
BAB 8
"RAID! Sini sekejap. Ada benda kami nak bincang."
Raid yang baru tiba di hadapan tangga itu mematikan langkahnya. Kepala menoleh ke ruang tamu. "Ada apa ma?" soalnya tanpa berganjak seinci pun daripada kedudukannya itu.
"Sini. Ada benda nak bincang."
Keluhan kecil dilepaskan. Dengan rasa malas, Raid melangkah juga ke ruang tamu. Kelihatan papa dan adiknya turut berada di situ. Raid mengambil tempat di sebelah adiknya.
"Ada apa? Raid penat ni. Nak rehat," ujar Raid mendatar. Sempat dia bermain mata dengan adiknya. Namun gadis itu sekadar menayang riak seposen. Tidak boleh harap punya adik. Tak nak kawtim langsung.
"Raid dah kenal Eryna kan?" Puan Linda yang duduk di sebelah suaminya menyoal. Wajah anak terunanya dipandang.
"Kenal. Si tepung gomak tu kan? Kenapa dengan dia?"
"Raid, tak baik cakap macam tu." Encik Zamani yang sedang bermain telefon bimbit itu mencelah. Wajah anaknya dijeling tajam.
"Jadi apa yang nak dibincang?" Raid menyandar malas pada badan sofa. Majalah yang berada di tangan adiknya dirampas. Tiada niat hendak membaca pun. Dia bukannya minat pada majalah. Saja nak mengganggu si adik.
"Kami nak Raid kahwin dengan dia."
Sebaris ayat itu buat Raid terkedu dua saat. "Apa?"
"Mama dengan papa nak Raid kahwin dengan Eryna." Puan Linda ulang ayatnya.
"A big no!" Laju Raid membangkang. Tubuh yang tadinya bersandar malas pada sofa terus tegak.
"Tapi Raid..."
"My answer is no! Raid takkan kahwin dengan dia, mama. Perempuan macam tu, berlambaklah kat kelab malam tu. Apa yang istimewa sangat perempuan tu? Dahlah gedik, tak pandai tutup aurat, Raid menyampah tahu tak. Raid sanggup tak kahwin, daripada beristerikan perempuan macam tu. Tak pasal mati nanti Raid yang kena belasah. Tak. Raid tak setuju." Tegas Raid.
"Raid, kami nak tengok Raid beristeri. Ada anak. Mama nak cucu." Puan Linda cuba memujuk anaknya.
Raid tersenyum sinis. "Cucu? Kahwin dengan perempuan macam tu? Mama ingat dia nak ke beranak? Takkan! Perempuan macam tu, sibuk jaga imej. Kalau beranak, rosaklah imej dia. Dah tak menarik. Raid tetap tak setuju. Mama pujuk macam mana sekalipun, Raid takkan setuju. Raid minta maaf ma. Jodoh Raid, biar Raid tentukan. Raid kahwin sekali dalam hidup, dan Raid akan pastikan isteri yang terbaik buat Raid. Kalau setakat Eryna tu, bersepah."
Puan Linda mati kata untuk membalas. Dia pandang si suami di sebelah, meminta bantuan lelaki itu.
"Raid, semua ni demi syarikat papa. Papa dah janji dengan papa Eryna untuk jodohkan kamu berdua. Please... Demi papa."
Raid geleng kepalanya laju. "Raid tetap dengan keputusan Raid. Raid takkan kahwin dengan dia! Muktamad!"
Sejurus itu, Raid bangun daripada duduknya. Niat untuk naik ke tingkat atas tadi hilang serta-merta. Dia ubah hala tuju kakinya ke muka pintu. Keluar dari rumah, keretanya yang terparkir di halaman rumah dituju. Masuk ke dalam kereta, stereng dihentak kuat dengan tangannya.
Sementara di dalam rumah agam itu, Puan Linda memandang ke wajah suaminya. Namun lelaki berusia 60-an itu hanya mengangkat bahu. Puan Linda mengeluh kecil. Dia alih pandangan ke wajah anak gadisnya, Radhiya.
"Abang Raid ada makwe ke Dhiya?"
Radhiya yang sibuk membaca majalah mengangkat wajah. "Ada!"
"Siapa?"
"Kak Jihan." Tegak Radhiya menjawab.
Berkerut dahi Puan Linda mendengarkan jawapan anak gadisnya. "Jihan mana?"
"Alah, Kak Jihanlah. Yang comel-comel tu. Hah, tulah makwe abang. Abang nak kahwin dengan Kak Jihan. Dia tu baik, comel, sopan, cantik, kiranya sempurna nak jadi isteri mithali. Bukan macam Kak Eryna, dengan mekap tebal, seksi, gedik, euww gelilah. Dhiya tak nak dia jadi kakak ipar. Geli!" Selamba sahaja gadis itu menjawab.
"Dah dah. Tak payah nak mengutuk orang sangat. Naik atas, siapkan kerja sekolah," arah Puan Linda. Anak gadisnya itu, lain ditanya lain yang dijawabnya.
Radhiya memuncungkan mulutnya. Majalah yang dibacanya diletak di atas meja kopi. Dia bingkas bangun dan melangkah malas ke tingkat atas seperti yang diarah oleh mamanya.
JIHAN yang berada di dapur bergegas menuju ke pintu utama apabila dia mendengar bunyi loceng sebentar tadi. Buka daun pintu, wajah Raid menyapa pandangannya.
"Err, kenapa encik datang? Dhiya mana?"
Raid yang masih berdiri di luar gril sekadar menggaru tengkuknya. "Kau dah makan?"
"Tengahari tadi dah makan. Encik okay tak?"
"Keluar jom. Teman aku makan."
"Hmm okay. Tunggu sekejap." Sejurus itu, Jihan meninggalkan Raid sendirian di depan pintu itu. Dia naik ke bilik untuk menyalin pakaian dan mengambil barangan peribadi.
Usai segalanya, dia turun semula. Suis elektrik ditutup sepenuhnya. Dia menuju ke pintu. Sandal yang dibelikan oleh lelaki itu beberapa hari lepas disarungkan ke kaki. Pintu utama dikunci rapi. Kemudian, dia mengikut Raid daripada belakang.
Sepanjang perjalanan, tiada sebarang perbualan di antara mereka berdua. Sehinggalah tiba di sebuah restoran pun, keduanya masih diam. Mereka duduk di sebuah meja yang terletak berhampiran dinding. Datang seorang pelayan, Jihan sekadar memesan minuman berserta roti bakar. Tiada selera hendak makan nasi.
"Encik okay?" Jihan memberanikan diri untuk menyoal sebaik sahaja kelibat pelayan restoran tadi hilang. Wajah Raid dipandang menunggu jawapan.
Raid melepaskan satu keluhan berat. Jarinya bergerak mengurut dahi. "Aku okay."
"Tapi encik nampak tak okay. Encik ada masalah ke? Tak nak kongsi?"
"Kau jangan sibuk boleh? Aku cakap okay, maknanya okay. Banyak tanya pula." Raid merengus geram. Wajah Jihan dijelingnya tajam.
"Saya tanya je. Janganlah marah..." ujar Jihan perlahan.
Pap!
Terkejut Jihan apabila tapak tangan Raid menepuk kuat meja restoran itu. Liur ditelan. Wajah lelaki itu dipandang sekilas. "Sorry," ujarnya ringkas. Kepalanya menunduk. Takut hendak melihat muka garang lelaki di hadapannya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro