BAB 10: SAYANG DAN BAKLAVA
LOKASI: RESORT AMAN MARIAH, DI TEPI TASIK
WAKTU: MALAM
Tut! tut!
Satu mesej masuk ke dalam telefon bimbit Iman.
Sejak tiba di resort persendirian ini Iman tidak membuka mesej di telefon bimbitnya. Dia mahu merapatkan semula hubungan dengan Zuhal yang terputus sekian lama. Dia tidak mahu diganggu. Tetapi, ketika berseorangan di biliknya, Iman tidak dapat menahan dirinya daripada membuka mesej itu. Seperti yang diduga, ia datang daripada Kenny.
Kenny: Hi darling, where're you now? I miss you.
Iman fikir dia tak perlu beritahu di mana dia berada.
Iman: I'm with my family.
Kenny: Are you still angry with me?
Iman: No.
Kenny:Then, why are you not replying my messages?
Iman: Busy.
Kenny: Please Iman, I really miss you (Mesej disertai emoji menangis).
Iman biarkan saja mesej terakhir itu. Dia mencari Mak Su Cempaka di dalam biliknya. Tetapi Mak Su Cempaka tidak ada. Iman perlu berbual hati ke hati dengan seorang perempuan. Hanya Mak Su Cempaka yang boleh mendengar rintihan hatinya. Walaupun beza usia mereka agak jauh, tetapi Mak Su Cempaka akan mendengar dan tidak meremehkan omelannya.
Cerita Pak Lang Asyraf tadi tentang Mommy dan Daddy kandungnya sangat menggores hatinya.
Ke mana Mak Su Eka?
Iman turun ke ruang rehat. Mungkin dia boleh bermain piano untuk menghilangkan serabut di fikirannya. Melalui cermin kaca dinding itu, Iman nampak pekerja sedang sibuk membakar daging dan menyusun piring di atas meja panjang berhampiran dengan gazebo. Mak Su Cempaka tidak kelihatan. Teringat tadi Mak Su Cempaka nak buat baklava. Mungkin dia di dapur.
Kakinya dihayun ke dapur. Baru saja dia tiba di pintu dapur sudah kedengaran suara Mak Su Cempaka dan suara garau seorang lelaki. Mereka bersembang sambil ketawa.
Mak Su Eka dengan siapa? Takkan dengan Azem?
"Banyaknya gula! Macam boleh potong kaki dah, kalau macam ini." Suara Mak Su Cempaka.
"Hah? Kenapa potong kaki?" Sah. Suara Azem.
"Kena diabetes." Suara Mak Su Cempaka.
"Oh! Lepas makan baklava, makan bitter gourd." Suara Azem.
"Mana awak tahu peria katak boleh turunkan kadar gula?" Suara Mak Su Cempaka.
"Peria katak?"
"Bitter gourd."
"Strange Malay people. Poor frogs."
"Oh yeah? How about you?"
Iman berdehem.
Cempaka dan Azem menoleh ke arahnya. Iman melangkah masuk ke kawasan dapur. Comel dia tengok Azem dan Mak Su Cempaka memakai apron yang sama desain.
Macam mana Azem yang tidak lekang daripada Walther PPS, yang tersembunyi di kocek seluar, tiba-tiba sedang membuat baklava dengan Mak Su Cempaka?
Azem jatuh cinta dengan Mak Su ke?
"Mak su buat apa tu?" Saja Iman tanya, walaupun dia sudah tahu apa yang Cempaka buat.
"Mak su tengah belajar buat baklava," jawab Cempaka, polos.
Azem susun helaian kulit popia satu persatu di dalam dulang pembakar. "I'm honoured to have such a beautiful student," kata Azem.
Iman ketawa. Hilang sebentar keserabutan hatinya. "Be my uncle Azem. Then you can have your beautiful student till Jannah."
Cempaka jegilkan biji mata ke arah Iman. Azem tersengih.
Kedengaran beberapa suara memenuhi ruang tamu (lobi). Iman tinggalkan dapur. Tan Sri Adnan dan Puan Sri Mariah kelihatan baru turun dari bilik utama di tingkat atas. Mereka ditemai Zuhal.
"Mama!" Iman menjerit sambil memeluk Puan Sri Mariah.
"Macam bertahun tak jumpa," usik Zuhal.
"Mama suka tengok Iman macam ini," kata Puan Sri Mariah sambil membetul-betulkan tudung Iman yang tak salah di mana pun.
Iman membongkok sedikit untuk menyandarkan kepalanya ke bahu Puan Sri Mariah. Iman tinggi sedikit berbanding Puan Sri Mariah. Tubuh Puan Sri Mariah agak berisi, sebagaimana perempuan yang sudah berumur.
"Emm . . . Sedap la peluk mama."
"Mana Mak Su Eka?" soal Puan Sri Mariah. Matanya melihat ke kiri dan ke kanan.
"Dia di dapur," jawab Iman.
"Hah? Di dapur? Buat apa di dapur? Kan kita ada barbeque malam ni?'
"Dia tengah belajar buat baklava," jelas Iman.
"Buat baklava? Dengan siapa?"
"Dengan Azem."
Puan Sri Mariah membeliakkan biji matanya. "This I've got to see . . ."
"Jangan mama!" kata Iman. "Biarkan diorang berdua."
Puan Sri Mariah mengangguk, walaupun dia tak faham apa-apa.
Sejak bila Cempaka minat memasak? Hati Puan Sri Mariah tertanya-tanya. Dia tahu adik iparnya itu masa kecil suka main doktor-doktor, bukan masak-masak.
Pintu sliding dibuka. Chef Salman (Ketua Tukang Masak Resort AMAN MARIAH) berdiri di situ. "Barbeque dah siap Tan Sri, Puan Sri."
Kesemua mereka berjalan beriringan ke gazebo di luar bangunan itu.
*****
Persoalan di fikiran Puan Sri Mariah tidak berjawab. Masing-masing hanya berminat mengisi perut yang sudah berkeroncong.
Hanya Iman yang duduk dalam gazebo. Yang lain duduk di kerusi yang disediakan di luar gazebo itu. Pekerja resort mula menghidangkan kepingan daging barbeque, cendawan butang, lobak merah yang dipotong senget dan capsicum atau lada kembung, dipotong empat segi.
Ada tiga jenis sos yang disediakan. Sos barbeque, sos cili dan sos lada hitam.
"Banyak ni . . . Marilah kita sama-sama makan." Begitulah Tan Sri Adnan. Tak pernah lupa berkongsi rezeki dengan pekerjanya.
Chef Salman jawab dia akan makan lepas mereka siapkan kerja. Hubungan Tan Sri Adnan dan isterinya memang sangat rapat dengan semua pekerjanya. Kesetiaan mereka amat penting kerana ada rahsia keluarga yang pekerja di resort dan TERATAK MARIAH tahu dan perlu simpan sampai mati.
Setengah jam kemudian, Cempaka muncul. Di belakangnya Azem.
"Dah siap?" soal Iman.
"Sedang disejukkan," jawab Cempaka.
"Alaa . . ." Iman tunjuk wajah kecewa.
Zuhal membawa dua piring makanan. Satu diberi kepada Iman. Dia duduk bersila di sebelah Iman.
"Abang . . . Kenapa abang tak duduk sana dengan orang lelaki . . . Boleh kita orang perempuan duduk gossip di sini," kata Iman.
"Tak nak," jawab Zuhal.
Iman jeling.
"Jangan jeling-jeling. Nanti abang mengadu dengan Papa dan Mama baru tau," ugutnya.
Zuhal potong daging panggang di piringnya jadi kecil untuk sekali suap setiap satu. Selesai kerjanya, dia letak piring itu di hadapan Iman. Dia ambil piring Iman.
Kenangan Iman melayang ketika kecil. Itulah yang dilakukan Zuhal setiap kali ada hidangan daging untuk makanan mereka.
Layanan Zuhal masih sama. Iman senyum simpul. Macamlah dia budak kecil yang tidak tahu buat sendiri. Tetapi Iman rasa bahagia dimanjakan.
Mereka makan sampai kenyang bersama-sama dengan pekerja resort.
Selepas makan, Tan Sri Adnan ajak semua pergi ke bilik mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah. Semua, termasuk Iman.
Sebelum itu Tan Sri Adnan sudah diberitahu berita yang dibawa Asyraf. Cuma Asyraf tidak beritahu berita itu datang daripada Danny, atas permintaan Danny.
Mereka sudah bincang untuk menghadam berita yang baru diterima.
Lantas mereka mengambil keputusan untuk pura-pura tidak tahu mengenai maklumat terkini itu. Biarkan pihak penyamar tidak tahu penyamaran sudah kantoi.
Itulah keputusan mereka petang tadi yang Iman tidak diberitahu.
Puan Sri Mariah mengajak Iman duduk di sebelahnya. Di sebelah kiri Iman, Cempaka. Zuhal pula duduk bertentangan dengannya. Di kiri dan kanannya Asyraf dan Azem. Tan Sri Adnan duduk di kerusi Pengerusi.
"Iman kena buat keputusan." Kata Tan Sri Adnan setelah selesai baca Surah Al Fatihah dan doa mula mesyuarat.
"Keputusan apa? Kenapa pula Iman?"
"Papa dan mama akan tunangkan kamu Iman, dengan Zuhal. Papa akan jemput kenalan. Biar semua orang tahu.
Iman tercengang. Apa kes ni? Nampaknya aku benar-benar dipaksa putus hubungan dengan Kenny.
Mata Iman memandang terus ke dalam mata Zuhal. Mata dingin itu merenungnya, tanpa kata.
"Zuhal, kamu ada masalah?" soal Tan Sri Adnan.
"Tak ada papa. Zuhal okey saja."
Iman menekur ke meja di hadapannya. Bolehkah dia membantah kepada keluarga yang sudah membesarkannya?
"Cuma mama harap, lepas bertunang, kamu berdua behave." Kata-kata Puan Sri Mariah seperti memberi amaran.
"InsyaAllah, mama," jawab Zuhal.
Suka-suka sahaja buat keputusan untuk aku, sedangkan baru tadi kata keputusan di tangan aku, getus hati Iman.
*****
Mesyuarat ditamatkan. Iman minta diri keluar dari bilik mesyuarat. Dia rasa otaknya perlukan tambahan oksigen. Lalu dia menuju ke balkoni yang menghadap ke arah tasik. Air yang berbalam-balam di tasik itu langsung tidak memberinya ketenangan yang didambakan.
Malah, dia pun tidak tahu ketenangan apa yang dicarinya.
Aku sayang sangat pada Abang Zuhal. Tapi cukupkah sayang itu dibawa ke gerbang perkahwinan? Abang Zuhal pula macam mana? Takkan Abang Zuhal nak bertunang atas tanggungjawab kepada syarikat?
Balkoni tiba-tiba terang benderang. Iman menoleh ke arah figura yang memasang lampu balkoni itu. Pak Lang Asyraf. Iman agak kecewa. Dia mengharapkan Zuhal.
Asyraf melabuhkan punggung di kerusi di hadapan Iman. "Iman tak puas hati? Nak cakap apa? Cakap pada pak lang."
"Pak lang setuju ke?"
"Setuju."
"Kenapa setuju? Iman belum jumpa Mommy lagi."
"Iman nak jumpa dia ke?"
Iman diam.
Asyraf mengulangi soalannya. "Iman nak jumpa dia?"
"Iman belum bersedia."
Petang tadi Pak Lang Asyraf beritahu Mommy masih hidup. Daddy juga masih hidup. Daddy seorang Ketua puak di negara Asia Tengah. Daddy penjual dadah dan senjata api. Daddy terlibat dengan gerakan Mafia. Daddy dulu Mujahiddin, sekarang ikut Taliban. Tak ada cerita tentang Daddy yang baik. Sebab itu Iman terpaksa dijauhkan daripada Daddy.
Aku keturunan penyangak, rupanya.
Hakikat itu buat Iman terasa sebak, sebal, malu dan macam-macam isu bercampur-baur .
Pak lang minta supaya Iman jangan marah Mommy. Sebab Mommy terpaksa. Mommy ketika melahirkan Iman baru berusia lebih sikit 17 tahun.
Aku benci mereka.
"Iman ada adik beradik lain?" soal Iman kepada Asyraf.
"Dalam siasatan Wisma Putra, tidak ada," jawab Asyraf.
Baguslah. Biar kurang sikit keturunan penyangak di dunia ini.
Kenapa sampai libatkan Wisma Putra? Iman ingin tahu. Tetapi soalan itu tersekat di kerongkongnya. Iman tercari-cari jawapannya tersendiri. Mungkin hanya itu caranya untuk mengetahui status warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia? Lebih-lebih lagi berkahwin dengan lelaki yang dikehendaki oleh gerombolan dari Barat.
Iman merasa dirinya bernasib baik kerana ditinggalkan dalam keluarga yang kaya raya. Bagaimana kalau ditinggalkan di tepi jalan?
Bagaimana kalau Zuhal tidak menghalang Papa membawa Iman ke Jabatan Kebajikan Masyarakat? Tentu nasibnya berbeza.
Tetapi, adakah pertunangan ini dapat membalas jasa-jasa Zuhal kepadanya?
"Maafkan dia Iman," nasihat Pak Lang Asyraf.
"Iman belum bersedia untuk memaafkan Mommy." Dia menegaskan.
"Eh? Di sini rupanya Pak Lang dengan Iman." Kedengaran suara orang yang kini sedang mendominasi pemikirannya.
Asyraf bangun. "Pak lang nak tidur. Kamu berdua sembanglah. Sort out your issues."
Zuhal mengambil tempat duduk Pak Lang Asyraf. Mereka diam seketika. Menunggu siapa yang hendak memulakan bicara.
Iman memandang ke arah tasik yang sepi. "Sebab Kenny, bukan?"
"No."
"Tapi abang benci sangat dengan Kenny kan?"
"Abang hanya pertahankan milik abang."
"Iman bukan barang untuk dimiliki."
Zuhal membuang pandangan ke arah tasik. Kata-kata Iman tidak dibalasnya.
Mahu Iman menampar mulutnya sendiri. Tak patut dia cakap macam itu kepada Zuhal yang menyelamatkan dia semasa masih bayi.
"Iman minta maaf . . ."
"Berapa kali Iman nak cakap minta maaf?" soal Zuhal.
Iman mengangkat muka. Air matanya kembali merembes. Iman terasa marah pada diri sendiri. Dia asyik menyakitkan hati orang yang menyayanginya.
Sedangkan dia sendiri sangat sayang orang itu.
*****
*Okey tak cincin tunang ni?*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro