Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 4

JAM yang melilit pergelangan tangannya dipandang. Sudah pukul tujuh. Jihan pandang pula ke arah jalan raya. Melihat kalau-kalau ada teksi yang lalu. Namun hampa. Memikirkan orang tuanya yang boleh sampai ke rumah pada bila-bila masa, buat Jihan tidak senang berdiri di tepi jalan itu. Silapnya juga. Sibuk sangat mencari kerja, sampai tak sedar hari dah lewat petang. Kerjanya tak dapat juga. Satu keluhan kecil dilepaskan. Telefon bimbit dikeluarkan. Nombor si kakak dicari di dalam senarai kenalan lalu panggilan dibuat. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan kakaknya itu. Namun dia sudah tiada pilihan lain.

Beberapa saat berlalu, panggilan tidak dijawab. Jihan mencuba sekali lagi. Seperti tadi, panggilannya itu tidak juga dijawab. Sedang dia leka dengan telefon, tidak dia sedar sebuah kereta sedang meluru laju ke arahnya.

Pin pin!

Mendengar bunyi hon itu, Jihan menoleh ke kanan. Automatik matanya membulat. Jihan yang dalam keadaan terkejut itu terus pejamkan mata. Jika ajalnya di situ, dia reda.

Lima saat…

Sepuluh saat…

“Kau okay?”

Suara garau itu membuat Jihan tersedar. Mata yang terpejam itu dicelikkan. Sedikit terkejut dia apabila sedar bahawa dia  berada di dalam pelukan seorang lelaki. Jihan terus menolak tubuh lelaki itu menjauh.

“Apa encik buat ni?” soal Jihan, memeluk erat tali beg silangnya.

“Apa? Aku tak buat apa.  Aku cuma tolong selamatkan kau daripada mati katak kat tengah jalan tu.”

Jawapan sarkastik daripada lelaki itu buat Jihan terkedu. Oh, patutlah dia tak rasa apa tadi. Nafas ditarik dalam. “So…sorry.”

“Apa-apa jelah. Pergi dulu.”

Jihan hanya membiarkan lelaki itu berlalu. Seketika, Jihan terfikirkan sesuatu. Agak-agak kalau dia minta tolong lelaki itu untuk menghantarnya pulang, boleh ke? Pandang ke jalan raya, langsung tidak kelihatan kelibat teksi. Waktu pun semakin berjalan. Takkan dia nak terus menunggu saja kan?

Beberapa saat berfikir, akhirnya Jihan buat keputusan untuk meminta tolong lelaki itu. Dia  tiada pilihan lain. Tarik nafas panjang untuk tenangkan diri. Dengan lafaz Bismillah, dia atur langkah menuju ke arah lelaki yang sedang berdiri di sisi kereta sambil bercakap di telefon. Rasa takut yang hadir dibuang jauh-jauh.

Melihat lelaki itu menamatkan panggilan, Jihan dah bersedia nak menegur. Namun tidak sempat apabila lelaki itu terlebih dahulu yang menegurnya.

“Kau buat apa kat belakang aku?”

“Err…” Jihan kelu lidah nak menjawab.

“Apa? Buat terkejut orang je tiba-tiba berdiri kat sini.”

Jihan garu kepalanya. “Maaf…”

“Huh, pelik je. Tepi.”

Jihan tidak berganjak langsung daripada tempat dia berdiri. Dia tarik nafas, lalu dihela perlahan.
“Kau memang…”

“Encik, saya nak minta tolong boleh tak?” Tanpa sempat lelaki itu habis berkata, Jihan sudah memotong. Sekilas dia pandang ke arah lelaki di hadapannya itu. Jelas wajah itu seperti sedang keliru.

“Saya nak minta tolong encik hantar saya balik. Dari tadi saya tunggu teksi, tak ada satu pun lalu. Saya call kakak saya, dia tak angkat. Nak naik Grab, telefon saya tak ada internet. Boleh tak encik tolong saya? Saya minta maaf. Saya terdesak sangat ni,” ujar Jihan panjang lebar.

Senyap.

Jihan mengeluh lemah. “Tak apalah kalau tak boleh. Maaf ganggu encik. Assalamualaikum.” Tidak tunggu lama, Jihan terus atur langkah pergi. Suara azan yang sayup-sayup kedengaran itu menandakan sudah masuknya waktu solat Maghrib. Jihan pandang semula ke jalan raya. Lengang. Ya Allah, macam mana dia nak balik ni…

Sedang hatinya gelisah ketika itu, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapannya. Tingkap di bahagian penumpang hadapan terbuka. Melihat gerangan yang duduk di bahagian pemandu, riak wajah Jihan berubah.

“Masuk!”

Arahan daripada pemandu kereta itu tidak dibantah. Terus dia buka pintu kereta dan melolos masuk. “Ya Allah, terima kasih encik… Terima kasih sudi tumpangkan saya…” ucapnya gembira. Bersyukur sangat.

“Hmm… Rumah kat mana?”

“Encik pandu je dulu. Nanti saya bagitahu nak belok kat mana,” ujar Jihan.

Lelaki itu angguk kecil. Apabila tayar kereta itu mula bergerak perlahan di atas jalan raya, bibir Jihan ukir senyum. Bibirnya terkumat-kamit ucapkan alhamdulillah.

“Aku rasa macam pernah jumpa kaulah,” ujar lelaki itu tiba-tiba.

Senyum di bibir Jihan memudar. Diganti pula dengan kerutan halus di dahi. “Jumpa? Bila? Kat mana?” soalnya ingin tahu. Pandang wajah lelaki itu daripada sisi.

“Kau yang kat pasaraya tu kan? Yang kad kredit tak boleh guna. Betul?”

Jihan diam. Pasaraya? Kad kredit? Matanya membulat. “Encik… Encik yang tolong bayar barang masa tu ya? Ya Allah, tak sangka jumpa encik lagi.”

“Tulah tu. Aku pun tak sangka. Agaknya, setiap kali jumpa kau, mesti ada je yang aku kena tolong ya? Dah macam aku ni penyelamat pula.”

Jihan tergelak kecil. Betul juga apa yang lelaki itu kata. “Hmm, nama encik siapa?”

“Raid Nadhif.”

“Ooo… Nama saya Jihan. Jihan Latifah.” Jihan pula perkenalkan diri.

“Nice name.”

Jihan senyum. Kembanglah juga apabila ada yang memuji namanya. Selama ini, orang kutuk namanya. Kononnya perkataan Latifah itu agak kampung dan ketinggalan zaman. Mahu diapakan. Sudah nama itu yang ibu dan ayahnya pilih. Lagipun, nama Jihan Latifah membawa maksud baik. Jihan, bermaksud kemegahan. Latifah pula bermaksud sopan dan lemah lembut. Indah bukan maksudnya?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro