Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 7

"BABY!"

Raid yang baru masuk ke dalam rumah sedikit terkejut mendengar jeritan nyaring itu. Wanita yang sedang meluru ke arahnya dipandang tajam.
"Kau kenapa?" Kasar dia menyoal.

"Hei baby, janganlah marah. I datang ni nak sambut my future husband yang baru balik kerja. Salah?" Eryna dengan selamba memaut lengan Raid. Sengaja dilenggokkan tubuhnya ingin menggoda lelaki di sebelahnya itu. Jari runcingnya bermain di sekitar dada lelaki itu.

Raid yang tidak dapat menahan perasaan marahnya terus sahaja menolak kuat tubuh wanita itu. "Apa masalah kau ni? Aku cakap aku tak nak jadi laki kau kan? Tak faham bahasa? Tak seleralah aku nak berbinikan kau. Rela aku bujang sampai tua, daripada kahwin dengan perempuan macam kau!"

"Tapi Raid..."

"Apa? Buanglah angan-angan kau nak jadi bini aku. Tengok diri tu. Layak ke?" soal Raid, sinis. Tidak menunggu jawapan Eryna, dia terus atur langkah ke arah tangga. Rasa mahu ketawa melihat wajah Eryna berubah kemerahan. Marah mungkin.

Tiba di tingkat atas, hala tujunya ketika itu bukanlah biliknya, tetapi bilik adiknya. Pintu bilik yang tertutup rapat itu diketuknya beberapa kali. Tidak sampai seminit, daun pintu terbuka daripada dalam. Wajah adiknya yang seperti baru bangun tidur itu menyapa pandangannya.

"Dhiya busy ke?"

"Kenapa?" Lemah suara Radhiya menyoal. Kedua matanya digosok dengan jari.

Raid menggaru tengkuknya. "Abang nak minta tolong boleh?"

"Apa?" Dahi Radhiya berkerut. Pelik. Jaranglah abangnya itu hendak meminta tolong daripadanya. Ni tiba-tiba pula.

Raid mendekatkan mulutnya pada telinga Radhiya lalu dia membisikkan sesuatu.

Automatik mata sepet Radhiya membulat. Wajah si abang dipandang tidak percaya. "Abang nak buat apa?"

"Please Dhiya, ikut je. Okay? Masukkan dalam beg semua tu, lepas tu dah siap nanti panggil abang. Boleh?"

Radhiya garu kepala yang tidak gatal. Dia hela nafas perlahan. "Yalah." Dia akhirnya akur. Masuk ke dalam bilik, semua yang dipinta abangnya dimasukkan ke dalam beg. Baju, seluar, tudung. Tidak tahu abangnya hendak buat apa dengan semua itu. Sesudah menyumbat barang tersebut ke dalam beg, dia keluar dari biliknya. Bilik abangnya dituju. Pintu kayu itu diketuk kuat.

"Dah?" soal Raid sebaik pintu dibuka. Baju T yang dipakainya dikemaskan. Mandi kerbau. Asalkan wangi.

Radhiya menganggukkan kepalanya.

"Jom ikut abang." Pintu bilik dirapatkan. Raid menarik tangan Radhiya agar mengikutnya.
Ketika melalui ruang tamu, mereka terserempak dengan Eryna. Raid buat tidak endah. Menonong dia melangkah ke pintu utama. Lihat muka wanita itu pun sudah menyakitkan hati. Memang tidak layak langsung untuk dibuat bini. Dengan baju ketat dia. Macamlah miskin sangat tidak mampu beli kain. Ingat seksi pakai ketat seperti karung buah nangka? Pocong tu pun pakai baju tutup semua. Muka je tidak tutup.

Usai memakai kasut, Raid menarik Radhiya ke keretanya. Hidup enjin, lepas gear, tekan pedal minyak. Perlahan tayar keretanya bergerak meninggalkan pekarangan rumah agam itu.

"Abang kenapa suruh bawak semua tu?" Radhiya tidak dapat menahan diri daripada mengajukan soalan.

"Adalah. Nanti Dhiya tahu." Ringkas Raid menjawab.

Radhiya pandang si abang tidak puas hati. Malas mahu menyoal lebih. Sudahnya, dia hanya diam saja duduk di tempat penumpang itu. Menanti kereta yang dipandu oleh abangnya itu tiba di destinasi.

Hampir 15 minit perjalanan, kereta yang dipandu Raid berhenti. Radhiya memandang ke luar. Dahinya berkerut halus.

"Kita buat apa kat rumah ni?"

"Dhiya jangan banyak tanya okay? Ikut abang je. Dan tolong jangan cerita pada sesiapa pasal ni. Tahu?"

"Yalah." Radhiya buka pintu kereta dan keluar. Dia hanya mengikut si abang daripada belakang. Dia hanya melihat tingkah abangnya yang sedang membuka pintu. Sebaik pintu dibuka, Radhiya menonong masuk ke dalam.

Tidak berkelip matanya ketika melihat keadaan di dalam rumah abangnya itu. "Abang, kemasnya rumah abang. Wangi pulak tu. Bukan rumah abang selalunya bersepah ke? Sejak bila terkemas ni?"

Raid yang baru masuk sekadar membisu. Dia turut memerhati segenap ruang di dalam rumah itu. Kemas, bersih dan wangi.

"Jihan!"

Terhinjut bahu Radhiya apabila abangnya tiba-tiba saja menjerit. Terkejut dengan jeritan satu hal. Terkejut juga mendengar nama yang disebut oleh abangnya itu.

"Jihan? Siapa tu? Orang gaji? Sejak bila abang ambil orang gaji? Ke perempuan simpanan abang? Abang buat dosa ya kat rumah ni?" Bertalu-talu soalan diaju oleh Radhiya kepada abangnya.

"Jihan!" Sekali lagi Raid melaung nama tersebut. Malas dia hendak melayan segala soalan adiknya itu. Sudah seperti polis pencen. Pot pet pot pet. Tidak pandai diam.

Baru saja Raid ingin menjerit kali ketiga, kelibat seseorang masuk ke ruang tamu itu.

"Saya datang!" Jihan berhenti benar-benar di hadapan Raid.

"Kau pergi mana? Nak aku jerit berapa kali?" soal Raid, kasar.

"Err, saya..."

"Abang, siapa kakak ni?" Radhiya ajukan soalan sambil memandang gadis di hadapannya itu atas bawah. Takkanlah orang gaji pula? Terlalu cantik untuk dijadikan orang gaji.

Jihan memandang dua manusia itu bersilih ganti. Siapa pula gadis muda yang dibawa oleh Raid? Kekasih ke?

"Dhiya, kenalkan ni Jihan Latifah. Jihan, kenalkan adik aku, Radhiya. Panggil Dhiya." Formal betul cara Raid kenalkan dua gadis itu.

"Jihan? Macam mana Kak Jihan boleh ada kat rumah abang?"

Raid hela nafas perlahan. "Nantilah abang cerita. Bak beg Dhiya tu."

Tidak membantah, Radhiya berikan beg yang digalasnya itu kepada si abang. Matanya tidak lari daripada memandang gadis yang dikenalkan sebagai Jihan itu.

"Nah! Pakai baju Dhiya. Siap cepat. Kita keluar." Raid mengeluarkan arahan.

"Okay." Ringkas sahaja Jihan menjawab. Beg yang dihulur oleh Raid disambut. Sempat dia tersenyum ke arah Radhiya sebelum dia meninggalkan ruang tamu itu.

Sementara menunggu Jihan bersiap, Raid berlalu ke sofa. Punggung dilabuhkan di atas sofa empuk itu. Remote TV dicapainya.

"Abang, kenapa kakak tu ada dekat sini? Apa semua ni? Dhiya tak fahamlah." Radhiya yang baru melabuhkan punggung di sebelah abangnya terus mengajukan pelbagai soalan.

Raid pandang sekilas wajah adiknya yang jelas sedang bingung. Dia tersenyum. "Dhiya, abang tolong kakak. Dia tak ada tempat tinggal. Salah ke abang tolong? Tak salahkan? Sebab tulah abang ajak Dhiya ke sini. Kalau tak, nanti abang kena tangkap khalwat dengan dia. Tapi, Dhiya jangan cerita dekat mama, papa atau sesiapa pun. Ni rahsia kita? Tahu?"

Radhiya cuba menghadam apa yang dikatakan oleh abangnya itu. "Okay. Tapi, ada syarat!"

"Apa?"

"Hari-hari abang kena bawa Dhiya datang sinilah. Dhiya nak gosip dengan kakak. Boleh?" Radhiya jongket keningnya.

"Yalah. Hari-hari abang bawa Dhiya datang sini. Okay? Tapi ingat, jangan bocorkan rahsia ni. Faham?"

"Baik bos!" Radhiya buat tabik spring menunjukkan bahawa dia mendengar arahan daripada abangnya itu.

Raid tergeleng kecil. Pandangan ditumpukan semula ke kaca televisyen.

"Abang..."

"Hmm, kenapa?"

"Abang kahwinlah dengan kakak. Jadi Dhiya ada kakak. Nanti mama jodohkan abang dengan kak tepung gomak tu. Dhiya tak suka dia. Abang kahwin dengan kakak ya?" pinta Radhiya tiba-tiba. Kepalanya disandarkan pada bahu si abang.

"Jangan mengarutlah Dhiya. Abang pun baru kenal dia tau." Raid geleng kepala dengan permintaan tak masuk akal adiknya.

"Alah, bolehlah. Bercinta selepas nikah itu kan indah. Abang kahwin dengan kakak. Dia comel. Lembut pula tu. Dhiya suka!"

Raid buat tidak dengar saja dengan kata-kata adiknya. Diam saja. Kalau tak, makin merapu adiknya nanti.

"Saya dah siap."

Raid dan Radhiya menolehkan kepala masing-masing apabila mendengar suara halus itu. Radhiya bangun terlebih dahulu daripada duduknya dan bergerak ke arah Jihan. Dia berjalan mengelilingi gadis itu.

Jihan terpinga-pinga dengan apa yang dilakukan oleh gadis muda itu. Apa yang tidak kena? Atas bawah depan belakang kiri kanan budak ni dok tilik dia daripada tadi. "Kenapa? Ada yang tak kena ke?"

Radhiya berhenti benar-benar di hadapan Jihan. Bibirnya menguntum senyum. "Akak ni comellah. Cantik. Akak nak tak jadi kakak Dhiya?"

"Hah? Kakak?" Jihan kerut dahi tidak faham. Apa budak ni merepek?

Radhiya mengangguk. "Akak kahwin dengan abang, akak jadi kakak ipar Dhiya. Bangganya Dhiya dapat kakak comel."

Raid dan Jihan sama-sama terkejut mendengar kata-kata yang meluncur keluar daripada mulut Radhiya. Mereka saling berpandangan. Raid geleng kepala. Sabo jelah ada adik gitu.

"Sudi tak kakak?"

"Laiqa Radhiya, enough. Kalau Dhiya dok membebel je, sampai esok pun kita tak keluar. Dah, jom." Raid melangkah ke pintu terlebih dahulu. Kasut disarungkan ke kakinya. Kemudian, menonong dia melangkah ke keretanya yang diparkir di luar pagar.

"Alah abang ni, tak chill." Radhiya mengomel. Sengaja dia hentak-hentak kaki ketika melangkah ke pintu.

Jihan tergeleng kecil. Dia turut melangkah ke pintu. Semua suis ditutupnya. Kunci pintu utama, kemudian dia melangkah ke arah Raid yang menunggu di sisi kereta.

"Semua dah tutup?"

"Dah."

"Masuk dalam kereta."

Akur dengan arahan, Jihan buka pintu bahagian penumpang belakang. Dia terus masuk ke dalam perut kereta. Sementara Raid sedang mengunci pagar. Keselamatan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro