Bab 4
Imran melihat jam di pergelangan tangan. Hah, sudah habis masa bertugas di wad D1 ini, katanya dalam hati. Di sini kejap saja masa berlalu. Ke hulu, ke hilir, rawat sana, rawat sini, cucuk sana, cucuk sini, dah habis masa. Tak terasa waktu pergi begitu cepat, bila sampai saat tidur baru tahu badan hampir lunyai dikerjakan tugas-tugas hospital. Masa kerja tak rasa,di atas katil baru rasa. Orang tak kerja hospital, takkan tahu. Imran senyum-senyum sendiri. Sambil tu dia buka kot putihnya.
"Doktor dah nak balik ke?" Seorang jururawat yang baru menghampirinya bertanya.
Imran angkat kening dan sengih.
"Kenapa, Eina? Kamu jangan nak memandai tahan saya lagi di sini tau!" usiknya.
"Bukan, doktor. Saya nak minta tolong sekejap aje..."
"Hah... Apanya?"
"Tu, mak cik yang katil hujung sana tu. Tak sudah-sudah menangis nak jumpa doktor. Dah puas pujuk, tapi tak mahunya dia dengar. Degil. Selagi doktor tak pergi jumpa dia selagi itulah dia keriau. Mengganggu pesakit lain, siapa boleh tidur kalau ada suara orang merengek tak habis-habis?"
"Mak cik ratu lempeng?" soal Imran semula. Mak cik ratu lempeng adalah gelaran yang diberikan oleh kaki tangan wad D1 kerana perangai mak cik tersebut ala-ala diva. Asyik cerita lempeng nyiur dia yang paling sedap di dunia. Tak ada perempuan lain yang reti buat macam dia punya.
"Haah, siapa lagi doktor kalau bukan mak cik ratu lempeng tu. Tak habis-habis dengan perangai mengada-ada dia. Mentang-mentang la kami yang misi ni hanya rakyat jelata yang hina, yang tak pandai melempeng, dia tak mahu. Dia nak doktor handsome juga yang layan dia. Tak mahu dengar cakap misi-misi. Kalau kita marah, lagi kuat dia meraung. Memekak aje kerjanya, sampai ganggu pesakit lain."
Imran mengeluh.
"Saya pun tak pandai melempeng juga. Maggi pun kakak yang masakkan."
"Tapi mak cik ratu lempeng dah jatuh cintan sama doktor. Tak pandai buat lempeng pun tak apa. Dia cuma nak dengar suara romantik doktor memujuk."
Imran geleng-geleng kepala. Walaupun misi bergurau, tapi dia tahu itu memang betul. Macam-macamlah fiil pesakit ni. Ramai yang tak cukup zat kasih sayang. Tak cukup kasih sayang orang yang menjaga, orang yang melawat, doktor dan jururawat juga kena hulurkan kasih sayang berlebih-lebihan untuk pesakit. Tetapi mak cik tersebut memang sah-sah tak cukup kasih sayang, sebab tak pernah tengok saudara-maranya datang melawat. Sebab tu dia manja lebih dengan kakitangan wad.
Opsss... Dengan Imran sebetulnya. Dengan misi-misi yang berdarah rakyat jelata ni dia tak mahu. Jual mahal. Semua dia kata tak reti buat lempeng. Agaknya Imran ni ada golongan bangsawan kut.
Kedengaran suara keriau mak cik ratu lempeng semakin kuat.
"Tak apalah... Saya pergi pujuk sekejap."
"Hati-hati, doktor! Takut doktor yang jadi lempeng nanti," sampuk Sister Saleha yang menjadi pemerhati sejak tadi.
Sister Saleha selalu pesan pada Imran, jangan terlebih melayan mak cik ratu lempeng. Orang tua tu ada saka. Dia dah lama bekerja di wad ini, dia tahu belaka. Mak cik tu asyik ulang alik masuk wad ini sudah sekian lama. Dihantar oleh rumah orang-orang tua, Pusat Kebajikan Masyarakat.
Dah berapa kali hampir mati, tapi umur dia masih panjang. Masih juga hidup lagi, keluar hospital, masuk hospital. Liat betul nyawanya. Atau sebab saka yang dia bela tu menjadi penyebab rohnya susah dicabut? Ramai orang yang kata begitu. Jika membela ni boleh ganggu proses untuk pergi. Saka tu tak nak tuan dia pergi. Wallahualam. Tapi kuasa Allah melebihi segalanya, kan? Jika Dia kata jadi... Maka jadilah belaka.
Imran sekadar mengecilkan mata memandang Sister Saleha sebelum melangkah pergi. Tahu maksud Sister Saleha. Dah banyak kali dikasi amaran. Namun Imran tak percaya cerita karut-marut tu. Mak cik ratu lempeng alias Mak Cik Sari nama sebenarnya tu dah uzur, memang la dia nakkan perhatian. Sekadar untuk bermanja dengan doktor segak apalah salahnya.
Bukannya mak cik ratu lempeng tu anak dara gedik-gedik. Orang tua! Orang tua yang perlukan perhatian. Itupun misi-misi ni nak cemburu. Tahulah Imran ni doktor yang paling segak untuk satu bangunan hospital ni. Sempat lagi Imran berkira-kira memuji ketampanan yang dimilikinya.
Walaupun Imran tak berapa berkenan dengan perangai mak cik ratu lempeng, tetapi dari segi kemanusiaan, timbul perasaan simpati dan kasihan. Sebab itu dia tak sampai hati untuk mengabaikan permintaan mak cik ratu lempeng.
"KENAPA ni, mak cik? Nangis-nangis teruk macam ni? Bila nak baik sakit kalau asyik menangis?" pujuk Imran. Seperti selalu, suaranya baik dan lembut bila menangani pesakit-pesakit warga emas sebegini. Sememangnya dalam profesion kedoktoran, mereka harus bersikap yang sewajarnya untuk menenteramkan mental pesakit.
"Dah doktor tak mahu datang tengok ayang..." balas mak cik ratu lempeng bersama esakannya. Manja betul mak cik ratu lempeng dengan Imran. Membahasakan dirinya 'ayang' lagi, khas untuk Imran. Dengan orang lain, dia tak berbahasa begitu malah ditengking-tengking lagi ada. Sekali fikir memang melampau!
Kadang-kadang telinga Imran geli dengar, namun ditahankan sahaja demi tugas. Dari umur empat tahun dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, jadi dia kenalah melalui semuanya dengan rela hati.
"Ni doktor dah datang dah, mak cik jangan menangis lagi, ya? Mak cik kena tidur, supaya bila jaga esok, boleh jumpa doktor lagi..."
"Betul? Doktor akan jumpa ayang esok?" Wajah mak cik ratu lempeng dah mula menunjukkan ciri-ciri gedik dan teruja. Sambil tu mata dia kerling katil di sebelahnya. Lagi bertambah seronok bila nampak orang sebelah masih berjaga dan melihat Imran melayannya.
Imran mengangguk. Tanpa sedar yang esok adalah giliran cuti dia. Kiranya dia dah berikan janji palsu kepada mak cik ratu lempeng. Habislah bising satu wad. Kasihan misi-misi asyik kena maki. Imran menarik selimut di katil, lalu menutup separuh badan mak cik ratu lempeng.
"Tidur ya, mak cik..."
Terus mak cik ratu lempeng tutup matanya. Wajah yang berkedut-kedut dimamah usia itu, kadang-kadang buat tubuh Imran merasa seram sejuk. Menakutkan. Agaknya, bila dia dah tua sangat, beginilah rupanya kut. Dah tak nampak kulit wajah yang tegang, semua berkerepot sehingga mata menjadi halus. Akan tetapi bila mata itu cuba dibesarkan, ia akan menayangkan rupa yang agak menakutkan. Huh!
Imran menggosok-gosok lengannya semasa kembali semula ke bahagian kaunter. Boleh terpacak bulu romanya tiba-tiba. Isy, seram pula!
"Itulah, saya dah cakap tapi doktor tak percaya," ujar Sister Saleha. Dari tadi dia memerhati kelakuan Imran. Baginya doktor ni degil. Dah diberi amaran, tak mahu percaya.
"Apanya, sister?"
"Doktor la... Suka sangat layan Mak Cik Sari tu. Diturunkan sakanya pada doktor nanti baru tahu!"
Imran tergelak.
"Mengarut la sister ni. Dah jadi ketua misi pun masih nak percaya benda-benda macam tu. Kita kan orang kuat dalam perubatan moden. Masa belajar dulu tak ada pun masuk syllabus penyakit berpunca daripada saka ni. Merapulah semua ni sister, buat penat saja belajar perubatan kalau kita percaya benda-benda macam ni. Tak masuk akal!"
"Dah agak dah, mesti doktor tak percaya punya. Saya ni doktor, dah lama menghadap kerenah pesakit-pesakit ni. Dah nak pencen pun. Sebab tu berani pesan pada doktor, sebab pernah nampak kejadian depan mata sendiri..."
"Ya, Sister Saleha... Kalau sister nak percaya saya tak larang, tapi jangan heret saya sama dengan ini story okey. Boleh jatuh syirik tau kalau kita terlalu percaya benda-benda mengarut ni."
Hek eleh, Imran... Awak sembahyang pun selalu memonteng lagi mahu kritik orang jatuh syirik bagai. Jika tinggal solat wajib jatuh dalam kategori apa ya, Tuan Doktor? Sempat lagi sisi baik hati Imran mengkritik tuan punya badan.
"Saya ni niat baik... Mohon doktor hati-hati aje, kalau jadi apa-apa nanti saya tak rasa bersalah," balas Sister Saleha selamba. Misi veteran ni memang berani bertingkah dengan Pegawai Perubatan. Orang banyak pengalaman la kan.
"Terima kasih banyak la sister, sebab ambil berat. Tapi saya rasa saka ni lebih suka pada orang yang percayakan dia kut! Jadi Sister Saleha yang kena berhati-hati, bukannya Doktor Imran," sindir Imran dengan mulut sinis sambil berlalu untuk pulang.
Tak payahlah pengaruhi dia untuk percaya benda karut-marut ni. Penat saja dia bertungkus lumus belajar untuk jadi doktor kalau nak percaya benda-benda macam ni. Lebih baik dia pergi belajar jadi tok bomoh, hembus kemenyan sana, kemenyan sini, tak susah perah kepala otak nak hadapi ujian demi ujian untuk lulus bidang perubatan.
Sakit hati Sister Saleha dengan reaksi Imran. Niat dia baik, tapi doktor tu susah terima pendapat orang. Mentang-mentang la dia doktor dan Sister Saleha ni sekadar misi cabuk dah nak pencen.
"Itulah akak, lain kali toksah dok nasihat doktor poyo tu. Kalau saka nak tokak tengkuk dia pun kita biaq saja, bukan kita yang kena," ujar Misi Nisha, jururawat yang turut sama bertugas malam itu.
"Kan. Kalau ikutkan, memang padan la Doktor Imran dengan mak cik ratu lempeng tu. Dua-dua perasan bagus!"
"Tahu tak apa. Jadi pedulikan dia orang. Biarlah dua-dua buat lempeng, makan lempeng dan jadi lempeng."
Mereka gelak mengekek dengan kata-kata sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro