BAB 31: MANJA
LOKASI: RUMAH AGAM DI TEPI HUTAN
WAKTU: PETANG
Setelah tiba di rumah agam Asyraf, baru Akbar terasa luka di badannya pedih dan sakit. Asyraf merawatnya sebelum dipanggil Zuhal yang baru pulang dari misi rahsianya. Katanya Asyraf diperlukan untuk mesyuarat peringkat tertinggi dengan Komander Imran dan persidangan video dengan Adrian Vasile di bilik bacaan. Cempaka dan Kalam, pembantu klinik Asyraf mengambil alih tugas itu. Akbar kagum melihat raut wajah Cempaka yang tenang merawatnya seperti tidak terkesan dengan peristiwa penculikan yang baru berlaku.
"Luka di muka awak ni tak berapa dalam. Kejap saja dah boleh baik, insyaAllah. Takkan jadi parut kekal."
"Mungkin diorang tunggu Suzanna datang untuk kerjakan muka saya," jawab Akbar.
"Syukur, kita diselamatkan. Awak relaks ya. Kalam akan sapu ubat pada luka di badan awak."
"Kau cerita apa yang terjadi." Azem yang sejak tadi diam memerhatikan sahaja, bersuara.
"Aku memang boleh cerita dengan anak cucu aku . . ."
"Sebelum kau cerita dengan anak cucu kau, cerita dengan aku dulu," kata Azem. "Aku ada di sini. Anak cucu kau belum wujud lagi!"
Tidak sabar dia menunggu versi yang rasmi. Dia abaikan jelingan Cempaka yang mahu dia jangan mendesak Akbar.
Dengan Akbar, bukan main kau manjakan ya, gumam Azem. Hatinya sedikit cemburu.
"Kereta SUV kami ditahan orang bersenjata di tengah jalan. Kami diheret keluar dari kereta Penguatkuasa Hidupan Liar. Diorang ikat mulut dan tangan kami. Kemudian kami dibawa masuk ke dalam hutan dengan kereta lain. Tapi Mak Su Eka sempat jerit ala-ala Tarzan. Aku dengar gajah-gajah bertempik macam menyahut jeritan Mak Su. Kami dipukul supaya diam."
Azem menggenggam tangannya. Geram dia mendengar cerita Cempaka dipukul penculik. "Engkau tak lawan?"
"Macam mana nak lawan? Muncung senapang tu dekat kepala pemandu tu. Lima orang penculik tu semua acu senjata!" marah Cempaka.
"Janganlah marah. Saya tanya sahaja," kata Azem.
"Mak Su menjerit-jerit memanggil Bobby dengan Balok masa aku kena siksa," Akbar sambung cerita. "Masa itu aku tak tahu siapa Bobby dengan Balok tu . . ."
Cempaka mengangkat wajahnya. Mata Azem dan mata Cempaka bertaut. Dia nampak seperti air jernih bergenangan di mata Cempaka. Tidak pernah lagi Cempaka memandangnya begitu. Azem terkesima.
"Gajah-gajah itu sangat menakjubkan. Aku pun takkan percaya kalau tidak melihat sendiri," kata Akbar.
"Balok lahir di Pusat Pemuliharaan. Eka bidannya. Jadi, Bobby dan Balok, Eka yang jaga," jelas Cempaka.
"Budak-budak tu kira macam anak manja Eka." Kamariah mencelah. Dia membawa flask berisi kopi panas dan bubur untuk Akbar.
"Di mana ibu Balok?" Azem tak minat hal-hal gajah atau alam sekitar. Itu minat Akbar. Tetapi kalau kehidupan gajah boleh mendapatkan cinta Cempaka, dia akan cuba mengenalinya.
"Ibu Balok masih ada di Pusat Pemuliharaan tu. Dia kerja membantu bila ada keperluan memindahkan gajah," jawab Kamariah.
"Baru saya faham. Maksudnya gajah yang merosakkan tanaman?" Azem terpaksa mengakui kisah gajah-gajah ini semakin menarik hatinya.
"Ada gajah agresif dan ada yang tidak. Kerajaan pindahkan yang ganas sahaja," Kamariah menyambung ceritanya. " Emak kerja di pusat pemuliharaan itu sebagai pekerja sukarela masa badan masih kuat dahulu."
Kamariah membahasakan dirinya 'Emak' sejak dia dengar cerita Zuhal, Azem berminat dengan Cempaka.
Wah! Satu keluarga rupanya peminat gajah. Patutlah, fikir Azem. "Kenapa tak pindahkan semua?"
"Operasi menangkap dan memindahkan gajah sangat mahal. Tak silap dalam RM30,000 bagi seekor gajah. Bayangkan kalau 20 ekor?"
"Tetapi mereka akan diburu dan dibunuh!" Tiba-tiba Azem merasa tiada keadilan pula buat gajah-gajah ini. Dia berpaling kepada Akbar yang sudah baring. Matanya pejam.
"You have to forget the sharks and come back . . . Help Eka."
Akbar buka matanya. "Maybe."
"Kedua Bobby dan Balok dibesarkan di Pusat itu sehingga budak-budak itu bersedia untuk cari makan sendiri. Kemudian dilepaskan ke dalam hutan . . . Cempaka kerja di situ lepas Asyraf bawa dia keluar dari Elite Heights. Dia nak kerja di Pusat itu, walau gaji tak seberapa." Kamariah jelas mahu Azem memahami anaknya.
Azem mengangguk.
"Kamu tak tahu macam mana hebatnya drama itu masa Balok dan Bobby nak masuk ke hutan. Walaupun saudara mara dah siap menunggu, Balok dengan Bobby masih tak mau berpisah dengan mommy angkatnya."
Azem semakin kagum dengan perempuan yang dia sudah jatuh hati.
"Cempaka terpaksa berkhemah di dalam hutan hampir dua minggu, sebelum Balok dengan Bobby sedia pergi mengikut saudara-maranya."
"Dalam hutan tentu ada harimau . . ." kata Azem.
"Saudara mara Bobby dengan Balok dah anggap Cempaka saudara mara juga. Cuma rupa saja lain, Gajah-gajah itu melindungi Cempaka," jelas Kamariah sambil tersenyum.
"Masa gajah-gajah itu datang merempuh rakit, tak sempat orang jahat tu buat apa-apa. Ngeri." Akbar cuba mengingat kembali peristiwa itu.
Azem bersetuju. "Ya . . . Gajah-gajah itu yang tunjukkan jalan kepada drone."
"Dah siap?" Tiba-tiba Komander Imran yang dari tadi mesyuarat dengan Asyraf dan Zuhal di bilik yang tertutup, menyampuk.
"Siap apa?" Cempaka yang tadi tadi membiarkan emaknya berceloteh, menyoal.
"Merawat Akbar . . . Kami nak bawa dia jumpa seseorang," jawab Komander Imran.
"Tak boleh tunggu esok ke?" soal Cempaka.
Ketiga lelaki di hadapannya menggelengkan kepala serentak.
"Am I needed?" Azem menyoal. Tak berapa ikhlas.
"Kamu jaga Cempaka," kata Asyraf.
Bibir Azem sudah koyak senyuman. Zuhal membantu Akbar mengenakan bajunya.
*****
Esok paginya. Cempaka nampak ceria sahaja. Azem pun hairan. Dia teringin sangat sembang panjang dengan Cempaka. Tetapi dia berada di rumah Asyraf. Mujur Komander Imran sudah membawa Asyraf, Zuhal dan Akbar pergi. Lega.
Tiba-tiba Cempaka ajak dia masuk ke bilik rawatan khas yang disediakan di rumah itu.
"Buka baju."
"Hah?"
"Eka nak tengok luka awak. Dari semalam, tiada apa-apa rawatan dibuat."
Baru Azem teringat luka di bahunya. Baru terasa berdenyut-denyut.
Cempaka sentuh di sekitar luka itu.
"Argh!"
"Eleh . . . Mengada-ngada. Sentuh sikit saja."
"Be gentle, please!"
"Nak lembut macam mana lagi?"
"Pada Bobby dengan Balok tu Eka boleh gentle. Manjakan sampai dipanggil budak. Kenapa tak boleh dengan saya?"
Cempaka abaikan sikap mengada-ngada Azem. "Nampak macam ada bengkak sedikit. Eka bagi awak antibiotic."
"Ini antibiotic yang Eka bagi pada gajah tu ke?" Saja Azem menyakat.
Cempaka tidak menjawab. Dia ambil telefon bimbitnya.
"Panggil siapa?"
"Panggil Kalam. Biar dia rawat awak."
"Jangan!"
Cempaka letak semula telefon bimbit.
"Saya nak cakap dengan awak," kata Azem.
Cempaka buka kabinet dan ambil sebotol ubat antibiotic. Dia keluarkan dua pil dan letak atas tapak tangan Azem.
"Eka, saya nak cakap dengan awak." Azem mengulangi kata-katanya.
"Makan ubat ini dulu," jawab Cempaka.
"Saya tak mahu makan kalau awak tak mahu cakap dengan saya."
Cempaka mengeluh. "Okey."
"Kahwin dengan saya."
"Hah? Awak ni biar betul. Ini drama TV jam 7.00 malam ke?"
"Kalau awak kahwin dengan saya, dapat saya lindungi awak."
Cempaka mengeluh lagi.
Azem letak pil antibiotic di atas meja. Kedua tangan disilang di dadanya gaya memprotes. "Kenapa? Awak tolak saya sebab saya bangsa lain? Saya pun Muslim, walaupun bukan Muslim yang baik . . . Atau . . . Adakah saya tak cukup kacak untuk awak?"
Cempaka ketawa. Lucu masa Azem sebut perkataan 'kacak' itu. Sebab bunyinya 'kecek.'
"Bukan itu. Kehidupan saya di sini. Saya tak boleh ikut awak ke mana awak nak pergi. Saya tahu apa kerja awak sebenarnya." Pil antibiotic diambil dan dihulurkan ke muka Azem, seolah-olah mahu menyuapnya.
Azem membuka mulut. Pil pun masuk. Air dalam gelas dihulurkan.
"Jadi?"
"Saya tak boleh duduk dan risaukan tentang awak. Entah bahaya apa yang awak sedang hadapi."
Azem tidak boleh menerima alasan Cempaka. "Selama ini awak okey sahaja hidup dengan Asyraf. Dia pun kerja macam saya."
"Asyraf abang saya. Tidak ada choice. Saya mesti hadap dia."
"Saya akan bincang dengan Adrian. Tolonglah setuju," Azem masih merayu.
Cempaka fikir dia tidak dapat mengelak lagi. "Okay . . . Let's be serious."
"I'm serious."
Azem bangun dan memakai bajunya semula. Cempaka ingat dia akan keluar selepas kena tolak. Tetapi rupanya tidak. Dia melutut di hadapan Cempaka.
"I love you Eka. You are every dream I've ever had. I know I'm not perfect . . . But please make me perfect! Marry me."
"Azem, please!"
"Eka, please!"
Cempaka sudah kehabisan helah. "Okay. "
"You are saying, okay you'll marry me?" Redup pandangan matanya merenung Cempaka.
"Yes."
Azem terus berdiri. Dia keluarkan cincin dari kepala tali pinggangnya. Terus tangan Cempaka ditariknya dan cincin sudah masuk ke jari manis kanan Cempaka.
Cempaka tergamam. Lajunya Mamat ni.
"This is my mother's wedding ring. I took it from her dead body. I've been carrying it for years."
Cempaka cuba mencabut cincin itu tetapi tidak berjaya.
"Kita beritahu Emak kita sudah bertunang."
"Azem! Orang Melayu ada adabnya untuk bertunang. Eka masih ada . . ."
"Terima sajalah Eka . . . Kesian dia." Suara Kamariah menerjah dari arah pintu yang memang terbuka sejak tadi.
Bukan hanya Kamariah yang berdiri di pintu. Iman dengan Habsah pun ada.
Malunya aku . . . Jangan-jangan diorang sudah lama menonton drama tadi.
"Alhamdulillah! Terbuka hati kau nak," kata Kamariah, lalu terus memeluk Cempaka.
*****
Cempaka ingat dia dapat mendiamkan Azem setelah dia bersetuju bertunang. Tapi rupanya dia silap. Emak dah setuju. Azem pandai sungguh mengambil hati Emak. Entah apa yang digula-gulakan Azem untuk Emak. Habsah pun bukan main lagi memuji Azem.
"Bertuahnya Kak Eka. Abang Azem pandai masak," katanya.
Sambil merenung pesanan pembeli online di laman webnya, Cempaka termenung.
Aku ada sijil Kementerian Kesihatan untuk produk suplemen kucing aku. Boleh jual produk aku di mana-mana. Jadi apa masalahnya?
Tak boleh. Mana nak cari bekalan bahan mentah?
Bekalan bahan mentah pun boleh order online.
Begitulah otak dan hatinya berdebat.
Pintu bilik diketuk. Jangan-jangan Emak nak berleter lagi, fikirnya. Tetapi apabila mendengar suara Iman, terus dia buka pintu.
Iman peluk dan cium dia. Macam sudah lama tak jumpa.
"Ada masalah ke mak su?" Mata Iman terarah kepada data-data di skrin komputer MacBook Cempaka.
"Tak ada. Mak su tengah periksa stock makanan kucing ni, cukup atau tak cukup."
"Mak su jual online kan?"
"Yelah. Di pekan kecil ini mana ada ramai orang nak beli premium cat food."
Iman kepoh meneliti sistem di komputer riba milik Cempaka. Dia tekan butang di sana sini. "Sapa bina sistem ni mak su? Canggih!"
Oopps! Itu soalan cepu emas. Takkan dia nak cerita Danny yang buat semua?
"Adalah . . . Mak su upah orang."
"Senang pun! Apa lagi alasan mak su?"
Cempaka pura-pura kabur. "Alasan apa?"
"Taknak nikah dengan Uncle Azem?"
Cempaka renung Iman. Selamba saja budak kecil ni bercakap. Cubit karang.
"Dah jadi uncle ke?"
"Dia suruh panggil uncle. Dia panggil Opah, Emak." Jawab Iman sambil tersenyum-senyum nakal.
Terus Cempaka cubit pipi Iman. Cubit sayang. Bukan cubit sungguh-sungguh.
Senyuman Iman semakin melebar. "Hmm . . . Nampaknya mak su kalah 4-0."
Cempaka kerutkan keningnya. "Mana datang 4-0 nya?"
"Azem, Opah, Abang Zuhal, Iman . . . kami berempat. Pak Lang, Papa dengan Mama tak tahu lagi. Tapi, kalau diorang bantah pun, cuma 3 orang sahaja." Iman menjelaskan logik matematiknya.
"Undi mak su tak kira?"
"Kalau kira pun, mak su tetap kalah. Mama rasanya setuju. Mama terhutang budi pada uncle Azem sebab jaga Abang Zuhal. "Papa dengan Pak Lang selalunya satu kepala. Kalau seorang ya, yang seorang lagi pun ya juga."
Cempaka malas nak sambung berbahas dengan Iman yang jelas berat sebelah. Dia bangun. Beg doktornya diambil.
"Eka, nak pergi mana?" soal Azem ketika dia melintasi ruang tamu untuk keluar.
"Kerja."
"Masuk hutan?"
"Klinik."
"Saya ikut awak."
Cempaka hanya memandang Azem dengan pandangan yang kosong. Dia sedaya upaya mahu menonjolkan sikap dingin. Tetapi Azem hanya senyum lebar sambil berjalan membontoti Cempaka. Tetapi senyumannya hilang bila nampak Iskandar, pengawal peribadi (bodyguard) Cempaka merangkap pemandunya.
"Mana awak masa Cempaka kena culik?" soalnya kepada Iskandar dengan suara tegas.
Iskandar berkerut muka. Dalam hati terasa sangat bersalah. Masa Cempaka kena culik dia tengah bercuti sebab isterinya bersalin anak kedua, dan tiada siapa menjaga anak pertamanya.
"Jangan risau Is. Kak Eka takkan pecat kau."
Wajah Iskandar kembali normal. Dia senyum ke arah Cempaka.
"Kau jangan kecil hati dengan mamat ni. Mulut dia bukan ada insuran."
"What do you mean I've no insurance? I've a life insurance, and I'll put your name in it as a beneficiary once we're married."
Cempaka pandang Azem dengan wajah tercengang.
Iskandar pura-pura tak nampak dan tak dengar.
"It's an urban Malay slang," jelas Cempaka.
"Maksudnya apa?" soal Azem, masih tak puas hati.
"Awak cakap ikut suka hati."
"Of course! Saya cakap ikut suka hati. I can't have my heart says something, but mouth is saying something else. What I say come from my heart. For example, I love you."
Cempaka ketawa. Iskandar turut tersenyum.
"What's so funny?"
"Banyak lagi bahasa Melayu yang awak kena belajar Azem."
"I'll have the rest of my life learning from you."
"Mak su! Ikut!" kedengaran suara Iman mencelah.
Cempaka menoleh ke arah Iman yang sedang mengikat tali kasut sukannya. Kamariah berdiri di pintu. Cempaka senyum. Mungkin Emak yang menyuruh Iman ikut sama.
Azem tunjuk muka tak puas hati.
*****
*Semasa novel ini ditulis, Pusat Santuari Gajah di Perak sedang dibina dengan kos RM20 juta dan kawasan seluas 100 hektar. Sis kongsi video ini yang amat menarik.*
https://youtu.be/68rohOT5Hyc
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro