Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 45: DAPUR COO

*Dalam Bab ini Suhail Faris muncul sebagai tetamu istimewa*

LOKASI: KAWASAN PERUMAHAN ELITE HEIGHTS 

WAKTU: SIANG

Pagi itu buat pertama kali Iman menyediakan sarapan untuk Zuhal. Menu telur scramble, sausage dan roti bakar. Minuman pula jus epal dan kopi segera. Susu dan cereal di letak di atas meja.

Nampaknya lambat lagilah aku nak merasa makan nasi lemak atau mee goreng untuk sarapan, fikir Zuhal. Nasib baik dia tidak mengharap apa-apa keajaiban daripada Iman.

Mereka sarapan bersama. Iman makan sambil sebelah tangan membuka buku resepi dalam iPad. Zuhal letak tangannya di atas tangan Iman.

"Tengok buku resepi kemudian. Sekarang waktu makan," katanya.

iPad ditutup. Iman senyum. "Casserole tu nampak macam sedap."

"Belajar masak nasi goreng dulu Iman."

"Abang ni langsung tak bagi semangat Iman nak belajar masak."

"Okey . . . Abang bagi semangat. Tapi mula dengan masakan mudah dahulu." Zuhal mahu menyambung, kalau cuba masakan canggih, tapi tidak boleh dimakan, buat apa? Tetapi dia fikir, biarlah ia disimpan di dalam hatinya sahaja. Bukan baru hari ini dia kenal Iman.

"Iman nak ikut Kak Som pergi pasar."

"Tak payah. Petang ni, pergi dengan Abang." Laju Zuhal memintas.

Iman senyum lagi. Wah! Bahagianya. Boleh dia tayang suaminya pada kawan-kawannya di Jabatan lama di SLY. Dia sudah terfikir untuk menghantar mesej kepada mereka. Tentu mereka jealous dia benar-benar dapat 'menangkap' COO syarikat itu. 

Dengan segera dia setuju. "Janji ya?"

"Janji," jawab Zuhal seraya bangun. "Kalau nak buat nasi goreng, Iman kena masak nasi dulu, kemudian sejukkan."

"Nasi panas tak boleh ke?"

"Nasi panas nanti jadi soggy."

Sebelum meninggalkan penthouse itu untuk pergi kerja, Iman cium tangannya. Zuhal cium dahinya.

Pap!

Tiba-tiba bahunya ditepuk kuat. Zuhal terkejut. Suspek yang menepuknya mengambil tempat di kerusi sebelahnya.

"Lamanya kau berangan. Siap senyum-senyum lagi."

Zuhal merenung wajah Danny yang tersengih macam kerang rebus.

"Tak senang nak nikmati private moments."

Danny ketawa. "Tak cukup private moments di penthouse, ke?"

Zuhal abaikan usikan Danny. "Awal kau tiba. Dah pindah sini?"

Danny menyandarkan tubuhnya, gaya santai. Maklumlah anak 'Big Boss'. "Dah. Malam tadi."

"Lila macam man? Dia okey duduk di sini?"

"Mana aku pergi, di situlah dia."

"Kondo kau tu kau sewakan ke?"

"Aku buat homestay. Dapat juga income . . ."

"Kau memang anak Tan Sri Adnan. Dalam otak tu asyik kira duit saja."

Terus Danny nafikan. "Hisy! Tak adil kau tuduh aku begitu."

"Hakikat. Bukan tuduhan."

"Kondo aku tu bukan sophisticated macam penthouse kau. Eh, bila nak buat house warming ni?"

Mendengar istilah house warming, ingatan Zuhal kembali kepada perbalahan kecil malam tadi. Hampir-hampir perbalahan itu membawa dia kegersangan hingga ke pagi. Mujur Iman jenis mudah merajuk, mudah dipujuk.

"Berhentilah pusing-pusing pointer pen tu. Juling mata aku dibuatnya." Lantas tangan Zuhal ditangkapnya.

Zuhal menghentikan perbuatannya. Pointer pen iPad diletak tepi. Hanya Danny yang berani menegur Zuhal begitu.

"Aku risaukan Iman."

"Kan? Tau dah!" Danny merapatkan kerusinya. "Apa jadi?"

"Dia macam terpengaruh dengan Farooq."

Sukar Danny hendak menghadam kata-kata Zuhal. "Macam mana? Bukan ke hari tu dia marah dengan orang tuanya sampai pengsan?"

"Kau tahu tak Farooq tu pakar strategi perang psikologi yang dilatih kuasa-kuasa besar?"

"Maksud kau macam Osama Ben Laden?"

Zuhal mengangguk. "Lebih kurang macam tu. Kalaulah sejarah Osama itu benar."

Danny dapat melihat di mana kerisauan Zuhal. "Ya . . . Dulu US dengan sekutu Arabnya konon membantu Mujahiddin untuk halau komunis Rusia dari Afghanistan. Bila dah menang, Mujahiddin ditinggalkan, dilabel teroris. Farooq menanggung akibat naratif itu."

"Entahlah . . . Istilah teroris sudah jadi subjektif."

Kedua sahabat itu diam berfikir. Mereka tidak mahu diseret dalam kancah politik. Lebih-lebih lagi politik kuasa-kuasa besar dunia.

"Jadi, berbalik kepada Pak Mentua kau, apa kau nak buat?" soal Danny.

"Sekarang dia bukan lagi Ketua Mafia, katanya. Tetapi dia tetap berbahaya . . . Bayangkan kalau dia berjaya pengaruhi Iman?"

Danny kembali termenung. Soalan diulang. "Jadi kau nak buat macam mana?"

"Entah. Kali ini otak aku buntu." Dia serabutkan rambutnya. Matanya merenung kejauhan. "Kalaulah Pak Lang ada . . . Dia boleh fikirkan strategi nak handle benda ni."

Danny tepuk bahu Zuhal. "Berapa kali kau nak berentah-entah ni Zuhal? 

"Aku takut kalah dengan Farooq."

"Dulu kau kutuk Pak Lang macam-macam. Ini baru kejap dia pergi, kau dah meroyan." Danny terus menempelak.

"Malam nanti aku call dia . . . Minta nasihat."

"Mungkin kau patut berdamai dengan Pak Mentua kau tu."

"Cis!"

*****

Petang itu mereka mendapat berita Raduan dan Suzanna dibebaskan. Raduan dibebaskan dengan ikat jamin. Suzanna pula dilepas tanpa dibebaskan.

"Aku rasa ini mainan SIU," kata Zuhal. Dia tidak sedap hati mendengar berita itu.

"Aku pun fikir begitu. Kita tanya apa strategi dia kejap lagi."

Komander Imran datang bersama Suhail.

Mereka berbincang empat pasang mata.

Komander Imran, Suhail, Zuhal dan Danny.

Ruslan dan Azem diarah Tan Sri Adnan duduk bersama kumpulan media SLY untuk menulis 'Berita Palsu' mengenai kedudukan syarikat HAPPY IT. Ruslan sebagai bekas aktivis berpengalaman dalam penyebaran propaganda. Azem sebagai bekas polis, berpengalaman menyekat penyebaran propaganda. Kira bertembung idea. Konflik, ambil jalan tengah. Bila siap rencana itu diserah kepada Blogger IKHWAN SPEAKS untuk diolah dalam bahasa Blog yang lebih santai.

Zuhal lihat wajah Suhail mirip Akbar. Spesis sama kot, fikirnya.

"Kacang saja ni," kata Suhail.

Sakit hati Zuhal dan Danny mendengar bahasa arrogant Suhail.

Tetapi apa nak buat. Telan sahajalah. Dia yang lebih pakar. Sepanjang hari mereka belajar bagaimana hendak meletakkan aplikasi pengintip dalam telefon bimbit sasaran.

"Dengan aplikasi baharu ini, bolehkah kita pantau pergerakan dia dan hubungannya dengan The Black Dragon?" soal Komander Imran.

"Masalahnya The Black Dragon gunakan media elektronik secara selektif untuk berhubung. Itu yang menyukarkan intipan," kata Suhail, tanpa menjawab soalan Komander Imran.

"Dia guna apa?" soal Zuhal. Kenyataan Suhail itu mencabar ilmu kejuruteraan perisiannya.

"Ilmu Syaitan . . . Maksud saya . . . Ilmu hitam," jelas Suhail.

Komander Imran teringat ilmu The Empress yang melemahkan tiga lelaki berbadan tegap, sehingga patuh kepadanya. Hanya Asyraf yang berjaya melumpuhkan ilmu hitam The Empress.

Baru Zuhal sedar. Patutlah dia terasa Suhail seperti Akbar. Rupanya dia ada kebolehan macam Akbar. Serupa bukan dari segi wajahnya. Tetapi kerana aura yang hampir sama.

"Jadi. Secara elektronik, macam mana kita nak handle malaun ini?" soal Zuhal. Baru sahaja dia bersemangat, telah dihadapkan dengan isu lain.

"We disable the weakest link. Jadi dia terpaksa guna media elektronik," jawab Suhail.

Mereka berpandangan antara satu sama lain. Kata-kata Suhail seperti teka-teki yang tiada klu.

"Datuk Raduan," jawab Suhail. "Dan Suzanna."

"Yes!" Komander Imran bersuara dengan gembira.

"Jangan lupa Dato' Iqbal," kata Suhail.

"Tapi Dato' Iqbal bukan suspek," tingkah Zuhal.

"Betul. Tapi Dato' Iqbal sahabat baik Datuk Raduan. Mereka berkongsi banyak rahsia kejahatan, termasuk merasuah penjawat awam untuk dapat kontrak," jelas Suhail. Dia telah diberi penerangan sebelum ini oleh Komander Imran tentang kegiatan sampingan dua jerung korporat itu, yang diketahui secara grapevine, tetapi sukar dibuktikan.

Zuhal teringat rayuan Dato' Iqbal. "Mereka ada peguam kanan yang handal." 

"We don't have to waste our data and space in our handphone, trying to watch so many people. We just select a few." Suhail menjelaskan cadangannya dengan lebih lanjut.

"Such as?" soal Danny. Dia semakin teruja dengan aplikasi yang diperkenalkan Suhail.

Kita letak aplikasi untuk memantau dalam handphone Datuk Raduan. Saya namakan aplikasi itu WATCHER. Jadi semua rangkaian Datuk Raduan kita tahu, termasuk gerakan The Empress. Kita letak juga pada handphone Peguam Sakaran," jelas Suhail.

"Setakat ini peguam Sakaran tidak melakukan apa-apa kesalahan," ujar Komander Imran. Jabatannya sangat teliti dalam risikan. Dia hairan mengapa Suhail mahu memantau gerakan peguam kanan itu.

"Semua dalam rangkaian mereka ada fungsi tertentu, walaupun nampak macam suci bersih," tegas Suhail. "Jangan ada yang terlepas pandang."

"Tapi kita masih ada masalah kerana mereka guna ilmu hitam . . . Jika benarlah." kata Danny.

Suhail senyum segaris. "Let me interfere in their black magic. You guys just do what science says."

"Kali ini kita guna pukat harimau. Semua ikan kecil besar kita heret masuk dalam jaring," tegas Komander Imran.

Begitulah sibuknya dapur Chief Operating Officer (COO).

*****

Lepas solat Asar, Zuhal membawa Iman pergi ke hypermarket yang berdekatan kawasan perumahan Elite Heights untuk mencari bahan-bahan dapur mereka. Oleh kerana hatinya rasa terganggu dengan kedudukan Suzanna yang di luar penjara, Zuhal membawa Glock 43 yang disembunyi di sebalik jaket. Tanpa memakai jaket, senjata itu mungkin dapat dilihat oleh mereka yang biasa melakukan perbuatan yang sama, termasuk penyangak.

Iman bukan nak shopping sangat. Tetapi kerana Zuhal yang menawarkan diri membawa dia, maka Iman mengambil kesempatan itu untuk bermanja-manja dengan suami kacak dia. Berlagak sikit.

Senarai telah disiapkan, kerana itu arahan Zuhal. Sampai ke bahagian minyak masak, Iman terus mengambil minyak zaitun. Ia ada dalam senarai bahan yang dia perlu. Zuhal letak semula minyak itu ke atas rak.

"Abang. Iman nak minyak zaitun tu." Dia memprotes.

"Tengok harganya dan tarikh luput dia. Jangan ambil sahaja." Zuhal terus mengambil jenama lain yang ada tawaran harga.

Iman membulatkan matanya.

"Walaupun kita ada duit, tak semestinya kita harus membazir dengan membeli ikut suka hati. Kita kena tahu tujuan membelinya. Iman nak guna untuk menumis atau salad? Tentulah minyak zaitun yang diperlukan berbeza," Zuhal membebel.

Tak sangka Zuhal tahu perbezaan jenis minyak zaitun. Tahu juga dia berjimat cermat. Iman senyum senget. 

"Kalau tarikh luput dah dekat, kita cari jenama lain. Takut kita tak sempat habiskan." Zuhal meneruskan bebelannya.

"Baik bos," kata Iman. Terus hidungnya kena picit.

Mereka pergi dari satu rak ke satu rak. Ia satu proses pembelajaran dalam membeli belah barangan dapur bagi Iman.

Tetapi tanpa dia sedari, sepasang mata sedang memerhatinya. Penuh dengan nafsu dengki khianat. Dengki kerana macam-macam dia lakukan untuk mendapatkan perhatian Zuhal, tetapi gagal. Sedangkan Iman tidak berbuat apa-apa pun, malah menyusahkan syarikat SLY. Tetapi Zuhal mengambil dia sebagai isteri.

Ya . . . Dia baru diberitahu papanya, Zuhal sudah nikah dengan Iman ketika dia masih dalam penjara.

Sejak itu dia upah orang untuk mengikut Iman.

Sakitnya hati melihat mereka berdua bergurau senda sambil membeli barangan dapur. Dia mencari tempat yang sesuai untuk menjalankan tindakan jahatnya. Tempat yang kurang orang ramai, supaya tiada saksi dan tiada bantuan.

Tetapi Iman melekat dengan Zuhal ke sana sini. Itu menyukarkannya. Lalu dia keluar menunggu di kawasan letak kereta.

Zuhal menyedari mereka diekori oleh seorang perempuan yang memakai pelitup muka, seperti yang biasa dipakai orang masa pandemik COVID-19. Melihat tingkah laku perempuan itu yang meragukan, Zuhal terus peluk Iman dengan rapat.

Dia tidak tahu apa tujuan perempuan itu. Tetapi hatinya syak perempuan itu . . .

Suzanna.

Perempuan itu kemudian pergi entah ke mana. Zuhal keluarkan telefon bimbit dan hantar isyarat kepada Danny, Ruslan dan Azem serentak, meminta bantuan.

Shopping untuk bekalan seminggu selesai. Ketika tiba di tempat letak kereta, Zuhal segera menolak Iman untuk memasuki kereta sementara dia memasukkan barang-barangnya ke dalam but kereta. Tiba-tiba perempuan yang memakai pelitup muka itu muncul dan meluru ke arah mereka. Sebuah botol dibaling ke arah Iman. Zuhal menepis dengan lengannya sebelum ia sempat mengenai Iman.

Botol itu jatuh di atas lantai parkir. Isinya memercik ke sana sini. Bau asid memenuhi ruang letak kereta itu.

"Arrggh!" Zuhal menjerit. Pedih. Jaket dibuka. Lengannya sudah memerah.

Iman terkejut.

"Air!" Zuhal berteriak.

Segera Iman mengambil air reverse osmosis yang baru dibeli. Tangannya terketar-ketar membuka tutup botol dan mencurahkan isinya ke atas lengan Zuhal.

Seorang pengawal keselamatan segera menghampiri mereka.

"Kenapa tuan?"

"Asid. Saya kena simbah asid," kata Zuhal.

"Tolong! Tolong!" kedengaran suara seorang perempuan, diekori bunyi kereta berdecit dipandu laju di bahagian luar parkir itu.

Rupanya Suzanna merampas kereta seorang pelanggan yang baru keluar dan melarikan diri.

"Abang, Iman drive. Kita ke klinik cepat," kata Iman.

"Cepat tuan. Barang tuan nanti kami hantar," kata pengawal keselamatan itu, sambil membunyikan wiselnya sambil menghalau penonton-penonton.

Iman lihat wajah Zuhal berkerut menahan sakit. "Abang! Tahan ya. Klinik dekat sini saja,"

Danny, Ruslan dan Azem tiba ke klinik sebaik sahaja Iman sampai di situ. Mereka dapat mesej Zuhal dan segera bergegas menuju ke lokasi yang sama.

Selepas mendapat rawatan awalan, Zuhal dimasukkan ke hospital swasta untuk rawatan lanjutan. Mujur Zuhal memakai jaket. Asid itu membuat beberapa lubang pada jaketnya.

"Melecur ini agak serius. Tapi belum sampai tahap kedua," kata doktor yang bertugas. "Jaket itu menyelamatkan awak.

"Siapa target?" soal Azem.

"Iman," jawab Zuhal. "Suzanna mahu mencederakan Iman, bukan aku."

"Kau yakin itu Suzanna?" soal Danny lagi. Dia terkejut bagaimana teman satu kelas di zaman persekolahannya menjadi begitu jahat.

"Dia keluar penjara terus buat jahat. Tak patut Mahkamah bebaskan dia." Azem bersungut. "Undang-undang apa ini?"

"Polis sedang cari dia," jawab Zuhal.

"Kita pun akan cari dia," sambung Ruslan.

Malam itu Tan Sri Adnan, Puan Sri Mariah dan Lila datang menjenguk Zuhal dan Iman bertanya khabar. Tan Sri Adnan letak dua orang bodyguard untuk berkawal di luar bilik VIP hospital itu.

Setelah semua pelawat pulang, tinggal Iman yang menunggu.

"Kenapa menangis?" soal Zuhal, setelah dilihatnya air mata isterinya mengalir.

"Iman nak sangat keluar shopping . . . Rupanya jadi macam ini."

"Dah. Jangan salahkan diri sendiri." Zuhal memujuk.

"Iman buat salah apa pada Kak Suzie?"

"Iman tak ada salah apa-apa. Dia saja yang gila," jawab Zuhal.

"Abang banyak sangat simpan rahsia dari Iman. Sampai musuh pun Iman tak kenal."

Zuhal tahu kata-kata isterinya itu benar. Tetapi adakah dengan memberitahu keadaan yang benar itu lebih melegakan, bukan semakin menakutkan?

"Abang fikir apa lagi?" soal Iman setelah melihat Zuhal berdiam diri.

"Abang tengah fikir, kesian dapur kita malam ini . . . Sejuk." 

*****

*Cantik tak dapur ini? Ia berkonsepkan moden dan minimalis*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro