Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

PROLOG

SLIP keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang baru diterima olehnya tadi direnung bagai mahu tembus. Tarik nafas panjang, lalu dihela perlahan. Hujung bibir digigit. Bagaimanalah dia hendak menunjukkan slip keputusan itu kepada orang tuanya nanti? Dia yakin, dia akan dimarah teruk. Dulu, dia gagal PMR pun sudah kena marah. Bukan setakat marah, tetapi siap kena libas dengan tali pinggang. Apa lagi SPM. Nasib tak baik, dia dikejar dengan parang.

“Jihan!”

Bahu Jihan terhinjut dek kerana terkejut dengan jeritan itu. Menoleh ke belakang, kelihatan seorang gadis sedang meluru ke arahnya. Jihan lepaskan satu keluhan kecil. Gadis itu ialah…

Rehan Latisyah, kakaknya.

“Kenapa tak tunggu kakak kat dalam?” soal Rehan, sebaik dia berdiri di hadapan adiknya. Punyalah merata dia mencari adiknya di dalam kawasan sekolah. Rupanya si adik sudah berada di luar.

“Sorry… Ji tak selesa ramai orang kat dalam tu,” ujar Jihan tidak jujur. Dia keluar awal kerana rasa malu mahu berhadapan dengan rakan-rakan sebayanya yang lain. Malu kalau-kalau mereka bertanyakan tentang keputusan SPM yang dia dapat.

“Yalah. Macam mana keputusan Ji? Okay tak?” soal Rehan, cuba mengintai slip keputusan di tangan adiknya.

Jihan tidak menjawab. Sebaliknya dia terus saja memasukkan slip keputusan SPM miliknya itu ke dalam beg, tidak mahu dilihat oleh si kakak.

Rehan yang melihat tingkah adiknya itu hela nafas. Seakan dapat agak keputusan yang diterima adiknya itu.

“Kak, Ji tak nak balik… Boleh tak?” soal Jihan, pandang sekilas wajah Rehan.

Dahi Rehan berkerut mendengar kata-kata adiknya. “Tak nak balik? Kenapa?”

“Ji takut ibu ayah marah. Ji tak pandai macam kakak. Mesti ibu ayah marah kalau tengok keputusan Ji nanti. Sekolah bertahun-tahun, tapi tak pandai,” ujar Jihan, merenung ke bawah. Satu kelemahan pada dirinya. Bodoh. Ibu dan ayahnya, masing-masing ada ijazah. Kakaknya pula, sekarang ini sedang menyambung pelajaran bahagian perubatan. Dia? SPM pun gagal.

“Tak ada apalah. Kakak ada. Ji jangan takut ya?” Rehan paut bahu si adik. Diusap lembut, cuba memberikan sedikit ketenangan.

“Tapi kak…”

“Ji jangan macam ni. Kita balik ya? Kalau Ji tak balik, ibu ayah lagi marah nanti. Kakak ada. Jangan takut. Okay?”

Jihan raup wajahnya dengan tapak tangan. Beristighfar di dalam hati, untuk menenangkan diri.

“Kita balik ya?”

Jihan pandang wajah si kakak. Lambat-lambat kepalanya diangguk. Tiada pilihan. Jika dia tidak balik sekarang, nanti kena balik juga. Tetap kena marah juga.

“Okay, jom.” Rehan tarik tangan adiknya menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh daripada pondok pengawal. Keduanya masuk ke dalam perut kereta.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, keduanya mendiamkan diri. Rehan fokus memandu, manakala Jihan pula membuang pandangan ke luar tingkap. Fikirannya bercelaru. Hatinya berdebar memikirkan apa yang bakal terjadi sebentar lagi.

Sebaik kereta yang dipandu oleh Rehan membelok memasuki pekarangan rumah banglo setingkat itu, Jihan jadi tidak senang duduk. Lagi-lagi apabila dia lihat ibu dan ayahnya sudah menunggu di pintu utama.

“Ji, jom keluar.”

Jihan memandang Rehan. Melihat kakaknya itu keluar dari perut kereta, dia turut keluar. Sengaja dia atur langkah perlahan.

“Cepat sikit jalan tu! Terhegeh-hegeh sangat kenapa?”

Terpejam sesaat mata Jihan apabila suara si ibu memetir. Setibanya di hadapan pasangan suami isteri itu, Jihan menunduk. Tidak berani untuk mengangkat wajah.

“Mana slip?” soal Puan Aida, hulur sebelah tangannya.

“Ibu, kot ya pun masuklah dalam rumah dulu.” Rehan bersuara.

“Kamu diam. Masuk!”

Rehan hela nafas perlahan. Dia pandang wajah Jihan. Serba salah dia ketika itu apabila melihat gelengan Jihan. Pasti adiknya itu takut.

“Mana slipnya? Bak sini!” arah Puan Aida. Tajam matanya memandang wajah Jihan.

Jihan tarik nafas panjang. Menggigil-gigil tangannya ketika mengeluarkan slip keputusan SPM daripada beg silangnya itu. Belum sempat hendak dihulur, tangan Puan Aida laju merampas. Jihan kemam bibir.

“Gagal lagi?” Suara Puan Aida seperti halilintar.
Jihan masih seperti tadi. Menunduk. Dia dapat bayangkan betapa seriusnya raut wajah ibunya ketika itu.

“Apa nak jadi dengan kamu ni, Jihan Latifah? Ayah hantar kamu pergi sekolah daripada umur empat tahun, tapi tak pandai-pandai! Dalam kelas, nombor tercorot. UPSR, gagal! PMR, pun gagal! SPM, gagal juga! Kamu pergi sekolah tu, belajar ke tidak?” Encik Akmal yang berdiri di sisi Puan Aida bersuara.

“Belajar. Tapi…”

“Tapi apa? Berbelas tahun ayah bazirkan duit hantar kamu pergi sekolah, tapi apa pun tak dapat! Gagal, gagal, gagal! Ni, keputusan gini, nak buat apa? Kalau ayah tahulah gini, baik tak payah hantar kamu pergi sekolah. Membazir!” hambur Encik Akmal lagi.

“Aku tak tahulah kenapa kamu boleh jadi bodoh sampai macam ni sekali. Setahu aku, tiada seorang pun dalam kalangan keluarga aku dan juga ayah kau ni, yang bodoh! Semua belajar tinggi! Tapi kamu? Eh, rugi betul ada anak macam kamu ni!” Giliran Puan Aida pula melampiaskan kemarahan.

“Ibu, tak baik cakap macam tu. Seteruk mana pun Ji, dia tetap anak ibu.” Rehan mencelah, cuba membela si adik.

“Kamu diam!” Serentak Puan Aida dan Encik Akmal bersuara.

Melihat si kakak turut menjadi mangsa, Jihan diterpa rasa bersalah. Tangan Rehan dicapai lalu dia geleng kepala, memberi isyarat agar kakaknya tidak bersuara lagi. Bimbang lain jadinya nanti.

“Aku malu ada anak macam kau! Bazirkan duit kami selama ni besarkan kau! Bagi makan, minum, pakai, segalanya! Sudahnya, jadi anak tak berguna!” Sejurus berkata sebegitu, Puan Aida berlalu masuk ke dalam rumah.

“Ni, slip ni buat bungkus nasi lemak je!” Encik Akmal campak slip keputusan SPM itu tepat di wajah Jihan sebelum dia berlalu masuk.

Bam!

Terhinjut bahu Jihan kerana terkejut dengan hempasan pintu itu. Air mata yang ditahan sejak tadi mula jatuh ke pipi. Slip keputusan SPM yang sudah jatuh di hujung kakinya direnung dengan pandangan yang kabur.

“Ji…” Rehan pantas memeluk tubuh adiknya. Belakang badan Jihan diusap lembut.

“Ji… Ji anak tak guna…” Lirih Jihan berkata. Wajahnya yang sudah lencun dengan air mata disembam pada bahu si kakak.

“Tak. Jangan ambil hati dengan apa yang ibu dan ayah cakap. Satu hari nanti, diorang akan sedar betapa berharganya Jihan Latifah dalam hidup diorang. Jangan sedih. Kakak ada…”

Semakin dipujuk, semakin lebat air mata yang mengalir. Bahu Jihan terhinjut kecil. Ya Allah, betapa ruginya ibu dan ayahnya dikurniakan seorang anak bernama Jihan Latifah.

-----

Assalamualaikum. Cerita ni bakal terbit dalam versi novel ya. Jadi, saya takkan up semua bab dalam ni. Bab² awal saja untuk tujuan promosi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro