Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

SEPERTI yang dijangka, emak Aliza jatuh sakit. Demam panas. Tekanan darah Mak Nah meninggi. Dah sampai tahap berbahaya, jadi kena masuk wad. Penyakit semputnya pun acap kali berulang. Salah makan sikit aje, semua penyakit berderum datang. Apatah lagi kalau terlebih kerja. Macam beberapa hari lepas, sehabis tenaga dia gunakan untuk mengheret Aliza untuk masuk ke dalam rumah. Itu yang buat Mak Nah penat.

Kebiasaannya, begitulah keadaan kesihatan Mak Nah. Kejap sihat, kejap tak sihat. Namun nak buat macam mana, lumrah orang yang sudah berumur, memang kebiasaannya berdamping dengan penyakit. Mujur Aliza sentiasa ada di samping emaknya di rumah pusaka milik keluarga mereka. Adalah orang yang sentiasa menjaga hal ehwal Mak Nah.

Mak Nah dimasukkan ke wad D1, Hospital Taiping. Bila Mak Nah masuk hospital, bermakna Aliza pun akan masuk hospital sama. Siang malam dia akan menemani emaknya di hospital. Petugas-petugas di wad tersebut ada yang sudah mengenali Aliza, terutama Sister Saleha yang senior tu. Mana taknya, dari umur Aliza belasan tahun lagi sudah berulang-alik ke hospital demi emaknya. Paling sekejap pun Mak Nah masuk wad selama dua hari. Kadang-kadang sehingga dua minggu Mak Nah dan Aliza berumah tangga di hospital. Abang-abang dan kakak Aliza semuanya bekerja kerajaan, jadi mudahlah emak mereka mendapat kemudahan hospital kerajaan. Taklah kena bayar banyak bil perubatan.

Sudah hari ketiga di sini. Keadaan Mak Nah lebih baik daripada semalam. Namun bukan petanda esok lusa dah boleh keluar hospital. Selagi rekod-rekod yang dicatatkan misi-misi bertugas tak menunjukkan angka yang doktor puas hati, selagi itulah Mak Nah akan terbaring di atas katil bercadar putih ini.

Bosan asyik duduk saja, Aliza membuat kerja kebajikan. Ada-ada saja dia tu. Tak cukup menjaga emaknya yang sakit, dia ambil tender pi jaga emak orang. Mak cik-mak cik, kakak-kakak, adik-adik yang tak ada saudara-mara yang jaga di wad tu, habis semua dibantunya. Kalau boleh, tugas misi pun dia nak sapu. Agaknya kalau duduk di wad bersalin, sibuk dia nak sambut bayi yang keluar.

Sekarang Aliza tengah membantu seorang wanita berbangsa India yang baru sahaja lumpuh separuh badan. Tengah tukar lampin pakai buang. Auntie ni uk uk. Baunya... Ya Tuhan, boleh tahan. Satu wad menahan nafas. Jururawat bertugas tak mampu untuk lakukan tugas tersebut. Merah menyala muka dia menahan muntah. Akhirnya Aliza membantu. Relaks saja Aliza buat kerja-kerja tu. Tak ada pun nak muntah. Selamba habis.

Sejak dari hari pertama berada di wad lagi Aliza dah membantu auntie ni. Auntie ada seorang anak lelaki sahaja, dan orang lelaki tak dibenarkan menjaga pesakit di wad perempuan, kecuali pada waktu melawat.

Waktu rehat tengah hari, seperti biasa anak lelaki auntie, Ravi datang melawat ammanya. Di setiap waktu melawat, pagi dan petang dia tak pernah lupa akan tanggungjawabnya.

Masa Ravi datang tu, Aliza tengah menyuap auntie makan tengah hari. Berselera auntie makan, sambil memandang wajah Aliza dan anaknya bergilir-gilir. Ada tika sayu aje mata dia merenung Aliza.

Ravi diam sahaja memerhati gelagat amma dia sehingga habis makan. Selalunya amma dia hanya berselera bila dia yang menyuap. Dengan orang lain amma tak mahu. Berbeza dengan gadis Melayu ni, amma dia suka sangat. Apa taknya, gadis ini melayan amma dia macam permaisuri. Penuh kelembutan, penuh hormat, sopan dan penuh ceria.

Sejujurnya, bukan amma dia saja yang suka pada Aliza ni, dia juga tertarik. Satu dalam seribu pun belum tentu boleh jumpa gadis sebaik ini. Pertama kali dia amat berminat dengan gadis Melayu. Aliza menolong tidak kira bangsa, ikhlas sahaja caranya. Gadis mana yang sudi mencuci bahagian sulit orang tua selepas buang air? Yang tidak pernah kenal pula tu. Jururawat yang dibayar gaji pun kelihatan agak keberatan melakukan begitu.

Gadis ni sangat istimewa!

Aliza pergi ke katil emaknya semula selepas tugasnya memberi auntie makan selesai. Memberikan peluang untuk Ravi menghabiskan masa melayan emaknya sendirian. Itu yang patut dilakukan setiap anak-anak. Menjaga dan memberi perhatian kepada ibu bapa terutama pada saat-saat memerlukan.

"Ravi..." Auntie panggil nama anaknya. Nada panggilnya seperti hendak memberitahu sesuatu yang penting.

"Ya, amma..." Tangan emak dipegang sambil digosok dengan penuh kasih.

"Kalau Aliza jadi isteri kamu... Amma gembira sangat."

"Amma..." Ravi menggosok-gosok pula kepala ammanya.

"Kalaulah amma dapat menantu macam Aliza, amma boleh pejam mata dengan aman, Ravi. Sebab amma tahu dia akan jaga Ravi dengan baik. Macam mana dia jaga amma, macam tu juga dia jaga Ravi..."

Auntie sudah mengeluarkan air jernih di tubir mata.

"Amma... Jangan banyak fikir, nanti amma lambat sembuh. Ravi nak amma temankan Ravi sepanjang hayat Ravi. Mahu amma sihat."

"Amma sudah tua, Ravi. Amma mahu lihat Ravi kahwin dengan gadis baik-baik yang boleh jaga Ravi macam amma jaga Ravi. Nanti amma cakap sama Aliza, ya? Ravi mahu kahwin sama Aliza."

Terdiam Ravi jadinya. Apa dia hendak kata pada ammanya sekarang? Dikerling si gadis yang sibuk melayan emaknya selang beberapa katil dari situ. Jelas kelihatan keikhlasan Aliza melayan orang tuanya. Tangannya sibuk mengurut kaki si emak. Senyum dan manis saja wajahnya berbual. Kalau begitulah sikapnya, orang yang sakit pun akan tak ingat sakitnya. Gembira hati dilayan dengan penuh kasih sayang.

Tiba-tiba mata Aliza turut memandang ke arah Ravi. Mata mereka bertatapan. Berdegup kencang dada Si Ravi. Hah... Dia suka gadis ini. Matanya penuh sinar kasih. Namun sebentar cuma situasi yang disukai Ravi ini kerana pantas saja Aliza melarikan matanya yang cantik itu daripada terus ditikam mata Bollywood Ravi.

Petangnya, selepas habis waktu melawat dan Ravi pun sudah pulang, tanpa buang masa amma Ravi melambai-lambai tangan. Memanggil Aliza supaya datang kepadanya.

"Aliza... Kahwin sama Ravi anak auntie, ya?"

Aliza terkesima. Tak mampu berkata apa-apa.

"Kasihanilah auntie. Teringin sangat mahu tengok Ravi kahwin sama perempuan baik-baik macam Aliza sebelum auntie mati."

Pantang disebut pasal kahwin, cepat sahaja emosi panas meransang minda Aliza. Terus wajah yang comel dan manis itu memuncung jadinya.

"Kenapa Aliza diam? Aliza tak suka Ravi ke? Anak auntie tak cukup handsome ke untuk Aliza?"

Dalam menahan kemarahan yang mula bersarang, Aliza masih mampu menggeleng-gelengkan kepala. Ravi tu seorang pemuda India yang sangat kacak. Kulitnya yang cerah, dipadankan dengan tubuh yang sasa, hidung mancung dan mata yang redup itu, apa tak kacaknya? Macam pelakon Bollywood tu.

"Oh... Auntie tahu, sebab Ravi non Muslim, kan?" Auntie ketawa.

"Jangan bimbanglah... Ravi boleh masuk Islam. Auntie izinkan, asalkan Aliza sudi kahwin dengan Ravi."

Aliza cuba paksa bibir dia untuk senyum supaya auntie tidak kecil hati. Yang sebenarnya, hatinya sudah mendidih tahap seratus darjah Celsius. Dia tidak tahu mengapa. Tiba-tiba tubuhnya meluap-luap panas. Penyakit benci kahwinnya sudah mari.

MALAM itu Aliza dapat balik berehat di rumah. Kak yang balik kampung dan mengambil giliran untuk jaga Mak Nah di hospital. Dapatlah Aliza berehat di rumah. Lagipun itu yang dimahukan. Badannya rasa lain macam setelah dipinang amma Ravi petang tadi. Sungguh emosinya terganggu.

Amma Ravi pun satu. Dalam ramai-ramai gadis India di Malaysia dan negara India sana, Aliza from Batu Kurau juga yang dia berkenan. Pening kepala Aliza dibuatnya. Sepetang amma Ravi menangis, minta Aliza terima Ravi jadi suami. Kecoh satu wad. Puas Aliza menahan sabar.

Masa ni baru dia ingat surah-surah al-Quran yang Puan Shahida suruh baca. Puan Shahida turut menghadiahkan buku kecil dan nipis kepadanya dahulu. Selama ni tersimpan saja di dalam beg galasnya. Petang ini, dia takut tak dapat kawal perasaan lalu marah-marah di hospital seperti dia selalu mengamuk di rumah, bila keluarganya paksa kahwin.

Berkesan rupa-rupanya cara ini untuk kawal emosi dia. Sebab itulah Puan Shahida selalu pesan suruh baca agaknya. Cuma dia sahaja yang malas. Nak baca ayat-ayat suci al-Quran tu, macam berat saja dia nak buat. Al-Fatihah, ayat tiga Qul... Surah yang sepatutnya sentiasa di bibir, itu pun Aliza tak jadikan amalan.

Masuk sahaja ke dalam bilik, Abu sudah sedia menunggu. Aliza dah tahu, mesti Si Abu pun panas sakan. Tahu sahaja Abu bila ada orang meminang dia.

Namun berlainan kali ini. Abu relaks aje.

"Hai, darling Ija..." tegur Abu ceria.

"Hah, Abu... Kau tak marah aku ke kali ni?"

"Buat apa nak marah? Aku dah tau kau akan reject."

"Mana kau tahu? Ravi tu handsome tau. Kalau aku kahwin dengan dia, anak aku lawa-lawa nanti."

"Ada aku kesah?" balas Abu selamba.

"Amboi, berlagak kau! Selalu tu mengamuk sakan."

"Aku lagi suka kau terima annei tu daripada kau terima jantan Melayu yang bajet bagus tapi hampeh..."

"Macam tu pula?" Berkerut dahi Aliza. Macam-macam perangai jin ni.

"Yalah..." Sepatah Abu jawab. Malam ni selamba habis Abu, sikit tak keluar cemburunya.

Aliza terdiam sekejap. Patutlah dia tak terlalu nak meroyan. Selalu tu dia amat susah untuk kawal emosi. Sebab Si Abu tak kacau dia. Ke sebab Si Abu takut ayat-ayat Allah.

"Errr, Abu... Kau sebenarnya tak suka aku sembahyang, kan? Sebab tu kau tak kasi aku kahwin dengan lelaki Melayu."

Abu tak jawab. Lama Abu diam. Dan Aliza tak nampak pun Abu di mana-mana.

Merajuklah tu! desis hati Aliza. Lantak kaulah, Abu. Aliza menarik kain selimut untuk tutup muka. Tidur lagi bagus daripada melayan perangai Si Abu yang tak semenggah tu.

"Darling Ija... Kalau kau nak tau, aku lagi kacak dari si annei yang nak kahwin dengan kau tu tau," bisik Abu bila mata Aliza sudah hampir terpejam.

"Kau ni tak habis-habis bajet perasan!"

"Ya, Ija... Jambul aku, tak pakai pomade pun dah win, kalah jambul Amir Bahrom, artis yang kahwin dengan Emeera Roslan tu. Si annei Ravi tu, mana ada jambul. Segak ke kalau kepala hampir licin macam tu. Tak la, kan?"

"Sudah la kau, Abu!"

Aliza tutup muka dan telinga dia dengan bantal. Nak termuntah ungu dengar.

Poyo punya jin!

Berlagak aje lebih!

Entah-entah berbulu satu badan, hitam legam, dengan gigi bersiung dua puluh inci. Eee... Agaknya kalau Abu tunjukkan rupa dia, menggeletar badan Aliza satu bulan ketakutan. Tak nampak rupa sebenar... Boleh la jadi kawan!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro