Bab 13
"NAK pergi kerja juga, Ija?" tanya Mak Nah pada anak daranya yang baru turun ke bawah. Mak Nah dah balik dari hospital semalam.
"Pergi, mak. Dah lama benar Ija cuti. Tak ada duit la Ija bulan ni." Sedih Aliza mengenangkan kedatangan kerjanya untuk bulan ni. Banyak benar perkataan 'UL', yang bermaksud unpaid leave dalam borang kiraan gaji. Nipis la beg duitnya nanti.
"Kan nampak tak sihat tu? Kut jadi apa-apa kat tempat kerja, macam mana nanti?"
Mak Nah bimbang. Semalam, sebaik sahaja sampai di rumah, Aliza dah buat perangai. Menjerit sekejap, macam orang tak ingat. Nasib baik tak lama. Mujur Kamal ada untuk membantu. Kena jerkah sekali dengan Kamal, terus terdiam. Tidur terus sampai pagi.
"Okey dah, mak. Semalam dah rehat cukup. Mak jangan risaulah, Ija tak apa-apa. Ija pergi dulu, mak. Jangan lupa makan ubat, ya?" Aliza mencapai topi keledarnya selepas menyalami Mak Nah.
Berat rasa hati Mak Nah melepaskan anak daranya pergi hari ini. Dia pandang motosikal Aliza sehingga hilang dari pandangan. Nak ditegah sangat pun, dia sendiri rasa bersalah. Kalau tak kerana dia yang sakit, sudah tentu kerja Aliza tidak banyak bercuti. Reda sajalah. Nak buat macam mana, dah keadaan memaksa. Tanpa Aliza, susah juga keadaan dia. Anak-anak lain semua sibuk dengan kehidupan sendiri.
Tiba di tempat kerja, Aliza terus menjalankan tugasnya. Dia senyap dan serius sahaja, tidak seperti hari-hari biasa, Aliza mesti beramah mesra dan bergurau dengan kawan-kawannya, terutama Kak Ita, si pembuat martabak mamak yang harum semerbak tu. Mood mesra Aliza bagaikan diambil orang. Dicuri Si Abu agaknya.
"Siapa suruh letak timun di sini? Bukan tempat dialah!" jerkah Aliza pada pekerja warga Bangladesh yang menyusun sayur-sayuran.
Pekerja tersebut memandang saja Aliza. Tak faham. Tak menyangka sebenarnya. Selalu Aliza tak garang macam ni.
"Semalam, sini juga letak. Mana ada salah, Ija," balas pekerja tersebut. Dia tetap meletakkan baki timun di rak tersebut.
"Salah tempat saya kata! Tukar!" tengking Aliza lagi.
"Bitul la... Mana ada salah!" Mat Bangla masih menegakkan benang yang basah. Tunjuk degil. Lagipun Aliza menegur dengan cara kasar, tercabar la ego lelakinya. Itu sebab dia sengaja melawan.
Apa lagi, suhu badan Aliza semakin meninggi la jadinya. Dia capai sebiji timun yang paling besar, lalu dia ketuk lengan Mat Bangla tersebut. Ketuk, ketuk, ketuk dan ketuk lagi. Kuat. Rasanya tak la sakit mana. Tetapi wajah Aliza menunjukkan yang dia marah sangat.
"Ayo, Ija... Stop, stop! Saya kasi tukar tempat." Akhirnya Mat Bangla mengalah. Takut dia tengok mata Aliza yang bulat dan garang semacam. Biasanya Aliza sangat manis dan memikat hatinya, sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Nafas Aliza laju naik turun selepas bergaduh dengan Mat Bangla tersebut. Dia rasa dia tak dapat kawal dirinya lagi. Panas badan dah naik ke kepala. Lalu dia pergi mencari Kak Ita. Apa-apa memang Aliza selalu cari Kak Ita untuk mengadu hal. Jumpa Kak Ita dekat bilik stor.
"Kak Ita, aku dah tak la..."
Serentak dengan itu, tubuh Aliza menjadi lembik, lalu terjelepok jatuh di celah-celah kotak minyak sawit cap Buruh.
"Ya Allah... Ija!" jerit Kak Ita terkejut.
"Puan Shahida, Aliza pengsan!"
"Hah? Di mana dia?" tanya Shahida kepada pekerja perempuan yang datang memberitahu di biliknya.
"Kami dah bawa ke bilik rehat pekerja, puan."
"Okey, terima kasih," ucap Shahida sambil bergegas keluar menuju bilik rehat pekerja.
Masa Shahida sampai, Aliza sudah sedar dari pengsan. Dia terbaring dengan kedua-dua lengan dicengkam kuat Kak Ita. Mata Aliza merah menyala. Macam dia sedang marah sangat. Aliza yang lembik tadi telah menjadi seorang yang kuat. Kakinya meronta-ronta. Mulutnya kumat-kamit, cakap yang bukan-bukan.
Merinding bulu roma Shahida melihat keadaan Aliza. Dia belum pernah lihat dengan mata sendiri bagaimana Aliza diserang penyakit mistik. Ini pertama kali. Dan pertama kali juga berlaku di pasar raya miliknya.
"Celaka kau, Kak Ita. Kau panggil anak dara tua ni buat apa?" Aliza bersuara dengan nada kasar dan marah. Jelas sekali kedengaran bukan suaranya yang biasa-biasa. Suara Aliza lembut dan manis. Yang ini garau dan kasar sekali. Seperti suara lelaki jahat.
"Dia kena rasuk, puan..." bisik Kak Ita pada Shahida.
Shahida mengangguk. Teruknya keadaan kena rasuk. Kalau tak kuat semangat, orang yang melihat ni pun nak terasuk sama, fikir Shahida.
"Puan apa ke nama? Dia bukan kahwin lagi. Kenapa nak berpuan-puan dengan dia? Panggil cik sudah la!" repek Aliza lagi. Kelihatan wajahnya sangat benci melihat Shahida. Kakinya cuba menendang perut Shahida yang berada di hadapan.
"Puan! Jauh sikit... Ija ni macam nak lawan puan aje," ujar Kak Ita cemas. Tangan Kak Ita berkerja kuat menekan lengan Aliza supaya jangan terlepas.
Shahida menjarakkan diri sikit.
"Nak jauh buat apa? Aku memang tak suka kau, anak dara tua! Kuat makan, sebab tu tak laku-laku," maki Aliza pada Shahida lagi.
Wajah Shahida berubah. Sesedap rasa sahaja Si Aliza ni mengata dia, ya?
"Puan, ini bukan Aliza. Dia tak sedar, benda lain yang cakap." Kak Ita cuba memberitahu keadaan sebenar.
Shahida angguk. Kalau tak diberitahu pun dia sudah faham.
"Perempuan gemuk ni pun sama. Menyibuk saja!" Aliza marah Kak Ita pula, dan dia cuba menolak cengkaman tangan Kak Ita pada dirinya.
"Mengucap, Aliza!" suruh Shahida. Dia melafazkan kalimah syahadah supaya Aliza mengikut. Mana mahunya. Aliza buat keras sahaja. Kakinya masih jahat, masih mencuba untuk menendang Shahida.
"Jom semua, ikut saya baca al-Fatihah, ayat Kursi dan tiga Qul..."
Shahida mengajak dua orang pekerja yang berada di situ membaca ayat-ayat Allah bersamanya. Dia tak tahu cara untuk menenangkan orang yang dirasuk ni. Sungguh dia tak tahu. Masa duduk asrama sekolah dulu, kalau ada kawannya yang kena histeria, dia pergi main jauh-jauh. Takut terjangkit padanya. Tetapi sekarang, kenalah hadap. Aliza tu pekerja dia, tak boleh dah nak lari. Bos bongok la namanya. Lagipun, dia sudah dewasa.
Cuma dia pernah la dengar yang ayat-ayat ini sesuai dibaca. Pak Su Khalil pernah bagi tahu dia. Ayat-ayat mathurat, iaitu doa-doa yang diamalkan Rasulullah S.A.W selepas solat pada waktu pagi dan petang juga harus diamalkan. Boleh menjauhkan diri daripada jin-jin jahat dan makhluk halus yang berniat tak baik.
Keadaan Aliza menjadi sedikit tenang, selepas dibacakan berulang-ulang surah tersebut. Tidak meronta-meronta kuat seperti sebelumnya. Shahida merasa sedikit lega.
"Kena hantar balik rumah dia ni, puan. Lama-lama di sini, kita tak biasa jaga dia. Takut nanti dia mengamuk lagi teruk, puan," saran Kak Ita. Dia bimbang Aliza akan bangkit melawan lagi kuat. Itu belum masuk bab terpekik terlolong. Dia pernah lihat Aliza mengamuk. Jika itu berlaku di pasar raya ni, habislah! Tempat dia cari makan ni.
"Yalah, Ita. Keluarga dia lagi tahu nak handle dia."
"Harap dia tak buat hal la masa dalam kereta nanti, puan."
"Kenapa, Ita? Dia pernah terjun dari kereta ke?"
Kak Ita teragak-agak untuk jawab.
Hah, sudah! Shahida cuak...
SHAHIDA cuba menenangkan diri semasa memandu menuju kampung. Boleh tahan agresif Aliza di belakang. Habis Kak Ita kena sepak. Kasihan Kak Ita, percuma sahaja mendapat bahagian. Bukan sekali dua. Banyak kali. Nasib baik Kak Ita ini tergolong dalam kategori perempuan sasa. Boleh tahan kena pelempang beberapa kali. Walaupun mengaduh, tetapi dia tetap bersabar.
Tak cukup melempang, kaki Aliza tak henti-henti menunjal pintu kereta. Dahsyat sekali amukannya. Mujur tidak bertindak membuka pintu kereta dan melompat keluar. Kalau itu berlaku, Shahida tak tahu nak jawab apa pada keluarga Aliza.
Acap kali kereta Shahida terhuyung-hayang di tengah jalan dan hampir tergelincir ke pinggir curam. Sangat-sangat menguji kecekapan Shahida mengendalikan stereng dan brek serta pedal minyak. Huh, berpeluh-peluh juga Shahida dibuatnya. Tak pernah dia merasa memandu dalam keadaan ngeri begini. Tambahan pula dengan jalan yang licin dek basahan air hujan yang turun di sepanjang perjalanan.
Keadaan Aliza semakin agresif apabila melalui selekoh tajam yang disekelilingnya hutan tebal, tiada kawasan perumahan. Terlolong-lolong Aliza menjerit. Kecut perut Shahida semakin menjadi. Rasa terhenti sekejap nafasnya ketika ini. Sehabis tenaga Aliza gunakan untuk melawan dan meronta. Hairan. Dari mana semua tenaga itu dia dapat?
Pang!
Kali ini, Kak Ita pula beri tamparan untuk Aliza. Terpaksa. Kalau tak tampar dia, semakin menjadi-jadi. Daripada membahayakan mereka semua, lebih baik kasi lebam di muka Aliza. Tak mengapa, nanti Kak Ita minta maaf bila Aliza dah sihat.
Tenang sikit selepas itu. Shahida meneruskan pemanduan dengan mulut yang tak henti-henti membaca ayat Kursi dan al-Fatihah serta surah tiga Qul.
Perjalanan yang biasanya makan masa dua puluh minit, berakhir dalam masa satu jam lebih.
"Ya Allah, Ija oi... Mak dah kata jangan pergi kerja, tapi kamu degil. Tengok, kan dah menyusahkan orang," bebel Mak Nah semasa menyambut Aliza yang tak berupa orang lagi dah tu.
"Tak ada susahnya, mak cik. Asalkan Aliza selamat sampai pun dah syukur," balas Shahida. Simpati dia lihat rupa emak Aliza. Dah la baru saja baik sakit. Bergilir-gilir pula dia orang ni sakit.
Aliza... Aliza...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro