Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

SUDAH hampir sebulan aku berhenti kerja dan dalam tempoh itu memang aku duduk saja di rumah keluargaku sambil mencari kerja atas talian.

Mujur juga aku tinggal dengan abang aku sendiri di KL, kalau aku duduk rumah sewa, sia-sia saja aku bayar duit sewa bulan ni. Haha.

Nasib baik juga Rizwan sudah tidak berani ke mari setelah kejadian tempoh hari, takutlah tu nak menghadap keluarga aku lepas terbongkar segala perbuatan dia. Kalau dia nak kena ganyang dengan abah aku, datanglah. Abah aku ada silat kut, sebab tu dia baru dengar suara abah aku pun dia terus cabut. Pengecut!

"Temu duga?"

Emak mengangkat kening tinggi.

"Haah. Baru-baru ni kakak apply, dia orang dah panggil temu duga."

Aku menjelaskan dan aku dapat melihat emak mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Baguslah macam tu. Emak tak kesah pun kalau kakak nak duduk aje dekat rumah tapi lagi kakak terperap dekat sini, lagi banyak masa kakak berfikir, lagi susah kakak nak lupakan orang tu, kan?"

Emak menduga, membuatkan aku sedikit terkedu sebab kata-kata emak itu ada betulnya walau aku sudah mencuba untuk lupakan semuanya.

"Kakak dah okeylah, emak. Kakak bukan budak remaja yang baru kenal erti cinta, kakak dah 26 tahun dah."

Aku menarik senyum semanis mungkin, cuba untuk tidak merisaukan hati emak.

"Sebab kakak bukan budak remajalah, emak lagi risau tau? Kalau budak remaja, bolehlah anggap cinta tu cinta monyet aje. Ini kakak dah dewasa, mesti kakak harap sampai ke jinjang pelamin, kan?"

Emak mengelus lembut jari-jemari aku.

"Tak ada jodoh, emak. Kakak anggap dia tak ditakdirkan untuk kakak ajelah. Nasib kakak tau awal, kalau lepas kahwin baru kakak tahu, lagi kakak merana. Kan, emak?"

Aku tersengih, cuba menutup rawan dalam hati.

"Baguslah, anak emak ni memang dah betul-betul dewasa. Dah pandai berfikir baik dan buruknya."

"Emak janganlah risau pasal kakak lagi, okey?"

Aku meminta, tidak mahu emak terus-terusan bimbang tentang diriku.

"Hmmm... Yalah."

Emak mengukir senyum walau aku tahu hatinya masih belum betul-betul bisa untuk tidak risaukan aku. Maklumlah, aku kan anak kesayangan emak. Haha.

"Alang-alang kakak nak balik KL, nanti kakak pergi jumpa Andra, ya?"

Aku mengerutkan dahi mendengar permintaan emak secara tiba-tiba itu. Dah kenapa nak kena jumpa Andra pula?

"Jumpa dia buat apa, emak? Dia ada problem ke?"

Emak menggeleng laju namun lama emak diam. Macam serba salah nak bagi tahu aku. Hesy, ni risau ni, jadi apa-apa dekat Andra ke?

"Emak, kenapa ni, emak?" Aku menyoal setelah lama aku membiarkan emak senyap.

"Sebenarnya... Beberapa hari lepas dia ada tanya emak, boleh ke kalau dia nak kahwin dengan kakak?"

Mataku membuntang sebaik mendengar kata-kata emak yang aku tunggu sedari tadi.

"Hah? Dia tanya apa?" Aku menyoal lagi, tidak mahu percaya dengan apa yang aku baru saja dengar.

"Dia nak kahwin dengan kakak."

Emak masih cuba menerangkan walau aku tahu emak tahu yang anaknya belum pekak lagi sampai tak dengar apa yang emak cakap tadi.

"Hesy, gila ke dia tu? Ingat perkara ni main-main ke?" Aku mendengus. Tak kelakar, okey!

"Sebab itulah emak suruh dia jumpa dan tanya kakak sendiri kalau betul dia tak main-main."

"Memang putus fius la dia tu!"

Aku mengetap bibir. Tak boleh jadi ni, jejaka jelita seorang ni memang nak kena seligi dengan aku ni. Dia ingat kahwin tu macam zaman kami kecil dulu, main masak-masak, aku jadi emak dia jadi bapak ke? Hesy!

Emak menggenggam tangan aku tiba-tiba membuatkan aku berpaling memandang emak semula. Terbantut niat aku nak maki Andra di dalam hati lagi.

"Kakak dengar dulu apa dia nak cakap, ya? Masa dia tanya emak tu nada dia serius sangat. Emak tak rasa dia main-main."

Wajah aku berubah riak. Dia serius? Tak mungkinlah.

"Hesy, merepeklah emak ni, tak mungkinlah dia tu nak kahwin. Lagi-lagi dengan kakak." Aku ketawa kecil.

"Kenapa dia tak mungkin kahwin? Tak layak ke?"

Emak mengangkat kening dengan wajah tidak puas hati. Aku terpinga-pinga.

"Bukan itu maksud kakak, tapi emak tengoklah dia macam mana." Aku mempertahankan diri.

"Emak tengok dia okey aje. Emak boleh terima dengan gembira kalau dia jadi menantu emak."

"Emak senanglah cakap, yang kena kahwin dengan dia nanti, kakak. Bukannya emak." Aku mencebik.

"Kalau emak ni anak dara macam kakak, emak nak aje kahwin dengan lelaki macam Andra tu. Lagi bagus daripada bekas kekasih kakak tu."

"Yalah, mak."

Aku akur, sudah kehilangan kata apabila emak membandingkan Andra dengan lelaki yang aku dah tak nak ingat tu. Susah nak berlawan dengan emak bab anak angkat kesayangan dia tu.

Masalahnya, tak pasal-pasal aku yang kena menjawab dengan emak pasal isu ni padahal Si Andra tu yang mulakan, tanya emak benda merepek macam tu. Tak apa, siaplah dia bila aku jumpa dia nanti. Bersedialah untuk sebuah perhitungan!

AKU memeluk lengan sambil memandang dia dengan renungan tajam, tak puas hati. Dia yang baru saja sampai ke kafe itu dan mengambil tempat menghadap aku, kelihatan terpinga-pinga.

Usai temu duga tadi, terus saja aku hubungi dia dan minta untuk berjumpa sebab lagi aku fikirkan hal ni, lagi aku rasa nak seligi-seligi kepala dia yang tak center tu.

"Kenapa pandang saya macam tu?"

Andra menyoal setelah lama sepi menemani kami. Rambutnya yang menutupi dahi, dia selak dan selitkan di tepi telinganya.

Aku menggigit bibir bawah, tidak tahu bagaimana hendak menyoalnya tentang perkara itu. Kalau dia bergurau saja, tak ke malu aku sebab emosi sangat? Tapi kenapa dia nak buat main perkara yang serius macam tu? Langsung tak kelakar, ya?

"Emak dah bagi tahu saya pasal permintaan awak tu." Ringkas aku berbicara, dengan harapan dia akan faham apa yang aku cuba jelaskan.

Dia yang baru menyisip java beans frappucino di dalam gelasnya, mengangkat muka, memandang aku semula.

"Pasal saya nak kahwin dengan awak?"

Dia buat muka tak bersalah.

"Yup, and I need an explanation right now!" Aku membentak. Aku ni kalau marah, memang keluar speaking London aku ni, jangan macam-macam!

Andra menarik nafasnya sebelum kembali merenung wajah aku dengan matanya yang redup.

"Ya, saya minta kebenaran emak untuk kahwin dengan awak. Saya tak main-main, Ayesha. Saya baru saja nak contact awak untuk bincang hal ni, tengok-tengok awak yang contact saya dulu."

Aku diam mendengar penjelasannya dengan renungan tajam, tanda tidak puas hati.

"Saya tahu benda ni mengejut sangat, lagipun awak baru saja putus cinta. Tapi saya rasa masa ni paling sesuai. Saya dah bersedia nak pikul tanggungjawab ni dan jadikan awak suri hati saya."

"Awak jangan mengarut boleh tak? Ini semua tak kelakarlah!"

Aku mendengus, masih tidak mahu percaya dengan kata-kata yang terbit daripada mulutnya.

"Saya serius, awak. Kahwin dengan saya!"

Dahinya berkerut memandang aku, menandakan dia tidak main-main.

"Tolonglah jangan buat lawak macam ni lagi, Andra." Aku mengetap bibir, menahan getar dalam hati.

"Saya tak buat lawak, apatah lagi nak main-main. Apa caranya untuk awak yakin saya tak bergurau? Saya betul-betul nak jadikan awak isteri saya, Ayesha."

Aku pandang wajahnya yang benar-benar kelihatan serius saat itu sebelum menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencerna kata-kata yang kedengaran ikhlas daripada mulut Andra tadi. Tapi macam mana aku boleh nak percaya kalau yang nak kahwin dengan aku itu orangnya sebegini?

"Masalahnya, kenapa saya? Kita baru saja berjumpa semula, Andra. Takkan semudah itu?" Aku menyoal, cuba percaya pada masa yang sama yang dia benar-benar mahu kahwin dengan aku.

"Tapi kita dah kenal lama, kan? Sejak dari kita kecil lagi? Awak dah kenal hati budi saya, kan?"

Aku menundukkan wajah, berjeda sendiri sebelum kembali mendongak memandang dia.

"Sebab saya kenal awaklah saya takut, Andra. Saya tahu naluri awak macam mana."

Akhirnya aku terpaksa berterus terang tentang perkara yang merisaukan aku, walaupun aku tahu kata-kata aku bisa melukakan hatinya.

Andra menghela nafasnya perlahan sebelum dia membuang pandangan ke arah dinding kafe yang lengang itu.

"Ya, memang naluri saya lain."

Aku menelan liur yang terasa kesat. See, aku dah cakap dah! Sangkaan aku benar belaka. Emak, kakak tak nak kahwin dengan lelaki naluri songsang!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro