Bab 15
"Abang dah fikir masak-masak ke, setuju nak kahwinkan Nina dengan budak Akid tu? Yang Nina pun satu. Apa yang dia fikir dalam otak dia tu agaknya? Angin tak ada, ribut tak ada tiba-tiba saja nak kahwin dengan lelaki yang dia tak kenal. Nak pengsan saya rasa bila dengar dia buat keputusan bukan-bukan tu tau."
Puan Nazira melabuhkan punggung di atas kerusi meja makan untuk bersarapan dengan suaminya pagi itu. Air Nescafe panas dituang ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada Encik Iskandar Syah.
"Setujulah dah Si Nina tu nak buat perkara baik. Dia nak bina masjid apa yang salahnya?" Tenang Encik Iskandar Syah membalas kata.
"Memanglah tak salah tapi yang salahnya sekarang ni, kenapa nak kahwin dengan lelaki yang dia tak kenal? Nina bukan jenis macam tu, bang. Kita kena bagi tahu doktor pasal ni. Saya rasa ini mesti kesan daripada ingatan dia yang hilang tu."
"Awak ni... Dia tak kenal Akid tu sebab dia tak ingat. Lagipun, Akid kan kenal dia. Mungkin sebelum ni dia orang bercinta ke apa. Kita manalah tahu, kan? Kalau tak, takkan Nina boleh cakap dia nak kahwin dengan Akid."
"Hesy, takkanlah Nina bercinta dengan Akid pula sebelum ni?!"
"Kenapa? Tak boleh ke dia orang bercinta?"
"Bukan tak boleh tapi... Hmmm yang abang beria-ia sangat sokong Akid tu kenapa? Abang suka ke budak tu jadi menantu kita?" duga Puan Nazira tiba-tiba.
"Saya tak kesah. Yang penting, Nina suka. Lagipun, saya tengok Akid tu budak baik. Setiap malam dia tunggu Nina kat luar wad sepanjang Nina belum sedarkan diri. Insya-Allah, saya yakin Akid dapat jaga anak kesayangan kita tu dengan baik."
"Abang ni jangan terlalu yakin sangat dengan apa yang abang nampak. Kita tak tahu kalau ada udang di sebalik batu nanti."
"Yang ada udang di sebalik batu tu sebenarnya anak awak. Awak tak tengok ke muka Akid macam mana bila Nina cakap nak kahwin dengan dia? Terkejut beruk budak tu dibuatnya. Mana tidaknya, tiba-tiba ada perempuan lamar diri sendiri nak kahwin dengan dia. Entah-entah Akid pula yang tak setuju nak kahwin dengan Nina tu." Sesudu nasi goreng disuapkan ke dalam mulut lagi.
"Eh, takkanlah dia nak tolak lamaran Nina pula?! Nina kan cantik. Berkerjaya tinggi pula tu. Semua sempurna kat anak kesayangan kita tu. Lelaki buta saja yang tak nak Nina tu tau, bang."
"Mana ada manusia yang sempurna dalam dunia ni, Zira. Mungkin Akid tergolong dalam lelaki yang buta tolak lamaran Nina? Siapa tahu, kan?"
Sebuah kerlingan tajam dihadiahkan oleh Puan Nazira serta-merta. Geram. Letih bibirnya berbicara. Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut suaminya itu. Sengaja Encik Iskandar Syah menyakiti hati isterinya.
"Bagi saya tiga sebab kenapa saya kena kahwin dengan awak?"
Kedua-dua belah tangan sudah memeluk tubuh. Biji mata masih memerhati setiap inci wajah lembut yang sedang tayang senyuman manis buat dirinya.
"Pertama, saya suka awak. Kedua, saya rindu awak. Ketiga, saya dapat rasakan saya ni jodoh awak."
Akid melongo. Terperanjat besar hingga tidak berkedip kelopak matanya memandang muka Imanina. Begitu mudah seorang perempuan mengungkap kata suka, rindu dan jodoh kepada dirinya? Aku terlupa korek telinga ke apa ni? Takkan kesan daripada ingatan Iman yang hilang tu buat diri dia jadi berbeza sampai begini sekali?
"Awak tak rasa bersalah ke menipu kata hati sendiri?"
"Kenapa saya nak rasa bersalah sebab memang hati saya sendiri yang kata nak kahwin dengan awak? Kita pernah bercinta ke sebelum ni?" soal Imanina tak semena-mena.
Sengih senget ditarik sejenak. Terasa comel pula bila melihat gelagat gadis di hadapan matanya itu.
"Saya rasa kalau awak ingat saya ni siapa, awak takkan ajak saya kahwin." Selamba Akid membalas.
"Awak orang jahat ke? Ke awak yang pukul kepala saya hari tu?!"
Bebola mata Akid sudah terbuntang. "Hesy, gila! Saya masih waras lagi nak pukul perempuan macam tu tau!"
"So... Marry me!"
"Kahwin ni buka perkara main-main, cik kak. Memang kita kenal sebelum ni tapi kita tak pernah bercinta pun. Saya nasihatkan awak, janganlah sembarangan ajak lelaki kahwin ya? Bahaya," luah Akid dengan jelas dan terang.
"Pelik." Dahi Imanina berkerut kecil memandang Akid.
"Apa yang pelik?"
"Kalau kita tak pernah bercinta, kenapa saya perlu rasa rindu nak jumpa awak? Pertama kali saya pandang muka awak selepas sedar hari tu pun, saya suka kat awak. Sebab tu naluri saya kuat mengatakan yang awak ni jodoh saya."
Sekali lagi Akid tercengang dengan bicara yang hadir dari bibir gadis itu. Tertelan kata-kata untuk menyambung perbualan. Air jus oren di dalam gelas dihirup sejenak dengan harapan dapat melegakan kepala yang ingin ditambah dengan satu masalah lagi.
"Awak nak anak berapa orang? Lima cukup?"
Serentak pemuda itu tersedak air oren yang baru saja melalui saluran kerongkongnya itu. Perit. Bahaya betul perempuan ni! Tak terduga langsung dek akalnya akan soalan yang diaju. Terlalu terbuka. Tak pasal-pasal pipinya memerah. Panas. Malu.
Pipi Imanina? Biasa. Selamba. Bersahaja. Dahsyat perempuan ni! Akid pula yang tak senang duduk. Membahang.
"Dah! Jangan merepek. Tujuan saya jumpa awak ni sebenarnya untuk pujuk awak balik KL. Tolonglah jangan duduk kat kampung saya tu lagi. Jangan bahayakan diri awak sendiri." Akid terus ke topik utama. Lagi lama dia melayan gadis itu, lagi banyak songehnya nanti.
"Saya yang berhajat nak bina masjid ni awak cakap merepek?! Eh, satu dalam sejuta tau perempuan yang lamar lelaki untuk kahwin ni? Awak sepatutnya bersyukur sebab jadi lelaki yang bertuah tu."
Imanina tikam tepat biji mata Akid. Tanpa sebarang kedip. Sebuah keluhan berat menampar halwa telinga gadis itu.
"Awak ingat semua masalah boleh selesai dengan kahwin ke? Saya tahu awak nak kahwin dengan saya sebab awak nak duduk kat kampung saya tu lagi, kan? Dan saya dengan sekeras-kerasnya takkan setuju awak duduk kat rumah Sara tu lagi, faham?!" Nada garau Akid meningkat.
"Awak siapa nak halang saya duduk kat kampung tu? Kampung tu awak punya ke?"
"Tak kesahlah siapa pun saya tapi saya dah bertanggungjawab untuk melindungi awak."
"Kalau nak lindungi saya, kahwin dengan saya. Simple."
"Please, Iman... Jangan burukkan keadaan lagi. Awak balik KL dan dapatkan rawatan terbaik untuk ingatan awak tu. Kesemua memori awak tu tersangatlah penting sebab awak adalah saksi..."
"Saksi?" Sepasang kening nipis gadis itu mula bertaut.
Pemuda itu kematian kata. Diam dengan kadar segera. Air muka yang sedang berubah cuaca segera dikawal rapi. Bukan sekarang masanya untuk dia berterus terang akan perihal sebenar kepada gadis yang masih berstatus pesakit itu.
Sengih sinis dilorek sendiri. Bibir yang berbekas luka digandingkan dengan muka yang biru lebam itu sangat secocok. Itupun masih belum lagi dicampur dengan beberapa bahagian tubuhnya yang masih terasa sengal dan sakitnya dibelasah Akid tempoh hari. Bengkak betul hati Alif bila memikirkan semula malam dia dipukul teruk itu.
"Sepatutnya aku yang patut belasah kau, Kid. Tak guna betul! Kononnya akulah yang jahat, zalim dan kejam sebab pukul perempuan, ya? Habis tu, kau? Tak jahat ke buat adik aku macam tu? Tak zalim ke layan adik aku macam tu dulu? Tak kejam ke rogol dan bunuh adik aku?!"
Sebiji penumbuk dilayangkan ke cermin di dalam bilik tidurnya. Pecah berderai bersama jari-jemari yang mengalirkan cecair likat berwarna merah.
"Jawablah, Akid! Aku tanya kau ni. Kenapa kau sanggup buat adik aku macam tu? Itu adik aku, Kid. Adik perempuan kepada kawan baik kau selama ni. Kau lebih kejam dan zalim daripada aku. Aku bersumpah aku akan balas dengan setimpal semua perbuatan durjana kau ke atas adik aku dulu!"
Bebola mata menghala tepat ke dada cermin yang sudah pun retak seribu itu. Suara yang dilontarkan cukup keras dan kasar seolah-olah Akid berada di hadapan matanya sekarang. Buat beberapa saat, Alif menghambur tawa sendiri. Persis orang yang mengalami masalah kewarasan akal.
"Itu baru sikit, Kid. Ke kau nak aku balas sebiji-sebiji kat perempuan tu macam yang kau buat dekat adik aku dulu? Eh, kejap! Tapi perempuan tu siapa pada kau yang kau beria-ia sangat nak pertahankan, eh?"
Wajah lelaki yang masih kebiruan itu diraup kasar. Sebuah keluhan besar dibebaskan sendiri.
"Hmmm, bukan salah aku sebab pukul perempuan tu, Kid. Itu adalah salah nasib dia sendiri sebab dia dah jadi insan terpilih untuk menyaksikan pembunuhan kau. Dua kali pula tu perempuan tu buat hal. Dan aku harap untuk kali ketiga ni, kau akan mati dengan aman. Tanpa gangguan dan pengacau rancangan aku lagi."
Sekali lagi tawa megah meletus.
"Aku tak kesah lepas tu aku akan dihukum mati sekalipun. Yang penting, kau kena mati. Kau patut mati, Akid Aryan!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro