BAB 51: KONFLIK
LOKASI: DUA BANDARAYA DALAM NEGARA
WAKTU: SIANG
Hari-hari berikutnya Zuhal amat sibuk menemubual staf untuk pentadbiran dan bantuan teknikal syarikatnya. Semua calon didatangkan dari syarikat SLY. Ini kerana SNAP tidak dapat mempercayai calon staf baharu dari luar, memandangkan The Black Dragon sudah menjalarkan akarnya, membentuk sel-sel, entah sudah sampai ke mana. Dibimbangi mereka mungkin menyamar sebagai pencari kerja.
Akan diambil juga dari SIU sebagai Sleeper Agent untuk agensi tersebut. Itu persetujuan yang telah dibuat antara SNAP dan SIU demi mendapat sokongan agensi itu untuk menubuhkan cawangan di negara ini. SIU mahu pastikan tiada tindakan SNAP yang menyalahi undang-undang pemilikan data dan maklumat negara.
Penubuhan SNAP di peringkat akhir sudah jadi konflik kepentingan. Zuhal menentang orang SIU ditempatkan di SNAP. Katanya itu akan menjejaskan kebebasan syarikatnya. Kalau SIU tak nak sokong, dia tidak akan tubuhkan cawangan. Dia akan bawa Iman ke sempadan Sarajevo dan tinggal di sana. Puan Sri Mariah menangis kerana tidak mahu berpisah lagi dengan Zuhal. Dan pasti tidak mahu berpisah dengan Iman.
Namun akhirnya Zuhal setuju dengan pengaturan pihak Kerajaan, apabila sebagai tukaran, dia, Danny dan Akbar mendapat kad kuasa SIU dan kad pengenalan khas yang berbeza dengan kad pengenalan orang awam. Tetapi dia letakkan syarat hanya mahu Jonathan atau Kaisar yang dia percaya.
Komander Imran sayang dua orang kepercayaannya itu. Tetapi kali ini dia pula terpaksa setuju. Jika SNAP ASIA tidak ditubuhkan di sini, mungkin ia akan dibawa ke Negara jiran. Amat bahaya jika organisasi itu diupah oleh pihak yang mahu 'mengintai' apa yang berlaku di negara ini. Komander Imran sukar mempercayai sesiapapun.
Menang-menang.
Juriah, PA yang paling dipercayai Tan Sri Adnan dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Korporat SNAP. Buat pertama kali organisasi itu mengambil staf perempuan untuk mengendali bahagian komunikasi korporat. Itu dikira satu penghargaan dan kenaikan pangkat bagi Juriah, walaupun ditempatkan dalam syarikat cawangan sahaja.
Semua itu amat memenatkan ahli SNAP. Berbagai risiko terpaksa diambil kira juga untuk meletakkan lokasi fisikal organisasi itu.
Mereka pasti The Black Dragon dan The Empress akan mengetahui lokasi SNAP, walaupun ia menyamar sebagai syarikat solusi teknologi maklumat dan menganalisis data untuk urusan pembuatan keputusan dan strategi perniagaan, yang sering disebut dengan jenama big data analytics.
Justeru, sebelum ahli SNAP dijadikan buruan oleh penyangak, maka sang pemburu harus dihapuskan dahulu.
Kedudukan pejabat dalam premis kompleks pejabat perniagaan menyukarkan pemburu kepala. Mereka yang berhasrat untuk memasuki bahagian pejabat perlu melalui pihak sekuriti yang ketat yang digaji oleh pemilik bangunan.
Pejabat DUMMY SIU juga terletak di bangunan yang sama. Ia dilabel sebagai Jabatan Perlesenan Senjata Api Negara.
Memang tidak ada jabatan itu di situ.
"Congratulations guys!" kata Adrian Vasile melalui video conference yang dilindungi Virtual Private Network (VPN) ciptaan SNAP sendiri.
VPN atau Rangkaian Peribadi Maya melindungi privasi pengguna ketika online. Setakat ini SNAP tidak pernah berjaya ditembusi oleh mana-mana pihak. Kalau adapun pengkhianat mereka sudah 'selamat' dalam perut jerung-jerung di Lautan Atlantik.
VPN ciptaan SNAP tidak ada dalam pasaran. Mereka tidak akan menjualnya walaupun mendapat tawaran harga yang boleh membeli sebuah kapal selam.
"Also congratulations for the coming baby." Adrian Vasile mengusik Danny. "I hope he takes after Mommy."
"What do you mean? Am I not good enough as a daddy?" Danny pura-pura marah.
Semua di situ tahu Danny memang suka mencabar peraturan dan membuat aktiviti gila-gila. Merentas bukitan dengan scrambler , atau terlibat dalam aktiviti dirt-racing sudah jadi kelaziman waktu cuti, bersama Zuhal.
Aktiviti gliding, abseiling, wall climbing, parachuting dan sukan ekstrem yang menjadi keperluan bagi anggota SNAP dianggap oleh Danny seperti keseronokan. Zuhal pula melihatnya sebagai pendekatan untuk mencapai matlamat tugasan yang diamanahkan kepadanya.
Kalau Danny bukan anak Tan Sri Adnan, entah apa jadi kepadanya.
*****
"Thank you for helping this family personally, Imran," kata Tan Sri Adnan.
Wajah Komander Imran yang sentiasa kejung itu nampak seperti urat saraf mukanya sudah jadi longgar. "Dalam SIU tidak ada kerja yang personal, uncle."
Dapat berbual berdua sahaja dengan Komander Imran adalah satu kemewahan masa yang jarang-jarang ditemui. "Tapi ini melibatkan keluarga uncle, dan perniagaan uncle dengan aunty."
Komander Imran geleng kepala, "Salah tu uncle. Kami sudah ada bukti The Black Dragon mahu menguasai ahli politik, khususnya dalam Kerajaan untuk mempengaruhi dasar Kerajaan. Ia bukan lagi peribadi. Lebih-lebih lagi uncle baru dapat tender untuk merangka Sistem E-Learning, bagi semua jenis latihan penjawat awam termasuk angkatan bersenjata."
Tan Sri Adnan menganggukkan kepalanya.
"Sebelum ini uncle sudah dapat projek perintis untuk pembelajaran melalui permainan video bagi murid-murid sekolah rendah," sambung Komander Imran.
"Betul. Kalau projek ini berjaya meningkatkan kebolehan murid-murid untuk menyelesaikan masalah, ia akan diupgrade ke sekolah menengah. Jangkanya ia akan mengurangkan beban guru-guru dalam menilai kebolehan pelajar, kerana program ini guna kaedah self-evaluation."
Besar sungguh harapan Tan Sri Adnan untuk dunia 'INDUSTRI 4.0'.
"Bayangkan kalau The Black Dragon dapat menguasai saham dalam syarikat uncle. Mereka akan menjadi penentu dasar syarikat. Akibatnya secara halus mereka akan mempengaruhi minda pelajar, apabila permainan video untuk pembelajaran itu dimanipulasi." Komander Imran berhujah. "Jadi kes ini bukan personal, tetapi sudah menjadi isu keselamatan negara. Kami terpaksa terbabit kerana ada agensi dalam KDN sudah ditanda merah."
Tanda Merah dalam fail SIU menunjukkan jabatan/agensi berkenaan cuba diceroboh atau terdapat bukti sudah diceroboh musuh negara.
"Asalnya kita hendak memudahkan kehidupan manusia." Suara Tan Sri Adnan sedikit bergetar kerana menahan emosi yang marah dengan sikap penjawat awam yang gelap mata dengan sedikit habuan yang ditawarkan penyangak.
"Selamat datang zaman total digital living," kata Komander Imran sedikit sinis.
"Ia akan sampai juga . . ." balas Tan Sri Adnan.
"Malangnya manusia tetap mahu berbunuhan, walaupun mereka ada peluang untuk berbaik-baik."
"How serious it is?"
Komander Imran tahu siapa yang dimaksudkan Tan Sri Adnan. "Threats on both Zuhal and Iman are, indeed, very serius."
Tan Sri Adnan bangun dan melihat ke luar tingkap. Dari pejabatnya dia boleh nampak bangunan yang menempatkan pejabat Zuhal.
Setelah percaya Datuk Raduan bukan lagi ancaman, dia minta Zuhal pulang untuk membina pejabat di tanah air sendiri. Tan Sri Adnan guna Iman sebagai umpannya.
Zuhal memang kalut apabila diberitahu hubungan cinta Iman dengan Kenny. Lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan kebocoran maklumat syarikat.
Manusia hanya boleh merancang.
Ternyata Zuhal tidak dapat menahan diri . . .
Tan Sri Adnan senyum nipis. Baru sahaja mereka mahu mengecapi kemanisan alam perkahwinan, timbul pula isu ini.
Kemunculan Suzanna memang di luar jangka, kerana dia bukan dari keluarga Datuk Raduan. Ia satu kejutan bagi Tan Sri Adnan. Dia langsung tidak terfikir budak muka penuh jerawat itu obses dengan Zuhal, sehingga sanggup menjalani pembedahan plastik untuk kelihatan cantik seperti bintang drama Korea.
Sungguh. Dia terkejut anak rakan sekuliah universiti di Indonesia itu, boleh bertukar daripada manusia menjadi raksasa.
"Kami syarikat yang bergantung kepada untung dan rugi sebagai survival. Kami mesti bertindak dengan pantas," ujar Tan Sri Adnan. Pandangannya masih dihalakan ke arah bangunan itu. Dia memiliki saham minoriti dalam syarikat Tuah Group of Companies, pemilik bangunan tersebut.
"Suzanna ni memang menyusahkan," ujar Komander Imran. "Perempuan itu sangat licik. Mungkin sekarang dia berjalan ke sana sini menyamar sebagai lelaki."
Tan Sri Adnan, teringat bicaranya dengan Adrian sebentar tadi. "Kata Adrian dia anggota The Black Dragon yang dipercayai Zhou Weng dan memiliki kelebihan amalan ilmu hitam."
Komander Imran mengangguk. "Gabungan sihir Nusantara dan Asia Timur. Itu juga faktor menyukarkan kami untuk menangkap semula dia."
Tit tit!
"Budak-budak dah sampai," kata Tan Sri Adnan setelah melihat skrin di hadapannya. Budak-budak itu maksudnya Zuhal dan gerombolannya.
*****
Datuk Sulaiman memandang ahli pasukannya dan pemberita serta wartawan media antarabangsa di hadapannya. Dia pasti ramai yang mahu tahu berita terakhir tentang serangan terhadap Setiausaha Politik Menteri yang jaga komoditi itu.
Tadi dia sudah berkonflik dengan Komander Imran yang mahu menyimpan maklumat itu. Datuk Sulaiman mahu pasukan polis dilihat telus dalam siasatan mereka. Dia tidak setuju pandangan Ketua SIU itu. Pandangan Komander Imran diveto oleh Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara (MKPN).
Datuk Sulaiman masih tidak puas hati dengan Komander Imran. Dia syak Komander Imran tahu identiti perempuan yang terlibat dalam episod tembakan di bandar kecil dekat Belum yang berakhir dengan tangkapan tiga orang anggota The Black Dragon warga asing. Komander Imran seperti melindungi perempuan itu#
Dia menoleh ke arah Akbar yang berdiri tidak jauh dari situ memakai pakaian orang awam. Maklumat yang baru diterima dari unknown sender tentang hubungan Akbar dengan Irdina sedikit mengganggunya.
Dia akan tanya anaknya bila balik ke rumah nanti.
Datuk Sulaiman sangat profesional dan tidak mahu dikaitkan dengan nepotisme, kronisme dan seumpamanya. Akbar dilihatnya sangat cekap. Sayang kalau dia terpaksa dikeluarkan daripada pasukannya.
Seperti biasa persidangan media itu disiarkan secara live di beberapa media sosial.
Setelah selesai memberi penerangan kepada media, sesi pertanyaan bermula.
"Datuk, adakah Datuk Jalal ini anggota The Black Dragon, atau hanya syak wasangka pihak polis sahaja?"
"Kami mempunyai bukti kukuh bahawa Datuk Jalal ada hubungan rapat dengan contact person The Black Dragon," jawabnya.
"Jadi dia bukanlah ahli The Black Dragon?" soal pemberita itu lagi.
"Kami sedang memburu mereka yang masih bebas untuk menyokong bukti yang sedia ada." Datuk Sulaiman sengaja mengelak daripada menjawab soalan pemberita itu.
"Bagaimana keadaan Datuk Jalal sekarang? Di mana dia ditahan?' soal wartawan luar negara pula.
"Datuk Jalal semakin sihat. Dia ditahan dalam program PERLINDUNGAN SAKSI KRITIKAL kami," jawab Datuk Sulaiman.
"Jadi, maknanya Datuk Jalal tidak akan didakwa dalam Akta Penderhaka sebagai pengkhianat negara?" soal wartawan itu lagi.
"Jadi saksi tak semestinya dilepaskan daripada pendakwaan," jelas Datuk Sulaiman.
Pemberita terus mendesak Datuk Sulaiman untuk menjelaskan mengenai status siasatan terhadap The Black Dragon sehingga sesi persidangan media itu ditamatkan.
Datuk Sulaiman kembali ke pejabatnya. Dia rasa nak maki Komander Imran kerana menyimpan beberapa maklumat penting.
Mengapa Suzanna hendak membunuh Datuk Jalal kalau mereka dalam gerombolan yang sama?
Soalan itu dia tidak dapat jawab.
Dia panggil Akbar.
"Syed Akbar. Saya mahu awak jauhkan diri daripada anak saya Irdina, selagi awak berada dalam unit saya," katanya, terus terang.
Akbar terkejut. Bagaimana dia tahu?
"Jangan tanya dari mana saya dapat maklumat ini. Irdina masih belajar. Dia tidak perlu terdedah dengan kerja berbahaya awak," tegasnya.
"Saya kenal dia sudah lama Datuk . . ." jawab Akbar. Tidak. Dia tidak akan putuskan hubungan dengan Irdina.
"Sejak bila?" soal Datuk Sulaiman. Irdina di Johor Bahru. Akbar di Ipoh, fikirnya.
"Saya hadir masa pertunangan Iman dengan Zuhal, anak saudara Tan Sri Adnan."
Datuk Sulaiman teringat Irdina pergi ke Ipoh tidak berapa lama dahulu kerana hadir majlis pertunangan best friend, katanya. Dia tidak tahu best friend itu anak angkat Tan Sri Adnan, bilionaire terkenal di seluruh negara. Inilah masalahnya, apabila terlalu sibuk dengan urusan negara. Urusan rumah tangga dia serah bulat-bulat kepada isterinya.
"Macam mana awak boleh hadir majlis itu?"
"Saya kawan dengan Zuhal," jawabnya berterus terang.
Datuk Sulaiman renung wajah lelaki muda di hadapannya. Dia terpaksa mengaku lelaki itu memang sangat kacak. Standard peragawan. Tidak hairan jika anaknya jatuh cinta dengan lelaki ini. Mustahil dia ahli SNAP yang ganas itu. Tetapi dia tetap bertanya juga. "Maknanya awak ahli SNAP?"
Akbar tidak boleh mendedahkan dia ahli SNAP. Dia menarik nafas panjang dan menjawab dengan berhati-hati.
"Zuhal tangkap saya masa saya memantau jerung di Lautan Atlantik. Saya aktivis NGO Penyelamat Jerung. Sejak itu kami jadi kawan."
Datuk Sulaiman mahu tahu apa yang dibuat oleh pasukan Zuhal di Lautan Atlantik. Tetapi soalan itu tersekat di kerongkongnya. Cerita Akbar kena tangkap dan terus jadi kawan itu pun dia kurang percaya. Tetapi, jika ditanya pun, dia pasti akan dapat jawapan bohong. Biar dia siasat sendiri.
Dia syak Akbar bukan seperti yang ditulis di dalam Curriculum Vitae yang diserahkan oleh Komander Imran kepadanya.
"Apapun, awak kena jauhkan diri daripada Irdina. Dua tahun sahaja," tegasnya.
'Dua tahun sahaja'. Maknanya, bukan Datuk Sulaiman menghalang terus. Itu tafsiran Akbar.
"Saya tak mahu orang kata saya mengamalkan nepotisme," sambung Datuk Sulaiman. Nada ketegasan suaranya dikendurkan.
Akbar tidak kata 'ya' dan tidak juga membantah. Dia mahu elak konflik, lebih-lebih lagi dengan bosnya a.k.a. bakal bapa mentua.
"Terima kasih Datuk . . . Er . . . Datuk nak tanya apa lagi?" soalnya.
"Tak ada lagi."
Akbar merasa sedikit kelegaan. Masih ada cahaya di hujung terowong cintanya. Ketika membuka pintu untuk keluar, Datuk Sulaiman mengingatkan:
"Kalau jodoh tak ke mana, Syed Akbar. Awak berdua muda lagi."
Pintu ditutup.
"Apa pasal budak ni ucap terima kasih? Aku dah cakap apa?" Datuk Sulaiman bermonolog.
*****
# Dikisahkan dalam BAB 33.
*****
*Hang gliding di waktu malam"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro