BAB 2: BARAN
LOKASI: TERATAK MARIAH, ELITE HEIGHTS
WAKTU: PAGI
Sejak peristiwa tertembak di negara Afrika yang sedang menghadapi perang saudara yang panjang itu, Zuhal menjadi panas baran. Jangan ada sesiapa yang melintasi garis amarahnya. Zuhal boleh hilang kawalan emosinya. Dia akan jadi seperti Incredible Hulk, cuma tak bertukar saiz dan warna kulit sahaja.
Kata doktor yang merawatnya di Negara dingin Kesatuan Eropah itu, dia mengalami 'anger disorder' yang tidak diketahui apa puncanya. Mungkin satu memori yang cuba diingat semula, kata doktor. Peluru yang tersangkut di belakang tengkuknya telah menghalang saraf yang selama ini menyalurkan ingatan untuk menyimpan memori itu.
Hanya Azem yang dapat menstabilkan emosinya, selain ubat penenang. Ini kerana hanya Azem yang tahu dendam apa yang kini sedang bersarang dalam ingatan Zuhal, yang mahu diingat, tetapi jika diingat ia amat menyakitkan.
Azem mahu Zuhal sendiri mengingati dendamnya.
*****
Kini punca barannya mengamuk ialah gadis bernama Iman Alaya Farooq Khan. Dia sudah besar. Usianya 21 tahun dan sangat cantik. Ya. Sangat cantik bagi pandangan mata Zuhal. Kulitnya cerah, tetapi bukan putih gebu. Muka bujur sirih. Hidungnya tidak berapa mancung. Mata hazelnya diwarisi mungkin daripada ayahnya, dari Asia Tengah. Bentuk tubuhnya, ada semuanya. Mungkin diwarisi daripada ibunya. Tetapi dia tidak dapat melihat Iman membesar kerana berada jauh di seberang Lautan Atlantik.
Ya. Iman bukan adik kandung Zuhal.
Tetapi bukan sebab kecantikannya Zuhal marahkan Iman. Tetapi sebab dia melihat tangan Kenny yang meraba-raba Iman, dan dibiarkannya sahaja. Nama saja Iman, tetapi kelakuan macam orang tiada iman.
"Kau harus kawal panas baran kau tu." nasihat Azem.
Entah sudah ke berapa kali Azem nasihat begitu. Mat Salleh itu sudah hafal ayat Melayu itu.
Kata-kata Azem umpama menambah garam pada lukanya.
"Arghh!"
Zuhal menserabutkan rambutnya. Dia marah kerana perihal dadah dalam gelas minuman Iman telah melencongkan fokus kerja mereka. Sedangkan tujuan asal mereka ialah untuk mengesan siapa pengkhianat yang menjual rahsia syarikat. Adakah kedua kejadian berkaitan?
Menjual rahsia syarikat.
Memasukkan dadah dalam minuman Iman.
Hanya beberapa orang yang tahu Iman game designer untuk SLY. Iman sangat berkebolehan dalam mencipta permainan komputer peribadi, dengan grafik yang menarik. Dia budak genius. Memang satu bonus bagi Kumpulan SLY mempunyai pekerja yang berpotensi seperti Iman. Tidak mungkin Iman mengkhianati syarikat milik keluarga sendiri, walaupun hanya keluarga angkat.
Sudah dua jam dia dan pasukannya meneliti setiap CCTV yang dipasang di TERATAK MARIAH. Tidak ada orang asing yang menyelinap masuk. Tidak nampak sesiapapun memasukkan serbuk pil perangsang ecstasy ke dalam gelas fresh orange Iman. Zuhal tidak percaya Iman melakukannya sendiri.
Zuhal syak ia dilakukan oleh Kenny. Tetapi tiada bukti yang boleh menuduh Kenny. Apa yang ditunjukkan oleh CCTV, hanyalah Kenny mengambil air fresh orange itu daripada talam yang dibawa pelayan. Mereka pekerja syarikat catering yang terkenal, bersih.
"Why do you suspect Kenny?" soal Azem.
Sudah tentu Azem mahu menyoal siasat. Dia bekas pegawai polis Negara Kesatuan Eropah. Soal-siasat suspek kemahiran yang dipelajari daripada jabatan lamanya.
"Aku tak tahu. Gerak hati aku saja," jawab Zuhal yang langsung tiada nilai saintifik dalam soal-siasat.
"You're jealous," tegas Azem yang menyebabkan Akbar dan Ruslan berhenti melayari imej-imej di CCTV.
Cemburu adalah sifat yang wajib dinyahkan dalam SNAP. Semua kerja mesti profesional. Tiada unsur cemburu, balas dendam, benci, sakit hati mahupun simpati. Cinta sesama rakan sekerja diharamkan. Termasuk sama jenis.
"Kenapa aku nak cemburu?"
"She's very pretty . . . And she's not your baby sister!"
Zuhal bersandar di sofa. Mukanya diangkat memandang siling bilik komputer yang putih tanpa corak. Alangkah mudahnya kehidupan kalau semuanya putih, tanpa warna. Sebuah keluhan dilepaskan. Azem dan Ruslan berpandangan.
Akhirnya mereka hentikan siasatan. Sebab sudah masuk jam 2.00 pagi.
*****
IMBAS KEMBALI
LOKASI: KAWASAN TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK ELITE HEIGHTS
MASA: PAGI
Zuhal terlanggar seorang wanita yang mengendong bayinya ketika asyik berlatih taekwondo di taman permainan kanak-kanak di Elite Heights. Wanita itu terjatuh. Dia kelihatan amat keletihan. Mukanya pucat. Zuhal meminta maaf dan memberinya air minumannya. Setelah minum, wanita itu membuka gendongan kainnya.
"Adik . . . Boleh adik tolong jaga anak kakak?"
Zuhal melihat budak kecil yang tidur lena dan sangat comel. Mulut kecil Zuhal terlopong. "Kakak nak ke mana?"
"Anak kakak dalam bahaya. Kakak tak dapat jaga dia," kata perempuan itu sambil matanya liar melihat sekeliling taman.
"Tapi kakak . . ."
"Tolonglah adik . . ."
Kedengaran beberapa suara kasar lelaki merentasi taman permainan kanak-kanak itu. Wanita itu kelihatan ketakutan. Dia terus menyarungkan kain ke badan Zuhal, dan mengikatnya kemas sebagai gendongan. Anaknya yang sedang tidur diletakkan di dalamnya.
"Cepat lari," katanya sambil menyelitkan sekeping sampul surat.
Zuhal segera berlari pulang tanpa berfikir panjang.
Setibanya di rumah, Zuhal menjerit memanggil Puan Sri Mariah. Terkocoh-kocoh Puan Sri Mariah mendapatkannya. Sangkanya anak saudara kesayangan itu ditimpa musibah. Dilihatnya Zuhal mengendong anak kecil. Terus diambil anak kecil itu dan diletakkan di sofa.
Sampul surat dibuka. Di dalam sampul itu ada sekeping surat tulisan tangan, surat beranak dan sebuah loket yang boleh dibuka. Di dalam loket itu ada gambar dua orang, seorang wanita Melayu dan lelaki wajah seperti orang asing, mungkin Asia Tengah.
Zuhal masih ingat kata-kata dalam surat itu:
Tuan;
Tolong jaga anak saya. Nama dia Iman Alaya Binti Farooq Khan. Saya tidak dapat menjaganya kerana tidak sihat. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan hidup. Ayahnya mahu membawa Iman lari ke negara asalnya.
Tolong Tuan. Saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada anak saya jika dia dilarikan.
Suami saya ahli Mafia di negaranya.
Nama ibu yang tercatat pada surat beranak, Nur Saadah Binti Abdullah.
Tan Sri Adnan mahu membawa Iman ke Jabatan Kebajikan. Biar Kerajaan sahaja yang uruskan. Tetapi Zuhal tidak benarkan. Katanya dia akan jaga adiknya, sampai bila-bila. Sampai putus nyawanya. Dia merayu papa angkatnya itu sampai menangis. Kuat betul drama Zuhal ketika itu kerana mahu adik yang comel.
Zuhal yang kerap bermain dengan Iman, mandikan dia, jadi kuda, guru matematik, jurulatih taekwondo dan apa-apa sahaja. Zuhal tempat Iman mengadu bila tak puas hati.
Mereka tidak mencari Nur Saadah. Zuhal tidak benarkan Papa mencarinya. Dia tidak mahu Nur Saadah kembali mengambil balik Iman apabila sudah merasa selamat. Tetapi Tan Sri Adnan berjaya mengesan Farooq Khan, seorang Ketua klan bangsa Uzbek yang berniaga bunga poppy dan kini senjata api. Dia antara orang yang berpengaruh di negaranya.
Bagaimana penjarah ini boleh bertemu dan berkahwin dengan perempuan Melayu, Nur Saadah adalah satu misteri yang keluarga Tan Sri Adnan sependapat tidak perlu dirungkai. Kecuali Iman mahu mencari asal usulnya, yang setakat ini dia seperti tidak kisah.
*****
Jam 10.00 pagi Zuhal duduk di kerusi di tepi kolam renang menggodek telefon bimbitnya. Suasana sunyi sepi, hanya sekali sekala kedengaran bunyi air berkocak ketika dua orang pekerja mencuci kawasan kolam renang itu. Zuhal mengangkat mukanya dan bibirnya mengukir senyuman apabila melihat Tan Sri Adnan dan Puan Sri Mariah melabuhkan punggung di kerusi di hadapannya.
"Papa, mama, dah sarapan?" tegur Zuhal.
"Dah. Zuhal, kenapa tak turun makan?" soal Puan Sri Mariah. Matanya merenung Zuhal penuh kasih seorang ibu.
Belum sempat Zuhal menjawab, kedengaran derap kaki menuruni tangga. Muncul Iman dengan keadaan berserabut, berjalan sambil mengikat rambut ikalnya dengan getah. Kemudian dia menghenyak punggungnya di kerusi sambil kepalanya melentok di bahu Puan Sri Mariah dengan manja.
Dia merengek. "Sakit kepala la mama . . ."
"Apa yang Iman makan malam tadi?" soal Puan Sri Mariah, sambil tangannya mengusap-usap rambut Iman.
"Entahlah . . . Iman tak ingat. Apa pasal semua blur ni?" Dia mengerutkan kening. Bibir dimuncungkan.
"Macam mana nak ingat? Mana tak blur? Iman ambil dadah," tingkah Zuhal. Suaranya agak keras.
Mata Iman mencerlung ke wajah Zuhal, "Mana ada Iman ambil dadah? Iman good girl."
Tan Sri Adnan memandang Zuhal. "Siapa yang letak dadah dalam minuman Iman?"
"Siapa lagi? Boy friend dialah," jawab Zuhal, walaupun dia tahu tiada bukti yang didapati daripada pemerhatian CCTV.
"Apa you all cakap ni? Iman tak faham?" Iman masih bingung.
"Dah, pergi mandi." Mariah mencelah, sambil menolak Iman dengan lembut.
"Iman dah mandi la . . ." Dia masih melentokkan kepala ke bahu Puan Sri Mariah.
Mariah menjegilkan matanya. Pipi Iman dicubitnya. "Bila Iman mandi? Dok pakai baju tidur lagi ni."
Iman cuba mengingat, mulutnya herot ke kiri dan ke kanan, "Malam tadi."
Zuhal buat-buat tak dengar celoteh dua perempuan di hadapannya. Dia kembali tunduk melihat telefon bimbitnya. Di situ dia mengawal semua CCTV di rumah itu. Dia masih tidak puas hati kerana gagal mengesan siapa yang memasukkan dadah ke dalam minuman Iman, dan apa tujuannya.
"Abang!" tiba-tiba Iman menjerit.
Zuhal mengangkat mukanya. Mata kelabu kehijauannya bertembung dengan mata hazel Iman.
"Kenapa Abang diam saja? Abang marah Iman sebab apa?"
Sebelah kening Zuhal terangkat. Tetapi dia tidak menjawab soalan Iman. Pandangan dibuang ke pinggir kolam renang.
"Iman banyak nak cerita dengan abang. Tapi abang macam dingin saja." Iman merengek.
"Pergi mandi Iman." Puan Sri Mariah mencelah.
Iman seperti tidak peduli keadaannya yang hanya memakai baju tidur kain kapas, tanpa lengan, selamba duduk di hadapan Zuhal. Dia ingat dia masih budak umur 8 tahun.
Puan Sri Mariah akan beri tazkirah kepada Iman nanti.
Azem muncul. Dia berbisik sesuatu dengan Zuhal. Kemudian dia pandang sekilas Tan Sri Adnan dan menganggukkan kepala kepada Puan Sri Mariah. Dia cuba elakkan matanya daripada melihat Iman yang kini terpisat-pisat. Baru sedar dirinya hanya memakai baju tidur. Baru teringat di rumah itu ada beberapa orang asing.
"Mungkin kita dapat trace siapa musibat ini papa," kata Zuhal. Telefon bimbit dimasukkan ke dalam kocek.
Iman terus menyampuk. "Musibat apa?"
Zuhal bangun diikuti Azem dan keluar. Iman mengejar mereka. Tetapi ketika dia sampai ke pintu utama, Ferrari Zuhal sudah keluar dari pintu pagar rumah agam itu.
Iman hentak kaki.
*****
Lama Iman berendam dalam jakuzi yang terletak di bilik rehat di rumah agam itu. Dia memikirkan tazkirah Mama sebentar tadi. Usianya 21 tahun. Dia harus memikirkan tentang auratnya. Dia bukan budak umur 8 tahun - usia dia ditinggalkan Zuhal ke Amerika Syarikat.
Sambil berendam, Iman bermonolog.
Aku tahu Zuhal bukan abang kandung. Aku tahu sejak tahu membaca dan menulis. Nama bapa dia dan nama daddy aku tak sama. Tetapi kan itu soal kecil sahaja? Tiada beza apapun! Aku anggap dia seperti abang kandung sendiri. Tak cukupkah?
"Tak" kata papa dan mama serentak.
"Kamu boleh kahwin dengan Zuhal," sambung Puan Sri Mariah.
"Eeee!"
Geli. Papa dengan Mama macam ada agenda pula.
Bukan Zuhal tak kacak. Dengan mata kelabu jernih kehijauan, redup seperti orang stim minum air ketum itu, Zuhal sangat seksi, pada pandangannya. Zuhal mengingatkan dia kepada artis crush setengah matinya Alex Pettyfer. Cuma Zuhal lebih handsome sebab badannya original tanpa tatu.
"Hehehe . . ." Iman gelak jahat sendirian.
Bila dia peluk Zuhal semalam baru dia sedar, Zuhal bukan abang kandungnya. Hatinya dup-dap-dup-dap tidak mengikut tempo yang sepatutnya. Dia anggap itu hanya mainan rindu. Ya . . . Rindu adik kepada abang yang 10 tahun tidak berjumpa. Kali terakhir ialah ketika hari Zuhal mendaftar di sebuah universiti Ivy league di Amerika Syarikat. Tan Sri Adnan dan Puan Sri Mariah membawa Iman ke sana untuk memberi semangat kepadanya supaya mengikut jejak langkah Abang.
Itu 10 tahun lalu.
Malam tadi, Abang Zuhal macam dingin sahaja, bila aku peluk. Maknanya Abang Zuhal serius soal mahram dan bukan mahram?
"Tolak campur . . . Zuhal dengan Iman, tetap bukan mahram. Tak boleh peluk-peluk atau cium-cium," kata Puan Sri Mariah.
Dulu kenapa boleh?
Dulu kau belum ada period lagi la bodoh!
Argghh! Kenapalah otak aku selalu sangat beri jawapan yang aku tak nak dengar?
Sedihnya bila hubungan terpaksa diputuskan kerana larangan agama.
Dia sayang Zuhal. Sayang sangat. Kalau ada perempuan lain yang sayang Zuhal, mungkin dia akan bunuh perempuan itu. Kerana dia mahu hanya dia sahaja yang sayang Zuhal. Dan Zuhal sayang dia sahaja.
Cinta?
Tak kot.
Obses?
Tak boleh!
Iman terus bermonolog mencari kemunasabahan.
Seolah-olah semua yang berlaku ada kaitan dengan Zuhal. Tetapi Zuhal sangat dingin. Iman terasa kedinginan Zuhal yang amat berbeza berbanding 10 tahun dahulu. Lebih baik Kenny, yang muda, jejaka panas, jadi rebutan gadis-gadis yang bekerja di SLY. Mengingati Kenny, Iman tersenyum.
Tok! Tok!Tok!
Siapa pula mengetuk pintu bilik riadah? Kenapa tak masuk saja?
"Iman!"
"Alamak! Abang Zuhal dah balik."
Angan-angan Iman terus mati. Iman mendiamkan diri. Kedengaran derap kaki mendekati pintu bilik jakuzi.
"Iman . . . Iman di dalam ke?" Nada suara Zuhal lembut.
"Ya!"
"Cepat mandi tu . . . Abang nak cakap sikit."
"Okey."
Derap kaki kian menjauh.
Iman cepat-cepat mengeringkan air jakuzi dan membilas badannya. Bath robe dipakai. Dia buka pintu sliding jakuzi dan keluar. Zuhal sudah tiada.
Rambut dikeringkan setakat mana yang sempat. Baju disarung mengganti bath robe yang dimasukkan ke dalam bakul.
Segera dia menapak keluar.
*****
*Thanks for reading! Luv you!*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro