Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 5: RINDU

LOKASI: RUMAH AGAM DI TEPI HUTAN HULU PERAK

WAKTU: PAGI

Ketika turun sarapan Cempaka lihat Asyraf memakai baju-T berkolar dan seluar jeans. Sepertinya Asyraf tidak pergi kerja. Kamariah melihat anaknya dengan wajah tertanya-tanya. Ini bukan hujung minggu. Nak ke mana pula Asyraf?

"Kamu tak kerja hari ini Asyraf?" soal Kamariah.

Asyraf tersentak apabila ditanya oleh ibunya. "Tak mak."

"Alang nak ke mana?" soal Cempaka pula.

Selalunya kalau merawat pesakit di luar klinik, Asyraf akan memakai baju kemeja putih lengan pendek, seluar slack.

"Alang nak ke Ipoh."

Cempaka senyum. "Nak jumpa Kak Nur ke?"

"Kalau sempat."

Maknanya bukan itu tujuan Asyraf.

"Bila kamu nak bawa Nur masuk rumah ini?" soal Kamariah lagi.

Itulah soalan cepumas Kamariah yang tidak pernah mendapat jawapan tepat daripada Asyraf. Ada-ada sahaja alasannya.

"Kamu tu semakin lama semakin tua . . ." leter Kamariah.

"Macam mana Alang nak kahwin dengan dia mak? Nur tak bercerai dengan suami dia . . ."

Kamariah mendengus.

"Dah bertahun-tahun, takkan tak boleh tuntut fasakh?"

Asyraf diam.

"Mungkin nasib Alang, bujang sampai mati . . ."

"Ramai perempuan lain sedia jadi isteri kamu. Tapi kamu nak juga Nur," bebel Kamariah lagi.

Wajah Asyraf berubah jadi mendung. Dia seorang doktor perubatan. Tentu tak kurang gadis yang ingin mengambil dia jadi suami. Usia sudah menjejaki 4 siri. Kira bujang terlajak, walaupun masih handsome, sebab jaga badan.

"Mak . . . Sabar ya . . ." Cempaka memujuk.

Kamariah berpaling kepada anak perempuannya. "Hah kamu pula . . . Sampai bila nak tolak pinangan orang?"

Cempaka tunjuk muka selamba. Nasi lemak disuap dengan tenang. Biarlah Emak berleter. Hatinya langsung tidak terbuka menerima cinta mana-mana lelaki. Baginya mereka seperti haiwan, penuh nafsu, tetapi tiada tanggungjawab.

"Kalau kamu kahwin, lepaslah tanggungjawab abang kamu ni. Kamu tak kesian pada Asyraf ke?"

"Tak apa mak, Alang pun tak kisah jaga Cempaka." Asyraf mencelah.

"Alang nanti beli laksa Kuala ya," ujar Cempaka.

"Sama saja kamu berdua ni. Seorang asyik keluar daerah, merawat orang. Seorang asyik masuk hutan, merawat binatang. Macam dah berkonspirasi dengan mak." Kamariah mengomel. 

Dia tahu sangat sikap anak-anaknya yang akan mengubah tajuk bila perkara kahwin dibangkitkan.

Cempaka senyum simpul. Wajah abangnya yang mengelamun direnung.

Kenangan Asyraf melayang kepada sosok yang disebut oleh Kamariah: Nur Saadah. Dia mengenali Nur Saadah setelah pulang dari belajar di luar negara dan bertugas sebagai doktor di Selangor, sebelum bertukar ke Perak.

*****

IMBAS KEMBALI

LOKASI: TAMAN KANAK-KANAK ELITE HEIGHTS

WAKTU: PETANG

Sudah beberapa kali Asyraf nampak perempuan itu. Dia duduk termenung di kerusi di Taman Permainan Kanak-Kanak itu setiap kali Asyraf berjogging di situ pada waktu petang. Wajah perempuan itu kelihatan sugul dan sekali sekala menyeka air matanya. Dia akan ada di situ pada setiap hujung minggu. Entah siapa yang ditunggunya. 

Asyraf tidak tahan lagi tertanya-tanya. Tetapi jika dia tegur perempuan itu, takut pula kena maki. Mana tau, perempuan itu mungkin ingat dia perogol bersiri.

Semakin lama semakin terdesak hatinya ingin berkenalan dengan perempuan itu.

Akhirnya, peluang itu tiba juga.

Petang itu dia nampak perempuan itu memicit-micit dahinya. Dia mendekati perempuan itu yang dilihatnya pucat, seperti menanggung kesakitan

"Maaf cik mengganggu . . . Cik sakit ke?"

Perempuan itu mengangkat mukanya. Matanya berkaca-kaca. "Tak ada apa-apa. Saya okey."

"Saya doktor."

"Oh! . . . Saya okey, doktor," katanya dan terus bangun.

Perempuan itu tiba-tiba rebah. Sempat Asyraf memegangnya sebelum dia jatuh tersembam ke atas batu-batu kecil yang bertaburan di situ.

Asyraf periksa nadi perempuan itu lemah. Terus dibawanya perempuan itu ke hospital di mana dia bertugas.

Di situlah bermulanya perkenalan dia dengan Nur Saadah, ibu kandung Iman.

Daripada persahabatan, berputik menjadi cinta.

*****

Setahun kemudian.

"Nur tak boleh kahwin dengan abang."

"Kenapa?"

"Nur masih belum bercerai dengan suami . . ."

Menyirap darah Asyraf yang selalunya tenang itu. Mana boleh dia bercinta dengan isteri orang? Marah dan malu menyerang hatinya, silih berganti.

"Kenapa Nur tak berterus terang masa kita mula berjumpa dulu?"

Nur Saadah sudah menangis tersedu-sedu.

Barulah Asyraf tahu, Nur Saadah dibawa oleh bapanya seorang Mujahidin ke Negara Asia Tengah selepas habis tingkatan tiga. Nur Saadah dibawa keluar Negara kerana ibunya sudah meninggal dunia. Malangnya bapa Nur Saadah terkorban dalam satu pertempuran di negara yang bergolak dengan perang saudara itu. 

Nur Saadah diambil oleh satu keluarga Mujahidin dan dikahwinkan dengan seorang Ketua Klan, Farooq Khan. Klan itu mahu zuriat. 

Nur Saadah bukan satu-satunya isteri Farooq Khan. Hidupnya tertekan kerana dia bangsa asing. Akhirnya ketika sarat mengandung, Nur Saadah berjaya mendapatkan bantuan daripada satu Badan Kemanusiaan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membawanya pulang ke Malaysia.

Anaknya dilahirkan di Malaysia. Nur Saadah bekerja di Pusat Pelarian di Malaysia. Tetapi jejaknya dikesan oleh suaminya kerana mereka mahu mengambil anaknya. Isteri pertama Farooq Khan mandul.

"Nur serahkan anak Nur pada seorang budak," jelas Nur Saadah.

"Budak itu kulit cerah, mata kelabu, macam anak Mat Salleh?" soal Asyraf. Dia tahu apabila Nur Saadah sebut nama suaminya Farooq Khan. Selama ini Asyraf sangka kesamaan nama itu hanya kebetulan.

"Ya . . . Tapi dia cakap Melayu . . . Budak Melayu," tegas Nur Saadah.

"Jadi Nur ke taman itu mencari budak itu?"

"Ya . . ."

"Kenapa baru sekarang?"

Kata Nur Saadah, setelah menyerahkan anaknya kepada budak itu, dia lari bersembunyi. Nasibnya baik dia dapat pekerjaan sebagai pembantu di sebuah taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) yang menawarkan sebuah bilik untuk tempat tinggal. Dengan wang simpanannya dia belajar sendiri dan mengambil SPM dan STPM.

Dia lulus dan berjaya memasuki universiti di selatan tanah air dalam bidang perguruan. Pengalamannya sebagai pembantu TABIKA menambah merit untuk mendapatkan tempat di universiti berkenaan. Kerana berada jauh, Nur Saadah tidak dapat menjenguk Taman Kanak-Kanak itu untuk mencari anaknya.

Tetapi setelah tamat pengajian, Nur Saadah kembali dengan pencariannya. Tetapi langsung tidak dapat ditemui jejak budak itu. Dia pasti kenal budak itu, kerana anak matanya yang unik. Dia juga kenal anaknya kerana Iman mewarisi mata ayahnya.

Asyraf senyum kelat. Tentulah tak jumpa. Ketika itu Zuhal sudah dihantar ke Amerika Syarikat.

Pada hari dia pengsan, Nur Saadah mendapat surat dia akan mengajar di Hulu Perak. Sekali lagi dia ditempatkan jauh dari kawasan dia meninggalkan anaknya. Itulah yang memberi tekanan kepadanya sehingga jatuh sakit.

Ketika bercerita Nur Saadah menangis tak berhenti.

"Kenapa Nur tak minta fasakh?"

"Nur tak tahu caranya. Kami kahwin di luar negara. Nur tak ada dokumen perkahwinan. Bagaimana kalau Nur ditangkap polis? Lagipun . . . Farooq nak ambil anak Nur . . . Dia sangat berkuasa."

"Jadi sekarang . . . Apa tujuan Nur mencari anak Nur? Nak ambil dia balik?"

"Nur nak tengok dia saja . . . Macam mana keadaan dia."

Lama Asyraf terdiam. Hati lembutnya tak sampai hati membiarkan Nur Saadah menangis setiap kali mencari anaknya.

"Abang tahu di mana anak Nur."

Wajah yang tadi sugul serta merta berubah menjadi ceria.

"Abang tolong bawa Nur tengok dia. Dari jauh sahaja . . ."

Nur Saadah percaya dia masih diintip oleh suaminya. Kalau dia rapat dengan anaknya, mungkin anaknya akan diculik dan dibawa keluar negara.

Sejak itu sebulan sekali, Nur Saadah meminta Asyraf membawanya melihat Iman dari jauh. Di sudut hatinya dia takut Iman akan menolaknya kalau berterus terang. Maklumlah, Iman sekarang anak orang kaya.

Maknanya hari ini sudah lebih satu dekad Asyraf bercinta dengan Nur Saadah. Cinta terlarang yang tidak boleh disatukan dengan akad nikah. Cinta yang membuat keduanya derita.

Tetapi kini Asyraf sudah nekad. Perihal melihat anak sendiri secara bersembunyi harus ditamatkan. Walaupun Iman langsung tidak peduli untuk mencari ibunya, dia perlu diberitahu bahawa ibunya masih hidup.

Nur Saadah mesti menuntut fasakh daripada suaminya, fikir Asyraf. 

Dia akan mendapatkan bantuan kawan-kawannya di Wisma Putra.

*****

Anak mata kelabu kehijauan lelaki yang sedang duduk tegak di hadapannya direnung. Wajah lelaki itu langsung tidak menunjukkan apa-apa emosi. Dia bagai patung hidup. Hanya nafas yang turun naik. iPAD yang disuakan Asyraf ditutupnya.

"Itu yang pak lang dapat," kata Asyraf.

Zuhal mendengus.

Asyraf tahu Zuhal sedang berperang mengawal emosinya. Marahnya kepada Kenny kini mungkin berganda-ganda. Bukan hanya disebabkan serbuk ecstasy yang ditemui pada air minuman Iman, tetapi ternyata Kenny juga suka berpeleseran. Gambar-gambar yang diambil oleh orang suruhan Asyraf jelas menunjukkan perbuatan Kenny yang tidak bermoral itu. Kenny mungkin hanya mempermainkan Iman.

"Pak lang rasa semua ini tak akan dapat menjauhkan Iman daripada Kenny."

"Kenapa tak boleh? Bukankah ini menunjukkan Kenny curang?" soal Zuhal. 

Dia berdiri sambil kedua tangan digenggam. Mahu rasanya dia tumbuk Kenny sampai hancur lumat, kalau lelaki itu ada di hadapannya.

"Berani dia buat hal di belakang Iman!"

"Orang belum kahwin nak curang apa?" soal balik Asyraf.

"Belum kahwin kalau dah boy friend-girl friend kena setialah," kata Zuhal sambil tangan kanannya membuka iPAD dan menutupnya semula.

Tak sanggup dia melihat gambar Kenny sedang berasmara dengan perempuan entah siapa-siapa di kelab malam. Kalau Iman nampak, pasti dia kecewa.

"Tetapi lebih baik Iman kecewa sekarang daripada kemudian hari."

"Iman sendiri yang harus dengan suka rela memisahkan diri daripada Kenny. Kalau kita paksa memang tak menjadi. Kalau hati Iman luka juga tak menjadi," Asyraf mempertahankan pendiriannya.

Sekali lagi Zuhal mendengus.

Tetapi Asyraf tetap mengajak Zuhal melihat dari sudut lain. Tindakan balas harus menyongsang, bukan selari. Jika selari ia tidak akan bertemu di hujungnya.

Lawan api dengan api.

Api akan membunuh api.

"Tidak semestinya jika Iman kecewa dia akan mencari ketenangan dengan keluarga kita. Bagaimana kalau dia jadi macam Mak Su Cempaka?"

Tangan kiri Zuhal tiba-tiba menyentuh dadanya sendiri. Tangan itu digenggamnya. Asyraf memerhati tingkah laku Zuhal dengan teliti.

"Are you alright, Zuhal?"

"Yeah! I'm okay."

"Kita mesti tenang menghadapi situasi ini."

"Zuhal rasa, hubungan Kenny dengan Iman ada kaitan dengan kebocoran rahsia syarikat kepada AMRA IT."

"Tapi kita tiada bukti, Kenny yang bocorkannya, kan?"

Zuhal geleng kepada.

"Jadi, sekarang atas usaha kamu untuk pisahkan mereka," tegas Asyraf.

"Zuhal nak buat macam mana?"

"Takkan itupun pak lang nak ajar?"

"Arghh!"

Zuhal menserabutkan rambutnya.

Asyraf tahu Zuhal masih mengalami masalah anger disorder yang ditanggungnya. Ia berlaku jika dia tertekan. Perihal hubungan Iman dan Kenny telah mengembalikan tekanan yang dahulu disangkanya sudah dapat dikawal. Zuhal ibarat tubuh yang sempurna di luar tetapi berserabut di dalam. Kini puncanya Iman.

Asyraf tahu Zuhal sangat menyayangi Iman. Mungkin juga cinta dalam diam, fikirnya.

Zuhal pun bukan ada teman wanita. Perwatakannya yang dingin tidak membuka ruang dalam hatinya untuk wanita. Lebih-lebih lagi setelah sedar daripada koma. Zuhal semakin dingin dan sangat kurang bercakap. Dia hanya sibuk menguatkan keadaan fisikalnya, dan tidak peduli tentang emosinya.

Zuhal teringat janjinya untuk membelikan kereta jika Iman sanggup kembali belajar. Dia mampu membelikan kereta itu. Tetapi bila mengenangkan ia mungkin akan digunakan bersama Kenny, hatinya sakit. Terasa bodoh pula bersetuju untuk membelikan Iman sebuah kereta.

Kerugian kerana kebocoran maklumat mengenai produk baharu syarikat menambah lagi kemarahan Zuhal.

Kenny mendekati Iman hanya kerana mahu mengorek rahsia produk syarikat. Kini semuanya tertimpa atas kepala Kenny.

Zuhal tidak benarkan Iman terus-menerus diperdaya Kenny. Dia mesti pisahkan mereka.

Zuhal tekan beberapa nombor. Mod audio ditekan.

Iman: Ya . . .Abang . . . Apa hal?

Kedengaran suara ceria Iman di sebelah sana.

Zuhal: Iman tengah buat apa tu?"

Iman: Takde apa. Kan abang dah buang kerja Iman?

Sindiran Iman itu diabaikannya.

Zuhal: Iman . . . Hujung minggu ni kita pergi berkayak nak?

Wajah Asyraf dijeling. Asyraf mengangguk.

Iman: Ha? Kat mana?

Suara Iman jelas teruja.

Zuhal: Kat resort keluarga. Kat situ kan ada tasik?

Iman: Nak! Nak! Nak! 

Kedengaran Iman menjerit gembira.

Zuhal senyum sekilas. Jari-jari tangan kiri menyisir rambut yang tadi diserabutnya.

Zuhal: Pak Lang Asyraf dengan Mak Su Cempaka pun ada.

Iman: Okay . . . Best!

Zuhal mahu pastikan Kenny tidak tahu mengenai rancangan riadah itu. 

Zuhal: Ini rahsia kita berempat saja tau.

Iman: Abang kat mana tu? Kenapa tak terus saja bagi tahu Iman?

Zuhal: Abang out station. Nanti Khamis abang balik. 

Dia Bohong sekerat.

Iman: Okey . . . Iman sayang abang . . . Muah-muah-muah!

Wajah Zuhal yang tadi kejung sudah berubah kepada senyuman. Dia tutup telefon bimbitnya. Wajah Asyraf pula dipandang meminta sokongan.

"Pak lang dengan mak su kena ikut sama jadi chaperon kami," kata Zuhal.

"Zuhal ada urusan apa lagi?"

"Kami nak buat Press Conference di Ibu Negara petang ini. So, Zuhal nak ke sanalah." Dia menoleh ke arah figura ketiga yang tak berdecik sepatahpun sepanjang pertemuan itu. Bodyguard setianya, Azem.

"Moleklah gitu. Kita cuba selesaikan masalah kita one by one. InsyaAllah, everything will be fine."

Asyraf senyum. Urusan dengan Zuhal selesai. Mereka bangun serentak. Dia peluk Zuhal kejap, sambil belakang Zuhal ditepuk-tepuk untuk memberi semangat.

Kemudian dia menuju ke scramblernya. Keterujaan untuk bertemu Nur Saadah jelas terpancar di wajahnya.

Untung jadi guru sekolah. Kerja setengah hari. 

*****

*Terima kasih kerana membaca!*


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro