Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 9

"AUNTIE, macam mana ni? Raid tak nak kahwin dengan Ryna. Kita nak buat apa?" Eryna merengek manja di tepi Puan Linda. Sesekali tubuh wanita itu digoyangnya. Seperti kanak-kanak tidak dapat coklat.

Puan Linda mengurut dahinya. Dia turut bingung. Sudah seminggu dia memujuk anaknya itu. Tetapi masih gagal. Malah sehingga satu tahap, anaknya tidak pulang ke rumah.

"Auntie..."

"Nanti auntie pujuk Raid lagi." Puan Linda beri ayat selamat.

"Ryna tak percaya. Auntie tipu. Dah seminggu, langsung tak ada berita gembira. Bila Ryna datang, alasan auntie Raid perlu masa. Berapa lama lagi dia nak fikir auntie? Sebulan? Setahun? Ryna bencilah." Eryna memeluk tubuhnya. Mulut sengaja dimuncungkan.

"Alah, kamu ni. Sabarlah sikit. Kalau Ryna betul nakkan Raid, kena sabar. Okay? Auntie janji, Raid akan kahwin dengan Ryna," ujar Puan Linda cuba meyakinkan Eryna.

"Betul? Auntie tak tipu?"

Puan Linda angguk kepala. Pipi Eryna diusap dengan jarinya. "Auntie janji. Raid akan jadi milik Ryna. Tak payah risaulah. Nanti tak cantik dah nak naik pelamin."

Serta-merta wajah yang muram itu bertukar riak. Eryna peluk tubuh Puan Linda. "Sayang auntie!"

Puan Linda senyum sambil membalas pelukan wanita itu.

"Assalamualaikum."

Kepala dua wanita itu terus menoleh ke belakang apabila mendengar ucapan salam itu. Pelukan mereka turut terlerai.

"Raid!" Eryna terus bangun. Dengan pakaiannya yang seksi itu, dia terus menerpa ke arah Raid. Lengan lelaki itu cuba diraih.

"Woi! Apa masalah kau? Jangan sentuh aku boleh? Semaklah kau ni!" Raid menjerkah lantang. Wajah Eryna dipandang dengan muka serius.

"Alah you ni, I nak pegang tangan je kot. You kan bakal suami I. Takkan tak boleh?" Eryna berpura-pura merajuk.

"Pandai betul kau ni kan? Hukum mana kau pakai ni? Dahlah, tepi! Semak!" hambur Raid lantas kakinya menapak laju ke arah tangga.

"Kalau macam tu kita kahwinlah cepat. Boleh sentuh-sentuhkan? Boleh?" Eryna mengekori lelaki itu daripada belakang.

Raid menghentikan langkahnya. Dia berpaling ke belakang. "Kahwin? Kau bukan taste aku. Tolong jangan kacau aku. Kalau kau kacau, lima jari ni melekat kat pipi kau!"

Sejurus itu, langkah disambung naik ke tingkat atas. Raid masuk ke dalam bilik. Pintu kayu itu dihempas kasar. Briefcase miliknya dilempar sahaja di atas sofa yang terletak di tepi dinding itu. Raid berjalan ke katil. Tubuh direbahkan di situ. Geram betul dia dengan semua ini. Mama dan papanya tidak habis-habis memaksanya untuk berkahwin dengan si tepung gomak itu. Serabut otak dibuatnya.

Kipas yang ligat berpusing di atasnya itu dipandang seperti mahu tembus. Otak mencari helah untuk mengelakkan dirinya daripada terus dipaksa kahwin dengan Eryna. Fikir, fikir, fikir.
Raid bangun daripada baringnya. Tiba-tiba sahaja fikirannya teringatkan perbualan di antara dia dan Radhiya dua hari lepas.

"Abang, abang kahwinlah dengan Kak Jihan. Dia tu kan cantik. Baik pulak tu."

"Dia bukan taste abang." Selamba Raid menjawab sambil matanya merenung kolam renang di hadapannya itu. Ketika itu mereka dua beradik sedang mengambil udara segar pada waktu malam.

"Tak payah nak taste sangatlah. Habis abang nak kahwin dengan Kak Eryna tu? Dhiya tak nak dia jadi kakak ipar. Kalau abang kahwin dengan dia, abang bukan abang Dhiya."

Bibir Raid mengukir senyum. Turun daripada katil, cepat-cepat dia menukar pakaian dan bergegas turun ke tingkat bawah. Baru sahaja dia ingin memulas tombol pintu, ada suara yang menjerit namanya. Raid pejam mata. Dia lagi...

"You nak pergi mana?"

Raid pusingkan tubuh. Tajam matanya memandang wajah Eryna. "Eh, kau ni memang jenis tak faham bahasa melayu ke apa? Kecil-kecil tak belajar ke? Berapa kali aku pesan, jangan ganggu aku!"

"Tapi you..."

"Talk to my hand!" Raid tunjukkan tapak tangan di hadapan muka Eryna. Melihat wanita itu senyap, Raid pulas tombol pintu dan melangkah keluar. Selipar disarung ke kaki. Cepat-cepat dia melangkah ke arah keretanya. Enjin dihidupkan. Tidak buang masa, keretanya dipandu meninggalkan rumah agam keluarganya itu.

Eryna yang masih berdiri di muka pintu itu ketap gigi. Kakinya dihentak-hentak ke lantai tanda protes. Geram!




"HOI!"

"Opocot mak kau!" Dek kerana terkejut dengan sergahan itu, Jihan terlatah. Pantas dia menutup mulut dengan tapak tangan.

"Buatkan aku air."

Mendengar arahan itu, perlahan-lahan Jihan pusingkan tubuh. Lelaki yang sedang duduk di meja makan itu dipandang tidak berkelip. Ni mimpi ke apa? Mata digosok dengan jari. Dan apabila dia melihat semula ke meja, lelaki itu masih ada.

"Encik? Bila encik sampai?" Jihan menyoal pelik. Mujurlah dia memakai tudung ketika itu. Jika tidak, percuma saja lelaki itu dapat melihat rambutnya.

Raid yang sedang duduk di meja makan itu menayang muka seposen. "Buatkan aku air." Dia ulang semula arahannya.

Jihan masih tercegat. Wajah lelaki itu dipandang lagi. Betul ke ni manusia? Ke hantu? Eh, mana ada hantu siang hari. Berkerut-kerut dahi Jihan dek kerana ragu-ragu.

"Hoi! Tak payah nak kerut sangat. Buatkan aku air. Cepat!"

Bahu Jihan terhinjut dijerkah seperti itu. Tidak buang masa, dia terus membancuh minuman untuk lelaki itu. Bukan bancuh pun, sekadar ambil air oren yang sudah sedia ada di dalam peti sejuk dan tuang ke dalam gelas. Diletakkan gelas berisi air oren itu di atas meja di hadapan Raid.

Raid terus mengambil gelas itu lalu air oren di dalamnya diteguk rakus. Gelas yang sudah kosong diletakkan semula di atas meja.

Jihan pantas mengambil gelas kosong tersebut. Belum sempat dia atur langkah ke sinki, suara lelaki itu kedengaran.

"Jihan, aku ada benda nak cakap dengan kau."

"Apa dia?" soal Jihan. Pandangan tajam daripada lelaki itu buat dia kecut perut.

Raid pejam mata sejenak. Nafas ditarik panjang sebelum dihela perlahan-lahan. Dia harap, keputusan yang dia buat itu adalah tepat.

"Encik... Encik nak cakap apa?" Jihan masih menanti apa yang hendak dikatakan oleh Raid.

"Jihan Latifah..." Raid menyebut nama penuh gadis itu.

"Ya saya..." Jihan menyahut.

"Aku nak kita..."

Ting tong!

Bunyi loceng itu membuatkan ayat yang mahu dituturkan oleh Raid tergantung. "Siapa?"

Jihan menjongket bahu. Manalah dia tahu siapa datang. Bukannya ada sesiapa tahu dia tinggal di situ. Gelas yang dipegangnya diletakkan semula di atas meja. Kemudian, perlahan-lahan dia menuju ke pintu utama rumah. Tombol pintu dipulas. Apabila daun pintu dibuka, Jihan kerut dahi melihat lima orang lelaki berkopiah di hadapannya itu.

"Ya, cari siapa?"

"Kami daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Kami terima aduan berlakunya perbuatan maksiat di rumah ini. Lelaki bersekedudukan dengan perempuan bukan mahram. Betul?" Seorang daripada lima lelaki berkopiah itu bersuara.

Terkebil mata Jihan mendengar kata-kata lelaki itu. Macam mana semua ini boleh jadi? Bagaimana mereka tahu bahawa dia dan Raid berada di dalam rumah itu? Takkan dia hendak tipu? Mesti mereka akan memeriksa ke dalam rumah.

"Jihan, siapa datang?"

Jihan menoleh ke belakang. Seperti dirinya tadi, Raid turut terkejut dengan kehadiran lima lelaki itu.

"Encik ni siapa? Boleh tunjuk kad atau surat yang mengesahkan bahawa kamu berdua suami isteri?"

Raid yang baru tiba di sebelah Jihan itu membisu. Dia memandang sekilas ke arah Jihan. Lambat-lambat kepalanya digelengkan.

"Kalau macam tu, ikut kami. Sila beri kerjasama."
Jihan memandang Raid. Melihat anggukan lelaki itu, membuatkan dia mengeluh. Ya Allah, dugaan apa lagi ni...




"APA Raid buat?" Puan Linda yang baru sampai di balai polis itu terus menjerkah. Wajah tuanya jelas kelihatan marah. Beg tangannya dihempuk ke lengan anaknya berkali-kali.

"Ma, Raid boleh terangkan." Raid cuba membela diri.

"Terangkan apa? Raid dah kecewakan mama!" Puan Linda jatuh terduduk di atas kerusi yang tersedia di balai itu. Air matanya mengalir lesu ke pipi.

Raid menggaru kepalanya. Tidak tahu hendak buat apa ketika itu. Dia turut terduduk di atas kerusi sama yang diduduki oleh mamanya itu. "Ma, Raid minta maaf."

"Raid dah malukan mama! Raid dah malukan mama!" hambur Puan Lind. Dia sambung memukul tubuh anaknya itu.

Raid sedikitpun tidak menolak. Hanya membiarkan si mama melepaskan marahnya.

Sementara di sudut yang lain...

Jihan menangis teresak-esak apabila ditengking oleh ibu dan ayahnya. Kepala menunduk. Tidak berani untuk memandang wajah garang orang tuanya ketika itu.

"Patutlah lari rumah. Nak jual badan kat lelaki! Kau ni memang anak tak gunalah! Memalukan orang tua! Aku menyesal lahirkan kau!" hambur Puan Aida. Bertubi-tubi dia memukul tubuh anaknya itu. Melepaskan marah. Mujur ada Rehan yang menghalang. Jika tidak, lunyai gadis itu dikerjakannya.

"Kenapa kau sanggup buat aku macam ni? Kenapa? Kau tak ada maruah ke?" soal Puan Aida lagi.

Jihan beranikan diri untuk memandang wajah ibunya. "Ibu..." Tangan ibunya cuba diraih.

"Jangan sentuh aku! Mulai hari ni, kau bukan anak aku! Apa-apa jadi kat kau lepas ni, jangan nak mengadu kat aku. Aku tak ada anak yang murah harga diri macam kau! Kahwinlah dengan jantan tu! Kahwin! Memang tu yang kau nak kan? Tak padan dengan umur! Menggatal!"

"Ibu, Ji minta maaf..." Jihan capai juga tangan Puan Aida. Belum sempat dikucup, wanita itu sudah menepis.

"Aku jijik dengan kau!"

Berderai air mata Jihan mendengar sebaris ayat itu. Dia beralih pula ke arah si ayah yang senyap sejak sampai di balai itu. Tangan lelaki itu diraih. "Ayah, Ji tak salah. Tolong Ji..." Simpati cuba diraih daripada lelaki itu. Namun ternyata ianya sia-sia. Lelaki itu menarik tangannya.

"Nikahkan mereka!"

Tubuh Jihan tegak. Benarkah apa yang dia dengar? Ayah suruh dia kahwin? Jihan pandang si kakak.
"Kakak, tolong Ji. Ji tak salah. Ji tak buat apa..." Dia merayu pula kepada Rehan.

Rehan memandang wajah adiknya. Keluhan dilepaskan. "Kakak tak boleh buat apa."

"Kakak, tolong..." Jihan masih merayu.

Luluh hati Rehan mendengar rintihan daripada adiknya itu. Tubuh gadis itu terus ditarik ke dalam pelukannya. "Kakak minta maaf..."

Air mata semakin lebat mengalir di pipi Jiha. Dia tidak tahu hendak meraih simpati daripada siapa. Semuanya tidak endahkan rayuannya. Tubuhnya melorot ke bawah. Dia terduduk lemah di atas lantai balai itu. Kepala yang terasa pening itu dipegang. Perlahan-lahan kelopak matanya tertutup. Pandangannya menjadi kosong dan gelap.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro