Bab 12
Hari ketujuh...
Genap seminggu Imanina masih belum sedar. Makna kata, genap seminggu juga Akid menemani malam-malam gadis itu di hospital. Imanina sudah pun di tempatkan di wad biasa atas arahan doktor kerana telah melepasi tahap kritikalnya. Masa yang tinggal sekarang hanyalah untuk memastikan gadis itu sedar secepat mungkin.
Puan Aniza juga sudah sedia maklum akan keadaan gadis yang telah menyelamatkan anak lelakinya tempoh hari. Dalam setiap solatnya, dia turut menitipkan doa agar Imanina sedar dari tidurnya yang lama.
Tubuh disandarkan lemah ke kerusi. Anak mata dihalakan ke wajah gadis yang masih merapatkan kelopak matanya seperti hari-hari sebelum. Sudah tujuh hari Akid menatap wajah lembut Imanina. Dalam diam dia akui kecantikan asli yang dimiliki oleh gadis itu. Cantik bagi setiap orang adalah berbeza. Tapi cantik bagi Akid adalah Imanina. Ah, sudah!
"Iman..." Akid memanggil lembut gadis di hadapan matanya itu.
"Iman..."
"Puteri Imanina..." Sekali lagi pemuda itu bersuara.
"Berapa lama awak nak tidur ni? Tak penat ke tidur? Awak tahu tak apa kesan orang yang terlebih tidur?"
Sengaja soalan diaju buat gadis yang masih tidak berkutik sekelumit pun itu.
"Orang yang kuat tidur ni berisiko tinggi untuk gemuk, awak tahu tak? Awak tak takut gemuk ke? Mesti awak takut, kan? Dah. Bangun cepat! Saya teman awak pergi joging, ya?"
Tak semena-mena kedengaran tawa kecil dari bibir Adam yang baru saja muncul di ruang itu. Geli pula hatinya mendengar celoteh sepupunya yang tidak mendapat sebarang tindak balas itu.
"Eh, kau dari mana? Dah lama sampai?" Akid garu sedikit kepalanya yang tidak gatal.
"Dah lama sampai apanya? Inikan hospital tempat kerja aku. Dari department farmasi aku itulah. Saja aku singgah sini sekejap sebelum balik. Hmmm, macam mana keadaan Puteri? Ada perubahan?" soal Adam perlahan seraya tangannya sudah memeluk ke tubuh memandang ke arah Imanina.
"Puteri?" Kening Akid bertaut.
"Yalah. Kau kata nama dia Puteri, kan?"
"Memanglah. Tapi panggil dia Nina. Dia tak suka orang panggil dia dengan nama lain selain Nina." Dengan ikhlas, Akid tolong menyampaikan isi hati Imanina.
Adam pandang muka Akid tiga saat.
"Okeylah. Macam mana keadaan Nina? Dia ada gerak sikit-sikit tak?"
"Hmmm, macam inilah dia. Dah tujuh hari aku teman dia, tujuh hari juga aku cakap sorang-sorang kat sini."
Masing-masing menghalakan biji mata ke arah gadis itu. Adam hanya sengih kecil.
"Parents dia tak datang ke hari ni?"
"Pagi tadi ada datang kut. Aku pun baru datang aje ni lepas balik dari kilang tadi. Tak terserempak pula dengan parents dia."
"Akid... Kau rasa apa perasaan Nina bila dia sedar nanti dan dapat tahu dia jadi macam ni sebab selamatkan kau?" tanya Adam tiba-tiba.
"Sebab tu perkara pertama yang aku akan buat bila Iman sedar nanti, aku akan minta maaf. Selama aku jaga dan teman dia pun masih belum tipis sikit pun rasa bersalah aku kat dia, Dam." Nada merendah.
"Parents dia tahu pasal ni?"
Kepala digeleng lambat-lambat. Soalan yang diaju hanya dibiarkan angin membawa lalu.
Adam sempat mengeluh kecil memikirkan masalah sepupunya yang semakin rumit itu. Dalam pada yang sama, dia juga tergolong di antara orang-orang yang mengharapkan gadis itu sedarkan diri secepat mungkin. Dia juga adalah orang yang setiap hari bertandang ke bilik gadis itu dirawat. Setiap kali waktu rehat, dia tidak pernah lupa untuk menjenguk Imanina terlebih dahulu sebelum ke kafeteria.
"Tahu pasal apa?"
Tanpa diduga, Encik Iskandar Syah dan Puan Nazira menapak masuk ke dalam bilik rawatan Imanina. Akid dan Adam serta-merta senyap. Kedua-duanya saling berpandangan dek tersentak akan kehadiran mama dan papa Imanina secara tiba-tiba di situ. Akid segera memberi isyarat mata kepada sepupunya agar mengunci mulut.
"Dah lama ke pak cik dan mak cik sampai?" Salam dihulur buat Encik Iskandar Syah. Begitu juga dengan Adam.
"Dari tengah hari tadi lagi kami ada kat sini cuma keluar pergi makan sekejap petang ni. Pak cik dengar tadi kamu ada cakap pasal Nina. Apa benda yang pak cik dan mak cik sepatutnya tahu tu?"
Sekali lagi soalan diulang. Biji mata dilirikkan ke arah Adam sejenak. Perlu ke dia berterus terang tentang sebab musabab Imanina ditimpa musibah ini? Sebolehnya, dia tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi. Bukan niat dia hendak menyimpan kebenaran itu tapi masih belum tiba masa yang sesuai untuk keluarga gadis itu tahu.
"Sebenarnya, pak cik... Iman dipukul..."
"Nina! Nina! Nina!!!"
Semua pandangan dihalakan ke arah Puan Nazira yang sedang mengejutkan anak perempuannya tak semena-mena itu. Masing-masing mendekati wanita yang sudah basah pipinya dengan air mata itu. Digoncang lembut tubuh Imanina agar gadis itu melakukan sedikit pergerakan.
"Abang! Panggil doktor, bang! Saya nampak Nina gerakkan kelopak mata dia tadi. Cepat, bang! Panggil doktor!" gesa Puan Nazira.
Kesemua yang mendengar sudah terperanjat besar.
"Tak apa, pak cik. Saya tolong panggilkan doktor, ya?"
Sekelip mata Adam ghaib dari ruang itu. Manakala yang lain masih cuba sedaya upaya untuk menyedarkan Imanina. Namun, gadis itu masih diam di atas katilnya. Tiada sebarang reaksi. Pergerakan mahupun perubahan. Dalam diam, kolam mata sudah pun bergenang memerhati gadis yang masih senyap dalam tidurnya itu.
Kenapa, Iman? Kenapa awak tak nak bangun? Awak dah bergerak sikit tadi, kan? Kenapa kembali tidur? Saya dah minta maaf banyak sangat dengan awak. Bangunlah dan maafkan saya. Awak tak kasihan ke tengok semua orang yang tunggu awak sekarang? Jangan hukum mereka. Hukum saya. Tolonglah bangun, Iman! Tolonglah!
Kata-kata yang hanya terluah dalam hati. Air mata lelakinya yang mengalir perlahan segera diseka kasar. Dia tahu tiada sesiapa yang boleh rasa betapa beratnya perasaan dia kala ini. Ya Allah, Kau sembuhkanlah gadis ini seperti sedia kala dan aku berjanji aku akan menjaga dia dan bertanggungjawab ke atasnya!
"Pak cik bawa mak cik balik ke hotel berehat dulu, ya? Dah penat sangat dah pak cik tengok mak cik tu." Encik Iskandar Syah menyentuh lembut bahu pemuda yang masih termangu di ruang menunggu di luar bilik Imanina.
"Baik, pak cik. Pak cik pun baliklah berehat dulu. Saya ada kat luar ni temankan Iman. Pak cik jangan risau," balas Akid dengan segaris senyum.
"Pak cik tak risaukan Nina tapi kamu tu okey ke tidur kat sini lagi? Kalau kamu nak balik rumah pun tak apa, Akid. Kat sini ramai doktor dan jururawat yang boleh tengokkan Nina tu. Masuk malam ni, dah tujuh malam kamu bermalam kat sini. Pak cik banyak terhutang budi dengan kamu dan sepupu-sepupu kamu tu."
"Pak cik jangan cakap macam tu. Saya yang terhutang budi banyak sangat dengan Iman. Apa yang saya buat ni masih tak setimpal dengan apa yang Iman pernah tolong saya, pak cik."
"Nina lagi banyak terhutang budi dengan kamu, Akid. Bukan saja budi tapi nyawa. Kalau bukan kamu dan sepupu-sepupu kamu yang selamatkan dia tempoh hari, pak cik tak tahulah apa yang akan jadi kepada Nina. Nak harapkan pak cik dan mak cik pun, kami jauh waktu tu," tokok Encik Iskandar Syah lagi.
Pemuda itu terdiam seketika. Hilang kata-kata untuk membalas bicara. Benaknya semakin dihimpit perasaan bersalah yang sudah pun menggunung. Kalaulah pak cik tahu semua yang berlaku ke atas Iman adalah disebabkan aku sendiri.
"Tak apalah, Akid. Pak cik balik ke hotel dulu. Kalau kamu nak balik rumah, baliklah. Jangan risaukan Nina tu sangat, ya?"
"Yalah, pak cik."
Sekali lagi bahu Akid ditepuk lembut sebelum bingkas dari ruang menunggu itu. Belakang Encik Iskandar yang sedang berlalu pergi dipandang dengan riak tawar. Lantas kepalanya disandar lemah ke dinding.
Jarum jam di tangan kiri yang sedang berginjak ke pukul 12 malam itu dikerling sejenak. Kelopak mata mula terasa berat untuk dicelik. Sudah sampai waktu tidurnya bila malam sudah pun menuju ke waktu pertengahannya. Sebelum melabuhkan kelopak matanya, Akid melangkah perlahan ke dalam bilik Imanina. Tanpa jemu dia mengamati wajah cantik yang sedang dibuai lena itu.
"Lama-lama saya tengok awak ni, boleh jatuh cinta tahu tak?"
Sedar tak sedar, lelaki itu meleret sengih sendiri. Dalam diam, hati lelakinya terusik. Wujud satu perasaan aneh yang tak ingin dia menidakkan untuk selamanya. Pertama kali dalam seumur hidup hatinya disentuh perasaan sebegitu rupa. Perasaan bagaimana dia sendiri tidak pasti. Yang pasti, dia bahagia melihat gadis itu berada di hadapan matanya.
Tanpa diduga, Imanina mencelikkan kelopak matanya tiba-tiba. Saat itu juga bebola mata Akid terbelalak luas. Benar-benar terkejut melihat gadis yang sudah bangkit dari tidurnya itu. Dengan pantas lelaki itu merapati Imanina yang masih dalam keadaan separuh sedar.
"Iman! Iman! Awak dah sedar, Iman? Alhamdulillah! Ya Allah, syukur pada-Mu..."
Bibir Imanina kelihatan bergerak-gerak seperti ingin berbicara sesuatu.
"Awak dah betul-betul sedar, kan Iman? Tunggu sekejap. Saya panggilkan doktor, ya? Tunggu tau. Jangan tidur balik."
"A... Apa nama penuh saya?"
Langkah Akid untuk berlalu dari ruang bilik itu mati serta-merta sebaik sahaja suara lemah Imanina menampar halwa telinganya. Lambat-lambat dia menoleh pandang ke wajah gadis yang masih mengharapkan jawapan kepada soalannya tadi.
Nama penuh? Ya, soalan yang langsung tak tercapai dek akal Akid kala itu. Kebiasaannya soalan pertama yang keluar dari mulut pesakit yang baru sedarkan diri adalah saya kat mana sekarang ni? Tetapi tidak bagi gadis itu. Akid menapak semula ke arah Imanina.
"Awak tanya apa tadi?"
"Apa nama penuh saya?" Gadis itu ulang suara.
"Ke... Kenapa awak tanya nama penuh awak?"
"Saya tak ingat..."
Tak semena-mena Imanina memejam rapat kelopak matanya. Dahi gadis itu kelihatan berkerut-kerut. Terasa ada satu kesakitan yang sedang mencucuk-cucuk isi kepalanya. Akid segera mendekati gadis yang sedang menahan sakitnya itu.
"Awak okey tak ni, Iman?"
"Saya..."
"Ya, Iman. Awak nak cakap apa? Saya dengar ni." Pemuda itu menghampirkan telinganya sedikit.
"Saya tak ingat siapa saya."
Serentak itu, buat kesekian kalinya Akid tersentak besar. Srappp! Terasa kilat sedang sabung-menyabung di kala tengah malam yang cerah diterangi bulan purnama itu. Tidak berkedip kelopak mata pemuda itu memandang Imanina yang sedang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan memori dirinya kembali.
Ya Allah, kenapa sampai begini Engkau uji aku? Kenapa Engkau hukum gadis yang tidak bersalah ini? Terlalu berat dugaan-Mu ini, Ya Allah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro