Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

KETIKA Shahida sampai, Imran sedang berlegar-legar di halaman rumah. Gelisah semacam aje gayanya. Shahida perhati sahaja kelakuan adiknya yang lain macam dari dalam kereta. Dah kena rasuk juga ke?

"Kakak pergi mana?" tanya Imran sebaik sahaja dia buka pintu kereta Shahida.

"Kerja la, kenapa?"

"Ya ke? Im pergi Fresh Mart kak tak ada? Telefon pun tutup. Risau Im tau!"

Shahida sengih. Betul ke apa yang dia lihat dan dengar? Doktor Imran cemas pasal kakaknya? Huh, keajaiban!

Shahida keluarkan telefon bimbit dari beg.

"Hurm... Patut la, bateri kong dah. Sorry la Im kakak buat Im bimbang."

"Kak ke mana?"

"Dating..."

"Oh, bagus la kalau dah ada kawan berdating tapi dating sampai jauh malam tak baik kak, tambah-tambah duduk kampung macam ni."

"Kak ni dah dewasalah Im, boleh jaga diri."

"Ya, tapi kakak masih di bawah tanggungjawab Im."

"Bahagianya dengar, letih kak tiba-tiba hilang bila dengar kata-kata manismu, Im." Shahida senyum meleret. Dia tak menyindir apa-apa. Jauh dalam sudut hati dia merasa bahagia mendapat perhatian daripada adik kesayangannya. Terubat rindu pada arwah ayah dan emak.

"Dating dengan siapa? No suami orang tau."

"Heh, bukan para lelaki saling menyokong ke jika kaum kau orang nak buka cawangan?"

"No, no. You cannot kahwin suami orang! Perempuan lain Im tak kesah. You tak boleh."

"Pula..."

Shahida jalan masuk ke dalam rumah. Imran mengekori dari belakang.

"Betul la kak dating dengan suami orang?" Imran masih tak puas hati. Mahukan kepastian. Bagi dia, daripada kakaknya susah bermadu, baik tak payah kahwin.

"Dating apa namanya, Im? Kak pergi Batu Kurau tadi, hantar staf kena rasuk. Dah balik tu, belanja staf yang ikut tu makan, hantar dia balik rumah, tu yang lambat."

Shahida jawab sambil melabuhkan punggung di atas sofa. Busybody pula Imran malam ni.

"Kena rasuk apa tu?"

"Rasuk la. Macam histeria tu. Tak sedar, cakap bukan-bukan, sampai dia kata kak ni anak dara tua, tak boleh panggil puan, kena panggil cik."

Imran gelak.

"Agaknya memang itu yang dia nak kata kak selama ini kut, tapi tak ada peluang. Pura-pura kena rasuk, dapat la lepas perasaan." Imran sambung ketawa.

"Apa lagi dia kata, kak?"

"Dia kata kak kuat makan..." Yang ni Shahida pun tergelak sama. Nak kecil hati pun tak jadi sebab rasa lucu pula bila dikenang.

"Dia tak sedar, Im. Orangnya baik. Kak tahu bukan diri dia yang sebenar, ada makhluk lain masuk."

"Yalah tu, kak... Entah-entah staf kak tu memang mengalami gangguan jiwa. Atau ada keturunan sakit mental. Entah-entah ada sejarah keluarga dia yang sakit mental. Cuba suruh pergi check doktor. Orang-orang kampung selalu beranggapan macam tu, kena rasuk sikit, kata hantu jembalang punya angkara. Sedangkan penyakit tu dah lama bertapak dalam diri dia orang."

"Entahlah, Im... Mungkin betul kata Im tu. Tapi kasihan benar kak tengok keadaan dia. Lepas mengamuk, dia jadi lembik kepenatan. Tak pernah tengok dia sakit. Ni pertama kali. Orangnya baik, sejuk mata mandang. Kalau Im jumpa dia, mesti Im pun suka." Shahida sengih nakal.

"Ke situ pula kak ni, yang di KL tu nak campak mana?"

"Haip... Boleh buka dua cawangan. Satu kat bandar, satu kat kampung. Yang kat kampung boleh teman akak..."

Terkesima Imran dengar. Satu pun tak lepas lagi.

"Serius, Im. Akak suka sangat kalau dia yang jadi adik ipar."

"Biar riuh-rendah rumah kita dengan jeritan dia ya, kak?" Imran sengih nakal mengusik si kakak.

Haah la... Terbayang-bayang Shahida saat ngeri dalam kereta petang tadi.

SEHINGGA malam, Aliza terus mengamuk. Penat mengamuk dia berhenti dan tidur. Bila terjaga, dia mengamuk balik. Meracau-racau, cakap yang bukan-bukan. Mata Aliza yang cantik telah bertukar jadi hodoh. Merah menyala. Seperti hendak makan setiap orang yang dipandangnya.

Mak Nah merenung Aliza yang sedang tidur di atas tilam di ruang tamu rumah. Belas sangat melihat tubuh anaknya yang kepenatan. Apalah penyakit Aliza ni? Anak-anak dia yang lain tidak pula sakit seperti Aliza. Kak yang tu, riang-ria sahaja hidupnya. Lepas belajar, terus dapat kerja, kemudian kahwin, beranak. Tak pula terseksa sakit yang bukan-bukan macam Aliza.

Aduhai... Kasihan anak bongsunya ini. Hidup tak sama seperti anak-anak muda lain. Sudah la sebahagian besar dari hidup si anak diberikan untuk ambil berat hal tentang dirinya. Si anak belum sempat bergembira, dah diserang sakit pula.

"Tidurlah, mak. Biar Kamal yang berjaga." Kamal yang baru lepas minum air kopi di dapur menyuruh emaknya berehat. Bimbang lihat emaknya yang begitu tertekan dengan keadaan Aliza. Sedangkan emaknya baru sahaja baik dari sakit.

Mak Nah tayang wajah sayu pada anak sulungnya.

"Macam manalah mak nak tidur Kamal, kalau keadaan adik kamu macam ni? Tak boleh nak lelap mak..."

Kamal mengeluh. Aliza yang tidur nyenyak di hadapan dikerling.

"Lama pula Ija sakit kali ni. Selalu tu, sekali dua saja dia mengganas. Ini dah berpuluh-puluh kali ya, mak?"

"Itu yang mak risau, Kamal. Dari tempat kerja lagi dia buat pasal. Ni dah dekat pukul tiga pagi, masih tak berhenti. Tidur kejap, bangun mengamuk balik."

"Itulah... Bukan semakin baik Ija ni, semakin lama semakin teruk penyakit dia," ujar Kamal seraya mengerling ke arah emaknya.

"Tapi mak pun kena tidur, kena rehat... Penyakit darah tinggi mak tu tak boleh tahan dengan keadaan macam ni. Macam mana nak jaga Ija kalau mak sendiri pun sakit nanti? Mak rehat la. Biar Kamal yang jaga adik."

Mak Nah terpujuk. Namun dia tak pergi tidur di bilik sendiri, sebaliknya dia ambil toto lalu dihampar di sebelah Aliza. Dia baring di situ. Kamal tak berkata apa-apa, hanya diam sahaja. Faham benar betapa sayangnya emak terhadap si adik bongsu.

Kamal duduk bersandar di tiang tengah rumah. Matanya tidak berasa hendak tidur. Hati tidak tenteram. Berselang-seli dia memandang si adik dan si emak yang beradu kepenatan. Terlepas keluhan kecil darinya. Belas melihat keadaan kedua-duanya.

"Aku tak mahu kahwin! Aku tak mahu kahwin! Aku tak boleh kahwin! Jangan suruh aku kahwin!"

Tak sampai sepuluh minit Mak Nah tidur, Aliza kembali menjerit. Kali ini lain pula cakapnya...

"Diamlah! Siapa yang suruh kamu kahwin?" Marah Kamal pula. Apa taknya, tiba-tiba sahaja bergema suara garau Aliza. Terkejut sakan dia.

"Jangan marah Ija, Kamal..." tegur Mak Nah.

"Siapa yang suruh kau kahwin? Jawab sini!" Kamal tak peduli akan teguran emak. Tetap hendak berlawan cakap dengan Aliza yang bukan Aliza itu. Dengan tiba-tiba dia tak dapat mengawal emosi marah sendiri. Berbanding Najib, Kamal seorang abang yang terkenal dengan sikap tenang.

"Kaulah! Selalu suruh aku kahwin! Kau paksa aku!"

"Heh, mana ada paksa? Kalau aku paksa, kau dah jadi isteri orang tau!"

Dalam marah-marah itu pun Kamal bangun dan pergi duduk dekat Aliza. Aliza yang bermata merah sudah bangun duduk di atas tilam. Apa-apa berlaku karang, mudah untuk dia bertindak. Manalah tahu, dia belasah Mak Nah yang kurus tu ke. Tak pasal-pasal emaknya jadi mangsa.

"Kau yang sibuk! Aku tak nak kahwin, kau selalu sibuk hasut mak suruh aku kahwin!"

Kamal menghadap tubuh Aliza, mencengkam kedua-dua bahu adiknya. Kuat.

"Aku tahu, kau bukan Aliza. Kau kacau adik aku, kan? Adik aku tak cakap kurang ajar macam ni. Lebih baik kau keluar sekarang!" Tubuh Aliza, Kamal goncang-goncang.

"Kau keluar!"

Aliza melawan. Dengan ganas dia merentap dan menolak tubuh Kamal sehingga terlentang ke atas lantai.

"Aduh..." Kamal mengaduh. Sakit kepala dia. Tak pasal-pasal terhempas ke atas simen yang keras ni.

"Padan muka!" kata Aliza jadi-jadian tu.

Aliza kemudiannya laju bangun menuju tangga. Kasar jalannya, sehingga berkeriut tangga kayu tersebut. Pok pok pok bunyi tapak kaki yang dihempas ke anak tangga. Sangat ganas.

Gedebum!

Bunyi pintu dihempas kuat dari bilik di atas.

"Kamal... Kamal, cepat tengok Aliza di atas. Takut mak... Takut dia terjun tingkap bilik dia tu..."

Kamal masih terlentang kesakitan. Mak Nah sudah ke tangga, menapak perlahan-lahan. Dia tak boleh biarkan Aliza keseorangan di atas. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro