BAB 58: DAY OF RECKONING
LOKASI: SEKITAR LAUT CHINA SELATAN
WAKTU: MALAM
Mereka bukan Tuhan, penentu segala balasan. Tetapi Tuhan memberi mereka peluang untuk menyempurnakan balasan sehari selepas Zuhal menerima serangan baharu daripada gerombolan penyangak.
Tan Sri Adnan amat faham kesan dan akibat perbuatannya. Tetapi kesabarannya sudah sampai ke puncak.
Kini dia sedang terbang dalam helikopter yang membawa ke satu destinasi. Entah kembali entah tidak. Kejayaan misi ini ditentukan oleh kepercayaan ahli terhadap satu sama lain.
Komander Imran bersetuju untuk membantu dengan menghantar orang-orangnya. Dia juga membantu memudahkan perjalanan udara yang merentasi ruang antarabangsa. Tetapi dia tidak boleh secara rasmi terlibat.
Lalu operasi ini jadi Civilian Arrest.
Disebabkan dalam pasukan penguatkuasa Datuk Sulaiman tidak diketahui siapa sleeper agent penyangak maka dia sendiri terpaksa tidak dilibatkan. Bagaimanapun, akhirnya, polis yang akan dapat nama.
Tan Sri Adnan menoleh ke arah lelaki yang asyik merenung ke luar tingkap, melihat pemandangan yang semakin gelap. Lelaki berwajah dingin, yang banyak disusahkannya demi peperangan korporat - natijah daripada belenggu dendam yang membara.
Kenangannya kembali di saat mereka hendak bertolak menjalankan misi yang entah hidup, entah mati ini.
*****
IMBAS KEMBALI
LOKASI: SEBUAH PULAU DI TENGAH TASIK
WAKTU: MALAM
"Perlukah abang pergi sekali?" soal Puan Sri Mariah ketika melihat suaminya menyarungkan baju kalis pelurunya.
Dia tahu Tan Sri Adnan, semasa muda seorang penembak tepat dalam acara sukan. Memang itu hobinya sehingga tua. Tetapi bukan untuk operasi membanteras jenayah.
"Ayang. Abang expect ayang bagi kekuatan kepada anak-anak kita."
Puan Sri Mariah mengesat air mata.
Perhatian Tan Sri Adnan terganggu dengan kemunculan Zuhal yang lengkap berpakaian sebagai operatif.
"Where do you think you're going Zuhal?" soalnya.
Langkah Zuhal yang dihayun ke arah helikopter, terhenti. "I won't let you go alone!"
"Azem ada," jawab Tan Sri Adnan.
"Papa . . . I can't let this damned curse controlling me. I must fight it," jawab Zuhal "myself."
Mata Tan Sri Adnan melirik ke arah Cempaka yang membantu Azem memakai baju kalis pelurunya. Selesai kerja mudah itu, dia peluk Azem dengan begitu kejap. Macam tak bagi pergi. Tan Sri Adnan senyum senget. Hari tu hentak kaki tak mahu kahwin, konon.
"Cempaka!" Dia memanggil, merosakkan suasana syahdu adiknya yang baru nikah itu.
Cempaka menoleh ke arah Tan Sri Adnan. Kemudian pandangannya beralih ke arah Zuhal. Laju dia mendapatkan Zuhal. Tangan kanannya diletak di bahagian ubun-ubun Zuhal. "It's okay abang long, kalau Zuhal nekad."
"Terima kasih mak su," ujar Zuhal. Tubuh Cempaka dipeluknya seketika.
"Sepatutnya Danny juga pergi papa." Danny mencelah.
"Tidak. Papa yang perlu buat final reckoning dengan dia. Sudah terlalu lama . . ." balas Tan Sri Adnan. "Kamu jaga Mama, Lila dan Opah, di sini."
*****
Tan Sri Adnan tersentak dari lamunannya apabila bodyguardnya, Asri, bersuara. "Tan Sri, sekejap lagi kita mendarat."
"Kamu yakin dia orang tak syak apa-apa ya?" soal Tan Sri Adnan.
"Ini Pulau Peranginan VVIP. Biasa sahaja helikopter turun naik di sini," jelas Asri.
Terdapat sebuah hotel resort mewah dan beberapa bangunan chalet persendirian di Pulau Peranginan itu. Ada chalet yang besar, sehingga boleh muat untuk mengadakan majlis perkahwinan ekslusif dan ada yang comel, hanya untuk dua orang sahaja. Helikopter mendarat tidak jauh dari kawasan resort. Jonathan dan Kaisar serta beberapa ahli SIU yang datang terlebih dahulu sedia menanti dengan pakaian kasual. Baju kalis peluru di dalam. Mereka datang menyamar sebagai pasukan penyelam profesional dan kelihatan santai sedang menikmati barbeque.
"Makan dulu, guys," sapa Jonathan.
Upacara 'makan' itu hanya sebahagian daripada cover mereka. Tetapi mesti dilihat seperti benar-benar satu jamuan.
"Mana Ruslan?" soal Tan Sri Adnan.
Jonathan toleh ke arah sebuah helikopter yang agak besar. Ruslan balik dari Amerika Syarikat kelmarin untuk menyampaikan berita terkini. Tetapi belum sempat dia beri taklimat, sudah dipanggil untuk bersama dalam misi ini. Tetapi orang sepertinya, bukan kenal apa itu jet-lag.
Tan Sri Adnan mahu misi ini tiada cacat celanya. "Is everything in order?"
"Yep. Everything under control . . . Ruslan is handling their security system." Kaisar memberi jaminan. Pandangannya dialih ke arah Zuhal. "How are you bro?"
"Fine. InsyaAllah . . . I'll help Ruslan."
Zuhal tinggalkan kumpulan itu. Dia tidak suka 'diingatkan' dengan penyakitnya.
Tiba-tiba kedengaran bunyi ketawa riang. Rupanya Jonathan sedang mengusik Azem. Tan Sri Adnan senyum. Mesti ada kaitan dengan perkahwinan segeranya kira-kira 48 jam yang lalu.
"Bertuah kau Azem. Dapat jadi adik ipar bos Jerung." Telinga lintah Tan Sri Adnan dapat menangkap butiran usikan Jonathan.
"Korang belum jumpa lagi . . ." balas Azem.
"Ada orang dah jumpa. Tapi orang lain dah cop dulu . . . Hahaha!" Kaisar mengusik.
"Mana ada . . . Selagi belum ada 'Aku terima nikahnya . . ." jawab sosok yang diusik. Jonathan. Sedetik ingatannya terbang ke arah Irdina.
"Entahlah . . . Kerja macam kita ini . . . Tengok bos kita tu . . . Berapa hari sahaja setahun dapat bersama isterinya," ujar Kaisar.
Mereka tahu Kaisar merujuk kepada Komander Imran. Wira-wira ini macam manusia lain juga.
Setengah jam kemudian, Zuhal dan Ruslan keluar dari helikopter.
"Tan Sri . . . Kita boleh gerak dah . . ." ujar Ruslan.
Jonathan yang menjadi Ketua operatif mahu semua persediaan sempurna."Settled?"
"Yep . . . CCTV has been reversed to a scene the day before yesterday. We've got to move fast before they realise it's been tempered," kata Ruslan, sambil tersenyum. "Ada Zuhal di sini, kerja usik sistem mereka lagi mudah."
Empat orang ditinggalkan untuk mengemas, memantau dan mengurus komunikasi. Keempat-empat mereka juga mampu mengendali tiga helikopter yang ada.
*****
Mereka berpecah kepada empat kumpulan. Maknanya, setiap seorang anggota pasukan Tan Sri Adnan diletakkan di bawah pengawasan pegawai SIU. Inilah kali pertama mereka melaksanakan kerja bersama syarikat Perisik Swasta (Private Intelligence Contractors, PIC).
SNAP berdaftar sebagai PIC di Amerika Syarikat yang sekaligus menjalankan kerja sebagai Private Military Contractors (PMC). Selain itu fungsi utamanya menangani industrial espionage atau pengintipan industri menerusi jenayah siber. Ketika Zuhal ditembak di Afrika, dia sedang melaksanakan tugas sebagai PMC.
Jonathan sendiri bertindak sebagai pelindung Tan Sri Adnan. Tugas itu tentu lebih sukar. Walaupun Tan Sri Adnan sangat sihat, tetapi ketangkasan lelaki berusia 60 tahun tentu tidak sama dengan 30 tahun. Zuhal pula bersama Kaisar.
Dua orang pengawal keselamatan warga asing tidak sempat melihat siapa yang menyerang mereka. Keduanya dipengsankan. Tangan dan kaki diikat dengan cable tie. Mulut ditutup dengan pita.
Empat kumpulan menyerbu menerusi pintu yang berbeza. Mereka tiba serentak ke ruang dewan. Gerombolan penyangak yang begitu asyik mengendali komputer untuk kerja jahat mereka terkejut apabila senjata api pelbagai jenama dihalakan ke arah kepala masing-masing.
Suara-suara bengis mengarah mereka berkumpul di satu sudut, termasuk dua orang pengawal mereka yang bersenjata submachine gun.
Selesai urusan itu, sebahagian anggota SIU menyisir satu bilik ke satu bilik, mengeluarkan penyangak dari dalamnya, termasuk yang sedang bersenang-senang dengan pelacur.
"Chief, dia orang tak ada," lapor Kaisar kepada Jonathan.
Ruslan bertanya kepada pengawal penyangak dalam bahasa Hindi. Pengawal itu buat-buat bodoh. Ringan sahaja tangan Ruslan melempangnya. Seorang pengendali komputer cuba melarikan diri, tetapi dapat ditangkap oleh anggota SIU. Juga kena lempang. Lepas itu tiada lagi yang berani bergerak dari tempat masing-masing mencangkung.
*****
Tan Sri Adnan tidak puas hati. Dia percaya manusia yang dicarinya ada di tempat itu. Hanya ini peluang untuk menangkap bajingan itu hidup-hidup. Jika dia terlepas, keluarga Tan Sri Adnan tidak akan aman.
Lalu dia terus masuk ke lorong yang bilik-biliknya sudah diperiksa. Dinding ditekan-tekan. Tiba-tiba lantai terbuka.
Tan Sri Adnan menuruni tangga diikuti rapat oleh Jonathan. Lantai kembali tertutup. Tak sempat mereka yang lain masuk.
Buk!
"Arrgh!"
Buk!
Tan Sri Adnan menoleh. Jonathan sudah tergolek pengsan. Dia terasa satu besi bulat ditekan di tengkuknya. Dia tahu itu pucuk pistol.
"Lama dah aku tunggu. Akhirnya kau datang juga mencari maut." Kedengaran suara mengejeknya. "Drop your gun!"
Suara yang amat dikenalinya.
Tan Sri Adnan berpaling.
"Hahaha! . . . Takkan kau terkejut?"
"Sabri!"
Tan Sri Adnan ditolak keras sehingga terjatuh. Balaclava yang di pakainya diregut kasar. Tangannya disilang ke belakang dan diikat dengan pita. "Tak guna pakai ini kalau nak mati, tetap mati juga."
"Kau dapat hasil bila jadi Ahli Lembaga Pengarah syarikat aku. Hasil titik peluh aku. Tapi kau tetap tamak tanpa batasan." Tan Sri Adnan mendesis.
Tan Sri Sabri senyum senget. "Siapa yang tamak? . . . Kau rebut Mariah daripada aku. Tapi kau curang di belakangnya masa dia mengandung! Kau bukan manusia!"
Tan Sri Adnan terkejut Tan Sri Sabri tahu mengenai perkahwinannya dengan Ummu Fatonah.
"Kau hairan macam mana aku tahu kan?" Tan Sri Sabri terus mencemuh. Dia bergerak beberapa langkah daripada Tan Sri Adnan, sambil menggoyang-goyangkan pistolnya.
"Tak apalah. Sebab kau pun nak mati sekejap lagi, aku bagi tahu . . . Kau tahu dari mana aku boleh dapat modal untuk membeli saham Yusri bila dia kalah main judi?"
"Dia bukan kalah judi. Kamu tipu dia!"
"Okey . . . Okey . . . Betul aku tipu dia . . . Sebab dia bodoh."
Sambil bercakap Tan Sri Sabri berjalan mundar-mandir, seolah-olah sedang berfikir keras. "Aku perlu wang . . . Jadi, aku dapat komisyen daripada Johnson."
Tan Sri Adnan segera dapat menangkap maksud Tan Sri Sabri. "Rupanya kau yang bunuh ibu-bapa Fatonah. Apa dosa dia orang pada kau?"
Tan Sri Sabri tersengih. Langsung tidak nampak kekesalan di wajahnya. "Kau bayangkan . . . Aku membawa hati luka ke Timur Tengah. Aku ingat boleh dapat kerja bagus. Tapi aku kelaparan . . . Tiba-tiba Johnson minta tolong aku rosakkan brake kereta orang yang dia kata merampas hartanya . . ."
"Johnson yang mahu merampas harta kakak dan abang iparnya!" bidas Tan Sri Adnan.
"Aku peduli apa?" balas Tan Sri Sabri. "Apa pun upahnya lumayan . . . Patut dapat bonus jika boleh bawa Fatonah."
Dia menepuk-nepuk kepalanya. "Tak sangka . . . Takdir mempermainkan aku. Fatonah hilang. Dan orang yang larikan Fatonah itu rupanya kau!"
"Ya! Aku selamatkan Fatonah. Aku ambil risiko demi selamatkan dia. Fatonah mangsa kekejaman bajingan macam kau!"
Buk!
Buk!
Buk!
Perut Tan Sri Adnan ditumbuknya berkali-kali. "Diam! Kau curang pada Mariah!"
Kemudian dia berhenti. Mungkin tangannya sendiri yang terasa sakit.
"Danny Putra Mulia . . .! Pandai bini kau bagi nama . . . Hahaha!"
Malam itu Tan Sri Adnan yakin apa yang dia syak selama ini adalah benar. "Berapa banyak darah yang kau nak tumpahkan lagi Sabri? Tak puas hati lagikah kau dah bunuh Yusri?"
"Eh? Apa yang kau cakap ni? Kau ingat kau polis? Hei! . . . Polis pun celah jari aku saja! Hahaha! Aku! Tan Sri Sabri!"
"Kau pengkhianat!"
"Hei! . . . Tolong sikit ya . . . Aku tak ada kena mengena dengan kematian Yusri di penjara. Aku dah puas hati dia duduk di sana seumur hidup sebab bunuh Tokey Tim, rakan kongsi aku."
Tan Sri Adnan membantah. "Dia hanya cuba bunuh. Dia tak bunuh. Yang bunuh itu orang lain . . . Mungkin kau!"
Kali ini Tan Sri Sabri tersenyum dan kemudian ketawa. "Aku businessman. Matlamat menghalalkan cara. Kau pula petualang. Kerja kau menghalang."
"Aku bertindak ikut undang-undang."
"Hahaha . . . Ikut undang-undang konon! Ingat lagi Amanah Supply Chain Sdn Bhd.? Sebab apa kau ambil alih syarikat itu sedangkan aku pemilik syarikat retail online? Aku yang relevan pemilikinya . . . Tapi kau licik. Kau pintas aku."
"Aku Jerung! Kau ikan bilis! Aku berjaya beli sahamnya. Aku dapat pegangan majoriti. Kau kalah!" Sengaja Tan Sri Adnan memprovokasi. Sambil itu dalam hati berdoa, mereka di luar bilik dapat membuka lantai yang tertutup rapat.
"Kau syarikat buat game sahaja!" Sekali lagi Tan Sri Sabri mengejek. Dia tahu Tan Sri Adnan sengaja menyakitkan hatinya dan cuba melengah-lengahkan masa.
"Kau lupa, syarikat aku bukan buat game sahaja. Syarikat aku konsultan untuk buat KMS. Kami ada software. Kami ada R & D. Kau ada apa selain menumpang usaha aku?"
Kata-kata Tan Sri Adnan membuat Tan Sri Sabri semakin berang. Dia menghampiri Tan Sri Adnan dan cuba mencekiknya. Silap dia. Seperti semua anggota SNAP, Tan Sri Adnan pemegang tali pinggang hitam Krav Maga. Dengan menggunakan lututnya, dia menerjang Tan Sri Sabri di bahagian kangkangnya. Tak sempat mengelak, Tan Sri Sabri jatuh tersungkur.
Klik!
Pengawal Tan Sri Sabri meletakkan pistolnya rapat ke leher Tan Sri Adnan.
Tan Sri Sabri bangun walaupun dalam kesakitan. "Aku yang akan bunuh dia . . . But in my own time!"
Jonathan yang sudah sedar, tetapi masih pura-pura pengsan dengan pantas menerkam ke arah pengawal itu, lalu dia jatuh tersembam di lantai. Pistolnya juga terpelanting. Dia cuba mengambilnya. Tan Sri Adnan sepak pistol itu ke arah Jonathan.
Bang! Bang!
Tan Sri Sabri menembak Jonathan. Tetapi dalam berguling-guling itu Jonathan menangkap pistol yang menggolek ke arahnya. Terus dia tembak bodyguard Tan Sri Sabri. Dalam fikirannya Tan Sri Sabri harus ditangkap hidup-hidup.
Melihat pengawalnya tumbang, Tan Sri Sabri lari menuju ke sebuah lorong sambil menembak secara rambang.
Jonathan mengejarnya. Tetapi Tan Sri Sabri terus hilang daripada pandangan, seperti ditelan angin. Jonathan menendang dinding-dinding di lorong itu. Tidak bergoyang langsung. Dia kembali mendapatkan Tan Sri Adnan, yang sudah bermandi darah.
"Tan Sri! You've been shot!" katanya sambil membuka ikatan Ketua Jerung itu.
"My shoulder."
Jonathan membuka bajunya sendiri yang digumpalkan di bahu Tan Sri Adnan untuk memberhentikan darahnya.
"Thanks Jonathan. You saved my life."
"No. God and the vest saved your life, Sir."
Jonathan bangun. Tangannya meraba dinding untuk mencari suis bagi membuka lantai. "Kita kena keluar dari sini."
Bilik kalis bunyi di bawah tanah itu seperti tiada pintu keluar lain.
"Aku yakin Zuhal dapat disable kunci lantai itu," kata Tan Sri Adnan.
Jonathan meneliti alat komunikasinya yang sudah pecah dipijak bodyguard Tan Sri Sabri. "Shit!"
"Cuba doa kepada Allah," kata Tan Sri Adnan. "Maki hamun, otak jadi kecut."
Kedua mereka duduk bersandar di dinding. Menunggu.
"Saya banyak dosa . . ." kata Jonathan, setelah diam seketika. Entah sudah berapa ramai pengkhianat negara yang rebah di tangannya.
"Allah dengar doa semua hambaNya."
Jeda.
"Boleh ke masuk Islam bila sudah nak mati?" Tiba-tiba Jonathan bertanya.
"Bila-bila pun boleh. Mati itu bukan kita yang tentukan," jawab Tan Sri Adnan.
"Saya sudah lama terfikir mengenainya . . . Tan Sri . . . Islamkan saya . . ."
Tan Sri Adnan terkejut. Tapi dia bersyukur. Segera satu jari telunjuk kanan diangkat. "Ikut saya."
*****
FAKTA:
Private Military Contractors (PMC) atau Kontraktor ketenteraan swasta memainkan peranan utama dalam bidang mengumpulkan risikan, melatih misi-misi keselamatan, memberi sokongan teknikal dan teknologi serta keperluan pengangkutan di zon konflik di seluruh dunia.
Firma PMC, terutama yang berpusat di Amerika Syarikat dan United Kingdom berkhidmat di seluruh dunia terutama di zon konflik di Afrika, Timur Tengah dan Afghanistan.
Penggunaan dan pengambilan tentera upahan (Mercenaries) dilarang oleh Geneva International Convention against the Recruitment, Use, Financing and Training of Mercenaries, 1989 (Konvensyen Antarabangsa Geneva terhadap Perekrutan, Penggunaan, Pembiayaan dan Latihan Tentera Upahan, 1989).
Tentera Upahan didefinisikan sebagai mana-mana orang yang direkrut khas dalam atau luar negara untuk berperang dalam konflik bersenjata. Perekrutan orang, untuk keuntungan peribadi, juga dilarang. Menurut konvensyen antarabangsa 1989, mereka yang bukan anggota angkatan bersenjata mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik terbabit akan dianggap sebagai tentera upahan. Mereka harus dianggap sebagai suatu kesalahan bagi semua negara dan harus didakwa atau diekstradisi.
Tentera Upahan tidak mempunyai ikatan dengan syarikat atau Negara. Mereka hanya memperjuangkan wang.
Berbeza dengan Tentera Upahan, PMC bekerja untuk syarikat yang diakui berdaftar dengan pihak berkuasa negara di mana operasi mereka berpengkalan.
PMC berfungsi sebagai perantara antara tentera profesional dan pemerintah.
Krav Maga. Seni bela diri yang berasal dari Israel. Ia diajarkan dalam tentera dan Mossad (perkhidmatan perisikan nasional Israel). Dipercayai ia adalah kaedah yang paling berkesan untuk mempertahankan diri daripada penyerang, sambil menyerang balik.
*****
*Dapatkah Zuhal selamatkan Tan Sri Adnan dan Jonathan?
Atas: Contoh baju kalis peluru yang ada di pasaran.
Bawah: Gambar PMC Rusia beraksi di Syria. Gambar oleh Wartawan Perang Rusia, Oleg Blokhin*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro