yang lain pula, mereka terdiam seribu bahasa dan langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi lalu Zulaika meludah dihadapan mereka kerana berasa sedikit jijik sebelum dia berlari meninggalkan bawah meja meluru ke arah pemuda itu. Pemuda itu cuba mengelak tetapi kakinya tergelincir kerana terpijak lopak darah di bawahnya lalu ia memberikan peluang kepada Zulaika. Lantas, garfu itu dicucuk pada tubuh Encik Daniel berulang-ulang kali. Pemuda itu pula cuba untuk menampar tetapi telapak tangannya juga sempat dicucuk oleh Zulaika sebelum gadis itu mengundurkan diri sebentar untuk menstabilkan kembali pernafasannya.
"CELAKA! MATI KAU!" Teriak Encik Daniel lalu muncung pistol dihalakan ke arah Zulaika. Lekas, dia menarik picu pistol itu tetapi nasib baik Adriana sempat menolak Zulaika daripada terkena das tembakan itu. Kedua-dua gadis itu kemudiannya terjatuh dan mereka bergelut sebentar untuk berdiri semula manakala Encik Daniel tersenyum dengan sinis kerana ia merupakan peluang yang terbaik untuk menyerang. Sebaik sahaja dia menghalakan muncung pistol ke arah dua gadis itu yang masih bergelut untuk berdiri, Khadijah menyerang secara tiba-tiba. Dan mungkin, serangan ini cukup untuk memberhentikan pemuda itu. Gadis itu berlari di titik buta pemuda itu dan spontan, dia menusuk bahagian peribadi pemuda itu dengan serpihan kaca yang dia ambil di atas lantai sebentar tadi. Sekali gus, pemuda itu menjerit dengan kuat sekali. Satu jeritan yang penuh dengan kesengsaraan dikeluarkan dari mulutnya sambil dia memegang bahagian peribadinya yang sudah basah dengan darah. Dia dapat merasakan serpihan kaca itu menembusi daging pada bahagian itu dan dia berasa ragu-ragu untuk menariknya keluar.
"Berhenti!" Kata Inspektor Rahman Ryosuke sambil menghalakan muncung pistolnya dibelakang kepala pemuda itu setibanya dia dan beberapa lagi orang pegawai keselamatan di kafe itu. "Letakkan senjata anda secara perlahan-lahan. Buat sekarang atau saya akan gunakan kekerasan!" Arah inspektor itu lalu menolak sedikit kepala Encik Daniel dari belakang dengan menggunakan muncung pistolnya. Namun, Encik Daniel hanya mendiamkan diri. Dia langsung tidak bergerak dan tidak berkata apa-apa. Terdiam seribu bahasa seakan-akan patung pameran di muzium. Kemudian, Alifah perasan mulut pemuda itu terkebil-kebil sedikit lalu dalam sekelip mata, Encik Daniel menembak kepalanya sendiri lalu mati katak di dalam kafe itu.
"SHIT!" Dengan penuh bengang, Inspektor Rahman berkata sambil memegang tubuh pemuda itu yang sudah kaku.
Pada hari itu, mereka semua melihat suatu imej yang mereka berharap dapat dilupakan walaupun mereka terpaksa membayar berjuta-juta sekalipun. Mereka semua meninggalkan kafe itu di dalam keadaan trauma. Semua orang kecuali Alifah dan Zulaika berdua.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro