Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 15: KERANAMU CEMPAKA

LOKASI: TERATAK MARIAH, ELITE HEIGHTS

WAKTU: MALAM

"Apa game kau, Zuhal?" soal Azem.

Ketika itu mereka sudah berkumpul di bahagian basement TERATAK MARIAH. Di situ tempat mereka berempat bermesyuarat secara rahsia sebagai anggota SNAP. Zuhal, Ruslan dan Akbar duduk di sofa mengelilingi sebuah meja kopi.

Azem sahaja yang masih mundar-mandir di situ.

Zuhal sudah agak anak buahnya akan menuntut penjelasanya. "Game apa pula?" 

"Kau tahu game apa yang aku maksudkan," bidas Azem.

Akbar mahu Azem bertenang. "Duduklah Azem. Rimas aku tengok kau macam harimau lapar ni."

Azem akhirnya duduk di sofa. Dia bongkokkan badannya ke hadapan, sambil matanya tajam merenung Zuhal. Menunggu penjelasan.

Zuhal angkat bahu. Baginya tidak penting orang lain terlibat dengan agenda peribadinya. "Tak ada game apa-apa. Kan lebih baik aku bertunang dengan dia? Aku suka dia. Dia suka aku. Sekurang-kurangnya ada juga ikatan." 

Jawapan Zuhal yang sambi lewa itu membuat Azem semakin menekan. "Kau yakin?" 

"Azem. Aku tahu kau bimbangkan aku. Tapi aku bukan budak umur 19 tahun. Lagipun, ini kehendak Papa," tegas Zuhal. 

Ketiga-ketiga sahabat diam. Walaupun Zuhal lebih muda daripada Azem, dia tetap bos, kerana dia rakan kongsi dan anak angkat Adrian Vasile. 

Semua kerja di wilayah Asia Tenggara di bawah kuasa Zuhal untuk menentukannya. Arahan yang sudah diputuskan oleh organisasi tidak boleh dibantah lagi. Bantahan setelah keputusan muktamad dibuat akan mengelirukan ahli-ahli lain dalam organisasi. Semua ada kepakaran masing-masing. Setiap kepakaran hanya digunakan fokus kepada matlamat kerja mereka. Perubahan kepada arahan Adrian mungkin akan melibatkan perubahan kepada keperluan pakar.

Jadi, setiap ahli tidak boleh mengubah fokus. Sesiapa yang ubah, terpaksa tanggung sendiri, kerana dia mungkin tidak dapat backup yang diperlukan.

Azem masih tak puas hati. "Tapi kau tahu tak siapa Farooq?" 

Zuhal remehkan soalan Azem. "Kenapa aku harus sibuk pasal dia? Aku nak kahwin Iman, bukan Farooq." 

"Bakal mentua kau, Farooq ayah Iman." Azem bertegas. 

Dia lihat Zuhal sudah melencong jauh daripada matlamat asal mereka. Cukuplah bagi organisasi itu menghadapi bahaya kerana tindakan Danny yang memilih anak musuh untuk dijadikan isteri. Zuhal pula turut merintis jalan yang sama.

Penegasan Azem dijawab acuh tak tak acuh. "Kahwin guna wali hakim sahaja." 

Azem mengeluh. Zuhal macam tak faham isu. Atau pura-pura tak faham sebab dah angau. Azem pandang Ruslan dan Akbar. "Betul-betul kau tak nak tahu siapa Farooq?"

"Cukup. Aku tahu Farooq Ketua Mafia Asia Tengah. Biar Pak Lang saja cari. Aku malas nak fikir." Zuhal mula memicit-micit kepalanya yang dirasa sakit dengan tiba-tiba.

"Maksud kami, detail tentang Farooq," Akbar pula mencelah.

"Kau sedar tak perniagaan Farooq Khan tu bercanggah dengan prinsip SNAP?" soal Azem, "No drug trafficking. No gun smuggling."

"Jadi, kau nak aku korbankan Iman? Tinggalkan dia?" Suara Zuhal sudah meninggi, seiring dengan sakit dalam kepalanya.

"Kau tengok dulu video ni. Lepas tu kau buat keputusan sendiri," kata Azem, sambil memberi isyarat kepada Akbar untuk membuka data di komputer.

Akbar mainkan sebuah video dengan wajah Farooq dipaparkan secara statik di atas skrin komputer. Klip video itu ada tiga adegan. Satu adegan menunjukkan Farooq memakai suit berwarna gelap dalam satu konvensyen antarabangsa. Satu adegan lagi menunjukkan dia dan beberapa orang sedang menyeludup dadah dan adegan ketiga, menunjukkan dia berdagang senjata api secara haram. Semua video hasil carian atau lebih tepat curian SNAP daripada maklumat yang disimpan oleh pihak yang berkuasa..

Wajah Zuhal kelihatan tegang.

"Arghhh!"

Dia menjerit sambil memegang kepalanya. Terasa amat sakit. Matanya berair. Peluh memercik di dahi seperti titik-titik air hujan. Dia menggelupur kerana menahan kesakitan. Azem terus memeluknya. Tidak membenarkan Zuhal terus begitu. Tanpa disuruh, Ruslan terus melompat untuk mengambil cecair ubat yang disediakan Asyraf, dari dalam chiller.

Cecair ubat Zuhal telan secara gelojoh. Dia tersedak. Azem hulurkan air minuman. Sebahagian air itu tumpah di baju Zuhal. Azem menggosok-gosok belakang Zuhal. Dia pujuk macam pujuk budak kecil.

Seketika kemudian Zuhal tolak tubuh Azem. Dia bangun menuju ke sofa panjang. Jalannya sedikit terhuyung hayang macam orang mabuk. Denyutan sakit di kepala sudah berkurang, tetapi masih terasa. Dia baring di atas sofa dan memejamkan matanya. Azem mengikutnya.

"Baju kau basah. Nak tukar baju?" Azem bertanya, lembut.

Zuhal geleng kepala. Matanya terasa berat, semakin kuyu. Dia hanya mahu tidur. Kesan ubat itu sudah meresap ke dalam darahnya.

"Mana boleh kau tidur dengan baju basah? Bukan darurat," ngomel Azem. 

Dia buka kabinet baju di situ yang sedia ada beberapa helai baju-T. Diambilnya sehelai. Azem tak peduli penolakan Zuhal. Dia terus buka baju-T Zuhal yang basah dan salin dengan baju-T lain. Ketika itu dia anggap Zuhal macam adiknya yang tak sempat lahir ke dunia 27 tahun yang lalu. Lepas salin baju dia betul-betulkan kusyen dan baringkan Zuhal kembali. Alat pendingin hawa dikuatkan.

Beberapa detik yang sunyi sepi berlalu. Zuhal kelihatannya sudah lelap. Tidur seperti bayi. 

*****

Ketiga-tiga sahabat hairan mengapa reaksi Zuhal begitu teruk ketika melihat video Farooq? Adakah Farooq sosok yang Zuhal mahu ingat? Adakah ayah Iman itu sosok yang mengganas di sebalik trauma Zuhal?

Lama mereka bungkam. Masing-masing cuba mencerna apa yang baru berlaku.

"Are you guys thinking what I'm thinking? " soal Ruslan. Matanya tajam merenung Azem dan Akbar silih berganti.

Azem mengangguk.

Akbar pula memandang kedua sahabatnya. Tidak faham.

"Kemungkinan besar Zuhal dan Farooq pernah bertemu. Tetapi bukan pertemuan kasih sayang," ujar Ruslan.

Azem mengangguk. "Ya . . . Zuhal mungkin lupa. Tapi salinan memori itu masih tersimpan di dalam otaknya. Sebab itu dia sakit. Ini teori aku saja."

"Susah sakit dalam otak ni. Luar nampak okey." Akbar mencelah.

Episod sebentar itu buat Azem kesal. Kalau dia tahu Farooq itu sosok yang bersembunyi di sebalik anger disorder yang kini dideritai Zuhal, dia takkan tunjukkan video itu sebagai kejutan. Dia teringat Zuhal pernah bercerita tentang kemalangan yang meragut nyawa papa dan mamanya. Seorang lelaki telah mengambil beg papanya. Di dalam beg itu terdapat hasil kajian mama dan papanya di universiti. 

Kajian tentang biomedical science Zuhal tidak faham ketika itu. Zuhal hanya tahu mengenainya setelah dia dewasa, ketika dia membuat siasatan sendiri. Tetapi setelah Zuhal sedar daripada koma, dia tidak pernah bercakap mengenainya. 

Adakah Farooq lelaki itu?

Allah Maha Adil. Mujur ia berlaku dalam kawalan mereka bertiga.

Asyraf sudah memberi amaran. Jangan paksa Zuhal mengingat apa yang dia lupa. Biarkan dia ingat sendiri. Ubat herba yang dia bekalkan akan menyambung sel-sel otak memori yang terputus dahulu. Dengan itu dia dapat mengatasi trauma yang dialaminya. Lepas itu sedikit demi sedikit Zuhal akan ingat sendiri.

Tiga ahli SNAP itu pula mahu Zuhal kenal siapa bakal bapa mentuanya. Bukan hanya tahu mengenainya. Apa yang mereka bimbang ialah perniagaan Farooq Khan menimbulkan konflik kepentingan dengan SNAP. Lebih-lebih lagi Zuhal, sebagai pengasas bersama, merupakan salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah kumpulan itu. Kalau ada apa-apa tawaran projek, selain Adrian, suara dia juga diutamakan. 

Terdapat lima orang yang menduduki kerusi Ahli Lembaga Pengarah. Empat kerusi tetap yang memiliki pegangan sebagai rakan kongsi, iaitu Adrian, Zuhal, Danny dan Veronica. Seorang memegang kerusi lantikan untuk jawatan selama 2 tahun. Sekarang ia dipegang Asyraf. Lepas Asyraf, jawatan itu akan diambil oleh Ruslan. Penggiliran jawatan itu sudah ditentukan awal, ketika pelantikan Asyraf, supaya tidak ada perebutan kuasa atau lobi-melobi. Maknanya Ruslan boleh memangku jawatan mana-mana ahli lembaga pengarah yang bercuti.

Menantu kerja mengintip kerja-kerja haram yang dibuat oleh mentua. Macam mana boleh jadi begitu? Bolehkah menantu itu bersikap objektif, adil dan tidak memihak?

Benar. Mereka mahu memori Zuhal pulih sepenuhnya sebelum dia melangkah ke dunia perkahwinan. Mereka melihat Iman tidak akan dapat mengawal puting beliung yang menggila jika kemarahan Zuhal meletus.

Kes Kenny diterajang ke dalam kolam renang itu hanya kecil sahaja. Siang tadi dia hampir membunuh lelaki itu di cafe di hadapan khayalak ramai.

Lebih teruk lagi, penemuan baharu ini menunjukkan wujud hubungan yang ternyata tidak diingini antara Zuhal dan Farooq Khan, ayah Iman.

Hubungan yang hanya mereka berdua tahu bentuknya.

Bagaimana kalau Asyraf mengetahui perbuatan mereka bertiga menunjukkan video itu kepada Zuhal? Tentu kena sembur kerana memandai-mandai.

Wajah dua orang rakannya dipandang Azem dengan sayu.

Dalam apa keadaan, comradeship itu amat penting. Setiap ahli SNAP harus sanggup mati demi mempertahankan rakan mereka, jika perlu memilih. Mereka wajib saling membantu antara satu sama lain. Setakat ini belum ada yang mati kerana terpaksa membuat pilihan itu.

Selepas Zuhal tidur, Azem ajak kedua rakannya keluar dari basement ke tempat lain untuk berbincang. Kalau ikut kata Asyraf, Zuhal akan tidur selama 2 jam. Mereka tidak mahu mengganggu tidur Zuhal.

*****

Tiga sahabat itu pergi ke rumah tetamu. Di sana tiada siapa yang akan mengganggu atau diganggu. Apabila masuk, dilihat mereka makanan malam sudah siap dihidangkan di atas meja. Baru mereka tersedar, rupanya mereka belum makan malam. Perut masing-masing sudah berdendang pelbagai lagu boria, jazz dan Lezginka dance. Seorang pekerja sedang menunggu untuk melayan mereka dengan setia.

"Kamu boleh pergi," kata Azem kepada pekerja itu.

Pekerja lelaki itu membongkok hormat dan berlalu. Kedengaran bunyi pintu dibuka dan ditutup.

"Apa kita nak buat lepas ini?" soal Akbar, sambil makan. Melihat lauk kari kambing yang sedap, dia terasa sangat berselera.

"Entahlah." Azem mengeluh.

Semua yang berlaku seolah-olah sudah di luar kawalan mereka. Sedangkan asalnya mereka hanya perlu membuat siasatan siapa bocorkan data mengenai JEBAT GALAKSIKA. Mereka sudah dapat kenal pasti pengkhianat itu. Tetapi Tan Sri Adnan ada agenda lain pula. Dia tak mahu mengambil tindakan memecat pengkhianat. Sebaliknya dia buat tindakan berpusing-pusing.

Sekarang Danny pula campur tangan.

Lepas itu Zuhal disuruh bertunang dengan Iman yang diketahui keluarga itu sedang cuba dipikat oleh Kenny, pengkhianat, yang juga anak tiri Datuk Raduan, musuh lama Tan Sri Adnan.

Akibatnya permusuham mereka semakin membuak dan mengganas.

Adakah Tan Sri Adnan sengaja mencipta bom jangka? Sengaja mencipta permusuhan yang hasilnya - the winner takes all

Dalam peperangan di dunia pasaran saham, di kalangan jerung-jerung, Tan Sri Adnan tidak pernah kalah. Rakan dan pesaing gerun dan hormat kepadanya. Silaplah kalau ada pihak yang cuba mengganggu wilayahnya. 

Mereka bertiga telah dimaklumkan, Tan Sri Adnan sangat sayang kepada Cempaka, adiknya, walaupun berlainan ibu. Silap Ammar kerana menyakiti Cempaka. 

Puncanya Cempaka.

Nama Cempaka mereka sudah kenal. Dia menjadi punca Zuhal dan Danny dihantar menyambung pelajaran di Amerika Syarikat. Bagi mereka Cempaka seorang ibu saudara. Seorang 'Makcik' yang mungkin sudah berusia, kini.

Azem terkejut badak apabila melihat sendiri sosok Cempaka. Sehingga kini dia masih tidak dapat mengawal hatinya apabila terfikirkan Cempaka. Wajah Cempaka yang suci dan bersih menggetarkan hatinya yang disangka mati setelah tragedi hitam yang dialaminya di Bosnia. Cempaka menyedarkan dia bahawa dalam hatinya masih ada rasa kasih sayang dan cinta serta keinginan untuk dicintai.

Tetapi hati Cempaka menjadi milik binatang buas di rimba. Buat manusia, hati Cempaka keras kerana masih dihantui tragedi hitam 13 tahun lalu.

"Damn!"

Dua pasang mata diangkat memandangnya.

"Sorry," ujar Azem.

Mereka kembali menghadap hidangan.

"Mungkin kita perlu dapatkan bantuan Asyraf," kata Ruslan setelah senyap seketika.

Azem sudah koyak senyuman. Peluang dia bertemu Cempaka. 

Dua orang sahabatnya tahu kenapa Azem nampak bersemangat dan sangat gembira bila sebut nama Asyraf. Ini bermakna mereka akan pergi ke Belum. 

Menurut gossip yang diberitahu Iman kepada Akbar, kelakuan Azem juga jadi pelik bila bertemu Cempaka. Selain berlawan bermain JEBAT GALAKSIKA, Iman yang usianya lebih dekat dengan Akbar, lebih mudah bertukar-tukar pandangan, dengannya.  Kira-kira, mereka saling korek-mengorek rahsia. 

"Apa jadi lepas ini?" soal Akbar. Dia yang paling junior dalam SNAP memang banyak perkara yang dia harus hadam.

Azem bangun. "Entahlah. Aku nak pergi ke basement. Nak tengok dia. Entah-entah dia cari kita." 

"Dia buat Zuhal macam budak kecil," gumam Akbar. Tapi dia turut bangun membontoti Azem.

*****

*Layan lagu lama*

https://youtu.be/m_uWS6K-VF8

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro