Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 5

SETELAH mengucapkan terima kasih, Jihan bergegas keluar dari perut kereta. Kaki terus menuju ke pintu pagar. Melihat kereta yang terparkir di garaj, jantung Jihan mula berubah rentak. Ya Allah, tidak tahulah apa nasiblah sebentar lagi. Kumpul kekuatan, Jihan paksa kakinya melangkah ke pintu utama. Kasut yang dipakai ditanggalkan lalu diletak di tepi rak kasut.  Dengan lafaz Bismillah, tombol dipulas lalu daun pintu berwarna coklat gelap itu ditolak perlahan.

“Dari mana?”

Terhinjut bahu Jihan dek kerana terkejut. Dadanya diurut.

“Aku tanya, dari mana?!” Suara Puan Aida memetir. Bergema satu rumah dengan suara wanita itu.

“Da… Dari bandar…” Tergagap Jihan menjawab.

“Buat apa?”

“Ca… cari kerja.”

“Kerja apa? Menyundal dengan jantan?” Sinis Puan Aida menyoal.

Spontan Jihan angkat wajah yang sejak tadi menunduk. “Ibu… Ibu cakap apa ni? Ji tak faham.”

“Tak faham atau buat-buat tak faham?” tungkas Puan Aida.

“Tak. Ji memang tak faham.”

Jawapan Jihan itu membuat darah Puan Aida naik. Terus wanita itu atur langkah ke arah anaknya. Kepala gadis itu dipegang kasar.

“Ibu!” Jihan terjerit dek kerana tindakan tidak diduga ibunya. Dia cuba menolak tangan ibunya itu, namun semakin kuat wanita itu memegang kepalanya.

“Kau nak menipu aku ke? Kau ingat aku tak nampak ke?” Puan Aida dongakkan kepala Jihan.

“Ibu… Sakit ibu…” Jihan merintih kecil. Dahinya terkerut-kerut menahan rasa sakit. Terasa seperti nak tertanggal kulit kepalanya.

“Sakit lagi hati aku ada anak macam kau!” hambur Puan Aida seraya melepaskan kepala Jihan secara kasar. Sekaligus menyebabkan kepala gadis itu terhantuk sedikit pada pintu.

Jihan pegang kepalanya yang sakit. Tudung yang sudah senget-benget itu dibetulkan kedudukannya.

“Siapa jantan yang hantar kau balik tadi? Siapa jantan tu?”

Jihan terpinga-pinga mendengar soalan Puan Aida. Jantan? Beberapa saat berfikir, barulah dia dapat menangkap maksud soalan itu. Jangan-jangan ibunya nampak dia keluar dari kereta lelaki yang menghantarnya tadi. Lalu wanita itu tersalah sangka.

“Jihan Latifah, jawab soalan aku! Siapa jantan tu? Oh, ni perangai kau selama aku tak ada kat rumah ni? Hah? Keluar dengan jantan, balik rumah dah malam! Apa lagi kau buat sepanjang aku tak ada ni? Bawak balik jantan?” Puan Aida terus menyembur.

“Ibu, Ji boleh jelaskan pada ibu…”

“Jelaskan apa? Aku tak nak dengar apa-apa. Aku nampak dengan mata aku sendiri kau keluar dengan jantan! Apa nak jadi dengan kau ni? Dahlah bodoh, tak bagi aku apa-apa yang boleh dibanggakan. Sekarang, kau menyundal dengan jantan, nak rosakkan nama baik keluarga aku? Anak apa kau ni? Aku menyesal lahirkan kau! Kalau aku tahu kau jadi macam ni, dari kau kecil aku dah bunuh!”

“Ibu!” Suara Jihan naik seoktaf. Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya gugur membasahi pipi. Hatinya bagai ditusuk sembilu. Sakit teramat mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut seorang wanita bergelar ibu.

“Ibu sedar tak apa ibu cakap ni?” soal Jihan, menahan esakannya daripada terlepas.

“Sedar. Aku cukup sedar. Aku memang menyesal, ada anak macam kau.”

Terpejam mata Jihan sebaik ayat itu menyapa gegendang telinga. Nafas ditarik dalam untuk tenangkan diri sendiri. “Apa… Apa Ji boleh buat untuk bahagiakan ibu? Ji… Ji sanggup buat apa je.”

“Betul kau sanggup?” soal Puan Aida. Wajah si anak yang sudah basah lencun dengan air mata, sedikitpun tidak membuat hatinya lembut.
Jihan jatuhkan kepalanya.

“Aku tak nak tengok muka kau lagi.” Sejurus berkata sebegitu, Puan Aida terus berlalu meninggalkan Jihan sendirian.

Lemah kaki Jihan untuk berdiri ketika itu. Hilang saja kelibat si ibu, dia jatuh terduduk di atas lantai.

“Ji minta maaf ibu… Ji minta maaf andai lahirnya Ji ke dunia ni, banyak susahkan ibu ayah. Ji minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki.” Jihan bermonolog sendiri. Titisan air matanya jatuh ke lantai.

“Ji? Hei, kenapa ni?” Rehan yang baru keluar dari bilik terkejut apabila melihat adiknya terduduk di depan pintu utama sambil menangis.

Jihan angkat wajah. Soalan si kakak tidak dijawab. Dia gagahkan diri untuk bangun.

“Kenapa ni? Kenapa menangis?” soal Rehan, memaut lembut bahu adiknya.

Jihan geleng kepala. Tidak berkata apa, dia terus berlalu ke biliknya. Panggilan daripada kakaknya tidak dihiraukan. Masuk ke dalam bilik, pintu dikunci. Kaki bergerak ke arah katil. Jihan duduk di atas tilam. Air mata yang mengalir di pipi dilap dengan hujung tudung. Ya Allah, sungguh dia tidak kuat lagi…

Lima minit duduk, Jihan bangun semula. Dia sudah berfikir sedalamnya. Jika adanya dia di dalam rumah itu hanya menjadi beban, dia akan keluar seperti mana yang dipinta oleh si ibu tadi. Dia sudah cukup penat. Bukan sehari dua dia menanggung semua itu, tetapi sudah berbelas tahun.

Meja solek dituju. Bangku kecil yang terdapat di hadapan meja solek itu diangkat, lalu dibawa ke almari. Dia terus memanjat ke atas bangku tersebut. Tangan meraba-raba di atas almari mencari sesuatu. Sesudah mendapatkan apa yang dicari, dia turun semula. Bangku diletakkan di tempat asalnya. Almari dua pintu itu pula dibuka. Semua pakaian yang tergantung diambil dan dilonggok di atas katil. Sehelai demi sehelai pakaian disumbat ke dalam beg. Usai itu, beg pakaian diletakkan di tepi katil.

Kemudian, tabung berbentuk bunga mawar yang berada di atas meja solek pula dicapai. Mangga yang terdapat pada tabung itu dibuka. Semua duitnya diambil dan dimasukkan ke dalam dompet. Hanya duit siling yang ditinggalkan. 
Selesai segalanya, dia duduk bersandar pada kepala katil. Pejam mata, wajah orang tuanya terbayang di ruang mata. Sejak dia kecil, dia tidak pernah mendapat layanan baik sepertimana yang kakaknya dapat. Apa salahnya? Kerana dia bodoh, tidak layakkah untuk dia mendapat secebis kasih daripada ibu ayah sendiri?

Jihan menarik lutut rapat ke dada. Wajah disembam di celah lutut, lantas tangisan dilepaskan semahunya.

PUAN AIDA mengetuk pintu bilik anak gadisnya itu berkali-kali. Nama gadis itu turut dipanggil. Namun, tiada sahutan daripada anaknya itu. Pintu pun tiada tanda akan dibuka.

“Jihan Latifah! Buka pintu! Buat apa kat dalam tu. Matahari dah tegak, tak reti nak bangun ke?” Puan Aida menjerit sambil mengetuk pintu bertalu-talu.

“Ibu, kenapa jerit-jerit ni?” Rehan yang baru keluar dari biliknya menyoal. Pelik apabila melihat ibunya tidak henti mengetuk pintu bilik adiknya.

“Jihan ni, daripada tadi ibu menjerit ketuk pintu bagai tapi tak bersambut.  Buat apa kat dalam bilik tu agaknya,” bebel Puan Aida sambil bercekak pinggang.

Rehan memandang pintu bilik adiknya. Bergerak menghampiri, dia mengetuk perlahan daun pintu.  “Ji! Buka pintu! Kakak ni!” Giliran dia pula memanggil.

Lima saat…

Sepuluh saat…

Tiada sahutan juga tiada tanda pintu akan dibuka.

“Budak ni memang nak kena.  Siap dia kejap lagi.” Puan Aida bergegas ke dapur. Laci sebuah kabinet di sebelah peti sejuk ditarik. Dapat saja kunci pendua, dia kembali ke bilik anaknya itu. Anak kunci dibenamkan ke dalam lubang pada tombol. Dipulas kasar tombol bulat itu lantas daun pintu dikuak lebar.

“Ji tak ada pun.” Rehan yang masuk terlebih dahulu ke dalam bilik bersuara.

Puan Aida melangkah masuk. Setiap ruang di dalam bilik itu dilihatnya. Ya, kelibat anak gadisnya itu tiada di dalam bilik itu.

Rehan turut mencari kelibat adiknya. Di dalam bilik air tiada. Kertas putih yang berada di atas tilam itu menarik perhatiannya. Perlahan-lahan dia mengambil kertas tersebut. Tulisan yang tertera di atasnya dibaca. 

“Ibu, sini kejap.”

Puan Aida menghampiri Rehan bersama kerutan di dahi. “Kenapa?”

Rehan terus menghulurkan kertas putih di tangannya itu kepada si ibu. 

Puan Aida menyambut. Setiap patah perkataan yang tertera pada dada kertas dibaca teliti.

Assalamualaikum.
Ibu, ayah, kakak…
Di saat surat ini dibaca, bermakna Ji dah tak ada kat rumah ni. Ji minta maaf. Ji buat keputusan untuk pergi kerana Ji sedar, keluarga ni tak perlukan Ji. Ji banyak menyusahkan ibu, ayah dan kakak. Jadi, semoga dengan pemergian Ji, keluarga ni akan lebih bahagia. Terima kasih untuk segalanya. Halalkan makan minum Ji selama ni. Ji minta maaf. 

“Kita nak buat apa ibu?  Ji dah tak ada.  Ji dah lari,” ujar Rehan apabila melihat ibunya hanya diam sebaik membaca surat yang ditinggalkan oleh Jihan.

Puan Aida pandang sekilas wajah Rehan. Tidak berkata apa, dia terus keluar dari bilik itu. Rehan hanya melihat si ibu pergi. Punggung dilabuhkan di birai katil. Dia bagaikan tidak percaya.  Adiknya sudah pergi dari rumah itu. Hatinya dipagut rasa risau. Sepandai manalah gadis sementah Jihan membawa diri di bandar itu. Tarik nafas panjang, dihela perlahan-lahan. Ya Allah, lindungi adiknya…

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro